Rafiq yang baru keluar dari bilik air terus menuju ke pintu bilik. Ketukan pada pintu menggamitnya untuk membuka. Terjengul tubuh Sakinah sebaik saja pintu terkuak. Rafiq memandang Sakinah. Isterinya itu terus melarikan anak mata. Menundukkan pandangan.
“ Er..tak apalah. Maaf,” ujar Sakinah dalam kegugupan. Jantungnya berdetak kencang. Wajahnya merona merah. Malu. Tubuh bidang Rafiq yang hanya bertuala itu mencemaskan dadanya. Sakinah mengutuk dalam hati. Akibat tuntutan naluri yang menggila dia terus menerjah. Langsung tidak terfikirkan kepenatan suaminya yang baru pulang dari kerja. Esok ajelah cakap! Putus Sakinah di hati.
“ Kau nak apa? ” Rafiq bertanya. Walaupun bahasanya kasar tetapi suaranya perlahan.
“ Tak apalah. Tak penting.” Putus Sakinah. Kakinya sudah diatur untuk berpatah balik. Rafiq terus merentap agresif tangan Sakinah. Hampir membuatkan tubuh isterinya tersembam ke badannya. Namun cepat-cepat Sakinah menahan dengan tangan. Rafiq menatap tajam mata Sakinah. Seolah-olah ingin ditikam anak mata itu.
“ Aku tak suka ditinggalkan tanpa jawapan. Cepat cakap kau nak apa? ” tegas suara itu. Sakinah telan liur. Terkesima dia dalam rentapan kuat suaminya. Ditambah pula dengan omongan berapi Rafiq itu. Terpatung dirinya seketika.
“ Er..erm..Kinah nak..balik kampung. Tapi itupun kalau..abang bagi,” Sakinah merenung lembut ke mata suaminya sebelum menundukkan pandangan. Jauh di sudut hati Sakinah betul-betul berharap permintaanya diperkenankan oleh ‘ tuanku’ di depannya ini.
“ Bila? ” Soal Rafiq. Tangan isterinya dilepaskan bila mendengar permintaan dari Sakinah. Kemudian dia berdiri berpeluk tubuh.
“ Minggu depan boleh? ” Sakinah menjawab. Rautnya ditundukkan saja. Malu menatap tubuh yang tidak berbaju itu.
“ Tak boleh. Aku ada kerja di Langkawi.” Putus Rafiq. Sakinah terdiam. Hatinya mula sayu mendengar keputusan suaminya.
“ Tak apalah kalau abang sibuk. Kinah faham tapi kalau Kinah naik bas balik kampung boleh? ” Sakinah masih mahu mencuba.
“ Kau nak mampus? Habis tu, Shafiq kau nak tinggalkan macam tu aje? ” jerkah Rafiq. Sakinah terkedu. Dia menggigit perlahan bibirnya.
“ Tak. Maksud Kinah kalau Kinah bawa Shafiq sekali boleh? ” usulnya. Rafiq geram. Jawapan yang diberikan masih mahu ditawar-menawar oleh Sakinah.
“ Kau kenapa, hah? Beriya sangat nak balik kampung kenapa? Entah-entah kau nak jumpa kekasih kampung kau tu, kan? ” Sangkal Rafiq. Mata suaminya itu kelihatan seperti mata helang.
Sakinah menggeleng laju. “ Bukan. Kawan baik Kinah nak kahwin hujung minggu ni. Kalau boleh Kinah nak sangat bertandang ke majlis dia.”
“ Kalau aku tak bagi kau nak kata apa? ” tutur Rafiq sinis. Sakinah ketap giginya. Terasa geram mendengar kata-kata itu. Ingin rasanya Sakinah menumbuk kuat mulut yang suka menyakitinya itu.
“ Suka hatilah,” getusnya geram. Terus dihayun langkah ke kamarnya. Rafiq tersengih selepas itu. Puas hatinya.
SAKINAH tidak mengerti perasaan yang sedang dialaminya. Selama ini segala perbuatan Rafiq ditelannya bulat-bulat. Tapi kali ini berbeza pula. Sakinah terlalu sakit hati mengenangkan kembali riak selamba Rafiq yang menolak permintaannya semalam.
Bangun saja dari tidur pagi tadi, moodnya betul-betul rosak. Ikutkan hati yang masih geram dan panas memang Sakinah ingin mogok untuk membuat sarapan pagi itu. Tapi disebabkan rasa hormat dan takut, Sakinah tetap memaksa dirinya.
Rafiq mengerutkan dahi melihat hidangan sarapan pagi itu. Selera makannya turun mendadak. Terbit rasa marah dan geram. Perasaannya yang berkobar-kobar untuk mengisi perut terus lenyap. Roti bakar, telur separuh masak dan jem serta air teh saja yang dibuat Sakinah untuk sarapan pagi itu. Dalam terpaksa Rafiq menarik kerusi. Sakinah pula tiada di situ. Pelik Rafiq. Selalunya wajah itu akan melayannya di meja makan ataupun sedang sibuk menguruskan dapur. Tetapi tidak pada pagi itu.
“ Sakinah,” panggilnya kuat. Namun tiada sahutan.
“ Sakinah,” seru Rafiq semakin kuat. Tetap tiada sahutan.
“ Ya,” Sahutnya sebelum sempat Rafiq menempik lebih deras.
Rafiq menoleh pada Sakinah yang turun dari anak tangga dengan perlahan. Naik geram Rafiq menonton langkah isterinya yang lambat itu. Lagaknya seperti dia tersua-sua menanti kehadiran Sakinah.
“ Kenapa? ” tanya Sakinah tanpa riak bersalah. Malas betul dirinya melayan kerenah Rafiq pagi itu.
“ Kau tahu apa salah kau? ”
“ Tak.” Sakinah menggeleng. Bibir merekahnya mudah saja menjawab. Lancar sekali tanpa gugup seperti selalunya.
Rafiq semakin bengang. Raut manis itu tetap tidak mempamerkan rasa bersalah atau takut padanya. Sakinah begitu berani bertentang mata dengannya pagi itu. Pertama kali dalam perkahwinan mereka, Sakinah nampak berani di mata Rafiq. Jauh di sudut hati, Rafiq terasa tewas pada isterinya tiba-tiba.
“ Apa yang kau masak ni? ”
“ Makanan,” jawabnya tenang. Rafiq menjegilkan biji mata. Balasan yang diterima oleh Sakinah benar-benar diluar jangkaannya. Rafiq terus merentap tangan Sakinah. Dicengkam kuat lengan itu.
“ Apa ni? Lepaslah, bang. Sakit,” kerut wajah isterinya menahan kesakitan. Sakinah menarik-narik tangannya supaya dilepaskan. Rafiq semakin kuat mencengkam.
“ Kau sengaja buat aku marah, kan? Kalau tak, kau takkan cuba buat perkara yang aku tak suka.” Rafiq merenung marah pada isterinya.
“ Habis tu, abang buat Kinah marah tak apa pulak? ” balasnya geram. Rafiq terkebil-kebil. Sakinah terus merentap kasar tangannya dari pegangan suaminya. Berjaya dia melepaskan pegangan kuat tangan sasa itu.
Sakinah segera melarikan diri dari ruang itu. Rafiq segera mengejar. Belum sempat Sakinah naik ke anak tangga pertama, tubuhnya di sauk kasar. Pinggangnya pula dicengkam kuat kali ini. Sakinah meronta-ronta minta dilepaskan. Rafiq tidak peduli. Dipeluk batang tubuh itu.
“ Apa maksud kau? Bila masanya aku buat kau marah? ” Bisik Rafiq di tepi telinga isterinya.
Sakinah mengetap bibir. Dia berhenti meronta. Sakinah tahu jika dia terus meronta-ronta minta dilepaskan Rafiq tetap akan melakukannya tanpa belas kasihan. Yang sakit pula hanya tubuhnya.
“ Saya betul-betul nak balik kampung tapi kenapa abang tak benarkan? Yang kahwin tu kawan baik saya sendiri. Cubalah abang bayangkan kalau abang di posisi Kinah. Sakit hati, geram dan marah semuanya ada. Kesian Wan Asiah yang dah bersusah-payah telefon ke sini dan jemput Kinah ke majlis dia. Tapi alih-alih jawapan abang semalam betul-betul membuatkan Kinah sedih dan marah.” Dengan berani Sakinah menghamburkan perasaan yang terbuku di hati. Hilang rasa gentarnya pada Rafiq.
“ Tapi semalam kau minta permission daripada aku. Jadi bila aku tak setuju kau kena terima seadanya. Bukannya memberontak sampai macam ni,” Rafiq berkata perlahan. Pelukan di tubuh isterinya masih kejap tetapi dilonggarkan sedikit agar tubuh Sakinah tidak merasa sakit. Masih wujud rasa belas pada isterinya itu.
“ Memang Kinah minta persetujuan abang. Tapi Kinah tak sangka abang sanggup menolaknya. Lebih-lebih lagi Kinah sanggup pulang sendiri dengan bas tanpa menyusahkan abang sebab Kinah faham abang sibuk. Tapi jawapan abang tetap sama. Langsung tak bertolak-ansur. Suka buat hati Kinah menangis.” Luah Sakinah dengan sebak. Tanpa dipinta air matanya meleleh turun. Rafiq tergamam.
“ Sebab itu, kau marah pada aku? ” bisiknya.
“ Tak wajarkah Kinah marah? Atau Kinah memang tak layak untuk marah tuan besar seperti abang? ” Sayu suaranya berkata.
Rafiq kebingungan.“ Tuan besar? Apa maksud kau? ”
“ Tak ada apa. Lepaskanlah, Kinah.” Pintanya lembut.
“ Cakap cepat. What do you mean by ‘tuan besar’?
“ Kinah penat. Tolong lepaskan, Kinah.”
“ Aku takkan lepaskan kau. Kau tahukan yang aku tak suka ditinggalkan tanpa jawapan.” Tutur Rafiq tegas.
Sakinah memejamkan mata. Meminjam kekuatan dalamannya. “ Selama ini, Kinah telan semua kata-kata abang biarpun hati Kinah pedih mendengar setiap maki hamun abang. Kinah cuba memahami situasi abang yang masih dibelenggu dengan kecurangan Suraya. Tapi pernah ke abang cuba memahami hati dan perasaan Kinah? Tak pernah, kan? Yang abang tahu, hanyalah melemparkan kata-kata amarah dan tak puas hati abang.
Pada abang semua perempuan sama seperti Suraya termasuklah Kinah. Selama enam bulan perkahwinan kita, pernah tak Kinah curangi abang? Pernah tak Kinah ambil kesempatan? Kinah sedar Kinah cuma anak kampung yang hidup menumpang. Kinah tak ubah seperti pengasuh Shafiq dan orang gaji dalam rumah ni. Dan Kinah tahu dalam hati abang sekalipun tak pernah sudi menerima Kinah sebagai isteri. Mungkin itulah perkara yang selayaknya berlaku dalam hidup Kinah.” Sakinah menangis perlahan.
Rafiq tergamam. Perlahan-lahan tangannya meleraikan rangkulan. Melepaskan pinggang gadis itu. Sakinah berlari naik ke anak tangga. Mutiara jernihnya mengiringi langkahnya. Rafiq tidak terkata. Ucapan hiba yang terbit di bibir itu telah membuatkan lidahnya kelu tanpa bicara.
Terngiang-ngiang nama Suraya menampar ke telinganya. Rafiq dapat merasakan kepedihan yang lalu. Akibat kepedihan itu, kini Sakinah pula yang dijadikan galang ganti. Yang sepatutnya dihukum adalah Suraya. Tapi Rafiq bagaikan alpa tatkala menghadapi kekecewaan hati. Benak Rafiq tiba-tiba menunjal hebat dengan sebuah persoalan. Wajarkah Sakinah menggalas semua kesakitan akibat kasad Suraya?
Hana Efryna : best.. syabas
ReplyDelete