Followers

/ Tagboard \

We are really hope that you will get something with this blog. Please respect to each other and keep enjoying with us ^.^
.Images are credit to Google.

Alahai,suamiku amnesia! 10


















“ Bakal menantu aku, mujur dia ada. ” Kata Encik Malik.  


Hanan tersentak. Kakinya terpaku daripada terus menapak. Bakal menantu?

“ Aku tak habis fikir macam manalah hero kebun macam kau boleh kena patuk ular? ” soal Encik Daud, teman seperjuangan Encik Malik dalam bidang perkebunan. Sengaja dia datang melawat pagi itu. Mahu menjenguk temannya itu setelah dimasukkan ke hospital semalam. 

“Nak buat macam mana, aku leka sangat menebas semak dalam kebun tu sampai tak perasan ada ular. Alhamdulillah, rezeki aku ada untuk hidup.” 

Masih mencuri dengar. Hanan diamkan posisinya di sebalik tirai yang tergantung di setiap katil hospital. Memandangkan katil Encik Malik terletak paling tepi, tirai tersebut agak menghalang pandangan dari arah belakang. 

“ Kalau bab berkebun Abang Malik memang jaguh, sebab itulah boleh terlantar kat sini. Mujur ada Abrar. Kalau tak wassalam jawabnya.” Gerutu Puan Norsal.

Abrar? Dia selamatkan ayah? Hanan tergamam.

“ Nampaknya tak lama lagi rumah kau meriahlah dengan kenduri. Kenduri doa selamat sekaligus dengan kenduri kahwin sekali, ya tak? ” tebak Pak cik Daud.

            “ Buat apa nak buat kenduri doa selamat? Kenduri kahwin aku fahamlah jugak.”

            “ Kenduri kau kembali sihat, terselamat daripada bisa ular. Mohon perlindungan daripada Allah, moga-moga lepas ni akan baik-baik saja tak payah jejakkan kaki ke hospital lagi.”

            “ Owhhhhh…..” Encik Malik ketawa. Puan Norsal tersenyum sambil menggeleng. Ada saja celoteh Encik Daud. 

            “ InsyaAllah kalau ada rezeki saya jemput tapi pasal kenduri kahwin tu tak pasti lagi, Hanan belum bagi kata putus.” Puan Norsal membetulkan tanggapan Encik Daud. Risau pula disebarkan satu kampung perihal Hanan bakal menamatkan zaman daranya sedangkan keputusan Hanan masih belum pasti, samar-samar dibalik pangkal hati.

            “ Tak payah tangguh-tangguh. Dah ada calon yang baik, langsungkan aje. Lagipun senang nanti bila ada yang menjaga, kita mak bapak tak payah lagi dok risau pasal dia.” Encik Daun mengemukakan  pendapatnya.

            “ Hanan tu lain..kalau dia tak suka, tak terima, kami pula yang susah.” Puan Norsal berkata.

            Hanan pilu. Giginya dikancing erat. Menahan sebak. Dapat dirasakan kesayuan dalam suara itu. Mak..ayah..tolong jangan susah hati sebab Hanan, Hanan tak suka… detik hatinya.

            “ Kadang-kadang kita jangan terlalu mengikut kehendak anak, sebab dia orang ni tak secerdik kita yang dah telan berkilo garam. Mata tua kita lebih kenal yang mana baik, yang mana buruk. Aku tengok Abrar tu memang budak baik. Baru sebulan dua jejak kampung, habis satu kampung dia kenal. Ramah betul budak tu. Tok Imam pun selalu nak jadikan dia bilal, sedap suara dia azan. ”

            “ Aku pun suka dengan budak tu, tapi aku takkan memaksa kalau anak aku tak setuju. Yang nak kahwin dia, biarlah dia yang tentukan jalannya. Kalau kami memandai-mandai, esok lusa kami jugak yang disalahkan.” Luah Encik Malik. Bukan caranya untuk berkeras terhadap anak-anak. Ketegasan yang dia miliki hanyalah untuk membentuk anak-anak bukan memaksa ikut suka hatinya.

            Tersentuh lagi. Lesu hati Hanan mendengar kata-kata itu.  

“ Hanan, kalau dia tak suka memang muktamad. Pujuklah macam mana pun, takkan jalan.” Puan Norsal menambah kata. Encik Daud mengangguk faham. 

            Semakin serba salah. Hanan terjerat. Kenyataan mak dan ayah seolah-olah amat berharap padanya. Mahu melihat dia bersatu dengan Abrar. Pendiriannya semakin goyah. Semakin difikir semakin terdera perasaannya. Hanan beredar, mengatur langkah ke tempat lain dahulu. Fikirannya kian berkecamuk justeru itu, dia harus cari tempat untuk melapangkannya. 

            “ Kalau jadi kau gabungkan terus kenduri doa selamat dengan kenduri kahwin, jimat duit.” 

            “ Kalau aku tak buat kenduri doa selamat kau faham-faham ajelah.”

“ Maksudnya kau tak jadi buat kenduri? ” Encik Daud menebak.

“ Maksudnya, aku gabung dua kenduri sekali harung. Tapi kalau kau dengar ada kenduri doa selamat aje maknanya lama lagilah kau nak merasa nasi minyak dari rumah aku.”

“ Yelah, buatlah macam mana pun asal aku dapat makan nasi kenduri.” Seloroh Encik Daud.  
  
            “ Tak payah tunggu kenduri pun tak apa, datang aje ke rumah. Kami satu keluarga boleh jamu.” Pelawa Puan Norsal mesra. Encik Daud mengiyakan saja.





                       *********************************************************



TEHGAH HARI itu barulah Hanan menjejakkan kaki semula ke wad ayahnya. Dari peristiwa pagi tadi Hanan membawa diri selama beberapa jam ke Taman Tasik Taiping. Puas dia berfikir dan memerah otak bagi menyelesaikan hal yang menjadi dilema buatnya. Setelah mencapai keputusan barulah Hanan bertolak pulang. Kini Hanan pulang dengan satu tekad. Semua perkara yang merunsingkan bakal hilang dari benaknya.

“ Ayah ke mana mak? ” Hanan menyoal apabila kelibat ayahnya tiada di atas katil. 

“ Ke tandas.”

“ Seorang diri? Boleh ke ayah berjalan? ” dia menyoal musykil. Bimbang pun ada.

“ Dengan Abrar. Dia yang tolong bawa ayah ke tandas.” Jawab maknya. 

Hanan terdiam.

            “ Pergi mana Hanan? Dah tengah hari baru nampak muka,” Puan Norsal menyoal.

            “ Ada hal pagi tadi,” beritahunya ringkas.

            “ Ayah kamu sibuk bertanya kamu ke mana, mak jawablah tak tahu. Lain kali nak ke mana-mana jangan lupa cakap, tak adalah orang lain risau. Esok-esok ada suami jangan buat perangai pergi menonong aje tak bagi tahu.” Nasihat Puan Norsal.

            “ Suami Hanan, biarlah Hanan nak buat apa pun.” Balas Hanan selamba.

            “ Eh, melawan pulak dia! Kang mulut tu mak cubit nanti.”

            “ Cubitlah siap-siap, nanti bila Hanan dah kahwin mak dah tak boleh cubit Hanan.” Hanan menjawab berani. 

  Isyhh, mulut tu memang suka menjawab ya! Tak apa, mak ada banyak masa lagi. Kalau Hanan dah kahwin pun, mak akan suruh suami kamu cubit bagi kurang sikit degil tu.” Puan Norsal jegilkan anak mata. 

“ Beranilah dia cubit, Hanan buli dia balik! ”

“ Hanan nak buli siapa pulak ni? ” sampuk Encik Malik. Abrar di sisi ayahnya. Hanan ke tepi, memberi ruang untuk Encik Malik kembali baring di atas katil.

“ Hanan, bang..semuanya tak kena pada dia. Kerjanya nak membuli aje kalau tak puas hati.” Sela Puan Norsal. “ Suami sendiri pun dia nak buli kalau tak puas hati.” Tambahnya mengomel.

“ Mak ayah, Hanan nak bincang dengan Abrar.”

Encik Malik dan Puan Norsal tercengang. Abrar terkebil-kebil. Mereka terkejut kerana tiba-tiba Hanan membuat permintaan. 

Pandangan Abrar bertaut dengan mata Hanan. Tak percaya Hanan mahu bertindak dulu. Asalnya dia sendiri mahu mencari ruang untuk mereka berbincang tapi Hanan pula mendahului.

“ Nak bincang kat mana? Nak suruh mak ayah pergi dari sini? Abang okey ke kalau berjalan keluar, dia orang ada hal nak bincang ni? ” bodoh-bodoh soalan Puan Norsal. Sengaja buat lucu. Mengusir riak ketegangan yang dia perasan dalam situasi yang tiba-tiba muncul. 

“ Mak..Hanan nak keluarlah.”  Gerutu Hanan. Lawak maknya tak boleh blah!

“ Pergilah.” Encik Malik mengizinkan.

“ Jangan Hanan buli Abrar pulak.” Pesan maknya. Hanan buat muka. Menyampah sungguh bila Puan Norsal sengaja membela Abrar walaupun belum tentu lagi jadi menantu.

“ Jomlah,” ringkas Hanan mengajak. Abrar mengangguk.

“ Saya pergi dulu.” Pamit Abrar pada orang tua Hanan.


***************************************************************




MEREKA memilih sebuah pondok kecil dalam kawasan hospital. Memandang rumput hijau yang segar dipanah terik matahari. Nyaman dan damai suasana itu tetapi tidak seaman perasaan Abrar dan Hanan. Hampir sepuluh minit berlalu, mereka masih diam membungkam diri.

“ Hanan nak bincang tentang apa? ” suara garau Abrar bertanya lembut. Memecah sunyi antara mereka. 

Hanan nak tergelak dalam hati ( sinis). Tone suara Abrar sangat sopan baginya. Jauh berbeza daripada Abrar yang ‘dulu’. Belum dapat memanglah suara lembut itik, kalau dah dapat suara tu nak mencecah langit aje! Lelaki oh lelaki ingat aku tak tahu permainan korang !

“ Awak tak ada apa-apa nak cakap? ” Tanya Hanan memulakan perbualan.

“ Hanan nak abang cakap pasal apa? ” Abrar tanya balik. Hanan mengetap mulut. Menahan muka daripada mencemik. Tak faham soalan ke? 

“ Awak datang nak beli hati siapa? ” Mak ayah saya, atau hati saya? sambungnya dalam hati. 

Dari saat kemunculan Abrar di hospital, Hanan tertanya-tanya tujuan sebenar Abrar buat baik pada keluarganya. Sama ada bantuan Abrar ikhlas atau pun sengaja mahu membeli hati mak ayahnya dengan kebaikkan yang dihulur. Hanan betul-betul ingin tahu apa yang terbuku di hati Abrar dan perancangan Abrar terhadapnya.    

“ Beli hati? ” Abrar blur. “ Maksud Hanan? ”

“ Whatever, just ignore it. Saya nak bincang soal kita.” Katanya malas mambahas isu tersebut.
“ Hanan terima pinangan abang? ” Soal Abrar tanpa selindung. Hanan terkejut dengan soalan direct jejaka itu. Langsung tak ada mukadimah!

“ Soal pinangan tu awak serius? ” dia menyoal pula untuk kepastian. 

Berkerut kening hitam Abrar. “ Bila masa abang main-main? ”

“ Jawablah sungguh-sungguh, saya tak ada masa nak main-main.” Gumam Hanan. Balasan Abrar belum cukup memuaskan hati. 

“ Hanan..abang suruh ibu meminang sebab abang betul-betul nakkan Hanan. Buat apa abang nak main-main.” Abrar menjelaskan secara berhemah.

“ Manalah tahu sengaja nak main-main, itukan hobi awak. Suka bolak-balikkan perasaan orang.” Ujar Hanan bersahaja tanpa riak bersalah. Tidak peduli rasa apa yang bakal menimpa Abrar selepas mendengar kata-katanya.

Abrar terdiam. Dapat dikesan kesinisan Hanan padanya.

            “ Look, listen to me Cik Hanan Safura! ” seru Abrar memohon perhatian si gadis.

Hanan berpaling. Seruan Abrar menyeru debaran di dada namun hanya sekilas pandangan yang menyapa mata.

 “Sebelum Hanan buat apa-apa keputusan, abang minta maaf jika ada salah abang yang melukakan hati Hanan. Seriously, abang tak tahu perkara apa yang selalu jadi sengketa antara kita, ibu pula cakap hubungan Hanan dan abang tak pernah aman. Mungkin abang tak mampu nak ingat apa yang berlaku tapi abang harap sengketa yang pernah wujud antara kita dapat Hanan lupakan.” 

Ucap Abrar telus dan bersungguh-sungguh. Cuba membuang sifat anti Hanan terhadapnya. Kelak jika dia tidak memohon maaf mungkin Hanan bakal menolaknya bulat-bulat dan jika itu berlaku Abrar akan mengesali peluang yang jelas miliknya tapi terlepas kerana egonya untuk memohon maaf.

Ha..haha..haha..bergetar isi hati Hanan dengan gelak tawa yang terperangkap. Mudahnya dia cakap! Kalaulah melupakan sesuatu perkara semudah ABC, dah lama aku buat tak payah nak suruh-suruh. Orang yang hilang ingatan memanglah untung besar! Tak payah nak paksa-paksa otak dah pun bagi kerjasama. Tempelak dalaman Hanan.

“ Untunglah awak dah lupa semuanya. Tinggallah saya seorang yang terperangkap dalam ingatan lampau.” Luah Hanan getir.

Tergamam. Abrar kelu. Besar makna disebalik kata-kata Hanan itu.

“ Hanan tak tahu, abang sebenarnya rugi.” Desisnya.

            “ Kalau abang diberi pilihan, abang takkan pilih untuk hilang ingatan. Melupakan semua perkara dengan cara ini buat abang sakit hati. Abang tak kenal siapa diri abang sendiri, abang tak mampu memahami keadaan sekeliling. Abang menjadi orang asing dalam kehidupan ini, segalanya bermula dari bawah. Bermula dari angka kosong! 

 

Semua memori abang bersama ibu, abah dan adik-adik abang tak mampu ingat. Profession yang abang minat juga abang terpaksa lupakan. Dan paling abang kesal, abang lupa siapa Hanan pada abang. Abang lupa pada kenangan kita. Abang jadi sakit hati bila semua orang kata abang dan Hanan tak mungkin bersama disebabkan kenangan lalu. Kenangan yang menjarakkan Hanan dari abang tapi mendekatkan abang pada Hanan. Mungkin pada Hanan kenangan itu buruk tapi bagi abang setiap perkara yang berkaitan Hanan adalah perkara terbaik yang berlaku dalam hidup abang, walaupun Hanan membencinya. Bagi abang dalam dunia ni tak ada sesiapa yang lebih rugi melainkan diri abang. ”


Hanan terusik. Dia segera melarikan wajah. Diseka titisan air yang entah bila lerai dari mata.

“ Kalau Hanan rasa terseksa dengan kenangan tu, berilah abang peluang untuk rawat rasa sakit tu. Abang nak berkongsi rasa dengan Hanan. Bagi abang kesempatan untuk bertanggungjawab dengan apa yang abang dah coretkan.” Dalam berbicara Abrar memujuk rawan di jiwa Hanan.

“ Abang tak faham, Hanan takut gagal! ” keluhnya sedikit keras.

“ Takkan ada kegagalan sebab kisah kita belum bermula.” Sela Abrar. Hanan merengus. Geram!

“ Macam mana kalau abang ingat balik semua perkara dan tiba-tiba kebencian abang muncul pada Hanan. Masa tu Hanan nak buat apa? Nak biar abang caci maki Hanan? Nak biarkan rumah tangga  yang kita bina hancur disebabkan abang mula membenci.” Soalnya bertalu-talu tanpa sedar bahasa dirinya turut berubah. Memanggil Abrar juga dengan panggilan ‘abang’.

Akhirnya Hanan meluahkan prasangka yang dia peroleh daripada hasil berfikir di Taman Tasik tadi. Perkara itu yang membimbangkan Hanan. Risau jika Abrar kembali sembuh, hidupnya pula yang bakal terancam. Tentulah memori-memori yang sirna suatu ketika dulu bakal merencatkan perhubungan mereka. Abrar akan mengetahui perasaan sebenarnya pada Hanan. Kebencian yang terkubur bakal hidup semula. Bila berfikir soal itu, Hanan takut sangat. Takut jika Abrar berubah hati jika dia kembali ingat.

“ Abang tak mungkin bencikan Hanan, itu janji abang! Kalau pun ingatan abang pulih, Hanan tetap akan jadi isteri abang. Demi Allah, Hanan dekat di hati abang dan abang tak rasa dulu abang pernah benci pada Hanan. Kalau dulu abang pernah membenci sekurang-kurangnya hati abang akan menegah dari jatuh cinta daripada Hanan. Tapi hakikatnya hati abang sendiri inginkan Hanan.”

Penuh erti Abrar membalas persoalan Hanan dalam melahirkan rasa hati. Tidak malu menyingkap apa yang telah tersemai di dalam sanubari. Abrar mahu Hanan yakin padanya.   

“ Perkara ni tak semudah yang awak sangka.” Gerutu Hanan. Tidak terkesan dengan bicara Abrar yang mengaku jatuh hati padanya. Hanan tak ada perasaan untuk merasainya. Biarlah Abrar syok sendiri!

“ Perkara ni akan jadi mudah kalau Hanan memudahkannya.”

“ Okey, fine saya akan mudahkan semuanya!” getusnya nekad. Hanan bangkit dari terus duduk.

Abrar termangu.. Terkebil-kebil dengan respon Hanan.

 “ Saya terima! ” putus Hanan tiba-tiba.

Berdesing telinga Abrar. Terkesima. Jawapan Hanan menggetarkan dirinya.

“ Saya terima kalau awak masih mahukan saya.” 

“ Hanan pasti? ” Abrar turut berdiri.

“ Habis tu, awak ingat saya main-main? ” tingkah Hanan. Abrar menggeleng. Alhamdulillah… 

Hanan terus berpaling. Mahu menapak pergi.

“ Hanan..” seru Abrar. Kaki Hanan yang mula mengorak langkah seraya terhenti. Dia tidak menoleh ke Abrar. Malas mengalih posisi.

“ Cikgu Safwan,” Abrar jeda. Tertahan-tahan nafas di dada bidang itu.“ Hanan tak ada hubungan dengan dia, kan? ” sambungnya.

“ Tak ada.” Dalam terkejut Hanan menjawab. Tidah menjangka Abrar akan membangkitkan soal Cikgu Safwan.

“ Jangan berhubungan lagi dengan Cikgu Safwan, abang tak suka.” Tekannya lembut seraya berlalu pergi, meninggalkan Hanan yang tercengang.

Hanan telan liur. Mulutnya terkancing rapat. Benar-benar di luar dugaan, Abrar berani mengeluarkan kenyataan seperti itu padanya. Sebuah arahan yang tidak boleh diingkari.   












8 comments:

  1. so sweet i like it my dear aii...so continue next...hehe..i enjoy read...so coo..

    ReplyDelete
  2. mak pun suka.....

    ReplyDelete
  3. cepat...nk sambungannya..

    ReplyDelete
  4. hahahah...
    i can feel your jealousy...
    dan jeles abrar itu sungguh comel sekali..:)

    ReplyDelete
  5. Abrar, jealous kn?? hehe
    ok tq to readers yg sudi bace n3 kali ni,
    untk next n3 mgkin lmbt ckit,
    lately bz sngt2,
    peace no war ^^

    ReplyDelete
  6. nk gggggggggg dek..suker nyer bile abrar dh pandai jeles2..ade makna tuh hanan!!!

    ReplyDelete
  7. next?? huhu. lama menanti. i like ur susunan kata. sedap dibaca. keep it up sis ;)

    ReplyDelete

hai ! terima kasih ^.^