Rafiq mendengus kuat. Sebal hatinya. Tangisan Shafiq di kamar sebelah menampar pedih ke telinga. Membuatkan tidur Rafiq terganggu. Penatnya belum lagi hilang setelah pulang dari bermain bowling bersama Rudi. Rafiq bingkas bangun menuju ke bilik sebelah. Ingin ditempik pada Sakinah yang langsung tidak pandai menguruskan Shafiq. Sehingga anaknya menangis melalak seperti ditinggalkan di tepi jalan tanpa ibu dan bapa.
Ternyata sangkaan Rafiq tidak meleset. Shafiq terbiar di dalam baby cot tanpa pengawasan sesiapa. Kelibat Sakinah juga tidak kelihatan. Rafiq bertambah berang. Anaknya itu dibiarkan begitu saja. Rafiq kemudian mendukung Shafiq keluar dari katilnya. Perlahan Rafiq menepuk dan mengusap belakang anaknya supaya tangisan yang kedengaran akan reda.
“ Syuhh.. jangan menangis, sayang.” Rafiq memujuk lembut anaknya yang masih menangis. Dia membelek pampers Shafiq. Bersih lagi. Barangkali Shafiq kelaparan. Rafiq meliarkan pandangan. Mencari botol susu anaknya. Tetapi tiada. Mungkin berada di bawah. Rafiq berjalan ke pintu bilik. Susu Shafiq perlu dibancuh. Barulah anaknya akan diam semula.
“ Kau ke mana, hah? Kenapa biarkan Shafiq menangis melalak tak tentu pasal? ” jerkah Rafiq pada Sakinah yang terpacul di muka pintu. Kelihatan ditangan gadis itu tergenggam sebotol susu yang baru siap dibancuh.
Sakinah teguk liur. Tergamam. “ Er, tadi Kinah pergi buatkan susu,” jawabnya takut-takut. Dihulurkan botol susu tersebut pada suaminya.
Rafiq menyambut kasar. Rasa marahnya jelas terpamer di wajah.
“ Lama betul kau buat susu. Susu apa yang kau buat? Dah lama aku dengar Shafiq menangis. Takkan lama sangat nak bancuh susu? ” Rafiq menempelak lagi. Itupun setelah disumbat mulut Shafiq dengan puting botol susu. Rakus anaknya menghisap susu yang diberikan.
Sakinah menggigit bibirnya. Kesal dengan kecuaiannya dan kemarahan Rafiq padanya. “ Sebenarnya..er, Kinah sibuk dengan kerja kat bawah..sebab itulah Kinah tak dengar sangat dengan tangisan Shafiq. Er, Kinah mintak maaf, bang.” Perit suaranya mengakui dan memohon maaf atas kesilapannya. Gerun perasaannya membayangkan penerimaan Rafiq terhadap jawapannya.
“ Lagi-lagi maaf yang kau tahu. Perempuan apa kau ni, hah? Jaga budak pun tak reti. Apa guna aku kahwin dengan kau kalau satu kerja pun kau tak boleh buat? Tak habis-habis nak menyusahkan hidup aku. Kalau aku tahu begini beban yang aku kena tanggung baik aku tak payah kahwin dengan kau. Lebih baik aku ambil orang gaji lagi bagus.” Marah Rafiq berterusan.
Berdesing gegendang telinga Sakinah. Lagi-lagi hatinya diratah. Pedih sungguh kata-kata suaminya. Namun seperti lazimnya Sakinah hanya mampu berdiam diri. Tidak mampu membalas walaupun sepatah.
“ Maafkan Kinah. Kinah tahu Kinah salah tapi Kinah tak sengaja.” Tutur Sakinah memohon kefahaman suaminya.
“ Aku peduli apa kau sengaja atau tak! Yang penting kau dah buat salah.” Keras Rafiq berbicara. Tetapi nada suaranya direndahkan sedikit agar tidak mengejutkan anak terunanya yang ligat meminum susu dalam dakapannya.
“ Kinah janji Kinah tak akan buat lagi. Maafkan, Kinah.” Sakinah mengulang lagi perkataan maaf yang bagaikan air pili yang membuak keluar tidak jemu-jemu.
Tajam tatapan mata Rafiq pada Sakinah. Baru saja ingin membuka mulut, bunyi telefon di tingkat bawah bergema. Memecah kesunyian dalam rumah mereka yang sepi.
“ Sudahlah. Pergi angkat telefon tu.” Rafiq mengarah. Sakinah mengangguk sebelum pergi.
Bagaikan orang suruhan Sakinah diperlakukan. Tetapi Rafiq tidak pernah memaksa Sakinah menuruti setiap kata-katanya. Hanya diri Sakinah yang memang dilahirkan untuk mendengar dan mematuhi kata-kata orang lebih tua dan dihormati olehnya. Seperti Rafiq, suaminya.
Rafiq meletakkan anaknya yang hampir lelap ke dalam katil semula. Dia kemudian turun ke tingkat bawah. Ingin mengetahui gerangan yang menelefon pada hari minggu begini.
“ Insya Allah. Waalaikummussalam,” Sakinah terus meletakkan gagang telefon. Dia kemudian menoleh ke belakang. Senyuman mekar terpalit di bibirnya. Dipandang suaminya yang menghampiri.
Berdebar-debar jantung Rafiq merenung isterinya yang kelihatan gembira. Timbul keraguan terhadap isterinya. Kegembiraan Sakinah seperti baru selepas berbual dengan seorang kekasih di telefon. Mana tahu sangkaannya benar. Mungkin Sakinah ada menyimpan jantan di luar sana.
“ Siapa yang telefon? ” Tanya Rafiq tegas. Mematikan senyuman Sakinah.
“ Umi,” balas Sakinah perlahan. Lega hati Rafiq serta-merta. Ternyata sangkaannya tidak tepat kali ini.
“ Umi nak apa? ” soalnya lalu duduk di ruang tamu.
“ Umi suruh kita pergi ke sana malam ni, selepas maghrib. Nak buat makan malam disamping raikan hari lahir Rina.” Beritahu Sakinah. Rafiq spontan menepuk dahinya. Aduh, macam mana boleh terlupa? Rungut hatinya.
Sakinah memandang pelik. Tingkah suaminya menimbulkan pertanyaan di benak. Tetapi Sakinah tiada kekuatan untuk bertanya. Siapalah dirinya untuk bertanya pada Rafiq. Hanya sekadar seorang isteri yang terpaksa diterima dalam hidup jejaka itu.
Dijeling jam dinding yang tergantung megah. Pukul empat lebih. Waktu solat asar juga baru masuk. “ Waktu asar dah masuk, kita pergi solat dulu. Lepas solat kita keluar.” Rafiq mengeluarkan arahan. Dia lantas berpaling. Ingin menuju ke tingkat atas semula.
Sakinah terkejut. Takkan seawal ini? Majlisnya berlangsung selepas solat maghrib. “ Er, kenapa awal sangat? Umi kata lepas solat maghrib nanti baru mula majlis makan malam tu.” Dalam teragak-agak Sakinah terpaksa bertanya. Dia memerlukan jawapan yang pasti kerana lain benar perintah suaminya kali ini. Tidak bertepatan dengan arahan umi sebentar tadi.
Rafiq menoleh semula. Merenung tegang ke wajah isterinya.“ Tak payah banyak bunyi boleh tak? Ada aku suruh kau bagi pendapat? Suka hati akulah nak keluar bila-bila masa aku suka. Sekarang ni, lebih baik kau ke atas siapkan diri kau dan Shafiq. Sekejap lagi kita nak keluar.” Bicara Rafiq tegas. Membuatkan Sakinah mengangguk laju.
SEUSAI mengerjakan solat, Rafiq bersiap selama sepuluh minit. Petang itu Rafiq mengenakan kemeja putih bersih dengan seluar jeans hitam. Selepas itu, bergegas dia turun ke tingkat bawah. Sempat Rafiq mengetuk pintu kamar sebelah untuk mengingatkan Sakinah supaya segera bersiap.
Rafiq mula panas punggung menunggu di ruang tamu. Sekejap matanya menjeling jam tangan yang dipakainya dan sekejap matanya singgah ke anak tangga yang sepi. Sepuluh minit menunggu namun kelibat Sakinah dan Shafiq tetap juga tidak muncul. Rafiq mula radang. Geram dibiarkan menunggu lama. Rafiq bangkit dari sofa. Berniat naik ke tingkat atas semula. Teringin dijerkah Sakinah dengan kelewatan gadis itu.
“ Kenapa kau lambat, hah? Kau ingat aku pak tunggul nak tunggu kau macam tiang elektrik kat depan rumah tu? ” Hambur Rafiq geram apabila terpandang saja wajah Sakinah. Hingga membuatkan Shafiq tersentak dalam dakapan Sakinah. Timbul pula rasa kesal di hati Rafiq. Shafiq nampak terkejut dengan aura suaranya yang kuat. Mujur anak terunanya itu tidak menangis.
Sakinah bungkam. Takut.“ Er, maafkan Kinah.. tadi Shafiq..”
Rafiq mendengus marah. Sakinah teguk liur yang kesat. Menanti ditempik oleh suaminya. “ Tak habis-habis kau gunakan Shafiq sebagai alasan. Kenapa kau tak mengaku aje itu semua salah kau? Kenapa mesti menyalahkan anak aku? Kalaupun kau tak sayangkan dia, tak payahlah kau tuduh Shafiq yang bukan-bukan. Dia cuma seorang budak yang tak faham apa-apa.” sembur Rafiq.
Sakinah mengetap gigi kuat. Menahan perasaan sebak yang melanda. Hatinya sungguh terharu dituduh sebegitu oleh suaminya sendiri. Rafiq jelas ingin menjatuhkan dirinya yang sedia lemah. Sakinah benar-benar tidak berdaya lagi. Pahit, kelat atau tawar sekalipun dia terpaksa menelan bulat-bulat sifat Rafiq.
“ Maaf, memang salah Kinah.” Sakinah beralah. Tiada gunanya dia cuba mempertahankan dirinya di depan Rafiq kerana ternyata dirinya juga bakal dipersalahkan.
“ Sudahlah. Lain kali kalau nak buat alasan tak payah nak pergunakan Shafiq lagi. Aku tak suka.” Rafiq malas memanjangkan lagi isu kecil itu. Sekarang mereka ada urusan lebih penting daripada dia terus bertekak
dengan Sakinah.
kesian nya kinah....
ReplyDeletesabo je arr
Sakit dada cam nie ... Gerraammmm
ReplyDeletependek nye... -__-"
ReplyDeletebenci lah dengan Rafiq tu haha
ReplyDelete