Jamuan bermula sejurus selepas bacaan surah Yasin dan bacaan tahlil
selesai. Sebahagian kaum ibu-ibu ke ruang dapur untuk menolong apa yang patut.
Juadah yang telah disusun baik-baik dalam talam dibawa ke ruang atas.
Hanan ikut
serta ke dapur. Sengaja membontoti maknya kerana itu yang mampu dilakukannya
untuk melindungi diri dengan berselindung di belakang Puan Norsal. Matanya juga
tidak meliar ke sana sini kerana Hanan takut matanya akan terjebak dalam
pandangan yang tidak ‘digemarinya’.
“ Hanan bawak pulut
kuning ni ke depan,” pinta Puan Norsal. Terkulat-kulat Hanan merenung pulut
kuning yang dihulurkan padanya.
Hah?
Berkerut-kerut kening Hanan menerima arahan. Dia tak mahu dan tak rela berada
jauh dari Puan Norsal.
“ Cepatlah..”
gumam Puan Norsal di telinga si anak. Geram pula pada Hanan yang mematung waktu
genting macam sekarang. Tengah orang sibuk ke hulu ke hilir menolong Hanan
boleh buat blur di tempat kejadian.
Terpaksa Hanan
menurut jua. Pulut kuning yang terisi dalam mangkuk kaca yang besar dan jernih
ditatangnya dua tangan. Cermat dia melangkah walaupun dalam hati memprotes
hebat.
Sampai saja di
ruang atas, Hanan menundukkan pandangan. Serius dia takut unuk
memandang-memandang keadaan sekeliling. Gegendang telinga Hanan hanya mendengar
suara-suara tetamu yang hadir. Berapa ramai jemaahnya Hanan tak pasti kerana
dia lebih rela memilih untuk menyembunyikan retina mata dari membebaskannya.
“ Abrar.” Panggil
seseorang.
Hanan terpaku.
Kakinya tergenjat. Diam dalam posisi tegak sambil menatang mangkuk. Saat itu
juga ada sebatang tubuh manusia yang berlaga dari arah depannya. Pulut kuning
yang dibawa terlepas dari tangan walaupun telah dicengkam sekuat hati. “ Ya Allah!
”
Namun belum
sempat berderai, mangkuk kaca tersebut berjaya diselamatkan. Hanan mengangkat
wajah. Anak matanya pantas bertaut dengan gerangan yang menyelamatkan
maruahnya.
Tersentak.
Perasaan dalaman Hanan terenjat. Lapan tahun berlalu, tidak banyak yang
berubah! Mata yang kuyu itu amat dikenalinya. Hanan tenggelam seketika dalam
kekalutan itu. Sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui dan Maha Merancang setiap
sesuatu. Apa yang ingin dielakkan dan dijauhinya tejadi jua. Dia tergamam.
Mata Hanan
membulat dan berkelip-kelip. Kesedaran diri kembali menerpa. Raut wajahnya
menegang tiba-tiba. Giginya diketap keras. Hanan tidak peduli apa pun yang
bakal berlaku. Dia bertindak mengundurkan tapak kaki. Mahu menghindar dan
melindungi diri. Tidak betah mengharungi situasi yang membelenggu.
“ Er..awak..”
jejaka itu memanggil namun Hanan tetap berpaling pergi. Dia nekad untuk kekal
di dapur. Tidak akan sesekali menjejakkan kaki semula ke ruang tamu. Biarpun
Puan Norsal marah dia tetap akan bertahan di dapur yang dirasakan kubu paling
selamat untuk menyembunyikan diri daripada musuh.
MEMANG tekad Hanan itu berhasil walaupun wujud riak kurang senang di
wajah Puan Norsal. Namun Hanan membutatulikan saja mata hati. Untuk tidak
berterusan melangut tanpa buat kerja, Hanan menawarkan perkhidmatan untuk
mencuci pinggan mangkuk di belakang dapur. Dia lebih rela membasahkan diri
dengan pinggan mangkuk daripada duduk diam sambil dijeling marah oleh maknya.
Hanan tahu Puan
Norsal kurang gemar perangainya kali ini tetapi dia terpaksa. Oleh itu, tawaran
membasuh pinggan dimintanya sebagai kerja untuknya yang berkeras mahu duduk di
dapur sahaja. Sekurang-kurangnya Puan Norsal tidaklah marah sangat pada anak
daranya ini.
“ Hanan,
tinggalkan aje pinggan tu nanti mak cik buat. Dah banyak yang Hanan cuci tu.”
Pinta Puan Salmi ketika menjengulkan
muka di pintu belakang dapur.
“ Tak apalah
dah alang-alang Hanan buat kerja ni, biar sampai habis.”
“ Biarkan aje
nanti mak cik sambung. Kang, basah baju tu dah tak lawa lagi.”
Hanan tersenyum
kecil. Namun tangan masih lincah mencuci piring dalam besin. Puan Salmi
menghampiri. “ Mak cik pergi ajelah duduk kat depan, jangan datang dekat Hanan
nanti terbasah baju tu. Orang basuh pinggan stail ganas ni nak cepat siap,”
ujarnya sambil tersengih.
“ Eh, kita
pulak yang disuruh ke depan! Sudahlah tu mencuci jom kita ke depan.” Ajak Puan
Salmi seraya mahu menarik lengan anak dara yang masih mahu bertapa dengan besin
yang penuh dengan pinggan, mangkuk, piring dan cawan.
“ Eh..er..Hanan..”
dia mula kalut.
“ Hanan belum
makan lagikan? Jom kita ke atas, makan ramai-ramai.”
“ Hah? Makan
kat atas? ” terkulat-terkulat Hanan apabila ayat ‘ jom kita ke atas makan
ramai-ramai’ menerjah ke cuping telinga. Makan ramai-ramai? Maknanya semua
orang akan ada, sama ada yang berkaitan dengan dia atau pun tak ada kaitan.
Huh, never, never! Itu cari bala namanya.
“ Yelah, takkan
nak makan kat sini kut. Mak kamu pun dah sibuk melantak kat atas tu, langsung
dilupakan anak dara dia yang sibuk menyental pinggan kat dapur ni. Jomlah,”
Puan Salmi sudah menarik tangan Hanan untuk bangkit dari bangku kecil yang
diduduki oleh Hanan.
Tindakan Puan
Salmi tidak mampu dicegah oleh Hanan. Untuk menolak juga dia tiada ruang untuk
mencelah.
“ Hah, Hanan mari
makan.” Tiba-tiba suara Puan Norsal muncul. Puan Salmi dan Hanan segera menoleh
ke pintu dapur. Terkebil-kebil Hanan memandang maknya.
“ Dia nak naiklah
ni, ingat pula kau dengan anak dara kau yer? Aku ingatkan dah selamat santap
kat atas tu sampai boleh lupa anak dara kau yang sibuk menyental pinggan kat
belakang ni.” Kata Puan Salmi dalam nada canda.
Tergelak-gelak Puan Norsal. “ Sebenarnya memang aku terlupa
pun tapi nasib baik laki aku tu tanya mana Hanan, barulah teringat.”
“ Eee, mak ni
kejamnya dengan Hanan.” Balas Hanan sedih. Bibirnya dah muncung tanda kecil
hati. “ Anak sendiri pun boleh lupa.” Omelnya lagi.
“ Takper Hanan,
biarkan mak kamu lupa sekarang, nanti bila anak dara dia ni dah kahwin
tinggallah dia seorang diri tak ada teman. Lepas ni, Hanan ikut mak cik aje sebab
mak cik selalu ingat dekat kamu.” Tutur Puan Salmi dalam senyuman lebar. Penuh
makna dan rahsia hati disebaliknya.
“ Amboi..jangan
nak buat komplot depan aku, anak aku dah tentulah aku ingat kat dia, sayang kat
dia.” Puan Norsal membalas cepat-cepat. Siapalah yang tak sayang anak,
lebih-lebih lagi dia hanya memiliki seorang anak perempuan. Mestilah kasih
sayang yang penuh di dada dicurahkan sepenuhnya buat Hanan.
Puan Salmi
mencebik. “ Aku pun sayang kat Hanan.” Dipeluk bahu anak gadis di sisinya.
“ Tapi dia anak
aku, Hanan mesti sayang lebih dekat aku.” Sampai bercekak pinggang Puan Norsal.
Konon nak berlawan merebut dan membolot Hanan. Cemburu jika anaknya beralih
kasih.
Berkerut-kerut
dahi Hanan dibuatnya. Digaru pelipis yang pening-pening lalat. Rasa nak ketawa
aje tengok maknya dan Mak cik Salmi bertingkah. Macam budak-budak berebutkan
seorang mak. Sekarang ni siapa yang jadi mak siapa pula jadi anak ??
“ Okey, terima
kasih sebab sayang Hanan. Tak payah rebut-rebut Hanan sebab semuanya Hanan
sayang. Okey sekarang jom kita naik atas.”
Hanan menggigit
bibir tanda kesal. Hanan terlupa namun dia telah terlajak kata. Menyatakan
persetujuan secara tidak sengaja. Ruang atas yang tidak mahu dijejakinya, kini
bakal dia jejaki. Hanan pasrah dalam gentar.
DIA tak buta! Sepanjang melewati masa makan itu, Hanan perasan ada
sepasang mata yang begitu asyik mengekor setiap tingkahnya. Menjadikan Hanan
kurang selesa dan tidak betah dalam duduk simpuhnya. Dia tertekan dan rimas. Makan
minum yang disumbat ke dalam mulut juga tidak dapat dicernakan sebaik mungkin.
Hanan bengang!
Walaupun dengan
wajah yang tertunduk, ekor matanya dapat
mengenal pasti gerangan yang mencuri dalam pandangan itu. Namun demikian Hanan
cuba berlagak damai. Keresahan yang berada dalam hati tidak dipamerkan secara
zahir. Dibiarkan saja batinnya yang menanggung.
“ Abrar tak nak
tambah nasi ke? ” tanya Puan Norsal yang duduk di sebelah Hanan. Sebenarnya dia
sengaja mengambil kesempatan dengan mewujudkan satu soalan semata-mata mahu
mengalihkan tumpuan Abrar yang ralit merenung anak daranya. Sampai dia pula
yang terasa seram.
“ Ha’ah, ibu
tengok sikit aje Abrar makan. Tak sihat ke? Sakit lagi kepala tu? ” soal Puan
Salmi sangat cakna. Risau mengenangkan keadaan anak terunanya.
“ I’m okay,
ibu. Kepala Abrar dah tak sakit lagi.”
“ Nak tambah
nasi lagi tak? ” Tanya si ibu lebih lanjut.
Abrar
menggeleng. Biarpun dia bercakap dengan Puan Salmi tetapi matanya tidak lepas
dari merenung gadis berbaju kurung biru itu.
“ Anak awak tu
tak ada apa-apa, Sal. Tak payah nak risau lebih-lebih. Mungkin penat melayan
tetamu tu pasal tak larat nak tambah nasi. Kalau tak selalunya mahu dua tiga
pinggan dia balun,” sampuk Encik Asri. Bertindak mengusir kebimbangan yang
mulai hinggap di tangkai hati isterinya.
“ Lepas makan
nanti pergi berehat aje. Tak payah nak tolong apa-apa lagi.” Puan Salmi berkata
tegas. Kerisauannya pada Abrar memang tidak boleh dihindar.
“ Jangan lupa
makan ubat sekali.” Tambahnya.
“ Ibu, please
don’t worry so much about me okay. I’m alright. Ibu tu yang patut berehat.
Today was not easy for you to handle everything. Let me settle everything kat
luar ni, ibu pergi masuk bilik tak payah nak buat apa-apa kerja lagi. Just take
time and rest.” Abrar menukar arahan. Bijak dia mengatur perancangan si ibu.
Encik Malik dan
Puan Norsal terpinga-pinga kerana agak janggal telinga mereka menadah perbualan
Bahasa Inggeris. Begitulah keadaannya jika terdedah dengan kemodenan zaman. Semua
bahasa mampu diamalkan seiring perkembangan teknologi semata-mata untuk memenuhi
tuntutan hidup. Jauh di dasar hati, sepasang suami isteri itu merasa kagum pada
pasangan Asri dan Salmi yang boleh mencerna ayat ‘orang putih’ Abrar.
Berbeza pula tanggapan Hanan. Telinganya tidak
boleh menerima kata-kata Abrar walaupun sesuku kata. Mata hatinya terasa jelik.
Gaya Abrar terlebih poyo sangat! Agak-agaklah nak bebahasa orang putih kat
kampung ni! Ingat telinga orang-orang kampung macam orang bandar ke? Sajalah tu
nak berlagak!
“ Eloklah tu,
ibu suruh anak berehat, anak suruh ibu berehat. Kang aku pula yang pergi
berehat maklumlah dah tak ada siapa nak ambil peduli.” Encik Asri mencelah
kata. Seperti berjauh hati bunyinya.
“ Abang ni
selalu nak jealous dengan anak sendiri tau, merajuk tak bertempat. Bukan Sal
tak peduli pasal abang tapi sekarang ni Abrar yang tak sihat.” Tekan Puan
Salmi.
Encik Asri tersengih
malu. “ Yelah, abang tahu..”
“ Abrar sihatlah,
ibu..” sanggahnya. Tertekan pula dihadapkan kerisauan ibunya yang melampau.
“ Bila masanya Abrar
terlibat dengan kemalangan tu? Dah lama ke? ” Tanya Puan Norsal.
Hanan angkat wajah
detik itu juga. Soalan Puan Norsal mengundang kekejutan padanya. Dalam pada
itulah, dua pasang mata itu beradu. Abrar dan Hanan bertemu dalam satu
pandangan. Sedetik cuma sebelum Hanan bertindak melarikan tatapannya pada Puan
Norsal.
“ Lebih kurang
lapan bulan yang lepas. Sebulan koma kat hospital, tup-tup bila bangun semuanya
dia tak ingat. Macam baby baru lahir.” Puan Salmi memberitahu umum.
Hanan menjadi
pendengar yang teliti. Tidak tahu hujung pangkal membuatkan dia keliru dalam
diam. Namun untuk membuka mulut dan bertanya itu tak mungkin dilakukan.
Mustahil sama sekali kerana tiada kepentingan baginya. Lagi-lagi berkenaan
Abrar, mati hidup semula pun Hanan enggan.
“ Oh, habis tu
kerja dia macam mana? ” Encik Malik pula bertanya.
“ Itulah, nak
kena tunggu dia sembuh dulu baru boleh mula balik kerja.” Puan Salmi menjawab
sambil mencuci tangan pada kendi air. Kemudian Hanan pula menyusul membasuh
tangan pada kendi yang sama.
“ Hanan dah
kenyang ke? ” puan Salmi memberi tumpuan pada Hanan pula.
“ Dah,”
jawabnya ringkas.
“ Eh, sikitnya
makan takkan dah kenyang kut? ” Puan Salmi meneliti susuk tubuh Hanan. “ Hanan
diet ke? Tak payah nak diet sangat, mak cik tengok dah cantik dah badan tu.
Kalau kurus sangat pun tak lawa, tak sedap mata nak tengok.”
“ Hisyh, tak
ada maknanya nak diet, Hanan ni makan ikut mood. Sepanjang aku jadi mak dia,
tak pernah dia nak diet asyik nak mencekik aje. Malam ni aje macam malu-malu
pulak dia.” Terjah Puan Norsal.
“ Mana ada Hanan
malulah mak. Hanan memang dah kenyang sangat-sangat.” Cepat-cepat Hanan menepis
tuduhan maknya.
“ Tak pun ni
mesti penat cuci pinggan mangkuk kat belakang tadi sampai tak lalu nak makan ?
” teka Puan Salmi. Hanan menggeleng laju.
“ Taklah, Hanan
memang dah kenyang pun.” Jawapan yang sama tetap diberi. Wajahnya ditundukkan
sementelah ada ‘orang’ itu yang sibuk mengintainya. Bengang Hanan dibuatnya.
Dah tak ada benda lain ke dia nak pandang??
“ Apa kenalah
budak berdua ni, Abrar tak lalu makan, Hanan pun tak lalu makan, agaknya kamu berdua
ni tengah makan hati kut ?? ”
Tersentak!
Hanan tergamam. Abrar terkedu. Masing-masing telan liur apabila nama mereka
dikaitkan. Seperti ada makna yang tersirat dalam bicara Puan Salmi itu.
“ Teringat
waktu dulu-dulu, Abrar memang suka buli Hanan. Hari-hari Hanan menangis
disebabkan Abrar.” Sengaja Puan Salmi membuka hikayat purbakala. Puan Norsal
tergelak. Hanan mengetap gigi. Pedih telinganya mendengar cerita yang kurang
digemarinya.
“ Did I? ” soal
Abrar dengan muka yang innocent.
Hanan
mengerutkan dahi. Eh, takkan tak ingat kut? Kejahatan sendiri pun tak boleh nak
ingat? Gerutunya dalam hati.
“ Alamak, ibu
lupa pulak yang Abrar tak ingat! ”
Terkulat-kulat
Hanan mendengarnya. Apa maksud tak ingat tu?
“ Entah masalah
apalah yang suka dibalahkan dia orang dulu sampai aku pun tak tahu. Yang aku
tahu Hanan kalau balik rumah nangis-nangis memang Abrar punya pasal.” Puan
Norsal turut menyelit sama dalam imbasan memori dahulu kala antara anak bujang
Puan Salmi dan anak daranya.
“ Betul ke saya
buat macam tu dulu? ” Tanya Abrar persis anak kecil yang bersalah tapi tak
ingat salah yang dibuat. Kelihatan polos dan suci.
Semestinya
cuping telinga Hanan macam nak berasap. Kenyataan Abrar membuatkan lubang hidung
Hanan kembang kempis. Dadanya diserbu marah. Begitu mudah Abrar melupakan
sengketa yang bermaharaja lela antara mereka. Bagi Hanan dia selalu berdoa
supaya dapat melupakan ingatan ketika zaman kanak-kanak dan remajanya. Kerana
ingatan-ingatan yang dia punya semuanya yang buruk dan menyakitkan dan paling
tragis ingatan tersebut dipenuhi oleh seraut wajah lelaki yang bernama Abrar
Zikry. Hidupnya jadi kacau- bilau setiap kali kemunculan Abrar.
“ Tak apalah
nanti Abrar suruh Hanan cerita satu persatu, perkara apa yang selalu menjadi
sengketa antara kamu berdua. Kalau nak suruh ibu cerita memang ibu tak tahu,
kamu berdua tu asyik nak berlaga aje dari kecik.” Kata Puan Salmi. Cuba mencari
peluang dan ruang yang boleh mendekatkan jarak yang terjurang antara Abrar dan
Hanan.
NEVER! Balas
Hanan dalam hati. Permintaan itu memang tidak rela ditunaikan. Membuka hikayat
lama adalah perbuatan yang tidak berfaedah dan sia-sia. Jika dia membongkar
semuanya, samalah seperti menjatuhkan maruah sendiri. Hanan tak mungkin
lakukannya.
“ Boleh Hanan?
” Puan Salmi menyapa Hanan yang kelihatan bungkam.
Hanan mengangkat muka, memandang ibu Abrar.
Perlahan dia mengangguk. Lain yang berada di fikiran, lain pula reaksinya.Hanan
benar-benar terpaksa. Takkanlah aku nak cakap tak boleh, sebab saya benci anak
mak cik sangat-sangat!!
“ Baguslah.”
cpt2 sambng bab sterusnya k..i like..
ReplyDeletetq, sudi read my story Irene jalil!
ReplyDeletenti Aii smbung laju2, soon..insya Allah
best best
ReplyDeleteMakin menarik jalan cerita nie
ReplyDeleteMakin menarik jalan cerita nie
ReplyDeleteMakin menarik jalan cerita nie
ReplyDeleteGua mmng suka La cite ni...mmng best!
ReplyDeleteGua mmng suka La cite ni...mmng best!
ReplyDelete