Followers

/ Tagboard \

We are really hope that you will get something with this blog. Please respect to each other and keep enjoying with us ^.^
.Images are credit to Google.

Bab 15



Tegang air muka Rafiq ketika Sakinah menegur sesuatu padanya. Rafiq menyerahkan Shafiq pada isterinya setelah masuk dalam kereta. Ingin dimarahi Shafiq rasanya sangat mustahil. Anaknya masih terlalu kecil dan tidak mengerti apa yang diperlakukan. Rafiq cuba bersabar tetapi bau kurang enak tetap menerpa ke rongga hidung.
            Dicapai sehelai dua tisu di dashboard. Kemudian diseka kesan muntah susu Shafiq di bahunya. Sakinah mengerling riak Rafiq yang kelihatan marah. Dia tidak berani melihat secara langsung. Risau ditempelak seperti dalam shopping mall tadi.
            “ Er, abang nak tukar baju lain? ” Sakinah menyoal lembut.
            Rafiq mendengus marah. Tajam bola matanya menikam Sakinah. “ Boleh tak jangan tanya soalan bodoh masa ni! Mana ada baju lain dah. Yang aku pakai inilah yang aku ada. Kau punya pasallah Shafiq muntah. Kalau kau tak sogok susu pada dia tak adanya dia muntah.” Radang bicara Rafiq. Sakinah tergamam.
“ Er.. sebenarnya tadi.. Kinah ada belikan baju untuk abang.” Beritahunya perlahan. Wajahnya ditundukkan.
“ Buat apa kau susah-susah belikan? Ada aku suruh? ” kata Rafiq tidak senang. 
Sakinah menggeleng. “ Er.. tapi..sengaja Kinah nak berikan pada abang. Er, abang nak pakai baju tu? ” tawarnya. Mana tahu Rafiq ingin menukar ganti pakaian yang telah dicemari muntah Shafiq.
“ Kau ingat dengan bagi aku sehelai baju boleh membuatkan aku menerima kau? Dengan kebaikan yang tak seberapa ini? Mustahillah, Sakinah. Aku bukan semudah itu untuk disogok. Kau ingat aku macam Shafiq yang tak tahu apa-apa tentang hati manusia? Aku cukup kenal dengan watak yang kau cuba mainkan dan aku takkan sesekali terperangkap.” Balas Rafiq tegang.
Sakinah menggigit bibirnya. Mengawal sesak di dadanya yang diterpa pilu dan sedih. Sakit telinganya mendengar ungkapan Rafiq. Membakar jiwanya yang begitu sensitif. Namun, dia terpaksa juga menempuh cemuhan seorang suami.
“ Mana baju tu? ” Rafiq amat terpaksa membuat pilihan itu. Dia perlukan baju ganti  untuk ditukar dengan bajunya yang telah kotor. Bau kurang enak semakin menerjah ke hidung. Rafiq tidak selesa. Memang menyesakkan kepala otaknya jika terus memakai baju tersebut. Dia tiada pilihan lain selain menerima pemberian isterinya walaupun tidak disenangi.
Sakinah mengambil beg kertas yang berisi beberapa helai pakaian yang dibeli dari tempat duduk belakang. Dicapai sehelai kemeja. Sewaktu memilih kemeja tersebut Sakinah terbayangkan suaminya. Sangat padan jika Rafiq mengenakan kemeja itu ke tubuh. Tetapi dalam benak Sakinah tertanya-tanya sama ada Rafiq akan sudi untuk memakai pemberiannya itu. Syukurlah, rupa-rupanya hal ini pula yang menyusul. Walaupun tidak sengaja dan tidak dirancang. Jauh sekali mengagak bahawa Shafiq akan mencetuskan segala-galanya.           
            Dihulurkan kemeja yang baru dibelinya tadi pada suaminya. Rafiq menyambut dingin. “ Kau tunggu sini sekejap. Aku nak ke tandas tukar baju. Jangan nak ke mana-mana. Kunci pintu kereta elok-elok. Kalau ada orang asing datang suruh kau keluar, tak payah peduli. Jangan percaya cakap orang yang kau tak kenal. Faham? ” tekan Rafiq ketika berpesan. Tidak mahu mengundang padah jika tidak dipesan siap-siap pada Sakinah.
                                                                  
“ KINAH..” Jari-jemari Datin Noraini mencuit pipi Sakinah yang sedang melamun jauh sehingga langsung tidak menyedari kehadirannya. Sakinah tersenyum malu. Mujurlah hanya tinggal mereka berdua di dapur. Yang lain telah ke depan semuanya. Kak Milah pula meminta diri ke bilik untuk menunaikan solat isyak sebentar. Sakinah mengambil kesempatan mencuci pinggan mangkuk yang bertimbun selepas makan. Sengaja menyorokkan diri daripada terus berlakon bersama suaminya. Tiba-tiba terpacul pula  Datin Noraini di sebelahnya. Telah menangkap perbuatannya yang diluar sedar.
            “ Ingatkan apa ni? Dari tadi umi tengok ralit melamun.” Cungkil Datin Noraini dengan senyuman nakal.
            “ Tak ada apa-apa, umi.” Jawabnya berdalih. Menyambung basuhannya.
            “ Bukan melamunkan Rafiq? ” giat Datin Noraini lagi.
            Sakinah hanya tergelak. Menutup kehampaan terhadap sangkaan yang berada di benak Datin Noraini. Memang soal Rafiq yang difikirkannya. Tetapi apa yang bermain di minda mertuanya adalah perkara indah dan bahagia berbeza pula dengan apa yang diharunginya. Teringatkan kekasaran tutur kata Rafiq padanya sebelum sampai ke rumah mertuanya.
            “ Kita duduk di meja sekejap boleh? Umi nak sembang-sembang dengan Kinah.” Datin Noraini mengajak menantunya mesra.
            Sakinah terkedu. Pasti ada perkara yang ingin dikorek Datin Noraini tentang keadaan rumah tangganya. Sakinah risau. Bimbang membuka cerita sebenar disebalik kepura-puraan mereka. “ Er, Kinah nak selesaikan kerja ni dulu. Umi ke depan dulu nanti Kinah menyusul.” Elaknya. Moga-moga Datin Noraini menurut.
            “ Alah, tinggalkan aje kerja tu nanti Kak Milah boleh buat. Tak pun lepas ni, umi boleh sambung kerja Kinah tu,” Datin Noraini menggesa. Terlalu menggebu keinginan rasa hati untuk mengetahui cerita yang melingkari kehidupan alam perkahwinan Rafiq dan Sakinah.
            Terpaksa Sakinah mengelap tangannya yang basah pada tuala kecil. Kemudian diambil langkah menuju ke meja makan yang terletak di tengah ruangan dapur. Berdebar-debar hatinya menghadap Datin Noraini. Takut pekung di dada akan terlerai.
            Datin Noraini menarik tangan Sakinah. Digenggam erat.“ Betul ke apa yang umi dengar siang tadi? Sungguh Rafiq dah boleh menerima Kinah seperti apa yang diperkatakan Rafiq petang tadi? ” terus-terang Datin Noraini bertanya. Ingin menghilangkan keraguan di hati.                  
            Sakinah tetap mengangguk biarpun rasa bersalah menghimpit jiwa. “ Betullah, umi.” Diselitkan sebuah senyuman untuk meyakinkan mertuanya.
            “ Betul ni? Jangan sesekali cuba menipu, umi. Kalau ada apa-apa yang tak kena lebih baik Kinah ceritakan pada umi sebab umi dapat rasakan ada sesuatu yang cuba diselindungkan dibalik sinar mata Kinah.” telah Datin Noraini penuh curiga.
            Sakinah mengangguk segera.“ Sungguh.”     
            “ Tipu! Umi tahu Kinah sedang menipu umi. Kenapa boleh jadi begini? Mana sifat jujur Kinah selama ini? ” Datin Noraini bertegas. Nalurinya dapat menghidu sesuatu keanehan yang turut mengekori kata-kata Sakinah. Kesungguhan menantunya tidak sepenuh hati.
            Sakinah teguk liur. Kaku mulutnya untuk membidas. “ Maafkan, Kinah”   
            Datin Noraini mengeluh. “ Umi tahu sangat bila tengok keadaan Kinah macam ni. Umi tahu yang Kinah masih belum berbaik dengan Rafiq, kan? Rafiq masih tak boleh menerima Kinah, kan? ” soalnya bertalu-talu.     
            “ Kinah tahu Kinah tak patut menipu umi tapi keadaan memaksa Kinah..” Sakinah bungkam. Tidak tahu apa lagi ucapan yang patut diperkatakan. Dia bersalah kerana cuba menipu orang tua yang lebih mempunyai pengalaman hidup berbandingnya.
            “ Habis tu, tadi semua lakonan? Sengaja nak permainkan umi, abah dan semua orang? ” soal Datin Noraini. Perlahan-lahan Sakinah terpaksa mengangguk.
            “ Ini mesti cadangan Rafiq, kan? Akal dia saja yang mampu merancang semua ini. ” Sela Datin Noraini dengan sinar mata yang marah.
            “ Janganlah umi marah pada abang sebab Kinah tahu sebenarnya dia juga terhimpit dengan situasi antara kami. Abang terpaksa lakukan ini semua supaya umi tidak terus menerus bimbang tentang perkahwinan kami. Abang tak mahu umi terus bersedih melihat keadaan hubungan kami yang terus menegang.” Ujar Sakinah lembut. Memujuk radang yang meresap ke hati mertuanya.
            “ Dengan cara menipu, umi? Berlakon kononnya bahagia sedangkan hati masing-masing tak rela. Kinah suka dengan apa yang Rafiq buat? Boleh Kinah terima semua ini dengan hati terbuka? ” Tekan Datin Noraini geram.
            “ Kinah mengaku memang payah tetapi Kinah terima dengan keadaan yang sedia ada ini sebagai satu perjalanan yang perlu dilalui sebelum mencapai kejayaan. Lagipun Kinah dah biasa sangat dengan kedinginan abang. Dah lali dengan marah abang yang tak menentu. Dan Kinah tak kisah sebab Kinah tetap nak menunggu sehingga abang mengalah juga akhirnya.”
            Sakinah berbicara panjang. Senyuman manis menghiasi bibir mungilnya. Disulam kemas jari-jemari antara mereka berdua. Itulah impian dan doa yang selalu dipohon agar Allah melembutkan hati suaminya untuk menerima kehadirannya sebagai seorang isteri. Bukan hanya sebagai ibu pada Shafiq.
            Datin Noraini mengetap bibir. Menahan perasaan pilu dan sedih yang menyerbu dada. Kelopak matanya hampir menerbitkan air namun dikawal. Dirinya terasa sungguh mengesali tingkah Rafiq yang melampau. Sanggup mempergunakan kebaikkan yang dipunyai oleh menantunya. Sakinah pula satu hal. Tidak boleh berkata tidak pada Rafiq. Selagi mampu ditelan Sakinah tetap cuba bertahan. Inilah menantu pilihannya.
            “ Dah tu, Kinah nak terus ikut telunjuk Rafiq? Nak biarkan diri Kinah terus dipergunakan dan dipermainkan? ”
“ Umi janganlah risau. Kinah dah biasa dengan semua ini. Selagi mampu Kinah akan cuba menempuhnya walaupun pahit. Yang penting sokongan umi perlu sentiasa ada bersama Kinah supaya keberanian Kinah lebih berganda untuk mengharungi semua ini. Umi sendiri pernah kata, untuk menawan hati seorang suami kita perlu berani jadi, Kinah akan beranikan diri untuk menghadapi segala kerenah abang dengan sebaik mungkin. Sehingga sampai suatu masa abang sendiri akan mengadu letih dan mengalah daripada bersengketa lagi dengan Kinah.” Tutur Sakinah panjang dan bersemangat.    
Datin Noraini melepaskan nafas berat. Mahu melegakan keresahan yang bermukim di hatinya. “ Kenapalah Kinah nak berlembut sangat pada Rafiq? Dah empat bulan, sayang. Macam-macam Rafiq dah lakukan pada Kinah tapi Kinah langsung tidak menyerah mahupun memarahi umi atas perkara yang berlaku. Kalaulah umi tidak bersungguh-sungguh meminta dulu tentu Kinah takkan terjebak dalam masalah ini.” Datin Noraini mula menyalahkan diri.
“ Sebab hati abang tengah berkeras sekarang jadi, Kinah perlulah berlembut. Keras dan lembut bukan ke satu sifat yang saling melengkapi? Oleh itu, Kinah harus menggunakan kelembutan untuk menundukkan kekerasan hati abang. Kalau Kinah balas juga dengan kekerasan alamatnya memang tidak ke mana hubungan kami. Silap hari bulan Kinah boleh diceraikan abang pulak nanti.” Seloroh Sakinah untuk menenangkan kegugupannya. Entah mengapa malam ini tiba-tiba fikirannya lebih terbuka untuk berbicara soal itu.    
            Datin Noraini menarik Sakinah dalam pelukannya. Puas hatinya dengan penjelasan Sakinah. Jika suatu hari nanti Rafiq ingin melepaskan Sakinah, Datin Noraini akan tetap mengiktiraf Sakinah sebagai menantu perempuan tunggal yang dia pernah miliki.
            “ Umi..” sela Sakinah dalam pelukan.                                                                               
“ Hrmm..”
“ Abang Rafiq akan berubah, kan? ”
“ Aik, kenapa pulak tanya macam tu? Tadi bersungguh-sungguh kata nak tawan hati suami, takkan sekarang tak percaya dengan keberanian sendiri? ” sangkal mertuanya. Terselit senyuman dipinggir bibir Datin Noraini.
“ Bukan tak berani. Cuma Kinah takut semua usaha Kinah akan berakhir dengan kegagalan. Kinah takut hati abang memang sudah tertutup rapat untuk menerima Kinah. Risau kalau-kalau abang takkan boleh menerima Kinah sampai bila-bila pun. Semua itu tak mustahilkan, umi? ” ujar Sakinah bimbang.  
            “ Berdoalah, sayang. Doa itu satu perbuatan yang amat Allah sukai daripada hambanya. Bila kita inginkan sesuatu bermakna kita akan mula mengingati Allah. Meminta dan merayu kepada Allah untuk memakbulkan doa kita. Sebab itu, jangan sesekalipun putus berdoa.  Lebih kerap kita berdoa dan mengingati Allah, insya Allah doa itu akan diangkat kerana hati kita tidak berhenti-henti merayu dan merintih untuk memohon pertolongan daripada Allah.
            Ingat, Allah takkan menghampakan hambanya yang selalu berdoa padaNya. Tetapi perlulah berdoa seikhlas hati semata-mata untuk mendapatkan keredaan Allah. Bukan kerana terdesak menginginkan sesuatu dengan mudah dan apabila tak dapat sesuatu yang diingini mulalah mengeluh benci, menuduh yang bukan-bukan pada Allah. Sedangkan diri sendiri malas berdoa. Jangan kita jadi begini. Waktu senang lupa pada Allah, waktu susah sanggup menangis-nangis dan merangkak-rangkak inginkan sesuatu dengan percuma daripada Allah. Itu termasuk dalam golongan manusia yang kerugian.”
            Nasihat mertuanya panjang dalam versi pengisian rohani agar dia lebih tegar mengharungi hari-hari esok. Tambahan pula, pesanan mertuanya meredakan sedikit ketegangan akal fikirannya yang merusuh sejak tadi.
            Sakinah tersenyum lalu mengangguk. Pengertian dan keprihatinan Datin Noraini amat dihargainya. 


Demi kasih sayang mertuanya yang luhur, Sakinah bertekad untuk berjuang. Perjuangan untuk merebut hati 


seorang suami.

No comments:

Post a Comment

hai ! terima kasih ^.^