Followers

/ Tagboard \

We are really hope that you will get something with this blog. Please respect to each other and keep enjoying with us ^.^
.Images are credit to Google.

Bab 28

Sakinah memandang skrin telefon bimbit yang baru dimilikinya dua hari lalu. Pemberian Rafiq itu dikerling dari tadi. Lagaknya seperti mengharapkan panggilan mahupun pesanan ringkas muncul di skrin telefon itu. Tapi tiada apa-apa yang kelihatan. Sementelah nombor telefonnya itu masih baru dan tiada sesiapa pun yang punya nombornya itu selain Rafiq.
            Malam itu dirasakan tenang dan nyaman. Mungkin kerana malam semalam dia kurang tenang kerana pertama kali dia dan suaminya tidur sekatil. Biarpun Shafiq berada di antara mereka Sakinah tetap gementar. Dirasakan seperti melalui malam pertama perkahwinan sedangkan tiada apa yang bakal berlaku. Sakinah sedar suaminya terlalu keletihan memandu dalam jarak jauh dan waktu yang lama. Jadi dia yakin Rafiq bukannya sedar bahawa mereka telah tertidur sekatil malam itu.
            “ Kau betul-betul nak balik kampung? ” Tanya Rafiq ketika Sakinah menyusun lauk-pauk di atas meja makan. Sakinah memandang sekilas pada suaminya sebelum berlalu semula ke dapur. Rafiq tercengang. Belum pernah isterinya sedingin ini. Marah dia tak reda lagi ke?
            Sakinah muncul semula dengan seberkas air bandung dan sebiji gelas. Diletakkan di atas meja. Kemudian Sakinah mula mengatur langkah meninggalkan ruang tamu.
            “ Kau tak mahu makan? ” Rafiq sekali lagi cuba membuka ruang bicara. Sakinah menggeleng. Rafiq terkesan dengan sikap isterinya tanpa suara itu.
            “ Duduklah dulu aku ada perkara nak bincang dengan kau.”
            “ Kinah penat sangat. Kinah nak naik rehat.”
            “ Duduk dulu. Aku nak cakap dengan kau.” Arah Rafiq lebih tegas.
            Dalam keterpaksaan Sakinah menuruti arahan suaminya. Begitulah dia sepanjang tempoh perkahwinan. Hanya reda ditindas begitu biarpun dia punya hak untuk mempertahankan diri. Rafiq terlalu berkuasa di dalam sistem rumah tangga ini. Sakinah hanya mampu menerima.
            “ Aku dah fikir masak-masak. Esok kita balik kampung.” Beritahu Rafiq tenang. Dia menghembus nafas lega setelah melafaz kata. Alhamdulillah..
            Sakinah mengangkat wajah. Dia tidak percaya dengan ayat yang baru diucapkan oleh suaminya. “ Sungguh, abang serius? Abang tak main-mainkan Kinah? ”
            “ Itupun kalau niat kau nak balik ke kampung tu masih ada lagi? ”
            Sakinah mengangguk laju. “ Kinah mahu. Tapi abangkan..ada kerja? ” Ragu-ragu Sakinah bertanya.
            “ Esok pagi aku hantar kau ke sana dengan Shafiq. Lusa pula aku balik ke sini semula. Lepas kenduri kahwin tu nanti aku datang ambil kau balik dengan Shafiq. Boleh? ”
            Laju Sakinah mengangguk menyatakan persetujuannya. “ Tak menyusahkan abang? ”
            “ Lebih baik aku hantar daripada kau naik bas. Aku tak mahu ibu dan ayah kau cakap yang bukan-bukan tentang aku nanti.”
            “ Ayah dan ibu bukan macam tu, bang.” Sela Sakinah membetulkan persepsi suaminya.
            “ Aku tahu sebab itulah aku tak mahu mereka risau kalau ada apa-apa perkara berlaku pada kau.”
            “ Er..abang tak kisah Kinah bawa Shafiq ke kampung? ” Sakinah menyoal dalam nada teragak-agak.
            “ Buat apa aku nak kisah. Memang itu tanggungjawab kau sebagai ibu Shafiq. Kenapa? Kau terfikir nak tinggalkan dia kat sini? Kau nak suruh aku jaga sementara kau berseronok sakan di sana. Ataupun kau nak suruh umi jaga Shafiq bagi pihak kau? ” Tanya Rafiq bertalu-talu. Sebuah pandangan tajam dihadiahkan dalam pertemuan empat mata itu.
            Sakinah mengancingkan gigi. Geram diterjah begitu. Suka buat andaian sendiri! Detik hatinya.
            “ Bukan itu maksud Kinah! Kinah memang nak Shafiq ikut sekali. Kinah tak mahu seorang diri kat sana tanpa Shafiq.” Sakinah meluahkan perkara yang sebenar.
            “ Baguslah kalau kau sedar tentang tanggungjawab kau,” balas Rafiq bagi menutup rasa malu. Mulutnya memang cepat saja membidas kata. Memang benar kata Rudi. Aku ni suka berfikiran negatif!
            “ Aku dah habis cakap. Kau ada apa-apa perkara nak cakap lagi? ” Tanya suaminya.
            Sakinah menggeleng. Dia bingkas bangun lantas mencapai tangan suaminya tanpa lengah. Rafiq terkedu saat bibir Sakinah melekap lembut ke tangannya.
            “ Terima kasih untuk kali ini. Terima kasih kerana abang cuba untuk memahami Kinah.” Ucap isterinya sebelum berlalu pergi. Rafiq semakin terkedu. Terpatung sejenak di meja makan.

PAGI tadi suaminya sudah bertolak semula ke Kuala Lumpur meninggalkannya dan Shafiq di kampung. Sakinah tertunggu-tunggu panggilan daripada Rafiq. Pagi tadi sebelum suaminya berangkat, Sakinah sempat berpesan supaya memaklumkan jika telah sampai ke Kuala Lumpur. Oleh itu, Sakinah masih ternanti-nanti sesuatu akan muncul di skrin telefon bimbit tersebut. Entah-entah dia dah tidur? Aku pulak dibiarkan tercongok tunggu panggilan dia, teka hatinya.
            “ Ambillah.” Rafiq menghulurkan sebuah kotak kepada isterinya. Teragak-agak Sakinah menyambut pemberian itu pada pagi mereka mahu bertolak pulang ke kampungnya.  
            “ Apa ni? ” Dalam keliru dia bertanya.
           “ Telefon bimbit.”
            “ Untuk apa? ”
            “ Untuk kau berhubung dengan aku bila dah sampai kampung nanti. Senang aku nak tanyakan keadaan Shafiq,” tutur Rafiq lancar. Bagus, alasan yang begitu munasabah!
            “ Tapi kat kampung dah ada telefon rumah. Kalau abang nak tahu keadaan Shafiq, abang telefon ajelah ke kampung nanti.” Jawab Sakinah kembali.
            Rafiq menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Berfikir-fikir tentang alasan yang wajar diberikan. Hisyh, dia ni banyak soallah! Aku dah bermurah hati nak bagi telefon secara percuma pun banyak mulut lagi. Kang, aku ambil balik nampak sangat buruk siku. Monolog Rafiq dalam hati.
            “ Ambil ajelah. Aku malas telefon ke kampung. Nanti ramai pula yang menjawab telefon tu.  Nak kena tunggu kau jawab pulak satu hal. Lambat. Manalah tahu kau tak ada di rumah. Jadi kalau ada telefon ni senang kau nak bawa ke mana-mana,” ulas suaminya. Sakinah diam saja. Jika itu yang suaminya mahukan terpaksalah diterimanya.
            “ Er..nanti Kinah ganti balik duit abang,”ujarnya perlahan.
            “ Ganti duit? Bila masa kau berhutang dengan aku? ” Rafiq musykil.
            “ Untuk handphone ni.”
Rafiq terdiam sesaat dua. “ Tak payah. Aku belikan untuk kau jadi tak payah bayar.” 
            “ Tapi..Kinah tak mahu..abang anggap Kinah..cuba ambil kesempatan.” Tutur isterinya perlahan. Rafiq terkedu. Dalam hati terasa disindir.
             “ Habis tu, ada aku suruh kau bayar balik? Aku tak suruh, kan? Jadi tak payah susah hati nak bayar balik. Lagipun duit yang kau ada tu pun duit yang datang daripada aku jugak. Tak payah peningkan kepala otak kau dengan hal yang aku tak mintak kau fikirkan. Faham? ” jerkah Rafiq. Terus berubah moodnya yang damai.
            Sakinah menggigit bibir mungilnya. Geram. Ingin ditampar bibirnya yang suka menyinggung perasaan suaminya. Gara-gara mulutnya semua jadi berantakan. Tetapi bukannya dia sengaja mahu berkata begitu. Desakan hati yang menuntutnya berkata demikian sedangkan bukan niatnya. Tetapi Rafiq juga tidak patut menjerkahnya sebegitu sekali.
            “ Kinah mintak maaf, bang.”
            “ Lain kali fikir dulu sebelum cakap. Mulut tu suka sangat cakap benda yang menyakitkan hati aku. Jangan sampai aku gigit mulut kau sampai kau diam.” Rafiq bercakap ikut hati. Tanpa sedar dia sudah terlanjur bicara. Bila sudah terlepas baru terkesan butir bicara yang keluar. Masa itu Rafiq cukup malu. Pertama kali dia gagal mengawal mulutnya di hadapan Sakinah.
            Bodoh betullah kau, Rafiq! Apasal kau cakap macam tu? Kang, dia kata kau dah miang keladi gamaknya! Tempik dalaman Rafiq.
            Sakinah terkesima. Merona merah serata kulit wajahnya. Malu besar dia mendengar ucapan itu. Air liur yang ditelan memang terasa kesat di kerongkong. Ucapan itu seolah-olah menjerat lehernya. Rafiq pula nampak tenang dan selamba. Langsung tidak terkutik rasa bersalah.

1 comment:

hai ! terima kasih ^.^