Followers

/ Tagboard \

We are really hope that you will get something with this blog. Please respect to each other and keep enjoying with us ^.^
.Images are credit to Google.

Bab 19



Tangisan Shafiq memaksa Sakinah keluar dari kamar mandi. Dengan berkemban kain batik Sakinah melangkah keluar. Mukanya berkerut menahan sakit yang menular. Tangan Sakinah merayap ke perutnya. Matanya terpejam menahan kepedihan yang menyengat. Dia berjalan menghampiri Shafiq yang berdiri di dalam baby cot.
Sakinah mengeluh perlahan. Susu dalam botol Shafiq telah kehabisan. Memang patutlah Shafiq menangis. Botol yang disuakan tadi telah kosong isinya kini. Sakinah tidak menjangka Shafiq mampu menghabiskan sebotol susu tanpa tertidur. Selalunya anak kecil itu akan tertidur jika setengah botol susu berjaya diminumnya. Tetapi berbeza pula kali ini. Selera Shafiq nampak  besar. 
“ Syuhh..jangan nangis.” Ditepuk perlahan punggung Shafiq untuk memujuk anak itu supaya lekas tidur. Namun, Shafiq berdegil. Tangisannya makin kuat. Sakinah kaget. Pujukannya tidak menjadi. Sakit di atas ari-arinya makin menyeksakan. Sakinah terpaksa mengimbangi tubuhnya yang berdiri dengan rasa sakit yang ditanggung. Ikutkan hati Sakinah mahu saja dia duduk di lantai sambil memeluk lutut. Biar perutnya terasa kurang sedikit kesakitan.
“ Shafiq tunggu sekejap. Mama pergi buatkan susu, ” Sakinah masih memujuk. Tapi tangisan Shafiq tetap tidak berkesudahan. Masih kuat dan marah padanya.
Dalam keterpaksaan, Sakinah bergerak perlahan-lahan turun ke tingkat bawah. Rengekkan Shafiq menggamit Sakinah menambahkan kudrat menuruni anak tangga. Dipegang erat pemegang tangga untuk menstabilkan tubuhnya. Sakinah cuba melupakan kesakitan yang dialami.
Mujur air panas di dalam termos masih ada. Sakinah membancuh susu Shafiq dengan secepat yang mungkin. Terbongkok-bongkok tubuhnya apabila terasa sakit yang ditahan makin mencengkam. Sakinah sempat duduk di atas lantai sekejap. Menahan rasa ngilu yang merobek perutnya. Tangisan Shafiq masih tetap kedengaran di telinganya.
Usai susu dibancuh, Sakinah cuba berjalan dengan kudrat yang masih ada. Akhirnya dia terduduk di atas anak tangga pertama. Tangisan kuat dari kamarnya masih bergema. Sakinah mengetap gigi menahan kepedihan. Digagahkan semula dirinya untuk bangun. Tapi tidak berjaya. Kepedihan yang ditanggung bukan kepalang peritnya. Isi perutnya bagai dicarik-carik.
Air mata Sakinah meleleh lesu. Sakinah tiada lagi kekuatan untuk bangun. Hanya tangannya yang masih bertaut di tangga. Berusaha untuk bangun. Sudahnya Sakinah tidak mampu lagi bergerak. Dia menangis perlahan di anak tangga.
Sakinah hanya mampu mendengar rengekkan Shafiq tanpa tindakan. Dia memeluk lutut rapat ke dada. Botol susu yang masih hangat diletakkan ke perutnya. Barangkali kehangatan botol susu tersebut mampu melegakan kesakitan di bahagian perutnya. Sakinah menekan mukanya ke lutut. Cuba menahan sedaya upaya rasa sakit yang semakin menusuk.
“ Kenapa Shafiq menangis? ” Terjah suara Rafiq padanya.
Sakinah terkejut.  Diangkat mukanya. Memandang wajah Rafiq yang menyinga. Tidak sedar langsung akan kepulangan suaminya.
Rafiq tersentak. Air mata membasahi wajah isterinya. “ Kau kenapa? ”
Sakinah tidak menjawab. Dihulurkan botol susu kepada Rafiq. “ Shafiq, nak susu.” Ujarnya dengan ketapan kuat di giginya. Dibenamkan mukanya ke lutut semula.
Rafiq terus naik ke atas bilik. Ditinggalkan Sakinah sendirian. Dari riak gadis itu Rafiq tahu Sakinah sedang menahan kesakitan. Namun, perkara pertama yang harus dia lakukan ialah menghentikan tangisan kelaparan anaknya dulu. Barulah dijenguk Sakinah pula.
Rengekkan Shafiq hilang tiba-tiba. Lima minit selepas itu Rafiq turun semula. Dilihat Sakinah masih dalam posisi yang sama. Tubuh itu masih meringkuk. Rafiq gegas menghampiri.
“ Kau kenapa? ”
Sakinah hanya menggeleng. Dia tidak mengangkat wajahnya kali ini. Sakinah malu Rafiq memandang keadaannya yang tidak terurus. Dalam pakaian yang tidak sempurna dengan rambut lembap yang masih belum disikat. Lagipun biarlah dia di situ saja. Kelak bila sakitnya hilang, Sakinah yakin dia mampu berjalan semula.
Rafiq terus mencempung tubuh isterinya. Sakinah terkedu. Rafiq mengendong Sakinah ke tingkat atas. Dia tahu Sakinah tidak mampu berdiri apatah lagi untuk berjalan. Sebab itu isterinya hanya duduk berdiam diri di tangga tanpa menghiraukannya. Mungkin sedang menahan rasa sakit yang makin menular.
Dibaringkan tubuh kecil molek itu di atas peraduan. Selimut ditarik menutupi tubuh isterinya. Rafiq duduk di birai katil. Sakinah spontan mengalihkan posisinya. Dia baring di atas rusuk kiri. Lututnya di bawa rapat ke dada. Tangan kanannya mencengkam perut sambil memejamkan mata. Menahan rasa sakit yang berkumpul. Dikerah segala kekuatannya untuk bertahan kala itu.
Rafiq jatuh kesian melihat keadaan gadis itu. Peluh yang merintik di dahi Sakinah disekanya. Seluruh rambut isterinya disauk ke tepi bantal agar isterinya selesa. Dalam mengharungi rasa sakit, hati Sakinah tercuit. Keprihatinan Rafiq pada situasi yang dialaminya itu mengharukan hatinya.
Biarpun lelaki itu tidak sudi menerimanya sebagai isteri namun Rafiq tetap menjalankan tanggungjawab merawat dan menjaga dirinya. Sakinah mengucapkan syukur. Syukur kerana Allah telah memberikannya seorang suami yang tidak lupa akan tanggungjawabnya biarpun pada isteri yang tidak diiktiraf.
Sejurus itu, suaminya keluar dari bilik. Barangkali ke kamar sebelah untuk membersihkan diri yang baru pulang dari kerja. Tetapi sangkaan Sakinah ternyata meleset. Pintu bilik dibuka semula. Agaknya mungkin Rafiq ketinggalan sesuatu. Sakinah masih memejamkan matanya. Dia ingin tenang dalam kesakitannya.   
Tilam di birai katil terasa diduduki seseorang. Sakinah tetap tidak menghiraukan apa-apa yang berlaku di sekeliling. Tidak lama itu, Sakinah terasa dahinya didemah dengan tuala lembap. Matanya yang terpejam terbuka luas. Terkejut. Sakinah menolak lembut tangan suaminya. Rafiq menangkap tangan isterinya. Sakinah membalikkan tubuhnya kepada Rafiq.
“ Kinah tak demam.” Katanya.
Rafiq mengangguk. “Aku tahu. Saja aku nak bagi kau lega dengan sentuhan air. Lagipun aku tengok muka kau berpeluh-peluh tahan sakit.” Dia mengelap bahagian ubun-ubun isterinya sebelum meletakkan semula tuala basah  ke dalam mangkuk berisi air. Dilihatnya Sakinah berpaling muka ke arah lain. Mungkin tidak selesa dengan kehadirannya.
“ Minum ni,” dihulurkan segelas air suam pada Sakinah.
Sakinah bangun sedikit. Selimut yang merentangi dada dipegang erat. Malu pula jika keadaannya yang hanya berkemban kain batik ditatap oleh suaminya.  Meskipun bahagian atas tubuhnya  dari bahu hingga ke pangkal dada memang tidak mampu disoroknya lagi. Jelas terpamer kecerahan dan kemulusan kulit Sakinah.
Dibalikkan semula tubuhnya ke arah berlawanan. Malu menatap lebih lama Rafiq yang berada disampingnya. Pertama kali dalam hidup, sakitnya dirawat oleh seorang lelaki. Ayah dan abangnya juga tidak pernah merawat dirinya sebegitu. Hanya ibu dan adik-adiknya yang selalu menjaga dan merawatnya ketika sakit.
“ Kau tak sejuk ke? Kalau sejuk aku boleh tolong carikan baju untuk kau pakai.” Rafiq bertanya sekadar menutup rasa getar di dada. Melihat Sakinah dalam keadaan tidak sempurna berpakaian itu sedikit sebanyak mampu mengusik nalurinya. Jadi untuk mengelakkan sebarang perkara yang tidak terduga berlaku eloklah dia mencari jalan supaya Sakinah lengkap berpakaian. Supaya situasi kedua-duanya aman dan sejahtera.
Anggukan isterinya melegakan Rafiq. Dia segera ke almari pakaian. Sehelai baju t-shirt bewarna biru laut diambilnya. Kemudian diletakkan baju tersebut di atas katil.
“ Kau pakailah. Nanti badan tu masuk angin. Er, aku keluar dulu.” Rafiq terus melangkah keluar bilik bersama dulang yang berisi semangkuk air serta segelas air suam.
Sakinah hanya memandang lewat ekor matanya kelibat suaminya yang bepergian.

1 comment:

hai ! terima kasih ^.^