Followers

/ Tagboard \

We are really hope that you will get something with this blog. Please respect to each other and keep enjoying with us ^.^
.Images are credit to Google.

Alahai, suamiku amnesia! 7






                                                                                                             ~ Abrar Zikry~                  


                    ******************************


“ Kenapa resah sangat ni? Dari petang tadi ibu tengok Abrar tak tenang, macam ada yang tak kena. Tak sihat? ” tebak Puan Salmi sewaktu melihat Abrar galak merenung keluar tingkap rumah. Kain baju yang telah siap dilipat, disusun kemas atas meja kopi. Sekarang sepenuh tumpuan dialihkan pada anak terunanya.

“ Abrar sihat, ibu janganlah risau.” Jawabnya. Abrar kemudian menutup tingkap. Keheningan malam nyata tidak membantunya. Lebih baik dia mencari ketenangan itu daripada ibunya. Abrar melabuhkan punggung di sofa yang sama dengan Puan Salmi.

 

“ Habis tu apa yang merunsingkan fikiran Abrar? Tak mahu cerita pada ibu? ” Puan Salmi bertanya cakna.

 

Abrar tidak menjawab sebaliknya dia mengambil peluang membaringkan kepala di riba ibunya. Mahu menikmati belaian seorang ibu. Puan Salmi mengulum senyuman. Lagak Abrar mencuit hati. Tidak malu minta dimanjai. 

 

Perubahan ketara ini berlaku sejak Abrar ditimpa kemalangan, sejak disahkan anaknya itu mengalami amnesia. Walaupun terselit kepahitan namun ada manisnya. Puan Salmi tidak dapat nafikan bahawa kemalangan lalu mendatangkan rahmat dalam merapatkan jurang antara dia dan Abrar. 

 

Sifat Abrar  yang lebih suka berdikari dan  menyendiri sewaktu dulu sirna diganti pula dengan sifat mesra, manja dan terbuka terutama padanya. Sukar Puan Salmi menerima hakikat bahawa anak  yang dulu payah untuk berbual dan bermanja dengannya kini sedang membaringkan kepala di ribanya. Namun dia sangat bersyukur untuk itu. 

 

Tiba-tiba terukir senyuman di bibir Puan Salmi. Jika suaminya terlihat kemesraan saat ini pasti muncung satu hasta bakal terjuih, sangat-sangat cemburu walaupun dengan anak sendiri! Mujur Encik Asri telah ke rumah Wak Seman atas jemputan tahlil malam itu sekali dengan solat Isyak berjemaah, tinggallah dia dan Abrar di rumah.

 

“Jangan simpan dalam hati nanti penyakit yang terkumpul boleh menular ke anggota yang lain. Kalau Abrar sudi, ibu boleh jadi tempat membuang segala keresahan dan kebimbangan Abrar. Dengan cara itu, Abrar takkan rasa sakit lagi.” Tutur Puan Salmi penuh kasih sayang seiring mengusap rerambut Abrar. 

 

 Tangan Puan Salmi dicapainya. Abrar mengucup tangan si ibu. Kemudian dibawa ke dadanya.

 

“ Dada ni rasa sakit..ibu..” luahnya dengan suara yang paling dalam.

 

“ Kenapa? Abrar rasa tak sihat ke? ” Tanya si ibu. Bimbang.

Gelengan kepala diberikan sebagai jawapan. Abrar menghembus nafas. Membuang resah di jiwa.

“ Habis tu kenapa? ”

 

 “ Setiap kali berfikir tentang dia.. dada ni rasa sakit sangat, tapi dalam masa yang sama Abrar takut kehilangan dia,” kata Abrar lirih.

 

“ Siapa? ” tiba-tiba Puan Salmi berdebar cemas. Syaziana? Abrar dah ingat tentang Syaziana ke?

 

Kali ini Abrar menarik nafas panjang sebelum menghelanya dengan tenang. “ Ibu bahagia dengan abah? ” soalnya dalam pandangan penuh erti.

 

Puan Salmi mengangguk walaupun hairan dengan pertanyaan itu. 

 

“ Abrar nak jadi macam abah yang selalu melindungi ibu,  mengasihi dan memberikan ibu kebahagiaan.” Desisnya di hujung bibir. Seakan berbisik lembut. 

 

Abrar memejamkan mata. Mengumpulkan semula kekuatan jati diri yang dirasakan hilang. Mainan perasaan menjadikan Abrar keliru dan hairan. Kenapa aku boleh jadi selemah ini hanya kerana dia? Ada apa dalam dirinya yang mampu mengikat hatiku sampai gelisah macam ni? Siapa dia sebenarnya padaku ? 

 

“ Abrar takut tengok mata dia, ibu.” Tuturnya lagi. Saat ini suaranya kedengaran manja. Lagaknya seperti kanak-kanak mengadu gara-gara tidak puas hati.

 

“ Kenapa Abrar takut ? ” Puan Salmi melayan kemanjaan anak terunanya itu.

 

“ Setiap kali Abrar pandang mata dia, Abrar tenggelam dalam renungan tu. Abrar rasa terpukau, ibu. Kadang-kadang Abrar rasa mata dia jahat sangat.” Dia berjeda. “ Tapi bila dia dekat dengan Abrar, Abrar rasa nak lindungi dia sangat-sangat. Kalau boleh biarlah dia selalu di sisi supaya Abrar dapat jaga kebajikan dia.”

 

“ Begitu istimewa dia pada Abrar. ” rumus Puan Salmi. Tangannya masih dalam genggaman Abrar. Dekat di dada anak terunanya. Sementara sebelah tangan lagi membelai rambut Abrar. 

 

“ Kalaulah dia mampu rasa apa yang Abrar rasa sekarang, mungkin semuanya akan jadi mudah.” Dalam meluahkan bicara Abrar berharap.    

 

“ Ibu..” 

 

“ Ye sayang..”

 

“ Abrar keliru, apa maksud semua ni? ”

 

Puan Salmi menguntum senyum. “ Maksudnya… Abrar nak suruh ibu dapatkan dia untuk Abrar. Abrar tak mahu kehilangan dia dan  kalau boleh Abrar nak ikat dia untuk terus diam di sisi kamu. Betul tak apa yang ibu cakap? Come on, beritahu ibu siapa dia? ” soal si ibu berdebar. 

 

“ Hanan,” balas Abrar pendek seraya mengatupkan mata. Menyebut sepotong nama itu sudah mampu membolak-balikkan perasaannya. Terlalu istimewa rasa yang menyerap. Tentulah ini petunjuk untuk dia berusaha memiliki gadis itu.

 

Alhamdulillah..Puan Salmi melepaskan nafas lega. Rasa cemas yang dia hadapi beransur hilang, diganti pula dengan rasa bahagia. Gembira kerana Abrar telah berjaya menempatkan Hanan di dalam hati menggantikan posisi Syaziana.

 

Dalam bahagia Puan Salmi hairan. Musykil kerana pertemuan sesingkat ini mampu membenihkan cinta. Begitu mudah Abrar tertawan dengan Hanan sedangkan baru semalam dua insan ini bertemu setelah berpisah lapan tahun. Puan Salmi pelik, Abrar tidak dapat mengecam Syaziana walaupun dengan mata hati sedangkan cinta pernah wujud antara mereka. Sebaliknya Abrar mampu mengesan keistimewaan Hanan melalui jiwanya. Apa maksud semua ini? Siapa Hanan pada Abrar sebenarnya?  

 

“ Abrar tahu tak sebenarnya Hanan pernah jadi tunang kamu? ”

 

Abrar terkejut. Bulat matanya.“ Tunang? Bila masanya ibu? Sebelum Abrar hilang ingatan ke? ” soalnya bertubi-tubi. Hanan pernah jadi tunang aku?

 

“ Walaupun nampak seperti tak logik tapi arwah atuk kamu asyik cakap kamu berdua dah bertunang. Lebih dua puluh tahun dulu waktu kenduri arwah nenek, Abrar pernah sarungkan cincin pada Hanan depan semua tetamu.Umur kamu waktu tu kira-kira dalam empat tahun.” Ceritanya ringkas.

 

“ Betul ke, ibu? ” Abrar mendongak. Mencari kejujuran di wajah lembut ibunya.

 

Pantas Puan Salmi mengangguk. “ Betullah, takkan ibu nak reka cerita.”

 

“ Dari mana pula cincin tu datang? ” Abrar kehairanan. 

 

“ Cincin Alia. Kamu cabut cincin dari jari Alia, lepas tu sarungkan ke jari Hanan. Abrar waktu kecik memang nakal sangat, semua benda kamu nak usik. Hanan pula baru berumur setahun waktu tu sebaya dengan Alia. Arwah atuk yang turut jadi saksi waktu kamu sarungkan cincin asyik cakap yang kamu ni dah dikira bertunang. Ibu dengan Mak cik Norsal tak anggap serius pun, kami tak ada pun mengikat janji. Yelah, benda tak pasti takkan nak main janji-janji. Takut Abrar dan Hanan dah ada pilihan lain bila dah besar.” Cerita Puan Salmi membongkar sejarah lalu.

 

Dalam mengimbau kenangan lama, Puan Salmi dapat mengesan sesuatu yang aneh pada pemikirannya. Kata-kata arwah Haji Karim bahawa Abrar dan Hanan telah ‘bertunang’ menyedarkan Puan Salmi tentang sebuah hakikat. Hakikat bahawa ikatan antara Abrar dan Hanan telah wujud lama dahulu!       

 

Arwah haji Karim amat memahami apa yang tersirat dalam diri Abrar. Setiap tingkah laku Abrar mampu dibacanya. Oleh itu, tindakan Abrar sewaktu kecil sebenarnya mahu menyampaikan keinginan hatinya terhadap Hanan. Simboliknya, arwah Haji Karim mampu menafsirkan tindakan tersebut lahir dari perasaan Abrar yang ingin memiliki Hanan. Sungguhkah? Puan Salmi terkedu.

 

Maknanya mereka sememangnya berjodoh dari dulu? Abrar dan Hanan? Mungkinkah amnesia yang dialami Abrar sebenarnya percaturan Yang Maha Esa untuk membawa Abrar pulang kepada tujuan sebenar?  Sehingga saat ini, Abrar langsung tidak terkesan dengan perihal Syaziana. Destina cinta Abrar sebenarnya menuju ke arah Hanan, bukannya pada Syaziana. Ya Allah, betulkah apa yang aku fikirkan sekarang? Sungguhkah mereka diciptakan bersama? Fikir Puan Salmi sehingga tepu mindanya. Gara-gara mahu menebak kebenaran yang kabur. 

 

“ Kenapa ibu diam? Ibu tak sukakan Hanan? ” Abrar menyoal tiba-tiba. Kebisuan Puan Salmi menjadikan dia tidak keruan. Bimbang jika keinginannya tidak sejajar dengan kemahuan ibunya. Abrar takkan meneruskan niat sekiranya tidak mendapat restu Puan Salmi. 


“ Suka. Ibu terima siapa pun pilihan hati Abrar,” Puan Salmi menjawab mesra. Tapi selagi ibu hidup, ibu takkan terima Syaziana walaupun Abrar cintakan dia, sambung Puan Salmi di lubuk hati. 

 

Abrar lega namun dia belum berpuas hati. Kegusarannya masih tebal. Sehingga mengkhuatirkan nuraninya. “ Tapi ibu…Hanan nak ke terima Abrar? ” 

 

“ Semua orang yakin yang Hanan takkan terima Abrar. Teruk sangat ke Abrar untuk Hanan? Kejam sangat ke layanan Abrar pada dia dulu? ” sayu bicara Abrar. Pertanyaan itu lebih mengungkap rasa hati yang terkilan.

 

“ Isyhh, anak ibu ni bukannya pengganas! Istilah kejam tu tak sesuai digunakan. Jangan fikir yang bukan-bukan, jangan dengar cakap orang. Ibu akan usahakan kalau Abrar memang nakkan Hanan.” Tegas ibunya.   

 

“ Tapi Hanan macam mana? Kalau jawapan dia negatif ? ” Abrar menduga.

 

“ Ibu akan positifkan jawapan tu, insya Allah! ” tekad si ibu. Abrar terkebil-kebil. Puan Salmi kelihatan yakin, membuatkan Abrar tergamam. 

 

 

 


*********************************************************************




JAM tepat pukul12 malam. Dentingan jam dinding bergema. Membelah sunyi dan senyap seluruh isi rumah. Namun Datuk Syukri masih menyendiri di dalam bilik kerjanya. Tidak berkutik tubuhnya. Keinginan untuk melenakan diri dalam keheningan malam telah sirna. Fikirannya berserabut.

            Perbincangan mereka anak-beranak telah menggelegakkan darah merahnya. Syaziana bereaksi berani untuk mempertahankan haknya. Anak tunggal kesayangannya itu telah menjebaknya dalam situasi lampau. Hampir-hampir membuatkan Datuk Syukri nyaris mengangkat tangan.

 

            “ Papa perlu ceritakan hal sebenar pada Syaz. I need to know everything.” Terjah Syaziana ketika Datuk Syukri baru pulang dari pejabat. Belum sempat dia melabuhkan punggung, anaknya menyerang.

 

            “ Syaz, papa penat tu. Biar papa berehat dulu.” Datin Azura menegur. Kurang bersetuju dengan tindakan Syaziana. Dia segera menghampiri suaminya yang mematung gara-gara Syaziana.

 

“ Syaz tak kira, Syaz kena tahu semuanya sebab semua ini berkaitan dengan Syaz. Cerita yang papa sorokkan tu dah menjadi penyebab Syaz kehilangan Zikry.” Desaknya tegas.

 

Datuk Syukri menatap tajam anak gadisnya itu. Ketegasan Syaziana mengejutkannya.

 

“ Abang tak payah perdulikan Syaz. Pergi naik atas mandi.” Datin Azura mencapai beg kerja suaminya.

 

“ Atau pun papa ada hubungan sulit dengan mak Zikry? ” tebak Syaziana lancang. Pantas berdiri memeluk tubuh.

 

“ Syaz! ” Datuk Syukri menjerit. Dia terkejut. Sungguh berbisa tuduhan tersebut.

 

Syaziana tersentak dengan jeritan tersebut. Namun dia berlagak tenang. Demi mengetahui sebuah kebenaran.

 

 “ Jaga mulut kamu, Syaz.” Datin Azura memberi amaran pula.

 

“ Syaz hormatkan papa dan mama tapi selagi Syaz tak dapat tahu cerita yang sebenar, Syaz takkan duduk diam. Syaz akan terus menyalahkan papa kerana menghalang hubungan Syaz dengan Zikri. Papa nak jadi penyebab Syaz tak bahagia? ” Syaziana menggertak. Sinar matanya berapi-api. Menunjukkan tahap kesabaran yang ada kini tinggal sifar.

 

“ Baik, kalau Syaz rasa papa penyebab Syaz tak bahagia, papa akan cerita.” Datuk Syukri beralah. Mungkin ini adalah jalan yang terbaik daripada dia berterusan menyembunyikan kebenaran.

 

“ Abang..” isterinya cuba menghalang.

 

“ Go ahead. Syaz memang dah lama tunggu cerita lapuk yang papa simpan selama ni.” Syaziana memeluk tubuh. Pertuturannya pada Datuk Syukri tidak lagi dijaga. Hanya kerana sakit hati, Syaziana menganggap Datuk Syukri seperti seorang pesalah yang tidak layak dihormati.

 

“ Kurang tiga puluh tahun dulu sebelum papa berkahwin dengan mama, papa pernah berkahwin dengan seorang wanita bernama Suriani.” 

 

Mata bulat Syaziana terjegil. Terperanjat. “ Papa pernah kahwin dengan perempuan lain selain mama? How could this happen? ”

 

“Kami berkahwin atas dasar cinta. Mak Zikry merupakan kakak kepada wanita yang papa kahwini. Suriani isteri papa di kampung sebelum papa berhijrah ke bandar. Niat papa mahu mencari kerja yang lebih baik untuk menyenangkan keluarga di kampung. Tapi memulakan kerja di bandar tidak semudah yang papa jangkakan, ada waktunya papa hampir putus asa. Sehinggalah papa selamatkan seorang lelaki kaya yang terlantar sakit di jalanan barulah kehidupan papa mula berubah. 

 

Lelaki itu merupakan ayah kepada mama kamu. Dia tawarkan papa pekerjaan, tempat tinggal dan seluruh kepercayaan pada papa. Disebabkan rasa kepercayaan yang tinggi, datuk kamu kahwinkan papa dengan mama. Papa tersepit antara budi dan cinta papa pada isteri di kampung. Antara rela dan terpaksa, papa terima mama sebagai isteri.”

 

“ Sebelum berkahwin mama memang dah tahu papa ada isteri di kampung tapi mama tak kisah. Mama tetap mahukan papa kerana mama jatuh cinta pada kebaikan dan kejujuran papa. Mama tak kisah jadi isteri kedua biarpun papa lebih sayangkan isterinya di kampung. Mama tahu mama pentingkan diri tapi waktu tu mama cuma mahu hidup dengan papa.” Datin Azura menambah cerita suaminya, kerana jika bukan disebabkan dia, semua cerita ini tidak akan lengkap.

 

Datuk Syukri menggenggam erat tangan isteri yang setia bersamanya suka dan duka. Yang setia mencintainya walaupun dia masih mencintai Suriani. Datin Azura telah banyak bersabar demi mahu bersamanya.

 

“ Selepas itu, papa ambil keputusan pulang ke kampung setelah lama merantau. Papa pulang seorang diri tanpa mama. Waktu itulah, papa dikejutkan dengan berita Suriani telah meninggal dunia. Silap papa kerana tidak pernah mengirimkan berita sehingga menyebabkan Suriani sengsara menanti kepulangan papa. Arwah jatuh sakit disebabkan papa. Sejak itulah, Salmi tak pernah memaafkan kesilapan papa.”

 

“ Unbelievable..” desis Syaziana.

 

“ Ohh, jadi Mak cik Salmi nak balas dendamlah? Dia marah pada papa tapi Syaz yang terkena kesannya? Sebab itu, Mak cik Salmi cuba cari jalan pisahkan Syaz dengan Zikry? ” tebak Syaziana.

 

Datuk Syukri bungkam. Kenyataan Syaziana adalah satu kebenaran. Salmi tidak mungkin menerima anaknya sebagai menantu. Kakak iparnya itu terlalu membencinya kerana dia telah memungkiri janji untuk kembali semula ke kampung sehingga mengakibatkan kematian arwah Suriani.

 

“ Jawablah, kenapa papa diam? ” gesanya lantang.

 

“ Syaz, jangan biadap! Jaga mulut kamu.” Marah Datin Azura. Perangai Syaziana memeranjatkannya. Anak yang diberi sepenuh kasih sayang kini pandai mencemuh orang tua. Datin Azura kecewa berdepan dengan Syaziana yang ditatang bagai minyak yang penuh.

 

“ Mak cik Salmi berdendam dengan papa tapi Syaz yang jadi mangsa? ” Syaziana mengulang persoalan yang sama. 

 

“ Lupakanlah Zikry, Salmi takkan terima kamu sebagai menantu.” Datuk Syukri berkata tegas.

 

“ No! ” tempik Syaziana. “ Syaz takkan lepaskan Zikry.” Bergema seluruh pelusuk ruang tamu dengan teriakkan itu.

 

“ Dia bencikan keturunan kita. Syaz kena faham tu! ” jerkah papanya.  

 

“ Dia bencikan papa, papa yang buat dosa pada dia bukan Syaz. Syaz akan pergi terangkan pada Zikry supaya dia dapat pujuk mak dia terima Syaz.”

 

“ Jangan degil Syaz, papa kata lupakan Zikry. Kamu takkan dapat kebahagiaan jika kamu pilih dia, Salmi takkan dapat terima kamu. Percayalah cakap papa.”

 

“ Syaz tak bersalah, yang bersalah tu papa.” Syaziana kekal dengan pendiriannya. Tidak mahu beralah. Tidak mahu bertolak-ansur.

 

“ Ye, papa memang bersalah dan sekarang papa sedang membayar harga penyesalan atas kesilapan papa itu, anak papa sendiri mula membenci papa.” Dia bungkam. Perit memikirkan anaknya mula menaruh kebencian terhadapnya.

 

 “ Satu perkara papa nak ingatakan, kalau Syaz tak nak rasa lebih sakit di masa akan datang lebih baik Syaz lupakan Zikry, tinggalkan semua perkara yang berkaitan dengan Zikry. Kamu berdua takkan dapat bersama.” Nasihat Datuk Syukri. Semata-mata mahu memujuk rawan di hati anak gadisnya.

 

“ No, Syaz tak mungkin lupakan dia, takkan tinggalkan dia. Zikry ditakdirkan untuk Syaz dan Syaz pasti kami akan bersama.” Bangkang Syaziana. Terlalu yakin dengan keupayaan diri untuk menawan keadaan yang semakin pincang. Kemenangan bakal berada dipihaknya.

 

“ Dan Syaz harap papa tolonglah jangan doakan kehancuran dalam hubungan kami, tapi kalau itu yang berlaku Syaz takkan maafkan papa sampai bila-bila.” Selepas berbicara Syaziana terus angkat kaki. Tidak betah berlamaan di situ kerana kebencian di hati semakin menampakkan dasarnya.

 

Datuk Syukri tersedar dari bayangan fikirannya. Jam menunjukkan pukul satu pagi. Dentingan jam tersebut telah mengembalikan dia ke alam realiti. Tangannya naik ke muka, meraup wajah yang keletihan. Letih mengenangkan kisah lalu yang memeritkan. Walaupun kini dia berjaya hidup dalam kesenangan tetapi hatinya selalu tidak gembira. Datuk Syukri puas berikhtiar memohon doa, namun ketenangan yang dicari tidak kunjung tiba. Mungkin ada perkara yang belum lagi selesai urusannya  sehingga membataskan dirinya mengecapi nikmat kebahagiaan anugerah Allah S.W.T.





5 comments:

  1. nice..hurmm..konflik bru nak start ke...continue next...waiting 4 it...

    ReplyDelete
  2. aduhai cik aii, byk nye persoalan, byk nye knflk yg bakal timbul...hhhhmmmmmmm

    ReplyDelete
  3. Gotcha... I know Zikry n Syaz tak mungkin boleh bkahwin kerana hakikatmya mereka adik beradik tiri. sama ayah lain ibu. Adakah Zikry tahu hakikat yg sebenar ttg ayahnya shgga dia accident n hilang ingtan??? huhhu

    ReplyDelete
  4. dear IVORYGINGER...
    tenkiu so muchh ats keterujaan awk, hehe..tp apa-apa pun kita tggu smpai next n3 or dalm versi novel nanti, whether awk punya tekaan mnjd benar ataw tak :D

    ReplyDelete

hai ! terima kasih ^.^