30
Sakinah menyuapkan nasi ke bibir Shafiq. Isi ayam masak kicap turut diselitkan sedikit. Puan Syamila pula sibuk menguruskan dapur setelah makan tengah hari. Manakala Sharina sibuk memotong bawang putih dan bawang merah untuk dikisar dan disimpan dalam peti ais sebagai kegunaan di lain masa. Suasana petang itu amat nyaman dan damai tanpa hingar-bingar seperti di bandar.
“ Dah berapa tahun Shafiq ni, angah? ” Tanya Sharina sambil menahan kepedihan di mata akibat meracik bawang merah.
“ Nak masuk dua tahun,” jawab Sakinah. Dibersihkan bibir Shafiq yang comot. Sesekali dicium ubun-ubun anak itu.
“ Dah besarlah tu. Tak nak tambah yang lain ke? ” Usik Sharina. Sengihan si adik mengundang senyuman di bibir mungilnya. Walaupun hambar tetap cuba dimaniskan.
“ Gatal betul achik ni. Sekolah pun tak habis lagi dah nak terjah masuk topik orang tua.” Sakinah menjawab sekadar menghiburkan hati.
“ Eleh, tualah sangat. Angah tu baru masuk dua puluhan. Tahun lepas aje baru habis sekolah dah nak berlagak tua.” Cebik Sharina. Sakinah ketawa kecil mendengar balasan adiknya.
“ Ini mesti angah ingat dah tua sebab dah ada anak macam Shafiq, kan? Alah, bukan anak betul pun. Anak tiri aje.” Ulas Sharina tanpa niat.
“ Achik..tak baik kata macam tu,” tegur Puan Syamila.
“ Oppss, maaflah tak sengaja! Tapi betullah apa achik kata.”
“ Memanglah betul tapi tak kisahlah siapapun Shafiq, angah dah anggap macam anak sendiri. Yang achik sibuk-sibuk tanya angah nak tambah anak lagi kenapa? Achik dah nak kahwin ke? ” Sengaja Sakinah mengubah topik perbualan. Malas berkisar lagi soalnya. Disua air kosong kepada Shafiq.
“ Hah, jangan nak mengada-ngada! Belajar bagi habis sampai berjaya baru boleh fikir nak kahwin. Jangan nak bercinta sana sini. Ibu tak suka.” Tukas Puan Syamila berupa peringatan.
“ Mana ada orang bercinta. Achik tengah belajarlah ni. Tak nak jadi macam angah dah kena kahwin walaupun tak habis belajar lagi. Dengan bapak orang pulak tu.” Gurau Sharina.
Sakinah kematian kata. Tersentuh hatinya biarpun bicara Sharina hanya gurauan semata-mata. Air mata mula terbit di tubir mata. Dipandang Shafiq dengan perasaan sebak. Kenapalah pedih sangat hati ni? Ya Allah..
“ Maaf angah. Achik tak sengaja.” Sekali lagi ucapan maaf terbit di bibir Sharina. Mutiara jernih yang berkumpul di tubir mata Sakinah mengundang rasa bersalah di hatinya. Sungguh bukan niatnya untuk menyakiti hati kakaknya. Dia sekadar bergurau. Dulu mereka sering juga bergurau namun sekalipun tidak pernah tersinggung sehingga menitiskan air mata. Mengapa angah sensitif sangat ni?
Puan Syamila segera menoleh pada kedua-dua anaknya yang berkumpul di meja makan. Kesedihan yang bermukim di wajah Sakinah menggamit di matanya. Puan Syamila pilu melihat riak kesayuan pada wajah anaknya itu.
“ Tak ada apa-apalah, achik. Air bawang tu yang termasuk dalam mata angah,” dalih Sakinah dengan senyuman. Disua lagi air kosong kepada Shafiq. Kemudian Sakinah bangun membawa mangkuk dan gelas ke singki dengan tangan kanan sementara Shafiq berada dalam rangkulan tangan kirinya. Dibersihkan tangannya dan mulut Shafiq.
“ Nanti lepas Shafiq tidur, Kinah turun ke dapur balik.” Sakinah terus berangkat ke kamarnya. Langkahnya diekori oleh Puan Syamila dan Sharina lewat ekor mata.
Sakinah membaringkan Shafiq di katil. Anak kecil itu terus membalikkan tubuh dengan meniarap di atas katil. Sakinah tersenyum. Gelagat Shafiq yang mula lincah untuk berjalan menggamitnya untuk menghayati dunia si kecil itu. Mungkin dengan itu hatinya yang sedih dapat diubati.
Shafiq menyedari posisi di tengah katil tidak mampu membuat dia berdiri dengan megah oleh itu, dia merangkak ke kepala katil mencari sesuatu untuk dipaut. Sakinah hanya membiarkan Shafiq belajar berdikari. Sesekali senyumannya mula mekar kembali. Disertakan tawa kecil mengiringi perjuangan Shafiq.
Telefon bimbit di hujung katil berdering. Sakinah segera mendapatkan telefon pemberian suaminya itu. Shafiq terus melepaskan pautan di kepala katil kemudian menuju kepada mamanya. Ada sesuatu yang menarik minatnya untuk mendekati Sakinah.
Satu mesej telah masuk. Tanpa melihat siapa pengirimnya, Sakinah sudah tersenyum. Siapa lagi kalau bukan Rafiq.
- Assalmkum
Dah smpi di Lgkwi
“ Abah dah sampai Langkawi, sayang. ” Tutur Sakinah pada Shafiq lalu meraih anak itu ke dalam pelukannya.
“ Ba..bah..” Shafiq menyahut kata-kata Sakinah. Comel sekali reaksinya. Sakinah mencium pipi si kecil. Dia lantas menaip sesuatu di atas keypard. Kemudian dihantarnya.
+ Waalaikmsalam
Shafiq ucap selamat bekerja
Setengah minit selepas itu masuk pula mesej baru.
- Ok..say to shafiq,
abah luv u so much
please take care yrself n yr mom
please take care yrself n yr mom
Sakinah tergamam. Dipandang skrin handset yang masih cerah. Matanya tidak menipu. Sakinah malu sendiri. Ayat mesej yang baru dihantar oleh suaminya membuatkan Sakinah kehilangan kata. Macam tak percaya aje. Dia suruh Shafiq jaga aku?
+ Don’t worry
I’ll take care for u but
u must also take care yrself
luv u 2
Sengaja Sakinah menghantar pesanan begitu. Terasa seronok pula bermain kata seperti itu. Terhibur hatinya. Sebuah lagi mesej masuk. Entah apa yang merusuh jiwa Sakinah kerana dia terasa berdebar tiba-tiba. Wajah Shafiq dipandangnya sebelum dibuka mesej yang masuk.
- Which one luv me?
Shafiq or mama shafiq
Or both of u?
Sakinah telan liur membacanya. Nampaknya dia terperangkap. Silapnya kerana cuba bermain-main. Merona merah wajahnya diterjah soalan itu biarpun bukan secara berhadapan.
+ Only Shafiq luv u
Seminit selepas itu sampai lagi satu mesej. Sakinah masih berdebar seperti mesej yang sebelumnya. Tetapi pantas dia membuka peti mesej. Teringin mengetahui balasan suaminya.
- Oh, I c..
Ok, I’m bz right now
Bye, aslmkum
“ Waalaikummussalam..” sahut Sakinah perlahan. Jiwanya terasa kecewa pula. Dipandang muka Shafiq sebelum ditarik manja hidung si comel itu dengan jemarinya. Membayangkan hidung Rafiq yang ditariknya.
PERMANDANGAN indah dari atas bilik hotel dihayatinya seketika. Malam yang begitu bercahaya dengan lampu-lampu yang menyilau dari jalan raya mahupun bangunan-bangunan yang gah berdiri. Rafiq kembali ke sini lagi. Menghadap kerja yang tidak pernah habis.
Entah mengapa Rafiq terasa sangat suram dan sepi. Kebiasaannya tidak seperti ini. Rafiq lebih mudah berfikir tentang kerjanya apabali dia bertandang ke satu tempat asing. Yang jauh dari keluarga.
Sejak petang tadi, perasaannya dijentik rasa terkilan dan kecewa. Rafiq mengeluh. Balik-balik soal itu yang dibahas akal fikirannya. Sedangkan hati dan mindanya ingin mengelak sama sekali dari berbicara soal Sakinah. Soal hati dan perasaannya yang mula berubah. Rafiq merasa aneh dan janggal dengan perasaan yang melanda.
Yang nyata, jawapan yang diberikan Sakinah dalam bentuk pesanan ringkas telah menganggu-gugat ketenangannya secara tidak langsung. Bayangan Sakinah turut serta mengiringi ingatan itu. Bertambah menyesakkan Rafiq.
+ Only Shafiq luv u
Rafiq mengebamkan bibir. Terasa kesal dengan tindakannya petang tadi. Jika tidak diikutkan kata hati untuk menghantar pesanan ringkas itu tentu hal ini tidak akan berlaku. Tentu otaknya akan tenang mengharungi kerjanya selama tiga hari di situ. Badannya dihempas ke katil.
Ah, persetankan perasaan aku! Buat apa aku terhegeh-hegeh ingatkan dia? Padahal belum tentu lagi dia teringatkan aku. Lama-lama aku boleh lemas asyik memikirkan perempuan tu! Silap hari bulan, terbengkalai kerja aku kalau asyik teringatkan dia.
Akhirnya Rafiq mengeluh lagi.
sambung cepat2 sikit taw..
ReplyDeletesuke nya bace....
ReplyDeleteowner owner...lep this story
best...layan sgt..
ReplyDeleteyup.....best sngt..
ReplyDeleteluv u...
cepat la sambung... adeh -__-"
ReplyDeleteBila nak smbung lagi nih??? Cepat2 tau....
ReplyDeletesmbung lha cpat...please..
ReplyDeletebesst.....tak sabar cerita selanjutnya..
ReplyDeleteRase cam gile rase nase bace yg Kinah & Rafiq tgh sms ,,,, ♥ ♥
ReplyDeleteHehehe..mmeng best..sudah mula timbul rasa sayang Rafiq tu agaknya hihihi
ReplyDeletebelilah novelnyaa . mana bole asyik baca online jea huhu
ReplyDeleteThis comment has been removed by the author.
ReplyDeleteSalam. Best. Tapi dah tanya tadi, katanya novel tak ada stok lagi. Hampanya diri ini. Cepat buat cetakan ya. Teruja pula ingin memiliki Novel ini. terima kasih dan salam
ReplyDelete