Followers

/ Tagboard \

We are really hope that you will get something with this blog. Please respect to each other and keep enjoying with us ^.^
.Images are credit to Google.

Bab 10



“ Raf tak setuju! ” Putus Rafiq. Datin Noraini mengancingkan gigi. Geram.
            “ Raf tak boleh buat begitu. Itu hak dia untuk belajar,” Datin Noraini membidas.
            “ Habis tu, siapa pula nak menjaga Shafiq? Tujuan Raf kahwin dengan dia pun demi kepentingan Shafiq takkan tiba-tiba dia nak lepas tangan macam tu aje. Dulu umi suruh Raf berkahwin dengan dia, Raf ikut dan patuh. Sekarang ni, umi nak suruh Raf hantar dia pergi belajar pulak? ” Rafiq bercakap dalam nada marah. Permintaan uminya yang mewakili Sakinah dirasakan melampau. Dasar budak kampung!
“ Tolong kawal suara kamu, Rafiq. Umi tak pernah didik kamu untuk menyakiti hati orang lain terutamanya isteri kamu. Tolong jaga perasaan Sakinah. Umi tak mahu dia bersedih sekiranya terdengar kata-kata kamu tu,” Datin Noraini memberi amaran. Rafiq berpaling ke arah lain dengan dengusan kecil. Cuba menahan rasa hati yang marah.
“ Itu impian Sakinah sebelum berkahwin dengan Raf. Umi sendiri dah bersetuju untuk tunaikan hasrat dia. Berilah Sakinah peluang untuk sambung pengajiannya. Soal Shafiq janganlah Raf bimbang. Umi boleh tolong jagakan anak kamu tu sementara Sakinah sambung belajar.” Pujuk Datin Noraini. Rafiq menggeleng laju. 
“ Raf tak setuju. Untuk apa umi bersusah payah menjaga Shafiq sedangkan Raf dah ada isteri? Kalau dari dulu Raf tahu perempuan ni banyak kerenah dah lama Raf tolak permintaan umi untuk berkahwin dengan dia. Agaknya orang kampung ni memang ada agenda untuk peralatkan orang macam kita dan umi pula masih tak sedar-sedar yang Sakinah tu sedang memperalatkan umi! ” Lancang sekali bibir Rafiq berkata-kata.
“ Rafiq! ” Tegur Datuk Faiz yang baru turun dari anak tangga.
“ Itu umi kamu, Raf. Jangan biarkan perasaan marah tu menguasai diri.  Kelak akan memakan diri.” Pesan Datuk Faiz yang mula mengambil tempat di ruang tamu. Dilabuhkan duduknya di sisi isteri tercinta.
“ Maaf umi. Raf tak sengaja.” Datin Noraini mengangguk lemah. Anak lelakinya itu memang cukup tegas pendiriannya. Tetapi jika kena dengan caranya, Datin Noraini yakin hati manusia sekeras manapun pasti akan berlembut juga. Insya Allah!
“ Kenapa Raf tak setuju? Sakinah cuma nak sambung pengajian dia, itu saja. Lagipun umi sendiri dah setuju untuk jagakan Shafiq,” sela Datuk Faiz.
“ Atau Raf risau tentang yuran pembiayaan pengajian Sakinah? Kalau pasal tu, Raf jangan risau. Umi sendiri bersedia menanggung segala kos pengajian menantu umi itu,” ujar Datin Noraini lirih.
Demi kepentingan menantu yang dipilih olehnya itu, Datin Noraini sedia berkorban. Terbayang di ruang mata wajah teman baiknya, Syamila. Wajah yang meletakkan sepenuh harapan dan kepercayaan terhadapnya. Hatinya sebak tiba-tiba. Syamila dan Sakinah begitu tulus menerima permintaannya. Masakan pula dia sanggup menghampakan impian kecil itu.
“ Bukan begitu umi. Bagilah Raf sikit masa lagi untuk fikirkan tentang perkara ni. Sekurang-kurangnya Raf nak Shafiq membesar sikit dulu,” kata Rafiq perlahan. Malas mahu bercerita lagi perihal isterinya. Rafiq rimas dengan situasinya itu.
“ Umi tak kisah jika Raf mahu fikirkan dulu soal ini tapi umi berharap sangat jawapan Raf tidak akan menghampakan umi. Jangan kecewakan isteri kamu, Raf.” Kata Datin Noraini lembut. Melenturkan kekerasan hati anaknya.
“ Abah nak ingatkan Raf tentang satu perkara. Sememangnya Raf berkahwin dengan Sakinah atas arahan umi tapi tak bermakna Raf layak untuk memperlakukan Sakinah sesuka hati kamu. Dia juga manusia seperti kita. Yang perlukan kasih sayang dan tempat bergantung.
Jika Raf terus bersikap mengasingkan diri daripada Sakinah, abah percaya Raf bakal kehilangan permata yang sudah berada dalam genggaman. Hargai apa yang Allah tentukan untuk kita kerana sesungguhnya hanya DIA yang mengetahui apa yang terbaik buat kita,” Datuk Faiz berpesan dengan hemah. Berusaha melenturkan sifat perjudis Rafiq terhadap Sakinah, isterinya yang sah.
 Rafiq yang mendengar hanya mengangguk. Sebagai anak dia harus mendengar dan itulah yang sedang dilakukannya. Berubah atau tidak terpulang pada dirinya. Apa yang penting sekarang dia perlu bersemuka dengan Sakinah untuk perbincangan yang seterusnya.

DATIN NORAINI menapak ke dapur dengan kadar segera. Berdebar-debar jantungnya. Kenyataan Kak Milah, pembantu rumahnya meresahkan Datin Noraini. Ternyata dugaannya tidak silap. Sakinah pasti mendengar tengkingan Rafiq yang bagaikan halilintar. Pasti gadis itu bersedih dengan kata-kata Rafiq. Sedangkan dia sendiri terkejut dengan sikap Rafiq pada Sakinah. Terlalu melampau.
            “ Sugul betul wajah Sakinah tadi. Macam baru lepas menangis. Entah apa yang disedihkannya. Nanti datin tanyalah pada dia. Waktu masuk ke dapur elok saja emosinya. Lepas itu, dia kata nak ke ruang depan tetapi alih-alih masuk balik dapur. Yang hairan tu, saya ternampak ada air mata. Bila saya tanya kenapa, dia kata tak ada apa-apa.”
Datin Noraini menuntaskan pandangan pada Sakinah yang berdiri membelakanginya. Berdiri pegun menghadap ke tingkap dapur. Datin Noraini menghampiri. Disentuh lembut bahu menantunya. Sakinah segera menyeka air mata yang masih mengalir walaupun lesu.
“ Kinah..” selanya. Sentuhan di bahu Sakinah semakin kejap. “ Kenapa ni, sayang? Kinah menangis, ya? ”
Pantas Sakinah menggeleng.“ Taklah, umi.” Tidak terkutik tubuhnya. Jika dia berkalih memandang Datin Noraini pasti mertuanya itu perasan bahawa dia sedang menangis.
Datin Noraini menarik tubuh Sakinah supaya menghadapnya. Ditenung mata menantunya yang merah. Jari-jemari Datin Noraini mengesat kesan air mata itu. Kemudian dikucup pipi menantunya. Syahdu hati Sakinah.
“ Maafkan umi, kerana umi telah meletakkan Kinah dalam situasi yang tegang ini. Umi tak ada pilihan lain.” Sebak suara Datin Noraini berbicara.
Sakinah menggeleng.“ Bukan salah umi.”
“ Umi memang pentingkan diri. Demi melihat Rafiq bahagia dan Shafiq mempunyai seorang ibu, umi sanggup meletakkan Kinah dalam situasi ini. Sanggup mengorbankan kebahagiaan Kinah. Umi terasa sangat kejam kerana memperlakukan Kinah begini.” Datin Noraini berterusan menyalahkan diri. Sakinah pilu mendengarnya.
“ Umi tahu Kinah bersedih dengan kata-kata Rafiq tapi sungguh umi yakin semua kata-kata itu bukannya lahir dari perasaannya yang sebenar. Ungkapan itu hanya untuk melampiaskan rasa marah yang terpendam pada bekas isterinya, Suraya. Rafiq sengaja menyakiti hati Sakinah untuk memuaskan perasaannya. Tapi percayalah dia sebenarnya tidak berniat begitu. Hati Rafiq telah diselubungi dengan perasaan benci dan kecewa yang amat sangat.” Datin Noraini berjeda. Terus memandang raut manis Sakinah.
“ Jadi Kinah perlu bersabar, sayang. Memang tak mudah untuk melunturkan kebencian seseorang tetapi kalau Kinah tetap bersabar dan tekun menghadapi Rafiq insya Allah umi pasti kebencian di hati Rafiq akan menghilang jua. Tolong tabahkan hati Kinah demi umi dan Shafiq, umi hanya mengharapkan Kinah seorang untuk merawat kelukaan Rafiq. Tolonglah, sayang.” Pohon mertuanya sayu.
“ Kinah takut, umi. Kinah takut Kinah tak mampu memberi kebahagiaan pada anak umi. Dia terlalu membenci kehadiran Kinah dalam hidupnya. Sesaat pun diri Kinah tidak boleh diterimanya. Kinah takut Kinah tak boleh menunaikan hasrat umi itu.” Akui Sakinah sejujurnya. Biarlah dia meluahkan perkara sebenar yang terpendam agar Datin Noraini tidak terlalu kecewa jika dia bakal menempuh kegagalan suatu hari nanti.
            “ Syuhh, jangan fikir yang bukan-bukan.” Ditekan bibir Sakinah perlahan. Datin Noraini mengukir senyuman kecil.
            “ Kinah tak perlu rasa takut. Hadapilah segalanya dengan berani. Selagi Kinah tak salah jangan sesekali merasa takut. Menawan hati seorang suami perlukan keberanian. Kalau Kinah berani menunjukkan isi hati Kinah yang sebenar pada Rafiq, tak mustahil lama-kelamaan Rafiq akan dapat melihat juga kebaikkan yang ada pada Kinah. Dari situlah hati Rafiq perlahan-lahan akan terbuka untuk menerima Kinah. Hanya masa dan kesabaran yang Kinah perlukan untuk mencapai hatinya.” Tutur mertuanya memberi galakan semangat. Kata-kata yang begitu bererti untuk disimpannya dalam sanubari sebagai penawar kelukaan hatinya kelak.          
“ Umi boleh bantu Kinah? ”
Segera Datin Noraini mengangguk. “ Insya Allah selagi terdaya dan berkudrat, umi akan bantu.”
“ Terima kasih, umi.” Ucap Sakinah luhur. Datin Noraini lantas mencium ubun-ubun Sakinah.

SELEPAS makan malam, Rafiq dan Sakinah meminta diri untuk pulang. Sakinah melabuhkan punggung ke dalam kereta setelah bersalaman dengan mentuanya. Rafiq terus memecut laju kereta Honda Accord miliknya ke jalan raya. Sakinah merangkul Shafiq dengan selesa agar tidur Shafiq tidak terganggu. Suasana malam yang dingin itu diisi dengan bunyi muzik lembut dari corong radio. Sakinah dan Rafiq terus mendiamkan diri tanpa sebarang bicara.
“ Betul kau nak sambung belajar? ” Pertanyaan Rafiq menggamit Sakinah memandang sekilas pada suaminya.
Sesungguhnya, Rafiq tidak mengetahui jauh dilubuk hati, terlalu rencam dan duka naluri kewanitaannya. Cakaplah apa saja keburukan yang ada padanya, Sakinah tegar mendengarnya. Tetapi saat dirinya disingkap dan dicerca di hadapan keluarga mertua, sungguh Sakinah berasa begitu terhina. Rafiq benar-benar membencinya.  
            “ Aku cakap dengan kau sekarang ni. Kenapa tak jawab? ” Soal Rafiq geram. Sakinah membuatnya seperti tunggul kayu. Seolah-olah dirinya pula yang terhegeh-hegeh untuk berbual dengan gadis itu.
            “ Keputusan di tangan abang. Kinah tak berhak untuk meminta,” perlahan suaranya berkata. Rafiq menjeling tingkah Sakinah dari lewat ekor matanya.
            “ Aku nak tahu jawapan yang tepat bukannya jawapan yang tak pasti. Sekali lagi aku tanya dan kalau kau tak bagi jawapan yang khusus, aku akan diamkan hal ini buat selamanya. Aku akan anggap kau dah tak berminat nak belajar lagi.” Gertak suaminya. Sakinah kecut mendengarnya. Selama-lamanya?
“ Sebenarnya kau masih nak sambung belajar atau tak? ”
Sakinah mengangguk segera. “ Kinah mahu. Er..itupun kalau abang benarkan.”
“ Aku dah fikir masak-masak. Jawapan aku.. tak boleh! ” Putus Rafiq.
 Sakinah terpanar mendengar jawapan suaminya. Ternyata Rafiq cuma mahu memain-mainkan perasaannya.  Lelaki itu tidak bersungguh-sungguh. Sakinah benci dengan semua permainan suaminya. Permainan perasaan yang suka mencederakan hati dan jiwanya. Air matanya menitik deras seiring irama hati yang berlagu pilu. Ya Allah, sakitnya ujian ini! Rintihnya.
“ Tak boleh buat masa ni. Aku tak mahu kehidupan Shafiq terganggu. Kau sepatutnya jalankan tanggungjawab sebagai ibu bukannya nak merambu sana sini. Buat masa ini aku nak kau jaga dia dulu. Bila Shafiq dah membesar sikit kau pergilah sambung belajar, aku tak kisah. Asalkan kau ingat dengan semua perjanjian kita.” Sambung Rafiq pada ayat yang memang sengaja digantungnya. Dia mahu menonton reaksi Sakinah. Ternyata gadis itu hampir menangis kerana penolakannya. Aku tak sekejam itu, Sakinah!
Wajah mendung Sakinah terus sirna. Riak ceria dan gembira menghias wajahnya yang manis dan ayu. Senyuman mekar tersungging di hujung bibir. Perasaannya berbunga bahagia. Tidak dijangka rupa-rupanya suaminya yang galak dan garang itu masih mampu membuat lawak.
Hampir saja ingin diluku-luku kepala suaminya seperti dilakukan pada teman-teman di kampung kerana mempermainkannya tetapi ditahan saja keinginan itu. Sakinah memandang tepat pada Shafiq lalu dilepaskan beberapa kucupan bahagia ke wajah mulus bayi itu. Menunjukkan rasa bahagia yang dialaminya tika itu.
Rafiq perasan akan perubahan emosi isterinya. Dia tahu Sakinah sudah mula gembira. Rafiq berasa jengkel tiba-tiba. Dia geram kerana Sakinah sanggup menggunakan umi untuk mencapai setiap impiannya. Gadis itu terlalu licik. Perwatakannya dapat mengaburi semua mata ahli keluarganya tetapi tidak dirinya. Rafiq ingin lihat sejauh mana Sakinah mampu memperalatkan umi untuk tujuan kepentingannya.
“ Terima kasih, bang. Kinah ingatkan abang tak benarkan. Kinah tak sangka…”
“ Jangan nak sangka yang bukan-bukan. Aku buat keputusan ni bukan atas sebab aku sayang atau cintakan kau. Aku buat semua ni untuk umi. Biar umi puas hati tengok menantu kesayangan dia ni belajar tinggi-tinggi sampai pandai. Makin lama makin pandai. Lepas tu, lagi bijak gunakan umi untuk kepentingan diri.” Jerkah suaminya sinis. Dalaman Sakinah tersentak. Omongan Rafiq ada makna disebaliknya.
“ Apa maksud, abang? Kinah tak faham.” Getusnya perlahan.
“ Kau tak faham? ” Rafiq tergelak kecil pada isterinya. Memang kau penuh kepura-puraan Sakinah!
“ Jangan berpura-pura Sakinah. Dengan umi kau bolehlah berlagak baik tetapi dengan aku, kirim salam banyak-banyak. Aku dah muak dengan kerenah perempuan macam kau. Nampak saja suci tapi dalaman pasang niat keji. Sanggup kau gunakan umi untuk capai impian bodoh kau tu! ” Rafiq berkata keras.
Sakinah menggeleng laju. Bukan itu niatnya.“ Tak abang. Kinah takkan buat begitu pada umi,” bela Sakinah terhadap dirinya.
“ Diam! ” tempik Rafiq. Sakinah terkesima.
“ Kau ingat aku akan percayakan semua kata-kata kau? Jangan nak bermimpi. Sampai bila-bila pun aku takkan percayakan perempuan licik macam kau! ” Sembur suaminya. Sakinah mengetap bibir bila perasaan sebaknya bertandang. Sungguh dia penat menjadi seorang isteri kepada manusia yang bernama Amar Rafiq.
“ Kinah tahu, sampai bila-bila pun abang takkan menerima Kinah.” Ujar gadis itu dihujung bibir. Suara yang terbit hanya seiring dengan hembusan nafas. Langsung tidak kesampaian di telinga Rafiq. Hanya Sakinah saja yang mendengarnya. Kelukaan dan kepedihan semakin menggunung di jiwa. Peritnya Ya Allah!

3 comments:

  1. Thanskz sbb update nie ehh,,, jimat skit duit dr beli novel tu. Thankszz banyak2

    ReplyDelete
  2. best sis, hebat :)

    ReplyDelete

hai ! terima kasih ^.^