Semua orang bergerak keluar setelah mesyuarat bersurai. Rafiq memandang Rudi yang duduk berdiam di tempatnya. Tidak langsung menyedari semua pekerja lain yang telah berpusu-pusu keluar.
“ Kau kenapa, Di? ” Rudi memanggung kepala. Menghala mata pada Rafiq yang berada di kepala meja bilik mesyuarat itu. Rudi menggelengkan kepala.
“ Jangan tipulah, Di. Aku kenal air muka kau tu. Asal? Ada masalah ke? ”
“ Tak ada apa-apa.” Jawabnya supaya Rafiq tidak bertambah musykil.
“ Aku tahu kau ada masalah. Tadi masa mesyuarat aku tengok kau langsung tak fokus. Fikiran kau macam melayang-layang. Mesti ada sesuatu yang menganggu kepala otak kau, kan? ” Tanya Rafiq mencungkil.
“ Entahlah, mungkin aku terbawa-bawa perasaan kesian aku pada pekerja buruh kita yang terlantar kat hospital tu. Macam manalah dengan nasib anak bini dia lepas ni? Dahlah anak sampai enam orang, ” ulasnya.
Rafiq mengangguk setelah mulai mengerti. “ Aku faham dengan perasaan kau yang pembelas kasihan tu, jangan risaulah. Syarikat akan bertanggungjawab membayar kos perubatan dan memberi pampasan pada dia. Insya Allah, nasib dia orang pasti akan terbela juga,” balas Rafiq seadanya. Rudi hanya mengiyakan.
“ Okeylah, aku keluar dulu.” Rafiq pamit. Rudi mengangguk.
Lama Rudi bersandar di kerusi setelah Rafiq berlalu. Bayangan itu melintas lagi. Rudi mengetap bibir. Geram dengan khayalan yang menari-nari di kotak ingatannya. Bukan soal pekerja buruh yang dirisaukannya tetapi ada sesuatu perkara lain yang mencuri seluruh tumpuannya. Akhirnya Rudi mengeluh. Gila! Kenapa muka perempuan itu yang menjelma? Apa yang ada pada dia? Pakai tudung pulak tu! Bentak hatinya.
LANGKAH laju diatur setelah mendapat panggilan daripada setiausahanya mengingatkan mesyuarat yang akan berlangsung dalam setengah jam lagi. Walaupun ruang dalam hospital kelihatan sesak tetapi Rudi tetap bergesa-gesa. Sehingga akhirnya tubuhnya berlanggar dengan seseorang. Berderai jatuh kidney dish yang dibawa jururawat itu ke lantai. Rudi terpempan.
“ Ya Allah,” luah jururawat itu spontan. Pantas matanya memandang sekilas pada Rudi sebelum segera tunduk mengutip peralatan yang berterabur dari dalam kidney dish.
Rudi terduduk. “ Maaf, saya tak sengaja.” Dia lantas memohon maaf atas kesilapannya. Jururawat tersebut mengangkat muka. Rudi menatap khusyuk wajah wanita di hadapannya itu.
“ Tak apa, tapi lain kali encik tak boleh berkelakuan begini lagi. Risau akan membahayakan pesakit-pesakit lain pula jika dilangar begini.” Tutur jururawat yang bernama Marisa itu. Sempat mata Rudi melihat tanda nama jururawat itu.
Rudi menggangguk sementara jururawat itu terus berlalu.
PENAT Luna menari sakan dalam bilik karaoke itu. Dia kemudian menuju ke arah Rudi dengan lenggok menggoda. Berubah air muka Luna menonton raut jejaka itu. Bagaikan tiada hati padanya. Barangkali sudah jemu untuk bersamanya. Sementelah jejaka tampan seperti Rudi memang hangat di pasaran ditambah pula dengan poketnya yang penuh dengan duit tentu ramai yang sudi menagih kasih pemuda itu.
“ Baby..” rengek Luna untuk meraih perhatian Rudi. Namun fikiran Rudi bagaikan melayang. Rengekkan Luna tidak dipeduli malah langsung tidak mengusik nalurinya.
“ Sayang..” seru Luna lagi.
“ Hrmm..” sela Rudi malas. Otaknya betul-betul tepu. Terasa sangat malas untuk keluar berseronok malam itu tetapi dipaksa juga oleh Luna.
“ Kenapa I tengok you macam tak ada mood aje? You ada masalah? ” soal Luna manja. Gelengan Rudi menerbitkan senyuman di bibir Luna. Pantas dia melentukkan kepala ke bahu Rudi.
“ I nak balik.” Rudi lekas menarik bahunya. Seolah-olah tidak selesa dengan perlakuan Luna.
“ Alah, sayang..awal lagilah..” pujuk gadis seksi itu.
“ Kalau you nak tinggal kat sini I tak halang tapi I nak balik.” Tegas dia bersuara.
Luna mengulum senyuman menggoda. “ Okeylah, kita balik sekarang. Tapi kita nak balik mana? Rumah you atau rumah I? ”
“ I nak berehat malam ni. You balik rumah you dan I balik rumah I, okey? ” Rudi menjawab selamba. Luna terkedu. Terkejut dengan pernyataan itu. Ternyata telahannya memang benar.
“ Kenapa dengan you? Kenapa tiba-tiba berubah? Dah tak sayang I? ” soal Luna bertubi-tubi.
Dahi Rudi berkerut. Sesak kepalanya melayan kerenah Luna.“ Apa you cakapkan ni? Asal terbit soal sayang pulak? ”
“ Maknanya you dah ada perempuan lain? ” duga gadis itu.
“ Tolonglah jangan buat hal waktu ni. I cuma nak balik sekarang ni.” Tukasnya geram.
“ You tak boleh buat I macam ni? Siapa perempuan tu? Please tell me? ” bentak Luna. Rudi mendengus marah.
“ Suka hati akulah nak keluar dengan sesiapa pun. Siapa kau nak menghalang aku? ” jerkah Rudi sebelum melangkah pergi.
Luna tergamam. Tidak mampu menghalang Rudi. Akhirnya dia juga menjadi salah seorang antara kekasih-kekasih Rudi. Ditinggalkan bila sudah puas.
No comments:
Post a Comment
hai ! terima kasih ^.^