Followers

/ Tagboard \

We are really hope that you will get something with this blog. Please respect to each other and keep enjoying with us ^.^
.Images are credit to Google.

Alahai, suamiku amnesia! 13








Majlis akad nikah berlangsung malam itu. Pukul 8.30 malam semua tetamu bertandang dengan wajah yang berseri-seri. Seisi rumah terang benderang. Cahaya lampu menyimbahi dan menyinari dari bawah khemah kenduri di halaman rumah sehingga ke khemah yang terletak di belakang rumah, khemah yang dikhaskan untuk memasak dan menggulai. 

Suasana begitu riuh sekampung. Masing-masing tidak sabar menonton majlis yang bagi mereka cukup bererti. Pasangan pengantin yang saling tidak menyenangi antara satu sama lain, akhirnya bertemu jodoh. Sungguh berada di luar jangkauan akal, Abrar dan Hanan yang suka berkelahi sesama sendiri boleh mengikat hubungan hingga ke pentas perkahwinan.
“ Dah sedia Abrar? ” soal Tok kadi pada Abrar yang duduk di atas ambal. Sebentar lagi dia bakal menggenggam erat tangan tok kadi dan seterusnya bakal menjadi suami kepada Hanan. Hanan? Biar betul aku nak kahwin dengan dia?
“ Tak lama lagi Hanan bakal berada di bawah taklukan kau, bersiap sedialah Abrar..jangan sampai silap perhitungan kau pulak yang berada di bawah taklukan dia, kena queen controllah gamaknya..” Fahmi berbisik ke telinga jejaka itu. Sengaja menghangatkan situasi dalam diri Abrar. Lebih kepada bercanda sambil menghilangkan kegementaran Abrar. Mungkin juga menambahkan tingkat darjah nervous Abrar di depan tok kadi!
Abrar pantas menuntaskan pandangan pada Fahmi. Tajam renungannya. Kurang puas hati dengan gurauan Fahmi yang sengaja menggoyahkan pendiriannya.
“ Relakslah bro..aku gurau aje.” Sela Fahmi dengan bibir yang masih tersungging senyuman. Dia menepuk-nepuk bahu dan belakang badan bakal adik iparnya. “ Lepas ni, kau kenalah panggil aku along, tak pun Abang Fahmi..” meleret suara Fahmi berlawak lagi.
Abrar semakin mengetipkan bibir. Langsung tidak terkutik untuk ketawa mahupun sekadar senyum. Dia bengang dalam diam.
“ Abrar, tok kadi tanya kamu tu, kenapa tak jawab? ” Tanya Encik Asri. Abrar lantas memandang pula pada abahnya.
“ Tanya apa? ” Abrar menyoal kembali. Dia kelihatan bingung. Berkedut dahi Encik Asri.
“ Fikiran kamu ke mana? Fokuslah pada tok kadi dekat depan kamu tu. Tok tanya Abrar dah sedia ke belum? ” Encik Asri memberi teguran secara langsung.
“ Dia kecut perutlah tu, Asri. Macam tak biasa pulak kau. Budak baru nak belajar mahu separuh badan gementar, lagi-lagi kahwin dengan gadis yang selalu dia kejar dari kecik. Sakanlah berkepit lepas ni, cepatlah Malik dengan Asri bercucu.” tukas Encik Daud berkelakar. Tersenyum dalam tawa para hadirin yang turut mendengar di ruang tamu.
Abrar semakin keliru. Berkerut dahinya berfikir. Aku kejar Hanan?
“ Kalau dah sedia, sila tandatangan dekat kertas ni.” Arah Tok kadi tanpa mahu melewatkan masa. Abrar terkebil-kebil apabila beberapa helai kertas diunjukkan padanya. Abrar membaca sekali imbas. Borang nikah?? Terbelalak biji mata Abrar. Aku dengan Hanan? Siap bertandatangan setuju daripada pihak perempuan. 
“ Abrar..” Encik Asri menegur lagi. Menyedarkan Abrar yang bagaikan di alam khayalan.
“ Abah, Abrar tak bersedia lagi! ” katanya dengan terang tanpa berselindung. Pantas membulatkan keputusan.
Tersentak. Semuanya terngadah. Tercengang dengan gaya tersendiri. Ada yang mulutnya terlopong besar dengan mata yang terbeliak bulat. Terkejut. Tidak kurang juga hadirin yang menekup mulut kerana tidak percaya dengan keputusan nekad Abrar. Terlalu drastik tanpa terduga. Sangat jelas dalam menolak apa yang terjadi di depan mata. Juru nikah juga terpanar. Terkulat-kulat di depan Abrar.
“ Jangan main-main Abrar,” gumam Encik Asri.
“ Kamu kenapa Abrar? ” Encik Malik mencelah. Sinar matanya sangat garang.
Abrar bungkam kerana serba salah. Degup jantungnya melagukan seribu pukulan kencang.
“ Dah kena sampuk ke? Kau jangan buat hal, ini bukan drama Melayu yang suka-suka mulut kau nak batalkan ikut hati. Aku tak boleh terima.” Ujar Fahmi beramaran. Jika Abrar ingin berkelakar di khalayak ramai, sungguh lawak itu langsung tidak mampu mencuit derianya. Sebaliknya Fahmi mengagak Abrar sengaja mencetuskan kekalutan di tengah majlis dan jika itu berlaku jejaka itu bakal menerima habuan terhebat daripada dia, Fadhil dan Fikri.
“ Aku dah ingat semuanya, Hanan bukan pilihan hati aku. Anggap aje semua yang berlaku adalah mimpi. Pagi tadi aku terjatuh dari katil, kepala aku terhantuk kuat dekat lantai. Aku dah tersedar daripada mimpi aku, betul cakap kau..aku dan Hanan tak mungkin bersama.”
Fahmi semakin terkedu. Terenjat dalam posisi duduk silanya.
“ Abrar.. jangan buat keputusan melulu, kita bincang dulu.” Encik Asri memujuk.
“ Abrar, jangan malukan ibu dan abah.” Puan Salmi mencelah dan berkata tegas. Dia berupaya bersuara setelah tersedar daripada kejutan hebat akibat babak ciptaan Abrar. Hampir menggugurkan jantungnya. Jika ditakdirkan dia lemah semangat, mungkin kala ini dia akan pitam serta-merta. Mujur ada Puan Norsal yang menenangkannya meskipun wanita itu juga sangat terkesima dengan tindakan anak terunanya itu.
“ Kalau Abrar dah tak suka, jangan paksa dia. Aku tak rela bermenantukan lelaki yang sanggup menjatuhkan maruah keluarga sendiri dan maruah kami sekeluarga. Lebih baik kita berhenti sampai sini saja.” Tempelak Encik Malik tiada kompromi. Dia telah mencapai keputusan sendiri. Tidak akan diserahkan anak gadisnya pada lelaki yang tidak bertanggungjawab dan pengecut. Hanan tidak layak bersuamikan lelaki selemah Abrar.
“ Maafkan saya pak cik, saya tak boleh teruskan semua ini.” Dia tertunduk kesal. Terlalu gerun menatap mata galak Encik Malik yang terlalu hebat.
“ Kau memang melampau Abrar.” Fahmi lekas mencekak kolar Baju Melayu Abrar. Sebelum penumbuknya menghinggap ke wajah Abrar, Encik Malik segera menahan dan memeluk belakang tubuh Fahmi. Mencegah perbuatan yang terlebih aksi. Lebih-lebih lagi di hadapan para tetamu. Begitu juga Encik Asri, bertindak menarik anaknya menjauhi Fahmi yang mula menyinga. Terlerai tautan erat tangan Fahmi dari kolar baju Abrar.
“ Pengecut, pentingkan diri sendiri. Hanan memang tak layak untuk kau! ”
“ Along, jangan! ” tempik Hanan yang keluar dari bilik pengantin. Dia lengkap mengenakan Baju Kebaya satin putih dan berenda france serta memakai veil putih di kepala. Hanan berdiri dengan cukup indah dan memukau setiap anak mata para jemputan yang hadir. Namun sayang keindahan itu bagaikan terencat di wajah semua hadirinnya. Apatah lagi Hanan yang bakal mendapat malu besar angkara Abrar! Ternyata Abrar hanya hidup untuk menyusahkan seorang gadis yang bernama Hanan Safura. Tabahlah hati wahai Hanan…
“ Please along..don’t..Hanan tak rela along pukul Abrar,” sayu kata-kata Hanan menerjah ke setiap gegendang telinga semua tetamu. Membuatkan sejuta perasaan simpati tertumpah buatnya.
“ Dia dah malukan keluarga kita, Hanan masih nak bela lelaki ni? ” Fahmi menjerkah marah. Matanya membulat garang.
“ Awak, baliklah. Saya terima semua ni sebagai ujian daripada Allah.” Ujarnya perlahan tetapi masih mampu didengari oleh Abrar dan para tetamu. Buat sekian kalinya, air mata Hanan mengalir lembut ke pipi. Dia lantas mengelap titisan manik jernih itu agar tidak terlalu sarat mengalir. Hanan sedaya upaya mengepung perasaan hiba dan kecewa yang mendesah hebat di dadanya.
“ Kenapa Hanan menangis? Abang ingatkan Hanan akan gembira dengan semua ni.” Abrar diam sesaat. Menguatkan jiwanya yang rapuh. “ Hanan tak cintakan abang tapi kenapa Hanan menangis? Sepatutnya Hanan gembira sangat sebab ini yang Hanan nakkan sejak kita bertunang! ” soalnya seperti mengasak. Memaksa Hanan menjawab persoalannya. Memprovok gadis itu agar meluahkan perasaan yang terlindung di sebalik hati.
“ Sepatutnya kau tahu kenapa dia sedih! Kau dah kecewakan perasaan dia boleh pulak kau tanya kenapa dia menangis? Sudahlah Abrar, tak payah nak berdrama lagi. Aku nak kau bawak semua rombongan kau balik sekarang. Pernikahan ni takkan berlaku sesuai dengan kehendak kau! ” selar Fahmi membelah isi majlis. Marahnya meluap-luap. Panah matanya tidak akan pernah lari daripada melotot pada Abrar. Bersinar garang setajam helang si pemangsa. Air mukanya bengis dan tegang.
“ Baliklah, Abrar..” desis Fadhli pula. Mengemamkan bibir sekuat mungkin. Kedua-dua belah tangan dikepal erat. Dia sangat bengang dan panas hati. Namun Fadhli tidak mungkin bertindak sesuai dengan keinginan hati kerana maruah keluarganya perlu dibendung daripada terus merudum jatuh akibat peristiwa hari ini, detik yang mengaibkan tika ini. Namun Fadhli mengerti antara dalam kalangan adik-beradik, Hanan ternyata cukup disayangi dan dicintai oleh mereka berlima, mak, ayah, Fahmi, dirinya dan juga Fikri.
Semua hadirin bungkam. Tidak terbuka mulut untuk berkata apa-apa ataupun membuat riuh. Sepatutnya mereka terus bersosek-sosek untuk menggawatkan suasana. Berbisik sakan sambil meributkan lagi situasi yang makin meruncing. Bukankah itu adalah peranan mulut masyarakat zaman sekarang yang suka menceceh-ceceh cerita dalam kain orang. Menjaga tepi kain orang. Sibuk mengambil tahu urusan rumah tangga orang lain semata-mata mahu dijaja agar ada berita hangat untuk disembangkan di bawah pokok mempelam ataupun rambutan. Seterusnya menyebarkan sebuah khabar yang jauh daripada kebenaran. Boleh juga menjurus kepada fitnah.
Namun hakikatnya orang kampung Hanan masih mengamalkan nilai-nilai murni. Bertindak melihat tanpa campur tangan dan celaan. Memelihara bicara daripada sebarang spekulasi. Mereka masih setia bersatu hati dan bekerjasama dalam menangani situasi yang genting.
Abrar meleraikan pegangan Encik Asri pada lengan dan bahunya. Dia kemudian bangun. Mengatur langkah menghampiri gadis yang sedang berdiri setentang dengannya.
Fikri kelihatan diam dan memerhati. Masih terkejut dengan babak yang berlaku secara realiti di depan matanya. Abrar yang bersungguh pada kakaknya kini telah berpaling tadah. Fikri agak kemusykilan. Terbayang-bayang memori-memori lalu sewaktu dia belum cukup umur. Masih kategori mumaiyiz yang boleh membezakan mana benar dan salah di mata. Baik dan buruk.
Bukankah sejak dulu lagi Abang Abrar memang syok gila dengan Kak Hanan? Dulu dia selalu belanja aku makan aiskrim dari kedai runcit Pak Samdol yang berharga RM 0.50 sen semata-mata nak tahu aktiviti kakak aku dekat rumah ataupun sewaktu hujung minggu. 
 Walaupun masih kecil, Fahmi masih mampu mengecam rasa hati Abrar terhadap kakaknya. Sangat berbekas di ingatan saat Abrar sentiasa cakna mengenai setiap perkara yang dikhabarkan tentang Hanan. Segala aktiviti dan perilaku kakaknya tidak pernah terlepas daripada dilaporkan pada jejaka itu. Fikri akui dia mengalah kerana saat itu dia lebih terpukau dan terpesona dengan aiskrim yang disogokkan. Dia naif untuk berfikir dengan lebih mendalam. Maklumlah budak yang masih membina akal tentu mudah dijebak dengan sebatang aiskrim yang memang menjadi kegilaan ramai waktu itu.
 “ Kau nak buat apa lagi, Abrar? Baliklah,” kata Fahmi semakin menyinga. Mujur Encik Malik tetap memegang erat tubuhnya daripada terus mendapatkan Abrar. Jika tidak pasti dia akan mengheret lelaki itu keluar daripada rumahnya tatkala ini.
Abrar terus mendekati Hanan. Tidak pegun mahupun tersasar aturan kakinya biarpun Fahmi melengkingkan suara menegah tingkahnya. Mereka yang lain pula terpaku dalam posisi masing-masing. Ternanti-nanti bicara atau tindakan Abrar yang selanjutnya. Menunggu dalam penuh debaran.
“ Kenapa Hanan? ” Tanya Abrar dalam intonasi seolah-olah mendesak. Dia mahukan kejujuran Hanan.
Hanan tertunduk pasrah. Sendu bertandang tanpa dijemput. Air matanya membuak keluar tanpa mampu dikawal pengalirannya. Kecewa. Itulah perasaan Hanan. Dia mengharap namun kini harapan itu sirna. Sungguh nyata ingatan Abrar yang pulih telah berjaya memisahkan mereka dan sememangnya itulah yang dia inginkan selama ini. Namun mengapa perlu ada rasa kecewa, pahit dan rawan menerobos ke jiwa halusnya. Menghentak padu ke dadanya yang lelah menahan sebak dan pilu.
Ya Allah, kenapa dengan perasaan aku saat ini? Kenapa aku seperti lemah dan tidak berdaya melepaskan dia pergi? Kenapa hari ini yang Kau pilih untuk mengembalikan seluruh ingatannya? Kenapa tidak esok, setelah kami bersatu dalam ikatan perkahwinan? Rintihnya getir dalam bisikan hati.
Abrar menapak lagi dua tapak ke hadapan. Mendekati Hanan. Tanpa mampu tertahan, tangan Abrar merayap ke wajah gadis itu. Menyeka mutiara jernih yang mengalir dan membasahi pipi mulus Hanan. “ Jangan menangis, sayang. Abang tak suka.” Gumamnya lembut.
Terkebil-kebil biji mata setiap penonton yang berada di ruang tamu. Tidak kurang juga yang terjenguk-jenguk daripada ruang dalam kamar pengantin. Masing-masing menunjukkan rasa terkejut dan terpinga-pinga termasuklah juru nikah, Encik Asri, Encik Malik, Puan Salmi, Puan Norsal, Fahmi, Fadhli, Fikri malah Encik Daud juga. Tercengang dan tergamam.
“ Kita kahwin.” Putus Abrar ringkas. Hanan lekas menggeleng laju kepalanya seraya menolak telapak tangan Abrar yang menapak hangat di pipinya.
“ Kenapa ni? ” berkerut dahi Abrar. Gentar dan takut menyerbu ruang jiwa. Membayangkan perkara yang tidak-tidak di minda.
“ Awak dah tolak saya,” selanya pilu.
Nafas lega dilepaskan perlahan. Abrar menguntum senyuman kecil. Soal itukah yang Hanan runsingkan?
“ Abang ingatkan ini yang Hanan mahukan daripada abang, sebab abang tak mahu Hanan rasa terseksa bila bersama abang.” Jawabnya berdiplomasi. Memujuk dalam bicara. Rugilah dia jika melepaskan wanita itu sedangkan perasaan mereka telah pun serupa. Saling memerlukan dan mahu mencintai apatah lagi dicintai.
Hanan diam. Menganalisa kata-kata Abrar.
            “ Kita kahwin sekarang, ya? ” Abrar merayu kali ini. Manja dan begitu mengharap.
            Hanan mendongak pada Abrar. Mata kacanya menatap syahdu. Mahu mencari keyakinan di balik bening mata jejaka itu.
            Senyum. Mereka saling berbalas renungan. “ Abang sayangkan Hanan,” bisik pemuda itu lunak ke telinga. Terlalu membelai seisi deria pendengaran Hanan. Sebagai seorang gadis yang bakal melangkah ke alam perkahwinan, ucapan itu sudah memadai untuk melembutkan jiwanya yang keraguan saat ini. Hanan mula berkira-kira untuk menyahut seruan hati Abrar.
            “ Jangan harap! ” Encik Malik menjerkah keras. Belum sempat Hanan memberikan jawapan walaupun sekadar anggukan ataupun gelengan kepala, dia sendiri memutuskan segalanya. Tubuh Fahmi yang dipegang kemas sedari tadi dilepaskan. Encik Malik kemudian berdiri setentang dengan Abrar dan Hanan. Orang ramai tersentak dan termangu. Suara Encik Malik benar-benar memecahkan keharmonian yang mula menghinggap apabila Abrar dan Hanan kembali berdamai. Sangat merencatkan kemanisan antara pasangan pengantin itu.
“ Lebih baik kau balik Abrar.” Arahnya tegas.
“ Maafkan saya pak cik, semua yang berlaku cuma salah faham.” Abrar cuba menjernihkan keadaan yang dikeruhkannya pada awal kejadian.
Kepala Encik Malik laju menggeleng. “ Aku tak peduli, yang penting kau dah malukan aku sekeluarga. Kau dah ludah tadi takkan nak jilat balik ludah kau. Hanan takkan aku serahkan pada kau.”
Terkesima. Abrar tergamam.
“ Malik, maafkan..”
“ Bawak balik anak kau, Asri.” Pintas Encik Malik tanpa mendengar lanjut kata-kata Encik Asri.
“ Abang Malik, maafkanlah Abrar.” Pinta Puan Salmi memohon. Encik Malik masih bertegas. Pendiriannya tetap. Kepalanya masih menggeleng.
“ Ayah..”
“ Ayah dah kecewa Hanan, tak guna Hanan nak memujuk. Abrar tak mungkin dapat peluang lagi untuk bersama Hanan.” Sinis suara Fahmi memotong.
“ Maafkan saya, pak cik. Saya bertindak macam ni untuk menguji Hanan. Langsung tak ada niat untuk menjatuhkan aib atas keluarga pakcik.” Abrar berterusan meminta pengampunan. Dia berkira untuk melutut jika itu mampu mengembalikan Hanan ke sisinya. Ahh, bodohnya kau Abrar! Kenapa tak kau uji Hanan selepas termeterainya ijab dan kabul. Sekurang-kurangnya kau dan Hanan telah pun sah dan tak perlu lagi kau bimbangkan penerimaan Hanan selepas ini.
“ Hanan.. akan aku kahwinkan dengan pemuda lain.”
Semua terlopong. Mata mereka terbelalak akibat terenjat dengan keputusan nekad Encik Malik.
“ Ayah..” keluh Hanan dalam perit dan terkejut.
 “ Bagi ayah nombor telefon Cikgu Safwan, biar budak tu yang jadi suami Hanan! ” tekad si ayah. Hanan tersentak. Seakan luruh jantungnya terpukul dek keputusan deras Encik Malik.
“ Abang, tolonglah maafkan..”
“ Nor kenal abang, kan? Sekali abang cakap itulah jawapan mati daripada abang. Walaupun Abrar melutut, keputusan yang abang buat takkan berubah. Hanan akan bersuamikan lelaki lain.” Encik Malik memangkah bicara Puan Norsal yang bernada memujuk.
Pantas Abrar melangkah kepada Encik Malik. Dia tidak peduli lagi. Biapun perlu bersujud, Hanan perlu dimilikinya. Ya Allah, aku boleh mati kalau aku hilang Hanan, tolonglah hamba-Mu ini ya tuhan..doanya jauh di kalbu. Sangat mengharukan dan menyentap nurani. Serasa mahu dienjakkan semula masa ke belakang untuk membetulkan khilaf yang diciptanya. Namun masa tidak pernah berundur, terus menuju ke depan. Manusia hanya mampu membetulkan kesilapan dengan belajar daripada pengalaman lalu. Abrar benar-benar hilang dalam kekalutan fikirannya. Dia buntu.
Hanan lekas mengekor Abrar. Mahu mendekati si ayah yang sedang menghangat jiwanya. Sungguh pun begitu, baru saja dia membuka langkah kaki, labuh kain baju pengantin memakan dirinya. Hanan jatuh tersungkur. Dahi licinnya bertemu lantai. Menghentak kuat dan keras. “ Aduhh!! ”
“ Hanan! ” jerit beberapa orang saksi yang terlihat jelas kejatuhan tubuh Hanan tersembam ke lantai rumah.
“ Auww!! ” adu Hanan keras. Rasa perit dan pedih menyirap ke serata muka. Matanya pantas tercelik. Terbuka luas biji matanya. Hanan meraba-raba dahinya. Mengosok-gosok perlahan untuk melegakan kesakitan.
‘ Ya Allah, aku mimpi rupanya!’ detik hatinya setelah sedar dari alam mimpi yang membawanya terlalu jauh. Tersasar dari angannya. Mimpi yang mengerikan serta melemahkan semangatnya untuk pulang ke kampung. Hanan mendengus geram. Belum pun sempat menjejakkan kaki ke kampung, dia sudah termimpikan jejaka itu. Betul-betul bala sampai naik benjol dahi aku ni! Mujurlah sebelah aku tak ada orang, kalau tak buat malu aje mengigau tengah siang hari ni.
Tiba-tiba Hanan tercengang sendiri. Bas yang dinaikinya telah pun berhenti. Spontan Hanan menjenguk ke luar tingkap. Bertambah kusut fikirannya. Bingung. Sudahlah tadi kepalanya terhantuk secara percuma pada pemegang belakang seat bas. Kemudian ditambah pula dengan tindakan pemandu bas yang langsung tidak terkandung dalam perancangan perjalanan.
‘Asal pak cik ni berhenti kat tepi jalan, bukannya ada R&R pun. Nak mogok ke? Tak pun ada transit dekat tepi jalan, tapi penumpang mana pulak yang nak diangkutnya? Orang asli pendalaman ke? ’ Omelnya musykil. Berselirat saraf otak yang berliku-liku apabila berfikir soalan-soalan yang belum mampu dimiliki jawapan yang wajar.
“ Minta semua penumpang turun, enjin bas tiba-tiba rosak pulak.” Jerit pembantu kepada pak cik bas. Gayanya seperti konduktor bas.
Rosak? Kenapa tadi aku tak terfikir pulak bas ni boleh rosak? Pak cik bas tak servis dulu ke sebelum ambil penumpang? Tengok sekarang siapa yang susah? Aku jugak dengan passanger yang seangkatan dengan aku. Nasib baik rosak yang tak membahayakan penumpang dan pengguna jalan raya yang lain! Kalau tak, haru aje..tak sempat Abrar nak jadikan aku bini dia!
Abrar?? Hisyhh, gila betul! Tak boleh blah, ini dah masuk kes meroyan dalam bas! Kenapa aku boleh teringatkan dia saat-saat genting macam ni? Gara-gara termimpikan dialah aku ditimpa musibah yang tiba-tiba singgah. Padahal sebelum ni, mana pernah Bas Ekspress Ipoh ke Taiping mogok sakit dekat tengah jalan.
Hanan menyentuh dahinya. Terasa berdenyut-denyut di situ. Sekali lagi dia merengus. Tertekan dengan kesakitan yang mula menyusul. Pasti berlebam dan seterusnya berbenjol dahi yang dijaga tanpa sebutir jerawat sepanjang umur hidupnya.
“ Apa yang rosak, pak cik? ” soal Hanan ketika melangkah turun dari anak tangga bas. Pemandu bas telah pun siap berdiri tegak di depan pintu bas untuk mempastikan semua penumpang mematuhi kata-katanya untuk segera turun.
“ Entah, aku bukannya tahupun. Aku ni cuma pemandu gantian aje, patutnya orang lain yang pandu bas ni tapi dia ambil cuti pulak. Jadi, terpaksalah aku yang menggantikan tempat dia.” Balas pak cik drebar bas tanpa memandang Hanan. Dia tertunduk ke jejari yang sibuk menekan-nekan keypard telefon bimbit. Barangkali mahu mendapatkan bantuan segera.
Berkerut dahi Hanan mendengar penerangan itu. “ Habis tu, bila masanya kita boleh sampai? ”
Pak drebar memanggungkan kepala. Memandang gerangan yang masih bertanya. Terkelip-kelip matanya merenung gadis itu.
“ Entahlah, abang cuba tanya dulu dengan pihak pengurusan dekat Ipoh. Suruh dia orang hantarkan bas lain. Kalau tak ada kitalah yang kena tolak bas ni ramai-ramai. Tapi ada pengecualian, orang yang cantik manis macam awak tak payah tolak, cuma kena duduk sebelah abang bagi semangat untuk memandu. ” Jawab pak cik itu sambil tersengih seperti kambing. Sengaja bergurau senda dengan Hanan. Wajah cemberut gadis itu begitu comel di mata tuanya. Sehingga menimbulkan perasaan senang di dada.
Hanan menjegilkan matanya bulat seraya sepasang kakinya pantas berlalu. Meninggalkan si tua yang mula menunjukkan sifat miang keladi. Seluruh inci dalaman Hanan bergetar semacam. Dia terasa cukup geli dengan kata-kata pemandu bas yang begitu menjengkelkan. Cuping telinganya bagaikan mahu menutup lorong yang menuju ke gegendang dalam telinga. Meremang bulu romanya saat pak cik drebar membahasakan diri dengan panggilan ‘abang’.
Ekoran begitu menular perasaan geli, Hanan terus berjalan menuju ke arah penumpang-penumpang lain berkumpul. Masuk di dalam kelompok untuk melindungi diri daripada terus diperhatikan oleh si tua gatal. Telefon bimbitnya segera dicapai dari dalam beg tangan.
“ Assalammulaikum, mak. Ini anak mak, Hanan.” Terjahnya tika panggilannya dijawab oleh Puan Norsal.
“ Waalaikummusalam..ya mak tahu anak mak seorang aje perempuan. Hanan dah sampai stesen bas ke? ” soal Puan Norsal.
“ Belum lagi.. mungkin Hanan sampai lambat kut, sebab bas tiba-tiba rosak.” Hanan melepaskan keluh.
“ Rosak? Habis tu, Hanan dekat mana ni? ” Puan Norsal bertanya dalam nada sedikit risau.
“ Masih lagi dekat highway, terpacak tepi jalan sambil tunggu bas lain ambil kita orang semua.” Hanan meneleku ke arah lebuh raya yang digunakan oleh pelbagai kereta.
“ Jauh lagi nak sampai Taiping? ”
“ Taklah, dah lepas pun simpang ke KK (Kuala Kangsar). ”
“ Kalau macam tu biar mak suruh along ambil kamu dekat sana. Mak risaulah biarkan anak dara mak berteduh dekat tepi jalan tu, kalau dekat R&R tak apalah jugak.” Puan Norsal mengusulkan cadangan.
“ Tak menyusahkan? Hanan tak mahu along marah pulak nanti, tak apalah Hanan boleh tunggu bas yang lain.” Hanan menolak dalam separuh rela dan terpaksa. Tidak mahu menyusahkan orang lain walaupun keluarga sendiri tetapi seram apabila mengenangkan bicara pemandu bas sebentar tadi. Kalau boleh Hanan tidak mahu menjejakkan kaki semula ke dalam bas yang dipandu oleh si tua itu.
“ Tunggu aje dekat situ nanti mak suruh along ke sana, along tu tengok aje pemalas tapi kalau dah orang yang dia sayang susah, dia pun susah hati jugak.”
“ Terima kasih, mak. Sayang mak sangat-sangat.” Ucap Hanan bersahaja. Lapang jiwanya kala itu. Dia bakal terlepas daripada tatapan tajam mata drebar yang galak. Sekilas wajah drebar bas tadi melintas di minda. Sejurus itu, meremang bulu halus di lengannya. Hanan lekas-lekas menggelengkan kepala. Ingin meng’nyah’kan imej yang membuatkan dia jelik dan melelahkan semangat untuk meneruskan perjalanan ke rumah.  
“ Hrmm, tunggu baik-baik dekat sana. Jaga diri, jangan mudah percayakan orang.” Puan Norsal menitipkan pesanan sebelum mengakhiri perbualan di talian.
“ InsyaAllah, mak janganlah risau. Hanan dah dewasa, dah nak jadi bini orang pun! ”
Bini orang? Erkkk…pitam dushh! Lehernya hampir terkehel disebabkan tersalah omong.




8 comments:

  1. At last! Setelah ber'kurun' tgu n3 baru. Tq! Best sgt!

    ReplyDelete
  2. ye lh dek...lama tunggu n3 u rindu nyer kat hanan...suspen gak ingt kn betul lh bab sedeh yg hanan direject olih abrar...hehehe nasib mimpi jer yg trajis dlm bas...mau benjol dahi hanan,mmg wat lawak gak hanan nih...dek cepat2 up n3 br yer..

    ReplyDelete
  3. Best, thank you!

    ReplyDelete
  4. hahaha... mati2x ingtkan gimik Abrar last mimpi Hanan rupanya. Klu jd betul mmg haru la Hanan tpaksa kahwin cikgu safwan. ahaks... ;D

    Apapun tbaik la entry kali ni. Tlg sambung lg ceta ni ya.

    ReplyDelete
  5. ceh...hahaha...mula2 tu mmg nak sekeh si abrar...rupa2 nye hanan mimpi wakakaka....

    ReplyDelete
  6. dear @tini,
    sorry lmbat update n3, btw tq so much sudi snggah, just wait for next n3, kasi kaw2x punye, huhu :P

    dear kak @norihan mohd yusof, suspen kan? haha..btw tq so much sudi snggah dan baca my n3 kali ini, sronok bace ur komen, insyaAlah aii akn segerakan n3, kesian kt readers yg asyik brtanya, hehe..

    dear @marina,
    welcome n thanks for ur comment, really appreciate it,
    sila snggah lg utk next n3, huhu :D

    dear @ivoryginger,
    seram tak dgn action abrar? tak pasal2 Hanan yang mimpi, itulah pasal asyik dok mintak sngt putus tunang dpt sekali mimpi, huahuahua :P

    dear @zoora,
    yolah nasib mimpi kalu tak mahu botak pale abrar pasal kena sekeh ngan awk, haha..apapun thanks ats kunjungan anda! hehe

    ~Aii Fariza~

    ReplyDelete
  7. Buat gelabah je? Ingatkan betul2lah si Abrar tak nak kawin ngan Hanan rupanya mimpi. Nak lagi apa jadi ngan kekasih Abrar?

    ReplyDelete
  8. nice entry~~

    sila cepat sambung~

    tak sabar nk tau kisah seterusnya..

    cerita ni best

    terima kasih

    ReplyDelete

hai ! terima kasih ^.^