“ Terima
kasih, kak long. Sayaaaannggg….kak long sangat-sangat,” ucap Nurin seikhlasnya.
Senyum gembira bergayutan di bibir.
Nuzul mencebikkan mulut sambil mengangkat-angkat kening. “ Kak long
tak mahu sayang dari mulut. Kalau betul sayang along, Nurin mesti belajar
rajin-rajin. Itu bukti yang Nurin kena tunjukkan pada along.”
“ Yelah, Nurin memang tengah berusaha sekarang ni. Dalam usaha
mengejar top ten pelajar paling pandai dalam tingkatan. Nurin nak jadi macam
kak long, selalu jadi yang pertama.” Luahnya dengan semangat berkobar-kobar.
“ Janji? ” Nuzul menjulurkan jari kelengkengnya. Konon mahu
menuntut janji daripada si adik. Nurin menyambut dengan senang hati. Jari
kelengkeng mereka berdua berkait.
Nazrul yang berada dalam dukungan Nuzul kedengaran menggumam.
Sebagai isyarat bahawa dia juga ingin berkait tangan tangan bersama kakak-kakaknya.
“ Suatu hari nanti, Nazrul pun mesti jadi budak pandai.” Nuzul mendesah
ke telinga Nazrul tatkala menghulurkan jari kelengkeng tangan kanannya kepada
adik bongsunya. Nurin membantu pula dengan menarik tangan Nazrul supaya berkait
dengan Nuzul. Senyuman lebar menghiasi bibir mereka. Sedang Nazrul
tersengih-sengih.
“ Kak ngah, dah siap ke belum? Nazrul dah tak sabarlah nak pergi.”
Nurin menjerit dari muka pintu. Perasaan terujanya tidak mampu
disembunyikan.
“ Siapa yang tak sabar ni? Nazrul
atau Nurin? ” ceceh Nuzul.
“ Kak long, boleh tak kita ke Mid
Valley sekali selain Times Square? ”
“ Mid Valley? Bukan tak boleh, tapi
along risaukan Nazrul. Nurin bukannya tak tahu kalau Nazrul penat mesti dia
merengek-rengek.”
“ Tahu…tapi Nurin teringin ke sana,
kawan-kawan Nurin selalu pergi Mid Valley. Sesekali teringin juga Nurin
jejakkan kaki ke situ. Bolehlah along, kita jalan tengok-tengok saja. Lepas tu,
kita pergi main-main dekat Times Square.” Nurin membentangkan cadangannya.
“ Kita tengok dulu keadaannya macam
mana. Tapi apa yang penting, bila Nazrul dah tak selesa kita mesti cepat balik,
tahu?! ”
Nuzul bercakap demi menjaga keharmonian perjalanan mereka. Sempena
meraikan hari lahir Nurin, Nuzul menunaikan keinginan adiknya yang begitu
teringin berjalan-jalan sambil bermain di taman tema di Times Square.
Nurin mengangguk. Faham dengan keterbatasan mereka dengan keadaan
Nazrul. Walaupun sedikit terkilan, Nurin terima dengan hati yang reda. Tiada
apa yang lebih penting baginya selain bergembira bersama ahli keluarganya. Tanpa
Nazrul, kasih sayang mereka berempat tidak sekukuh sekarang.
“ Okey, dah siap! Jom, gerak.” Kata Nuha sejurus kelibatnya muncul
di depan pintu.
BAGAIKAN
mengerti dengan keinginan hati Nurin, Nazrul kelihatan selesa dan seronok
dengan keadaan yang dialami. Mereka berempat berjalan-jalan sambil
melihat-lihat suasana hujung minggu di Berjaya Times Square.
Nuzul tidak memilih untuk menonton
wayang kerana tidak mahu menjejaskan keriangan Nazrul. Suasana dalam panggung
yang gelap dan terbatas pergerakan, boleh membuatkan Nazrul bosan. Akhirnya, mereka
sekeluarga mendaftar masuk Cosmo World Theme Park.
Di Fantasy Garden, Nuzul memilih menaiki kereta api bergerak untuk
mengelilingi taman tema bersama Nazrul. Manakala Nuha dan Nurin memilih untuk
bermain roller coaster, spinning orbit dan space attack
iaitu sebuah pendulum besar yang berpusing 360 darjah ke depan belakang dengan
ketinggian 20 meter.
Selepas dua jam menghabiskan permainan, Nuha dan Nurin munculkan
diri depan Nuzul yang sedang duduk sambil memeluk Nazrul di sebuah kerusi.
“ Nazrul meragam ke? ” tanya Nuha. Nuzul menggeleng.
“ Laparlah, kak long.” Adu Nurin sejurus duduk di sisi Nuzul dan
Nazrul. Nuha hanya berdiri di depan mereka bertiga memandangkan ruang kerusi
telah padat.
“ Nah, makan ini dulu. Sekejap lagi kita turun ke food court.”
Nuzul hulurkan sebuah beg kertas putih yang mengandungi dua keping Hot and Roll
paratha chicken and cheese.
“ Kak long, Nurin nak pergi
jalan-jalan dekat sana dengan angah.” Nurin menunjuk deretan-deretan kedai yang
menjual pelbagai aksesori wanita, pakaian, beg dompet, termasuklah pelbagai
jenis saiz teddy bear.
“ Jomlah, Nazrul dah bosan duduk
sini lama-lama.” Nuzul menurunkan Nazrul dari ribanya.
“ Jom, kita jalan-jalan, sayang.
Nazrul jalan dulu nanti mama dukung lagi.” Pujuk Nuzul. Nazrul diam lama sebelum
memberi respon dalam anggukan kecil.
“ Tengok teddy bear ni, cute, kan?
Bila boleh dapat macam ni lagi? ” Nurin buat muka teruja melihat patung beruang
yang comel lagi gebu dalam susunan pelbagai koleksi.
“ Nanti bila dah kerja, belilah
sepuas hati.” Sela Nuha membalas.
Nurin mencebik kecil. “ Lambat lagilah tu, Nurin baru form four.
Apa kata kak ngah belikan pakai duit ptptn? ”
Nuha menggeleng. “ Orang nak beli bukupun semput, ada hati nak
membazir. Lagipun kita kena pentingkan keperluan daripada kehendak. Beli patung
tu cuma kehendaklah, Nurin. Lainlah kalau nak beli buku, angah boleh support
sikit pakai duit pinjaman.”
“ Ada rezeki lebih nanti along belikan, tapi bukan sekarang.” Kata
Nuzul memujuk adiknya.
Nurin menggeleng pula. “ Tak apalah, kak long. Betul cakap angah,
situasi kita dah tak sama macam dulu. Segala kehendak kena kurangkan dan
utamakan keperluan. Nurin tak kisah pun kalau lambat lagi nak dapat.”
Nuzul dan Nuha senyum sahaja mendengar bicara Nurin yang kelihatan
menampakkan kematangan. Mulai bertolak ansur dengan situasi di sekeliling.
Selalunya jiwa remaja suka memberontak untuk mendapatkan sesuatu. Namun
kesukaran yang mereka tempuhi sejak tinggal berempat banyak mematangkan diri masing-masing
termasuklah Nurin.
“ Jom, kita pergi tempat lain. Nanti Nurin lagi sedih bila pandang
lama-lama tapi tak dapat beli.” Nurin menarik tangan Nuha.
Nuzul tersentak. Mulai perasan genggaman tangan kanannya telah
kosong. Tangan Nazrul yang sepatutnya bertaut dengannya tiba-tiba tiada. Nuzul
menoleh ke sisinya. “ Nazrul?! ”
Nuha dan Nurin jelas terkejut. Baru perasan dengan kehilangan
Nazrul. Mereka benar-benar mengalami tekanan dada yang amat cemas. Jantung
masing-masing berdegup selaju kaki yang melangkah dalam pencarian.
“ Nuha dan Nurin cari sebelah sana, along pula sebelah sini. Tengok
dekat kedai yang ada jual alat permainan.” Arah Nuzul sebelum berpaling. Nuha
dan Nurin bergegas menuju ke bahagian kiri manakala Nuzul ke bahagian kanan.
Sungguh Nuzul kesal akan kecuaiannya tanpa menyedari kehilangan
Nazrul. Rasa sebak memenuhi jiwa tatkala itu. Oh, tuhanku janganlah ada apa-apa
yang menimpa Nazrul! Lindungilah dia, ya Allah…mohon Nuzul dalam hati.
Bebola matanya sudah memerah. Air mata Nuzul bergenang kerana takut
dan cemas. Segala kemungkinan mampu berlaku dalam keadaan itu. Nazrul bukan
seperti kanak-kanak biasa. Keistimewaan yang dimiliki Nazrul membuatkan adiknya
itu menjadi asing dalam dunianya sendiri.
Terpanar. Kaki Nuzul tergencat serta-merta. Pandangan mereka
bertemu. Bertembung dalam keadaan yang tidak disangka-sangka. Hampir luruh
jantungnya mengepung perasaan yang bertimpa. Sedih, cemas, sebak dan terkejut.
Langkah si jejaka cuba menghampirinya namun dibataskan oleh sebuah
suara. “ Irsyad, I sukalah dengan baju tu. Jom, temankan I cuba dekat dalam.”
Kata wanita yang tiba-tiba datang menerpa. Lengan si jejaka ditaut seeratnya.
Nuzul pantas melarikan mata bundarnya. Cuba menafikan permandangan
yang berlaku. Tumpuan fikirannya kembali kepada Nazrul. Tanpa berkata apa-apa,
Nuzul melencongkan arah. Melintasi pasangan itu tanpa menoleh walau sekilas.
Dia amat mengenali wanita elegan itu. Wanita yang pernah melemparkan amarah
atas kecuaiannya. Oleh itu, Nuzul bertekad untuk tidak menimbulkan sebarang konflik
berjiwa.
Sedetik lalu, fikiran Nuzul dirundung pilu semula. ‘Nazrul, Nazrul,
Nazrul…’ hatinya merintih-rintih kesal. Bagaikan melayang separuh nyawanya atas
kehilangan jejak Nazrul. Nuzul hampir sesak nafas akibat menanggung sebak.
‘ Ya Allah, please keep my Nazrul safe, please ya Allah…” luah
bibir mungilnya di angin lalu. Begitu berharap agar Nazrul mampu menjaga
keselamatan diri biarpun Nazrul nyata tidak mampu mengawal tingkah laku tanpa
kehadiran penjaga di sisi.
Terkesima. Nuzul terkejut apabila pergelangan tangannya ditaut oleh
seseorang. Sepantas kilat tubuhnya berpaling. Buntang matanya. Jelas Nuzul
terperanjat dengan kehadiran lelaki itu. Lebih-lebih lagi di saat dia memerlukan
pertolongan daripada Allah.
“ Kenapa, Nuzul? ” soal lelaki mendadak. Isi dadanya turun naik
kerana mengejar langkah gadis itu.
“ Lepaskan saya, Encik Alif. Jangan ganggu saya sekarang. Saya kena
pergi.” Ungkap Nuzul seraya berusaha meleraikan pegangan itu. Tetapi begitu
kejap sentuhan yang berlaku. Nuzul tiada kekuatan untuk merentap tangannya. Ada
ketikanya dia merasa sakit apabila cuba melawan.
“ Kenapa menangis? Kau ada masalah? ”soal Irsyad lagi, masih tidak
berputus asa.
“ Adik saya hilang.” Beritahunya jujur supaya Irsyad segera
melepaskan dirinya. Setiap minit begitu beharga demi keselamatan Nazrul.
“ What? How come? ” terangkat kening Irsyad kerana terkejut dengan
berita itu.
“ Saya cuai.”
“ Kau selalu macam tu.” Tukas Irsyad. “Jom, ikut aku.” Tangan itu
diheret. Mendorong tubuh Nuzul agar mengikutinya.
Nuzul terpinga-pinga. Langsung hilang kata-kata protesnya. Kelu
lidah dengan aksi Irsyad yang melulu.
“ Encik nak bawa saya ke mana? Tolong lepaskan saya sekarang. Saya kena
cari adik saya, encik. Jangan buli saya hari ini. Sekarang bukan waktu yang
sesuai.” Bertubi-tubi Nuzul berbicara. Semata-mata mahu meminta kerjasama
Irsyad yang bersifat diktator.
“ Kita ke kaunter depan, buat announcement.” Irsyad mendedahkan tindakannya.
“ Kalau tak jumpa juga macam mana? Apa saya nak buat? ” gumam Nuzul
kerisauan.
“ Then kita buat police report.” Jawab Irsyad tenang.
Nuzul tergamam. Dia amat berharap agar hal sebegitu tidak terjadi.
“ Kak long ! ” pekik sebuah suara. Kaki mereka berdua berhenti mengorak
langkah. Nuzul memandang ke kanannya. Irsyad juga tertarik dengan panggilan itu
seraya dia mengalihkan pandangan.
Senyuman memutik sedikit demi sedikit. Nuzul seolah tidak percaya. Namun
adik-adiknya telah bersatu. “ Nazrul.”
“ Itu adik-adik kau? ” Nuzul lekas mengangguk dengan pertanyaan
itu. Irsyad melepaskan lengan Nuzul.
Sekali gus, Nuzul menerpa kepada adik-adiknya. Nuha menurunkan
tubuh Nazrul dalam dukungannya. Nuzul berlutut ke lantai shopping kompleks. Berdepan
dengan Nazrul dalam ketinggian yang sama. Nuzul tidak memperdulikan apa-apa
perkara lagi selain kewujudan Nazrul.
“ Nazrul pergi mana, sayang? Mama cari Nazrul sampai tak jumpa.” Ujarnya
berentak sedih dan kesal. Langsung kemudian pelukan erat diberikan. Dahi dan
pipi Nazrul dikucup beberapa kali.
“ Mama…” sahut Nazrul dalam suara yang kecil. Air mata Nuzul tumpah
dikala itu juga. Betapa sakitnya perasaan yang ditempuhi sepanjang kehilangan
adik bongsunya itu.
Nuzul mendongak, menala kepada Nuha dan Nurin. “ Angah dengan Nurin
jumpa Nazrul dekat mana? ”
“ Nazrul cuba nak naik escalator, along. Nasib kita orang sempat halang.
Mengamuk juga dia tadi.” Beritahu Nuha langsung.
“ Maafkan mama, sayang. Mama cuai tadi.” Nuzul masih melahirkan
kekesalan yang bertakung dari dalam jiwanya.
“ Dia adik atau anak kau? ” Nuzul tersentak. Irsyad telah berdiri
di sisinya. Nuzul meleraikan pelukan lalu bangkit. Dia berdiri tegak sambil
menentang wajah keliru Irsyad.
“ Saya dah berjumpa semula dengan adik-adik saya. Terima kasih atas
niat baik, encik. Saya balik dulu.” Nuzul menggamit tangan Nazrul.
“ Not until you answer me.” Arah Irsyad tegas.
“ Encik Alif, sekarang bukan masa saya bekerja. Bukankah tak wajar
bila encik cuba mengarah saya waktu ini? ” tukas Nuzul berani.
Sudah seminggu sejak malam itu mereka tidak bertemu wajah kerana Irsyad
tiba-tiba menghilangkan diri. Nuzul tertanya-tanya namun setiap pertanyaan itu
hanya suara hati yang tidak terluah. Namun apabila bertentang mata, nyata sikap
baik Irsyad tidak bertahan lama.
“ Wipe your tears then you have to answer me. ” Kata-kata Irsyad masih
berbentuk arahan walaupun ketika itu dia sedang menghulurkan sapu tangannya.
Nuzul tercengang dengan huluran tersebut namun dia tidak menyambutnya.
Sebaliknya Nuzul memilih untuk menyeka air matanya dengan jari-jemari sendiri. Irsyad
melangkah lebih rapat. Nuzul semakin terpinga-pinga. Tidak memahami apa yang
Irsyad mahukan sebenarnya.
“ Dare you ignore my words?! ” gumamnya secara berdepan. Tajam
sinar matanya.
“ Saya tak faham, apa yang encik nak sebenarnya? Cakap dalam Bahasa
Melayu, boleh tak? ” bentak Nuzul geram.
“ Who is Nazrul to you? Adik kau atau anak kau.”
“ Adik saya.”
Irsyad diam sejenak. “ Tapi kenapa kau bahasakan diri ‘mama’ dengan
Nazrul? ”
“ Itu hal peribadi saya. Tak ada kaitan dengan encik, tak ada
kaitan dengan kerja saya di cafe.” Nuzul membalas tegas.
“ Nope. It just a simple question, Nuzul. I need to know the answer.
You can give any damn answer to me but I just want to know the truth.”
“ Go back to your fiancé. Encik dah lupa diri di mana encik berada.
Saya tak nak timbulkan masalah dengan tunang encik.” Nuzul berbicara secara
berlembut. Tidak mahu menyalakan baran yang terkandung dalam diri jejaka itu. Apatah
lagi mengundang masalah dengan kekasih Irsyad. Keberadaan Irsyad bersamanya kelak
bakal menimbulkan isu. Nuzul cukup risau mengenangkan sebarang kemungkinan yang
berlaku.
“ Perempuan tu dah balik. Dia bukan tunang aku, teman wanita pun
bukan.” Irsyad menjawab. Nadanya mulai menurun dan mendatar tanpa sebarang provokasi.
“ Saya pun nak balik, encik. Saya penat.”
“ Along…” Nurin menyampuk. Nuzul dan Irsyad terus menala kepada
Nurin.
“ Er, kita makan dulu sebelum balik, boleh? Kita orang lapar.” Tingkahnya
menyambung.
“ Jom, kita ke Kenny Rogers.” Sela Irsyad. Tanpa silu, dia menyambut
undangan Nurin.
“ Encik Alif…”
“ Jom, abang. Nurin suka dengan cadangan abang tu! ” putus Nurin
dengan senyum mekar. “ Nazrul pun mesti suka.”
Nuzul terpana. Nuha yang memandang tidak terkata. Terkejut dengan
kepantasan Nurin memberikan persetujuan. Manakala Irsyad senyum puas dengan
balasan itu.
Nota di kaki : Terima kasih sudi mengikuti cerita ini dan terima kasih atas kesabaran dalam menanti, menunggu chapter seterusnya. Maaf atas segalanya, sayang kalian semua :D
Best nak lagi.
ReplyDeleteSambungan lagi pls... cerita sungguh best.
ReplyDelete