Followers

/ Tagboard \

We are really hope that you will get something with this blog. Please respect to each other and keep enjoying with us ^.^
.Images are credit to Google.

JOM Promote Karya Anda !



ASSALAMUALAIKUM dan SALAM SEJAHTERA. 
ehhem. ni bukan sambungan novel, cuma nak buat iklan sebentar. hehe.

korang teringin tak hasil karya korang dipublishkan dalam blog ni ? FREE ! tiada bayaran, malah kami akan berikan backlink kepada anda !

mahu ? just melengkapkan syarat yang mudah.

- untuk yang ada blog -
1 ) terdiri daripada followers blog ini sendiri, INI dan INI
2 ) emailkan hasil karya anda ke email kami.

- untuk yang hanya ada akaun facebook -
 1 ) like fan page INIINI dan INI
2 ) emailkan hasil karya ke email kami.

* email akan diberikan setelah anda memberi kata muktamad di SINI.

see. mudah kan ? siap ade backlink lagi. FREE traffic ! and NO CLOSE DATE. bahasa karya adalah BEBAS ! so, ape lagi ? moh moh !

* oke lha. ada yang bertanya, boleh tak bagi hasil karya SELAIN novel ?
dan, setelah kami berbincang, kami BERSETUJU untuk mempublish hasil karya lain seperti the best entry korang, cerpen, doodle and etc.

hopefully, korang semakin bersemangat menghasilkan karya untuk tatapan korang dan pengunjung lain ;)

Bab 23

Sakinah keluar dari kamar mandi. Rambutnya yang basah dikesat-kesat pada tuala. Malam itu seperti malam-malam yang lalu, Sakinah hanya ringkas mengenakan t-shirt serta berkain batik. Kemudian Sakinah menjenguk ke dalam baby cot. Shafiq sudah sedar dari tidurnya. Tangan kecil dan mulus itu terawang-awang seperti ingin menggapai sesuatu. Sakinah tersenyum.
Seusai mengerjakan solat maghrib, Sakinah duduk di depan meja solek. Rambutnya di sikat perlahan-lahan. Dilurut-lurut rambutnya yang panjang dan lurus itu. Bebola matanya tertangkap satu tanda merah di leher. Sakinah mendekat ke cermin. Kolar t-shirt ditarik. Ada satu lagi di pangkal leher.
 Bayangan wajah Rafiq mencumbuinya tergambar di ingatan. Sakinah agak mungkin kesan cumbuan itu. Wajahnya memerah tiba-tiba. Terasa segan untuk turun ke bawah. Dia malu untuk berhadapan dengan Rafiq. Tapi juadah makan malam harus disediakannya. Nak tak nak kena turun jugak! Desis hati Sakinah.
Sakinah mengambil hero kesayangannya keluar dari dalam baby cot. Dia membawa Shafiq turun ke tingkat bawah. Dijenguk ke ruang tamu. Rafiq tiada di situ. Selalunya suaminya akan duduk di ruang tamu sambil menonton berita sementara menunggunya  menghidangkan makan malam.
Shafiq diletakkan di dalam kerusi yang khas untuk bayi. Sakinah membetulkan kedudukan duduk Shafiq agar anak itu tidak merengek atau menangis kerana tidak selesa. Sebelum melangkah ke dapur, Sakinah sempat mengucup beberapa kali pipi Shafiq. Akibat kegelian Shafiq ketawa sambil merengek manja. Mata Shafiq yang bulat itu terkebil-kebil memandangnya.
Dipanaskan lauk asam pedas ikan pari, sayur masak lemak dan ayam masak merah yang sempat dimasak petang tadi. Kemudian dihidang semuanya di atas meja makan di ruang tengah antara ruang tamu dan dapur. Sakinah perasan kelibat Rafiq turun dari tingkat atas. Dia kembali semula ke dapur. Malas bertembung pandangan dengan suaminya. Jauh di sudut hati Sakinah tetap bersedih dengan perlakuan Rafiq petang tadi walaupun sebenarnya semua itu hanya satu salah faham.  
Rafiq turut ke dapur. Shafiq yang sedang menggigit-gigit permainan yang diberikan didukung oleh Rafiq. Dikerling lewat ekor matanya gelagat isterinya yang pantas membuat kerja. Rafiq mengacah-acah anaknya. Dihalakan pipinya yang berkumis ke pipi Shafiq. Kumis yang belum dicukur meliar ke bahagian bawah wajah begitu menggelikan anaknya. Terkekeh-kekeh Shafiq ketawa.
“ A..bah..” suara halus Shafiq kedengaran. Rafiq semakin seronok mengacah anaknya.
Sakinah memandang ke belakang. Rupa-rupanya kedua-dua anak beranak itu sedang bergurau. Patutlah dia pelik mendengar tawa riang Shafiq secara tiba-tiba. Sakinah langsung meneruskan kerjanya walaupun agak kekok dengan kehadiran Rafiq.
Air sirap yang dibancuh dimasukkan ais. Jag air sirap itu diangkat ke ruang makan beserta dengan sebiji gelas. Sakinah masuk semula ke dapur lalu mengambil pula mangkuk kaca untuk diisi nasi. Kemudian dihantar ke meja makan. Sepanjang berulang-alik dari ruang dapur ke ruang makan sikitpun Sakinah tidak menegur Rafiq. Sengaja membiarkan suaminya bermain dengan Shafiq.   
“ Makan malam dah siap. Abang pergilah makan. Bagi Shafiq pada Kinah,” ujar Sakinah. Pandangannya dilarikan dari menatap wajah suaminya. Sakinah hanya memandang Shafiq.
Rafiq memberikan Shafiq pada isterinya. Shafiq yang memang berkobar-kobar untuk pergi kepada Sakinah menghulurkan tangan. Sakinah meletakkan Shafiq semula ke dalam kerusinya. Rafiq sudah beredar ke meja makan. Sakinah mengambil sepiring nasi yang telah dilenyekkan yang dicampur dengan isi ikan serta sedikit kuah masak lemak.
Shafiq mengunyah perlahan-lahan dengan berbekalkan empat batang gigi. Sakinah kemudian menyuakan air melalui sudu ke bibir comel itu. Selepas membersihkan mulut Shafiq, Sakinah membancuh sebotol susu. Selepas itu, barulah Shafiq dibawa keluar dari dapur. Sakinah terpegun di ruang makan. Rafiq terkebil-kebil. Hampir saja mereka bertembung jalan.
“ Abang nak ke mana? Kenapa tak makan? ” Tanya Sakinah setelah menyedari lauk masakannya tidak langsung dijamah. Isyh, dia ni takkan nak buat hal lagi? Tak lalu nak makan masakan aku ke? Soal hatinya.
“ Er..nak cuci tangan,” balas Rafiq sedikit gugup.
Sakinah musykil. Berkerut keningnya. “ Itu,” dia menunjukkan air basuh tangan yang sudah tersedia di dalam mangkuk kecil di atas meja. Rafiq malu sendiri. Alasannya tidak relevan. Mahu saja dia meluku kepalanya tika itu. Dia kembali duduk. Sakinah mula mengatur langkah semula untuk ke tingkat atas.
“ Kau tak mahu makan? ” Rafiq menyoal sambil mencedok nasi putih ke dalam pinggannya. Sengaja dia mencetuskan perbualan. Mengajak Sakinah untuk berbicara lebih panjang. Namun, hampa. Sakinah sekadar menggeleng sebelum berlalu. 
RAFIQ gelisah di dalam bilik kerjanya. Ke hulu ke hilir Rafiq berjalan di sekitar kamar itu. Memikirkan cara untuk memohon maaf pada Sakinah. Biarpun petang tadi dia telah mengucapkannya tapi Rafiq masih belum berpuas hati. Sakinah tidak membalas ucapannya itu. Malah gadis itu pergi dengan perasan yang berkecamuk. Entah mengapa pula perasaannya yang bersimpang-siur selepas itu.
            Sungguh Rafiq tidak mahu perbuatannya itu kelak bakal membuatkan isterinya itu membenci dirinya. Rafiq rasa tidak betah jika keadaan itu berlaku. Selagi bibir Sakinah tidak membalas ucapan maafnya Rafiq tidak akan duduk tenang. Walaupun terpaksa berulang kali memohon maaf Rafiq rela. Asalkan Sakinah tidak membencinya dan sudi memaafkannya.
Jam di bilik kerjanya menunjukkan pukul sembilan. Rafiq teringat solat isyak yang belum ditunaikannya. Kelekaan berfikir membuatkan dia alpa. Kemudian Rafiq menapak keluar dari bilik kerjanya yang terletak di tingkat bawah. Bunyi pinggan yang saling berlaga kedengaran dari dapur. Rafiq tidak jadi meneruskan niat ke tingkat atas. Sebaliknya langkahnya dihayun ke dapur. Rafiq tahu Sakinah pasti berada di situ.
Sakinah terkejut. Tubuh Rafiq yang terpacak diam di situ memeranjatkannya. Yang pasti Sakinah gelisah menonton sorotan mata Rafiq yang mengenai tepat ke wajahnya. Pandangan mata mereka saling menikam. Sakinah tunduk melarikan anak matanya.
“ Abang nak apa-apa ke? ” Soalnya. Rafiq diam. Sakinah mengagak mungkin Rafiq tidak memerlukan pertolongannya dan mahu dia segera beredar dari situ. Sememangnya Sakinah tidak selesa berlama-lamaan dengan jejaka itu dalam suatu ruang. Tambahan pula kerjanya di dapur telahpun selesai.
“ Sakinah,” suara Rafiq menegur. Sakinah berhenti melangkah. Dia menoleh pada suaminya. Takut-takut Sakinah memandang raut itu tapi Rafiq pula sudah bersedia menentang wajahnya.
“ Aku minta maaf tentang hal petang tadi,” ucap Rafiq. Sedaya upaya diluahkannya. Diharap ucapan itu tidak perlu diulangnya lagi.
 Sakinah memandang pelik. Bibirnya tergamam. Masih enggan membuka bicara. Rafiq pula semakin tidak keruan.
“ Kau tak nak maafkan aku? ” Rafiq bertanya. Perlahan suaranya didengari oleh Sakinah.
“ Abang tak salah, cuma salah faham.” Ujar isterinya.
“ Tapi aku dah berkasar dengan kau. Maafkan aku,” pintanya lembut. Sakinah tersenyum kecil. Rafiq terkedu.
“ Kinah dah maafkan.” Ringkas balasannya. Tidak betah dia bertapa lebih lama di situ. Sakinah rasa seram sejuk tiba-tiba. Malam ini perwatakan Rafiq dirasakan luar biasa. Siap meminta maaf berulang kali padanya. Sanggup merendahkan sifat ego dan pentingkan diri yang dimiliki selama ini. Sakinah tertanya-tanya ke mana menghilangnya sifat suaminya yang semalam dan hari-hari lalu. Dia keliru dalam diam.
            “ Kinah naik dulu,” Sakinah meminta diri. Rafiq lekas mencapai tangan isterinya. Sakinah pula yang terkedu.
“ Kau tunggu sekejap,” Rafiq melepaskan tangan isterinya. Dia berlalu ke ruang hadapan. Sakinah terpegun. Arahan Rafiq tidak berani diingkari biarpun memang dia ingin sangat berbuat sebaliknya. Rafiq muncul kembali dengan sesuatu di tangan.
“ Leher kau merah. Biar aku sapukan ubat.” Botol krim ubat luka itu dibuka. Sakinah terpinga-pinga.
“ Eh, tak apalah. Kinah boleh sapu sendiri.” Tingkahnya menghalang niat Rafiq.
“ Tak apa, biar aku sapukan. Lagipun kau bukannya nampak kesan merah tu,” Rafiq sudah mencalit krim itu ke jari telunjuknya. Bersungguh-sungguh ingin menolong. Padahal krim di tangannya hanya krim luka biasa. Sedangkan apa yang terpalit di leher Sakinah tidak seteruk mana. Sengaja berkelakuan baik supaya Sakinah tidak menyimpan rasa marah di hati dengan kelakuannya petang tadi.
“ Er..Kinah boleh sapu sendiri kat bilik..depan cermin,” bersungguh-sungguh Sakinah ingin menghindar. Gementar sungguh perasaannya.
“ Syuhhh..” jari telunjuk Rafiq yang masih bersih di sebelah kiri kini menekan bibir Sakinah. Mengisyaratkan supaya isterinya tidak membantah lagi. Sakinah tidak terkata  ketika tangan kiri suaminya sudah hinggap di tengkuknya. Sentuhan yang mencemaskan hatinya tiba-tiba.
“ Kalau tak sapu ubat boleh berparut ke? ” Sakinah bertanya untuk menghilangkan kegugupan.
Rafiq tersengih dalam hati. Sungguh polos pertanyaan itu. Ternyata Sakinah kurang arif ataupun mungkin langsung tidak mengetahui perihal itu. Maklumlah umurnya baru menjejaki awal dua puluhan. Lagi pula berasal dari kampung mungkin hal sebegini tidak pernah diketahuinya.
“ Kesan ni takkan tinggalkan parut dan mudah aje nak hilang.” Beritahu Rafiq. Kelihatan terdapat dua kesan merah yang wujud di tubuh itu.
Rafiq jadi malu pada dirinya. Kerana marah dihantui peristiwa lama tubuh Sakinah diperjudikan. Sekarang dia pula yang terhegeh-hegeh memohon maaf. Malah begitu bermurah hati untuk menyapukan ubat. Rafiq terasa keliru dengan perbuatannya. Tetapi perkara yang dilakukan saat ini adalah ikhlas dari hatinya. Jauh sekali berasa terpaksa.
“ Betul ke mudah nak hilang? ” Sakinah masih di topik yang sama. Dia lemas dengan situasi yang senyap dan mendebarkan itu.
“Betul. Tapi kalau tetap tak hilang kita boleh cuba berjumpa doktor,” Rafiq sengaja memperolokkan Sakinah. Teringin menduga reaksi isterinya. Bibir nipisnya tersenyum kecil. Lambat-lambat dia menyapu krim ke atas kesan merah yang dibuatnya. Malah leher isterinya dipandang asyik tanpa disedarinya.
“ Hah, serius sangat ke sampai kena berjumpa doktor? ” tanya gadis itu bingung. Tadi kata senang nak hilang. Tiba-tiba kata nak jumpa doktor kalau tak hilang. Sebenarnya boleh hilang ke tak? Soalnya dalam benak.
“ Seriuslah sebab benda senang nak hilang takkan tiba-tiba tak boleh hilang. Mana tahu kau ada penyakit lain? ” sambungnya lagi menyakat Sakinah. Terasa seronok mempermainkan isterinya.
Sakinah mengetap gigi. Kata-kata Rafiq cukup difahaminya. Nampak sangat lelaki itu berniat mempermainkan dia yang sedia dungu tentang hal-hal yang belum pernah dilaluinya. Maklumlah dia langsung tidak berpengalaman. Memang senang ditipu orang. Dan dia pula begitu mudah mempercayai orang.
“ Dah sudah? ” Sakinah bertanya setelah Rafiq melepaskan lehernya. Suaminya mengangguk sambil menutup krim ubat dengan penutup. 
“ Kalau macam tu, Kinah naik dulu.”
“ Kejap. Aku ada benda nak cakap,” tahan Rafiq. Sekilas Sakinah menatap wajah suaminya sebelum mengalihkan anak mata. Rafiq pula masih setia memandang Sakinah.
“ Lain kali telefon aku dulu kalau ada apa-apa hal yang berlaku di rumah semasa aku di pejabat. Aku tak mahu dikejutkan macam peristiwa petang tadi. Jangan buat hal yang bukan-bukan tanpa pengetahuan aku, sebab aku tak suka.” Rafiq berpesan. Sakinah mengangguk tanda mengerti.
“ Selamat malam,” ucap Rafiq sebelum melangkah pergi. Sakinah mengangguk lagi tapi tercengang selepas itu. Selamat malam? Biar betul? Pertama kali diberi ucapan itu. Sakinah sukar mempercayainya. Malah suara garau jejaka itu menampan lembut di telinga.  Sakinah menarik senyuman di tepi bibir. Pelik dan geli hati dengan pendirian suaminya yang berubah-rubah.   

Bab 22

Belum sempat kaki melangkah ke dapur, Sakinah mendengar bunyi enjin kereta menjalar masuk ke porch. Sakinah berpatah balik. Pintu rumah dibuka semula. Dia menanti Rafiq di muka pintu.
“ Abang nak minum? ” Sakinah mengambil briefcase di tangan suaminya. Rafiq tidak menjawab. Sebaliknya wajah Sakinah ditenung sebelum beredar ke ruang tamu. Dihenyak tubuhnya yang kepenatan ke sofa. Kepenatan yang dialami dirasakan luar biasa. Mungkin ditambah dengan rasa sakit hati yang menjulang.
Sakinah berlalu ke dapur. Seminit kemudian dibawa segelas air berperisa anggur yang dibuat untuk minum petang tadi. Sakinah menghampiri tubuh yang kelihatan penat itu. Diletakkan gelas air tersebut di atas meja kopi di depan suaminya sebelum melangkah pergi.
“ Sakinah,” panggil Rafiq. Sakinah menoleh.
“ Kenapa, bang? ” lembut suara Sakinah bertanya. Rafiq mengangkat tubuhnya dari bersandar pada sofa. Tajam tatapan matanya. Sakinah bungkam. Terfikir-fikir apa salahnya kali ini.
Rafiq menghulurkan tangan kirinya buat Sakinah. Gadis itu kelihatan terpinga-pinga sebelum menyambut hulurannya. Bila jari-jemari mereka bertaut rapat, Rafiq menarik Sakinah mendekatinya. Sakinah teragak-agak. Namun dituruti tingkah Rafiq. Takut diapa-apakan jika membantah.
Tangan Sakinah digenggam erat. Dengan sekali tarikan kuat, tubuh Sakinah tercampak kasar di sofa. Sakinah terkejut. Rafiq tersengih sinis. Genggaman tangan pada Sakinah masih belum dileraikan.
“ Kenapa ni, abang? ” Soal Sakinah dalam rasa terkejut sangat.
“ Aku tahu kau dahagakan belaian seorang suami jadi, tak salahkan kalau aku nak memberi. Lagipun kita suami isteri yang sah.” Rafiq berkata perlahan. Dia mendekati wajah Sakinah. Ingin dicumbui wajah mulus itu sehingga gadis itu serik untuk dicumbui lagi.
            “ Abang jangan, bang. Kinah tak mahu,” rayu Sakinah. Tautan tangan Rafiq cuba dirungkai. Rafiq semakin berani. Tangan kiri Sakinah yang cuba menolak tubuhnya ditangkap. Kedua-dua tangan itu diperosok ke belakang tubuh Sakinah. Suara isterinya yang merayu membuatkan Rafiq semakin geram.
“ Abang janganlah buat Kinah begini. Tolonglah,” rintih Sakinah. Dia meronta-ronta minta dilepaskan. Rafiq menindih tubuh ranum Sakinah.
“ Kenapa? Kau tak suka? Aku cuma nak berikan hak kau supaya kau tak meminta-minta dari orang lain.” Jerkah Rafiq kuat. Terus dibenamkan wajahnya ke leher Sakinah.
            “ Jangan abang, Kinah tak mahu.” Sakinah memohon. Rafiq bagaikan orang hilang akal. Rayuan isterinya tidak diendahkan. Sebaliknya dia makin galak mengucup kasar wajah mulus itu.  
“ Sakit abang, Kinah tak rela. Tolonglah lepaskan Kinah,” air mata mula bergenang di matanya. Hancur hati Sakinah saat itu. Maruahnya sebagai seorang isteri tidak dipedulikan. Sang suami semakin galak menyakiti tubuhnya. Mutiara jernihnya mengalir laju.
“ Aku benci kau. Kenapa kau curang pada aku, hah! ” Jerit Rafiq tepat di wajah Sakinah. Kemudian terus dipagut kasar bibir isterinya.
Sakinah meronta-ronta. Wajahnya cuba dilarikan agar ciuman rakus dan menyakitkan itu terlepas. Rafiq berang. Tangannya yang memegang kedua belah bahu Sakinah dilepaskan. Wajah Sakinah dipegang kuat.
“ Ini yang kau nak, kan? Kenapa kau mengelak? Kau dah puas sangat melayan jantan lain sampai aku pun kau tak mahu layan. ” Tangan Rafiq menarik kuat rambut Sakinah. Sementara sebelah tangan lagi mencengkam kuat dagu isterinya. Lelehan air mata gadis itu tidak dihiraukan. Malah Rafiq puas hati.
“ Sakit..Kinah sakit, bang. Lepaskan..” bicara Sakinah mati bila sekali lagi bibirnya dicium kasar. Sakinah terus berusaha mengelak dari kesakitan yang dihadiahkan oleh suaminya sendiri.
“ Aku benci kau. Kenapa kau curang pada aku? ” Rafiq mengulangi kata-katanya. Rautnya bengis. Bagi Rafiq kemaafan tidak pernah wujud untuk insan yang curang.
“ Apa abang cakap ni? Kinah tak pernah curang pada abang..” teresak-esak Sakinah berkata. Rafiq mendengus kasar. Raut manis Sakinah ditampar. Tidak kuat mahupun pelahan. Sekadar hatinya puas.
“ Abang..”
“ Diam! ” Jerkah suaminya. Sakinah menahan rasa sakit yang menyengat. Air matanya membuak-buak keluar.
“ Kinah takkan curang seperti Suraya.” Tuturnya perlahan.
Rafiq terkesima. Riak wajahnya serta-merta berubah. Pandangan bengisnya bertukar. Air mata Sakinah pula makin lebat menuruni lekuk pipi. Bahu isterinya terenjut-enjut menahan esak tangisan.
 Ya Allah! Rafiq spontan melepaskan pegangan kuat di tubuh Sakinah. Serta-merta dia menjauh daripada isterinya apabila kesedaran hadir menerpa. Rafiq tersedar daripada kekusutan fikirannya.Tangannya meraup seluruh wajah yang kedinginan. Kesal. Dia gagal mengawal perasaan. Bayangan Suraya yang berlayar di ruang mata lenyap begitu saja. Yang wujud hanya tubuh Sakinah yang sedang menangis. 
Sakinah memeluk lutut. Ditunduk rapat mukanya ke lutut. Tangisannya dilepaskan. Pilu hatinya. Rasa marah dan sakit hati pada Rafiq membuak-buak. Tergamak suaminya memperlakukannya sedemikian. Menghukumi dirinya yang ternyata tidak bersalah. Mengasari tubuhnya seperti seorang yang tidak punyai harga diri.
“ Maafkan aku. Aku tak sedar.” Ucapnya. Sakinah tidak terkata. Gadis itu masih dalam sedu-sedan.
“ Sampai hati abang...buat begini pada Kinah. Apa salah Kinah? ” Sakinah berkata dalam sebak penuh di dada. Diseka air mata yang masih galak menuruni lekuk pipinya. Rafiq memandang tajam pada isterinya.
“ Habis tu, apa tujuan suami Kak Wati ke sini? Bukan maknanya kau ada hubungan dengan dia? ” Soal Rafiq menjerkah. Sorotan matanya kembali berang. Itulah punca sebenarnya dia terlalu mengikut perasan tadi.
Sakinah terkedu. Patutlah Rafiq naik hantu sebentar tadi. Jejaka itu telah menyangkanya mempunyai hubungan sulit dengan Abang Saiful. Sedangkan hakikatnya tidak begitu. Rafiq sudah tersalah sangka. Wajarkah dia membenci Rafiq di atas kesilapan ini? Sakinah buntu.
“ Abang Saiful datang nak ambil Shira.” Bicaranya.
“ Maksud kau? ” Rafiq memandang tepat kepada isterinya.
“ Pagi tadi Kak Wati minta tolong pada Kinah untuk jagakan anak dia, Shira. Orang gaji Kak Wati terpaksa ambil cuti sebab berlaku kematian di kampung.” Sakinah berjeda. Sedu-sedan masih mengiringi dalam kata-katanya.
“ Tapi tadi Abang Saiful pula yang datang ambil Shira,” terangnya lagi. Sakinah yakin Rafiq hanya terlihat Abang Saiful keluar dari rumah mereka sedangkan cerita sebelum itu Rafiq tidak nampak. Pantas saja Rafiq menuduhnya curang.
            “ Habis tu, kenapa kau tak beritahu aku? ”
“ Kinah takut abang marah. Lagipun Kak Wati benar-benar terdesak perlukan bantuan Kinah. Kalau abang tak percaya, abang tanyalah pada Kak Wati. Sumpah, Kinah tak bohong.” Perlahan suara itu menutur kata.
Lidah Rafiq kelu. Marahnya hilang. Prasangkanya tidak berasas. Rafiq meneleku ke wajah yang keruh itu. Mutiara jernih Sakinah masih mengalir walaupun lesu. Rafiq serba salah jadinya. Ingin memohon maaf, sudah diucapkannya. Untuk memujuk hati itu Rafiq tidak mahu. Bukan tidak sudi tapi Rafiq kekok. Egonya juga tidak merelakan.
“ Kinah naik atas dulu,” pinta isterinya sayu. Rafiq diam tanpa reaksi.
 Sakinah berlalu pergi. Rafiq hanya memandang. Keluhan berat dihembus tatkala tubuh Sakinah menghilang. Kekesalan maha hebat menerpa dalam dirinya.
Rafiq dibayangi dengan peristiwa lalu. Di saat kecurangan Suraya yang akhirnya berjaya diketahui. Sama saja dengan peristiwa yang berlaku hari ini. Seorang lelaki keluar dari rumahnya. Ketika itu Rafiq yang hampir tiba di rumah berhenti di tepi jalan sehinggalah lelaki itu beredar dengan keretanya. Selepas itu, barulah Rafiq menerjah masuk ke dalam rumah.
 Segala-galanya terungkap. Rafiq tidak terkata apabila Suraya sendiri telah mengaku tentang kecurangan yang dilakukan. Hati Rafiq benar-benar hancur dikerjakan oleh Suraya. Cinta yang disemai subur akhirnya ditabur racun ke atasnya. Suraya pergi bersama cinta mereka. Rafiq hilang arah tujuan untuk beberapa ketika. Shafiq juga dibiarkan terabai. Mujurlah uminya ada untuk menolong. Bila kehidupannya baru pulih, Rafiq terpaksa pula mengikut kehendak umi yang dirasakan mendera kembali perasaannya. Luka yang dulu berdarah semula. Rafiq serik untuk menempuhnya lagi.   










Bab 21

Dari dapur Sakinah bergegas menerpa ke pintu. Bunyi dentingan loceng mengejutkannya. Sempat dia memandang jam di dinding. Pukul lapan setengah pagi. Baru setengah jam tadi Rafiq keluar ke tempat kerja. Mungkin suaminya berpatah balik. Ada barang tertinggal kut? Fikir Sakinah. Sangkaannya terhapus. Wajah jiran selang dua buah rumahnya terpacul. Kak Wati bertandang bersama Shahirah, anak perempuannya yang berumur sekitar empat tahun.
“ Kak Wati, masuklah,” perlawa Sakinah dengan senyuman biarpun hairan dengan kedatangan Kak Wati di awal pagi itu. Bertambah musykil melihat raut Kak Wati yang jelas kegelisahan.
“ Tak apalah, kat sini aje. Maafkan akak datang menganggu Sakinah awal-awal pagi begini. Tapi sebenarnya akak nak minta tolong sangat pada Sakinah. Boleh? ” Pinta wanita itu. Seperti begitu berharap.
“ Tolong apa, kak ? ”
“ Akak tahu Kinah ada anak kecil tapi akak nak minta maaf sangat-sangat. Boleh tak Kinah tolong jagakan anak kakak ni? Orang gaji kakak terpaksa balik kampung sebab ada ahli keluarganya meninggal malam semalam jadi pagi-pagi lagi dia pergi tanpa pesan. Dia tinggalkan surat aje. Jadi kakak nak minta Kinah tolong jagakan Shira boleh? Jangan risau Shira ni tak mudah meragam. Dia memang senang dijaga. ” Kak Wati memujuk. Dia begitu terdesak.
Sakinah tersenyum. “ Boleh..akak tinggalkan saja Shira pada Kinah. Lagipun anak Kinah pun tak banyak ragam. Jadi tak ada masalah nak jaga Shira sekali.”
“ Alhamdulillah.” Kak Wati melepaskan nafas lega.
“ Terima kasih banyak-banyak, Kinah. Akak betul-betul terhutang budi pada kamu. Sebenarnya akak ada mesyuarat pagi ni dengan bos. Jadi tak boleh ambil cuti mendadak itulah pasal terpaksa susahkan Kinah. Akak janji akak bayar upah Kinah nanti,” ujar Kak Wati bersungguh. Wajahnya kelihatan bersemangat dan ceria semula.
“ Kinah ikhlas, tak payahlah bayar upah. Lagipun kita hidup berjiran tak salah Kinah menolong.” Sakinah mengusap-usap lembut pipi anak Kak Wati yang berada di antara mereka berdua. Shahirah memang kanak-kanak perempuan yang cantik baginya.
“ Tak sedap hati akak kalau kamu tak mahu upah. Kinah ingat jaga budak-budak tak pakai duit ke? Tenaga Kinah menjaga tu akak kena hargai juga. Takkan free pulak,” ulas Kak Wati.
“ Kinah tak mahu. Kalau akak berdegil juga Kinah tak mahu jaga Shira,” ugut Sakinah. Kak Wati terperanjat.
“ Eh, janganlah begitu! Akak dah kesuntukkan masa, mana nak cari orang lain lagi. Tolonglah, akak.” Kak Wati memohon jasa baik Sakinah.
               “ Hah, dah tahu kesuntukkan masa pergilah cepat! Jangan risau. Tinggalkan aje Shira pada Kinah. Tapi boleh tak akak ambil Shira balik sebelum maghrib? Sebab selalunya suami Kinah balik dekat maghrib. Kinah tak mahu dia tahu tentang hal ni. Risau pulak dia sangka Kinah tak cukup makan sampai jadi pengasuh anak orang,” terangnya. Kak Wati berfikir sejenak.
            “ Akak ni tak menentu masa baliknya. Tempat kerja akak jauh jugak. Macam inilah, akak suruh Abang Saiful ambil Shira sebab tempat kerja Abang Saiful dekat aje. Dalam pukul enam selalunya dia dah sampai ke rumah. Nanti kalau akak balik lewat, akak suruh abang Saiful ambil Shira, boleh? ” tanya Kak Wati dengan berhemah. Sakinah mengangguk setuju.
“ Terima kasih. Esok-esok kalau Kinah susah jangan segan-segan mintak tolong dari akak. Insya Allah akak pasti tolong.” Kak Wati terus memeluk Sakinah sebagai tanda penghargaan. Perasaan gelisahnya hilang serta-merta. Ternyata dia tidak salah dalam menilai wanita itu.
Sakinah menarik Shahirah masuk ke dalam rumah setelah berpamitan dengan Kak Wati. Pintu rumah ditutup. Tubuh Shahirah didukung dengan kudratnya. Senyuman diberikan buat anak kecil itu. Shahirah membalas. Sakinah mencium pipi comel itu. Shahirah membalas perbuatan Sakinah. Tercetus tawa halus di bibir Sakinah.
“ Shira nak apa-apa tak sekarang? ” Soal Sakinah. Shahirah diam. Barangkali sedang menganalisa maksudnya.
“ Dah sarapan? ” Sakinah bertanya dengan manja. Shahirah mengangguk kecil.
“ Mama masak? ” Sakinah menyoal lagi. Sekali lagi Shahirah mengangguk. Sakinah meletakkan Shahira di atas sofa. Dia juga mengambil tempat di sofa.
“ Mama masak apa? Shira makan apa tadi? ”
“ Mama macak nacik goreng,” jawab si cilik. Sakinah mencubit lagi pipi Shahirah.
            “ Sedap? ”
            “ Mama punye mecti cedap..” balas Shahirah. Ibu jarinya ditunjukkan pada Sakinah sambil empat jari lagi digenggam.
            Sakinah tertawa lagi. Begitu mencuit hati. Jawapan Shahirah mungkin telah dilatih oleh Kak Wati sendiri ataupun suaminya. Yang penting Sakinah tahu yang Kak Wati telah berjaya membuatkan Shahirah begitu mendengar cakap. Sehingga kata-katanya boleh diajuk kembali.
            “ Shira dah kenyang? ” soalnya lagi. Shahirah mengangguk.
“ Mari,” ajak Sakinah. Kedua-dua tangannya dihulurkan. Shahirah menerpa ke dalam pelukan.
“ Nak gi ane? ” Shahirah pula bertanya.
“ Kita tengok adik kat atas,” Sakinah mendaki anak tangga. Tubuh Shahirah di dukung ke kamarnya.
“ Adik? ” suara halus itu seperti berbisik pada Sakinah.
“ Hmm, adik Shira. Comel macam Shira.” Balas Sakinah dengan senyuman.

SAKINAH mundar-mandir. Sekejap dia memandang jam di dinding dan sekejap kemudian memandang ke luar rumah. Sakinah kembali duduk di sofa. Wajah Shahirah yang sedang lena itu ditatap. Sakinah risau. Abang Saiful, suami Kak Wati belum lagi tiba. Sedangkan jam hampir menunjukkan pukul enam setengah petang. Dalam waktu itu juga bila-bila masa Rafiq boleh pulang.
Bunyi loceng pintu rumah menyedarkan Sakinah dari kekalutannya. Tudung segera disarung ke kepala. Sakinah cepat-cepat berjalan ke pintu. Wajah Abang Saiful kelihatan.
“ Maaflah, abang lambat sampai. Hari ni jam teruk sangat. Itulah terlambat sampai. Kereta pun abang tak sempat lagi parking dalam rumah terus ke sini.” Terang Abang Saiful. Air muka Abang Saiful kelihatan serba salah. Sakinah hanya mengangguk faham.
“ Tak apa, saya faham.”
“ Mana Shira? ”
“ Ada kat dalam tengah tidur. Dari pagi tadi asyik bermain dengan Shafiq sampai terlupa tidur. Baru tadi dia terlena. Saya tak sampai hati nak bangunkan. Nanti saya bawakan dia,” beritahu Sakinah.
“ Tak apa biar abang ambil dia,” Abang Saiful masuk setelah menanggalkan kasut.
Shahirah yang terlena di ruang tamu diangkat oleh Abang Saiful. Sakinah mengekori dari belakang apabila Abang Saiful membawa Shahirah. Sakinah hanya melihat dari pintu ketika Abang Saiful membaringkan Shahirah di tempat duduk belakang di dalam kereta. Selepas itu, Abang Saiful kembali masuk berjumpa Sakinah. Dia mengeluarkan dompet dari poket belakang seluar yang dipakai.
“ Ambillah,” dua keping not lima puluh ringgit dihulurkan Abang Saiful. Sakinah laju  menggeleng.
“ Tak apa. Saya ikhlas jaga Shira.” Tolaknya.
“ Janganlah, begitu. Kami suami isteri dah menyusahkan kamu. Terimalah,” Abang Saiful memujuk.
“ Tak ada susahnya. Senang saja menjaga Shira. Saya tak kisah,” Sakinah tetap menolak.
“ Ambillah. Nanti Kak Wati kamu bising dengan abang,” desak lelaki itu.
 “ Tak apa, terima kasih sajalah. Saya ikhlas.” Sakinah tetap dengan pendiriannya. Abang Saiful menyerah dengan kedegilan Sakinah. Duit kertas yang tidak diambil disimpan kembali.          
“ Kami berdua berterima kasih banyak-banyak pada kamu. Kebetulan pagi tadi abang dengan Kak Wati ada mesyuarat. Tak boleh nak ambil cuti setengah hari jadi terpaksa menyusahkan kamu. Maaflah, ” Abang Saiful berkata lagi.
“ Saya faham. Tapi lain kali kalau Kak Wati nak minta tolong saya jagakan Shira lagi hantarlah ke sini aje. Jangan segan-segan. Saya tak kisah sebab sekurang-kurangnya Shafiq berteman,” tuturnya ramah.
“ Terima kasih banyak-banyak.” Ucap Abang Saiful sebelum beredar.
Sakinah menutup pintu setelah kereta Abang Saiful menghilang di depan rumah. Dia bergegas ke dapur untuk menyediakan makan malam. Sekejap lagi pasti Rafiq akan pulang.


* masih belum tamat dan akan bersambung. . .

Bab 20



Sepasang mata mereka bertaut tatkala pintu terbuka. Sakinah yang berdiri di sebelah katil bayi milik Shafiq memandang suaminya masuk ke dalam bilik.
“ Kau dah sihat? ” Rafiq mendekati.
Sakinah mengangguk. Pandangannya pada Rafiq beralih kepada Shafiq semula. Dibelai  Shafiq yang sibuk bertenggek di tepi katil sambil tangan halus itu berpaut kuat di penghadang tepi katil bayi itu.
“ A..bah.. kong..” pinta suara kecil itu. Tangan Shafiq sudah tergapai-gapai dan tersua-sua. Rafiq tersenyum. Didukung anaknya keluar dari katil tersebut. Wajah Shafiq tampak gembira kerana permintaannya ditunaikan.
 Sakinah turut tersenyum menonton keletah Shafiq yang makin bijak berbicara. Jarinya mencuit halus pipi mulus Shafiq. Sebentar tadi Shafiq ada juga membuat permintaan yang sama  padanya tapi Sakinah tidak mampu. Risau kesakitannya yang baru pulih kembali menyerang. Alih-alih dia berdiri saja di pinggir katil sambil bermain dengan Shafiq.
“ Kau sakit apa sebenarnya? Nampak teruk sangat sakit kau tadi tu. Kau ada penyakit kronik ke? ” Soal suaminya.
Sakinah pantas menggeleng. Dia tertunduk. Tidak tahu wajar atau tidak jika dia berterus-terang. Yang  penting sebenarnya Sakinah berasa terlalu segan untuk berkongsi cerita. Biarpun dengan suami sendiri. Lebih-lebih lagi mengenangkan perhubungan mereka yang dingin selama ini.
“ Habis tu, kau sakit apa? Kalau kau tak tahu lebih baik kita ke klinik jumpa doktor. Bolehlah nanti kita tahu apa penyakit kau tu. Manalah tahu tiba-tiba kau ada penyakit serius. Senanglah kita nak buat rawatan kalau dah tahu apa jenis penyakit kau.” Panjang kata-kata Rafiq. Cukup cakna lagaknya. Tetapi realitinya memang itulah sifat semula jadinya. Cuma tidak ramai yang dapat menjangkakannya. Terutama Sakinah yang selalu dihadapkan dengan wajah bengis Rafiq.
Berkerut dahi Rafiq dibuatnya akibat gelengan Sakinah. “ Laa, aku tanya kaulah. Jawablah pakai mulut bukan balik-balik geleng kepala. Aku bukannya faham bahasa orang bisu.” Bersahaja Rafiq bersuara. Nadanya tidak marah ataupun suka. Santai sahaja bahasanya.
Sakinah ingin tergelak tapi ditahannya. Tersenyum dalam hatinya mendengar kata-kata Rafiq itu. Jejaka itu seolah-olah seperti bergurau dengannya.
 “ Oo..entah-entah sebenarnya kau sakit mulut? ” Teka Rafiq dengan matanya memandang tepat pada Sakinah. Mungkin itulah sakitnya!
“ Bukanlah.” Sakinah menjawab akhirnya.
“ Hah, ada pun suara! ” Tukas Rafiq. Sakinah bungkam.
“ Habis tu, kau sakit apa? ” tanyanya lagi tidak puas hati.
“ Er, Kinah cuma sakit biasa.” Sakinah berusaha untuk mengelak dari membongkar cerita sebenarnya.
“ Yelah, sakit biasa pun sakit jugak. Apa namanya sakit kau tu? Esok lusa kalau kau sakit lagi senanglah aku carikan ubat yang sesuai untuk kau.” Sela Rafiq sambil menggeselkan kumisnya ke pipi Shafiq sehingga anaknya itu ketawa berdekah-dekah kerana kegelian.
“ Er..sakit orang perempuan..” jawab Sakinah. Fuhhh! Moga-moga kau faham.
Rafiq musykil. Jawapan Sakinah tidak lengkap. Dia masih kurang mengerti. “ Penyakit orang perempuan, orang lelaki tak boleh tahu ke? ” Bodoh-bodoh pula Rafiq membalas.
“ Er, abang tak payah tahulah. Kinah dah biasa.” Sakinah masih mahu berdalih.
“ Ya Allah..penyakit pun ada secret story jugak ke? Apa yang istimewanya sakit kau tu sampai aku pun tak boleh tahu? Kau ni memanglah. Orang tanya elok-elok kau jawab nak tak nak pulak.” Rafiq mendengus. Jelas emosinya mula berubah. Sakinah kecut mendengarnya.
“ Er, Kinah sebenarnya sakit senggugut.” Terus-terang dia memberitahu.
Air muka Rafiq berubah. “ Oo..” itu saja yang mampu diucapkan. Beriya-ria dia bertanya alih-alih jawapan itu yang menampar cuping telinganya. Rafiq malu sendiri. Nasib baiklah Shafiq ni tak faham lagi. Kalau tak malu aku kena cas dua kali ganda. Satu dengan anak satu lagi dengan maknya!
Sakinah berjalan ke birai katil. Dia melabuhkan punggung di situ. Rafiq masih berdiri sambil mendukung anak terunanya. Cuma tubuhnya dikalih pada Sakinah. Mengekori langkah isterinya.
“ Kau lapar tak? ”
Sakinah pantas teringat sesuatu. “ Astaghfirullah..maaflah, bang. Kinah tak sempat nak masak untuk makan malam. Tapi kalau abang nak makan Kinah boleh panaskan lauk tengah hari tadi. Itupun cuma ada lauk sup ayam kampung dengan ikan keli masak merah. Abang nak ? ” Sakinah berura-ura untuk bangun.
“ Tak payah susah-susah. Aku dah makan pun. Aku cuma nak tanya, kau nak makan ke tak? Aku ada masakkan bubur ayam kat bawah. ” Rafiq berkata lagi.
 Sakinah telan liur. Biji matanya terkebil-kebil menatap suaminya. Betul ke apa yang aku dengar ni? Macam tak percaya aje dia masakkan untuk aku. Ini mimpi ke realiti? Soal otaknya.
“ Kenapa kau pandang aku macam tu? Kau tak percaya aku boleh memasak? ” Rafiq bertanya dengan lagak tak puas hati. Matanya menikam mata bundar Sakinah.
“ Er, percaya..tapi tak sangka abang pun pandai dalam bab dapur.” Sakinah tertunduk merenung tangannya yang bertaut rapat. Ngilu hatinya menatap raut suaminya kala itu.
Rafiq tersenyum. Seronok apabila dipuji begitu.“ Kau nak makan tak? Kalau nak, aku boleh bawakan ke atas. Kau tak larat nak turun tangga, kan? ”
Sekali lagi Sakinah tidak percaya dengan apa yang didengarnya. Benar-benar di luar jangkauannya. Dia nak bawakan ke atas? Untuk aku? Eh, macam tak percaya aje! Baiknya dia. Ini aku baru sakit senggugut, agaknya kalau aku sakit lagi teruk silap hari bulan diangkutnya dapur masuk bilik! Bicara hatinya yang menakal.
“ Laa, apasal kau melamun ni? Kau nak makan ke tak nak? ” Rafiq memandang Sakinah yang diam tanpa balasan. Shafiq yang berada di dalam kendongannya tidak diambil perhatian lagi.
Gadis itu mengangguk. “ Tapi Kinah turun makan kat bawah aje.”
“ Betul, kau larat turun ke bawah? Tak mahu aku bawakkan ke atas? ” Untuk kepastian Rafiq menyoal lagi.
Sakinah mengangguk laju. Rafiq hanya menjungkitkan bahu. Dia terus berjalan ke pintu bilik sambil membawa Shafiq. “ Hrmm, elok-elok turun tangga tu, jangan jatuh tergolek sudahlah. Kang, payah pulak aku nak mengangkatnya. Kau tu bukannya ringan sangat, beratpun boleh tahan.” Rafiq menyambung bicaranya. Dia tersengih-sengih selepas itu. Sengaja mengenakan Sakinah.
Sakinah mengetap bibir. Darah merah pantas menyerbu ke serata wajahnya. Malu yang teramat sangat. Ayat Rafiq itu menjerat dirinya. Sungguh Sakinah terasa mahu selubungkan tubuhnya disebalik selimut. Selera yang ada tiba-tiba hilang gara-gara ayat yang muncul dari bibir Rafiq.
Hisy, sengaja nak malukan aku! Kalau dah tahu berat diam ajelah. Nak heboh-heboh buat apa? Aku ni memanglah berat tapi badan tetap ada shape universal ! Gerutu hatinya.  Nak tak nak, Sakinah terpaksa turun juga ke bawah. Risau pula Rafiq naik semula ke bilik melihatnya masih tidak berganjak. Bukan boleh diduga sangat emosi Rafiq. Silap timing boleh menyinga bapak Si Shafiq tu!

Bab 19



Tangisan Shafiq memaksa Sakinah keluar dari kamar mandi. Dengan berkemban kain batik Sakinah melangkah keluar. Mukanya berkerut menahan sakit yang menular. Tangan Sakinah merayap ke perutnya. Matanya terpejam menahan kepedihan yang menyengat. Dia berjalan menghampiri Shafiq yang berdiri di dalam baby cot.
Sakinah mengeluh perlahan. Susu dalam botol Shafiq telah kehabisan. Memang patutlah Shafiq menangis. Botol yang disuakan tadi telah kosong isinya kini. Sakinah tidak menjangka Shafiq mampu menghabiskan sebotol susu tanpa tertidur. Selalunya anak kecil itu akan tertidur jika setengah botol susu berjaya diminumnya. Tetapi berbeza pula kali ini. Selera Shafiq nampak  besar. 
“ Syuhh..jangan nangis.” Ditepuk perlahan punggung Shafiq untuk memujuk anak itu supaya lekas tidur. Namun, Shafiq berdegil. Tangisannya makin kuat. Sakinah kaget. Pujukannya tidak menjadi. Sakit di atas ari-arinya makin menyeksakan. Sakinah terpaksa mengimbangi tubuhnya yang berdiri dengan rasa sakit yang ditanggung. Ikutkan hati Sakinah mahu saja dia duduk di lantai sambil memeluk lutut. Biar perutnya terasa kurang sedikit kesakitan.
“ Shafiq tunggu sekejap. Mama pergi buatkan susu, ” Sakinah masih memujuk. Tapi tangisan Shafiq tetap tidak berkesudahan. Masih kuat dan marah padanya.
Dalam keterpaksaan, Sakinah bergerak perlahan-lahan turun ke tingkat bawah. Rengekkan Shafiq menggamit Sakinah menambahkan kudrat menuruni anak tangga. Dipegang erat pemegang tangga untuk menstabilkan tubuhnya. Sakinah cuba melupakan kesakitan yang dialami.
Mujur air panas di dalam termos masih ada. Sakinah membancuh susu Shafiq dengan secepat yang mungkin. Terbongkok-bongkok tubuhnya apabila terasa sakit yang ditahan makin mencengkam. Sakinah sempat duduk di atas lantai sekejap. Menahan rasa ngilu yang merobek perutnya. Tangisan Shafiq masih tetap kedengaran di telinganya.
Usai susu dibancuh, Sakinah cuba berjalan dengan kudrat yang masih ada. Akhirnya dia terduduk di atas anak tangga pertama. Tangisan kuat dari kamarnya masih bergema. Sakinah mengetap gigi menahan kepedihan. Digagahkan semula dirinya untuk bangun. Tapi tidak berjaya. Kepedihan yang ditanggung bukan kepalang peritnya. Isi perutnya bagai dicarik-carik.
Air mata Sakinah meleleh lesu. Sakinah tiada lagi kekuatan untuk bangun. Hanya tangannya yang masih bertaut di tangga. Berusaha untuk bangun. Sudahnya Sakinah tidak mampu lagi bergerak. Dia menangis perlahan di anak tangga.
Sakinah hanya mampu mendengar rengekkan Shafiq tanpa tindakan. Dia memeluk lutut rapat ke dada. Botol susu yang masih hangat diletakkan ke perutnya. Barangkali kehangatan botol susu tersebut mampu melegakan kesakitan di bahagian perutnya. Sakinah menekan mukanya ke lutut. Cuba menahan sedaya upaya rasa sakit yang semakin menusuk.
“ Kenapa Shafiq menangis? ” Terjah suara Rafiq padanya.
Sakinah terkejut.  Diangkat mukanya. Memandang wajah Rafiq yang menyinga. Tidak sedar langsung akan kepulangan suaminya.
Rafiq tersentak. Air mata membasahi wajah isterinya. “ Kau kenapa? ”
Sakinah tidak menjawab. Dihulurkan botol susu kepada Rafiq. “ Shafiq, nak susu.” Ujarnya dengan ketapan kuat di giginya. Dibenamkan mukanya ke lutut semula.
Rafiq terus naik ke atas bilik. Ditinggalkan Sakinah sendirian. Dari riak gadis itu Rafiq tahu Sakinah sedang menahan kesakitan. Namun, perkara pertama yang harus dia lakukan ialah menghentikan tangisan kelaparan anaknya dulu. Barulah dijenguk Sakinah pula.
Rengekkan Shafiq hilang tiba-tiba. Lima minit selepas itu Rafiq turun semula. Dilihat Sakinah masih dalam posisi yang sama. Tubuh itu masih meringkuk. Rafiq gegas menghampiri.
“ Kau kenapa? ”
Sakinah hanya menggeleng. Dia tidak mengangkat wajahnya kali ini. Sakinah malu Rafiq memandang keadaannya yang tidak terurus. Dalam pakaian yang tidak sempurna dengan rambut lembap yang masih belum disikat. Lagipun biarlah dia di situ saja. Kelak bila sakitnya hilang, Sakinah yakin dia mampu berjalan semula.
Rafiq terus mencempung tubuh isterinya. Sakinah terkedu. Rafiq mengendong Sakinah ke tingkat atas. Dia tahu Sakinah tidak mampu berdiri apatah lagi untuk berjalan. Sebab itu isterinya hanya duduk berdiam diri di tangga tanpa menghiraukannya. Mungkin sedang menahan rasa sakit yang makin menular.
Dibaringkan tubuh kecil molek itu di atas peraduan. Selimut ditarik menutupi tubuh isterinya. Rafiq duduk di birai katil. Sakinah spontan mengalihkan posisinya. Dia baring di atas rusuk kiri. Lututnya di bawa rapat ke dada. Tangan kanannya mencengkam perut sambil memejamkan mata. Menahan rasa sakit yang berkumpul. Dikerah segala kekuatannya untuk bertahan kala itu.
Rafiq jatuh kesian melihat keadaan gadis itu. Peluh yang merintik di dahi Sakinah disekanya. Seluruh rambut isterinya disauk ke tepi bantal agar isterinya selesa. Dalam mengharungi rasa sakit, hati Sakinah tercuit. Keprihatinan Rafiq pada situasi yang dialaminya itu mengharukan hatinya.
Biarpun lelaki itu tidak sudi menerimanya sebagai isteri namun Rafiq tetap menjalankan tanggungjawab merawat dan menjaga dirinya. Sakinah mengucapkan syukur. Syukur kerana Allah telah memberikannya seorang suami yang tidak lupa akan tanggungjawabnya biarpun pada isteri yang tidak diiktiraf.
Sejurus itu, suaminya keluar dari bilik. Barangkali ke kamar sebelah untuk membersihkan diri yang baru pulang dari kerja. Tetapi sangkaan Sakinah ternyata meleset. Pintu bilik dibuka semula. Agaknya mungkin Rafiq ketinggalan sesuatu. Sakinah masih memejamkan matanya. Dia ingin tenang dalam kesakitannya.   
Tilam di birai katil terasa diduduki seseorang. Sakinah tetap tidak menghiraukan apa-apa yang berlaku di sekeliling. Tidak lama itu, Sakinah terasa dahinya didemah dengan tuala lembap. Matanya yang terpejam terbuka luas. Terkejut. Sakinah menolak lembut tangan suaminya. Rafiq menangkap tangan isterinya. Sakinah membalikkan tubuhnya kepada Rafiq.
“ Kinah tak demam.” Katanya.
Rafiq mengangguk. “Aku tahu. Saja aku nak bagi kau lega dengan sentuhan air. Lagipun aku tengok muka kau berpeluh-peluh tahan sakit.” Dia mengelap bahagian ubun-ubun isterinya sebelum meletakkan semula tuala basah  ke dalam mangkuk berisi air. Dilihatnya Sakinah berpaling muka ke arah lain. Mungkin tidak selesa dengan kehadirannya.
“ Minum ni,” dihulurkan segelas air suam pada Sakinah.
Sakinah bangun sedikit. Selimut yang merentangi dada dipegang erat. Malu pula jika keadaannya yang hanya berkemban kain batik ditatap oleh suaminya.  Meskipun bahagian atas tubuhnya  dari bahu hingga ke pangkal dada memang tidak mampu disoroknya lagi. Jelas terpamer kecerahan dan kemulusan kulit Sakinah.
Dibalikkan semula tubuhnya ke arah berlawanan. Malu menatap lebih lama Rafiq yang berada disampingnya. Pertama kali dalam hidup, sakitnya dirawat oleh seorang lelaki. Ayah dan abangnya juga tidak pernah merawat dirinya sebegitu. Hanya ibu dan adik-adiknya yang selalu menjaga dan merawatnya ketika sakit.
“ Kau tak sejuk ke? Kalau sejuk aku boleh tolong carikan baju untuk kau pakai.” Rafiq bertanya sekadar menutup rasa getar di dada. Melihat Sakinah dalam keadaan tidak sempurna berpakaian itu sedikit sebanyak mampu mengusik nalurinya. Jadi untuk mengelakkan sebarang perkara yang tidak terduga berlaku eloklah dia mencari jalan supaya Sakinah lengkap berpakaian. Supaya situasi kedua-duanya aman dan sejahtera.
Anggukan isterinya melegakan Rafiq. Dia segera ke almari pakaian. Sehelai baju t-shirt bewarna biru laut diambilnya. Kemudian diletakkan baju tersebut di atas katil.
“ Kau pakailah. Nanti badan tu masuk angin. Er, aku keluar dulu.” Rafiq terus melangkah keluar bilik bersama dulang yang berisi semangkuk air serta segelas air suam.
Sakinah hanya memandang lewat ekor matanya kelibat suaminya yang bepergian.

Bab 18

Rafiq menghampiri Sakinah yang ketiduran di sofa. Barangkali mungkin gadis itu menunggu kepulangannya. Rafiq meletakkan briefcase dan beg pakaiannya di kaki sofa. Raut Sakinah dikerling sesaat dua sebelum dikuis perlahan lengan isterinya yang melintang di dahi.
Terpisat-pisat Sakinah membuka kelopak mata. Tergamam dirinya ketika wajah Rafiq menyapa mata. Tambah menghairankan dahi suaminya terpalit sedikit darah. Ada luka kecil di situ. Kesan darah itu turut ada di kolar kemeja suaminya dan di lengan baju.
“ Abang dah balik? ” sela Sakinah untuk menghilangkan rasa gementar. Rafiq diam sambil memandang Sakinah yang sedang membetulkan posisi tubuh. Dari kedudukan baring terus duduk berlunjur kaki ke bawah.
“ Shafiq mana? ”
“ Ada kat atas. Dah tidur lepas Kinah bagi makan ubat.”
Rafiq mengangguk tenang sebelum berpaling. Briefcase dan beg pakaiannya dicapai semula. “ Lain kali kalau aku balik lambat kau tak payah tunggu. Aku bukannya tak ada kunci nak masuk rumah.”
“ Abang nak makan? ” Sakinah bertanya ketika suaminya sudah menjejaki anak tangga yang kedua.
 Rafiq menoleh lalu menggeleng. Dia bergegas memanjat anak tangga untuk bertemu dengan anak terunanya. Walaupun Sakinah ada membuat panggilan memberitahu tentang kesihatan Shafiq yang semakin pulih, Rafiq tetap mahu menemui dan mendakap anak yang sering terabai olehnya itu.
Rafiq sedar kerja-kerja yang melanda di pejabat menjadikan dia alpa dengan tanggungjawabnya. Mujurlah Sakinah ada. Dalam tidak menyenangi gadis itu, Rafiq terasa mulai senang dengan kehadiran Sakinah. Cuma, untuk mendekati dan menyayangi isterinya yang sah itu, dia belum mampu dan sudi.
Sakinah terjengul di muka pintu. Lapang hatinya melihat Rafiq menjenguk Shafiq. Dia gembira melihat belaian kasih sayang yang ditunjukkan Rafiq pada Shafiq. Bagi Sakinah, Rafiq nampak sempurna sebagai seorang bapa walaupun jejaka itu sering sibuk dengan urusan pejabat. Rafiq sentiasa tahu di mana dan bila masa untuk menyentuh anak itu di saat kehadirannya diperlukan.
Sakinah hanya memandang aksi Rafiq melepaskan rindu pada anaknya di depan pintu. Walaupun itulah kamar yang selalu dihuninya saban malam namun, Sakinah berasa kekok untuk menerjah masuk. Terasa asing apabila berdua di dalam sebuah bilik bersama suaminya. Kewujudan Rafiq membataskan tingkahnya. Maka Sakinah mengambil keputusan untuk berdiri saja di muka pintu.
“ Terima kasih,” ucap Rafiq perlahan tanpa memandang Sakinah. Malu. Pertama kali dirasakan itulah ucapan yang paling baik yang pernah diungkapkan buat Sakinah sejak mereka disatukan. Ikhlas dari hatinya. 
Sakinah memandang suaminya dalam debaran yang aneh di dada. Pertama kali dia dihadiahkan dengan ucapan itu. Suatu perkataan yang menunjukkan penghargaan ke atas dirinya. Sakinah suka mendengarnya. Terutama bila ianya terbit dari bibir suaminya tanpa paksaan.
“ Untuk apa? ” tanyanya perlahan.
“ Shafiq.” Balas Rafiq ringkas.
Sakinah sekadar mengangguk perlahan. Inikan sebahagian daripada tanggungjawab Kinah di dalam surat perjanjian yang abang cipta. Lirih hatinya berkata.
Rafiq mencium dahi anaknya buat kali terakhir sebelum beredar keluar dari bilik itu.
“ Kenapa dengan dahi abang? ” Tanya Sakinah lembut ketika tubuh mereka berselisih di muka pintu.
Rafiq menggeleng. “ Tak ada apa-apa.” Kemudian Rafiq terus menghayun langkah kakinya ke bilik utama. Mata bundar Sakinah mengekor gerak suaminya dari belakang. Selepas Rafiq menghilang ke dalam bilik sebelah, Sakinah lantas menutup pintu.

RAFIQ membelek luka pada dahinya di depan cermin hias. Gara-gara desakan perasaannya yang mahu segera pulang menjenguk keadaan Shafiq, Rafiq hilang tumpuan ketika memandu. Bermacam-macam perkara yang difikirkan tentang anak terunanya itu meskipun Sakinah telah pun memberitahu keadaan Shafiq semakin stabil melalui panggilan telefon.
Entah bagaimana Rafiq tidak sedar lampu brek yang dinyalakan oleh pemandu di hadapannya. Menyebabkan dia terlanggar bontot kereta pemandu tersebut. Menjadi tragis apabila dahinya siap terhantuk ke stereng kereta sehingga berdarah. Kemudian terpaksa pula Rafiq menghadap tuan kenderaan yang dilanggarnya. Akhirnya Rafiq membayar duit ganti rugi atas kesilapannya itu.
Rafiq berjalan ke katil. Penatnya belum hilang. Dibaringkan tubuhnya di atas ranjang. Denyutan pada dahinya tidak diendahkan. Rafiq cuma mahu merehatkan tubuhnya yang dicengkam rasa penat.
Beberapa bunyi ketukan bergema di muka pintu bilik. Dahi Rafiq terkerut. Memikirkan siapa dibalik pintu itu. Bila teringatkan keadaan Shafiq yang belum sembuh sepenuhnya, Rafiq segera bangun. Kelibat Sakinah terpacul. Dalam tangannya tergenggam sesuatu.
“ Kenapa? ” soal Rafiq hairan.
“ Maaf, Kinah menganggu. Kinah cuma nak bagi ubat ni pada abang. ” Sakinah menghulurkan sebotol minyak gamat pada suaminya.
Berkerut dahinya. Rafiq musykil. “ Nak buat apa dengan ubat ni? ”
Telunjuk Sakinah menunjuk ke dahi Rafiq yang terluka. “ Sapu pada dahi abang yang luka tu.”
Rafiq mengangguk faham.
“ Tapi abang kena mandi dulu. Cuci luka tu sampai bersih kemudian baru sapu ubat. Kalau tak kuman berkumpul nanti lambat pulak sembuh.” Sakinah berpesan.
Rafiq mengangguk lagi. “ Hrmm..terima kasih,” malas dia berbahasa basi dengan bininya lagi. Otaknya dah cukup sengal tika ini.
“ Sama-sama,” Sakinah berlalu setelah membalas ucapan terima kasih suaminya.
Ditutup kembali pintu. Rafiq meletakkan minyak pemberian Sakinah di atas meja kecil sisi katil. Dia bergerak ke penyidai kayu di sudut bilik. Tualanya diambil sebelum berlalu masuk ke dalam bilik air.
Selepas membersihkan diri Rafiq menunaikan solat Isyak setelah berpakaian. Sepuluh minit selepas itu dia kembali berbaring di atas katil. Jam kecil di sebelah katil dipandang. Pukul sembilan setengah malam. Rafiq memejamkan matanya untuk lelap. Tangan sasanya diletakkan merentangi dahi. Kelopak matanya terbuka kembali. Tangannya tersentuh luka yang terpahat di dahi. Minyak gamat di sisi katil dicapainya.
Rafiq membelek minyak gamat tersebut. Terbayang sekilas wajah isterinya. Kebaikkan Sakinah mula Rafiq sedari. Gadis itu nampak bertanggungjawab. Rafiq tiba-tiba berasa lega dengan kehadiran Sakinah di sisinya.
Tanpa perlu menyusahkan umi, Sakinah sendiri mampu menjaga putera kesayangannya itu. Keprihatinan isterinya pada Shafiq sangat Rafiq hargai. Biarpun telah terikat dengan perjanjian yang tidak membawa apa-apa keuntungan, Sakinah tetap menjalankan tanggungjawabnya dengan sebaiknya.
Namun, bagi Rafiq mungkin gadis mentah itu gentar dengan isi surat perjanjian yang termeterai. Sakinah mungkin takut Rafiq akan mengenakan sebarang dakwaan terhadap dirinya jika ada sesuatu perkara yang menimpa Shafiq. Oleh itu, Rafiq masih berfikir bahawa semua tugas Sakinah terhadap keperluan Shafiq dilakukan semata-mata memenuhi isi surat perjanjian bukannya datang dari hati yang ikhlas. Ya, Rafiq semakin pasti dengan prasangka hatinya itu.
Malas berfikir lagi tentang Sakinah. Rafiq meletakkan kembali minyak pemberian Sakinah atas meja setelah menyapu sedikit pada lukanya. Dia bangun dari katil semula. Dimatikan suis lampu bilik sebelum menuju kembali ke katil. Rafiq kemudian terus menyelitkan tubuhnya dibalik selimut. Sekejap saja dia terlelap dalam kesuraman malam.

PAGI yang sepi dan senyap tanpa bicara. Yang kedengaran hanyalah dentingan bunyi sudu dan garpu yang berlaga dalam satu pinggan. Rafiq menjamah sarapan dengan tenang. Sakinah bersandar setia di kabinet dapur menunggu suaminya selesai makan kerana begitulah tabiatnya hari-hari.
            “ Sakinah,” Rafiq memanggil setelah dia selesai menghirup air teh susu yang dibuat pagi itu. Sakinah menghampiri. Berdiri di tepi meja makan. Rafiq menatap tepat ke wajah isterinya. Menjadikan perasaan Sakinah tidak ketentuan direnung begitu.
            “ Mulai hari ni, aku akan tugaskan Pak Samad dirumah ni. Dia yang akan bertanggung jawab menghantar kau ke mana saja.” Tutur Rafiq memaklumkan.
            Terkebil-kebil Sakinah mentafsirkan ayat suaminya. “ Pak Samad? Siapa dia, bang? Kinah tak kenal pun.”
            “ Memanglah kau tak kenal sebab Pak Samad tu cuma driver aku di pejabat. Selalunya dia yang akan bawa aku ke mana saja dalam waktu pejabat. Luar dari waktu pejabat, dia tak bekerja untuk aku. Tapi mulai sekarang aku akan tugaskan Pak Samad di rumah ini sekali selain di pejabat. Senang kalau kau nak ke mana-mana, ada orang tolong hantar dan jemput kau setiap masa. Tapi ingat, kau jangan nak merambu pulak sana-sini tak tentu arah. Dan setiap kali sebelum kau keluar kau mesti mintak izin dulu daripada aku. ” Rafiq memberi amaran dalam bentuk pesanan.
Sakinah mengangguk faham. “ Baik, abang.”
            “ Kalau kau nak ke pasar atau nak berjalan ke rumah umi, kau call aje pejabat dan minta Pak Samad datang jemput kau. Jangan sesekali kau cuba ambil teksi atau bas sebab aku takut perkara yang bukan-bukan berlaku nanti. Senang lepas ni, kalau Shafiq sakit lagi tak payah susah-susah aku nak mencari orang bawakan kau ke klinik bila aku tak ada di rumah atau di KL.” Rafiq menambah kata.
             Sakinah mengangguk lagi. Sempat matanya singgah pada kesan luka yang terpalit di dahi suaminya. Nampak agak surut kesannya berbanding semalam. 
            “ Yang paling penting aku tak suka kau merayap ke mana-mana tanpa tujuan. Jangan nak ambil kesempatan pada kemudahan yang aku berikan. Lagipun aku buat semua ini bukannya untuk kau tetapi untuk kepentingan anak aku. Aku tak mahu ada  perkara buruk yang menimpa dia sewaktu aku tak ada dalam KL. Kau faham tak? ” Sengaja Rafiq memperingatkan Sakinah agar gadis itu tidak lupa diri.
            “ Kinah faham.”
            “ Baguslah kalau kau faham. Jangan memanjang asyik minta maaf. Kali ni aku tak mahu kau buat salah lagi.” Rafiq bangun dari meja makan. Dicapai briefcase dan kot sebelum menghayun kaki ke ruang hadapan. Sakinah membuntuti suaminya.
            “ Jaga anak aku elok-elok dan jangan cuai sikitpun pada Shafiq.” Peringat suaminya sebelum berpaling pergi. Sakinah mengangguk. 
            “ Er..abang,” panggilnya semula.
Rafiq menoleh. Ditatap muka isterinya yang kelihatan kalut. “ Ada apa? ”
“ Er, tak ada apa-apa. Cuma Kinah nak tanya..er.. luka kat dahi abang dah baik? ” Sakinah bertanya gugup.
“ Tak payah risau tentang aku. Yang perlu kau risaukan tentang kesihatan Shafiq. Jangan biarkan dia jatuh sakit lagi. Aku tak mahu dengar.” Pesan Rafiq. Kemudian dia terus beredar. Meninggalkan Sakinah yang berdiri teguh di tepi pintu.