Followers

/ Tagboard \

We are really hope that you will get something with this blog. Please respect to each other and keep enjoying with us ^.^
.Images are credit to Google.

Malam bertemu Bintang bab 2









Saiful mengukir senyum memandang belakang tubuh isterinya yang sedang berdiri di balkoni bilik tidur mereka. Derap langkahnya diatur dengan cermat, berniat mahu mengusik Laila.


            “ Abang!! ” Laila terjerit kecil tatkala pinggangnya disauk dengan rakus secara tiba-tiba.


            “ Sayang, ini abanglah! ” Bisik Saiful sambil tertawa dengan gelagat terkejut isterinya. 


            Laila menepuk kuat lengan tegap Saiful. Tanda marah dengan perbuatan suaminya. “ Isyh, Laila tak suka abang buat serangan hendap macam ni! Boleh tercabut nyawa tau tak?! ” getusnya geram. Tegang mukanya kerana marah.


“ Sorry, abang tak berniat nak buat sayang marah. Abang cuma nak mengusik Laila. Maafkan abang, sayang…” rayu Saiful lembut. 


Laila diam seketika sebelum mengangguk kecil. Mustahil baginya untuk terus marah bila suaminya sudah merayu manja begitu. Lemah semangatnya sebagai seorang isteri. Saiful terlalu pandai membuai perasaan kasih antara mereka. Lelaki itu terlalu sempurna untuknya bergantung harapan dan cinta.


“ Fikirkan apa tadi? Abang tengok Laila asyik tengok langit malam.”


“ Shahira dah tidur ke, abang? ” Laila bertanya soalan lain pula.


“ Anak dara abang tu dah selamat masuk ke alam mimpi. Tinggal ibunya yang abang tak berjaya heret masuk bilik lagi,” usik Saiful bersahaja. Laila tertawa halus. Senang hatinya mendengar gurauan manis itu.


“ So tell me, apa yang Laila fikirkan tadi? Kalau ada masalah, sayang boleh ceritakan pada abang. Abang tak suka menjadi orang terakhir yang mengetahui masalah Laila.”


“ Laila tak ada masalah. Cuma terfikirkan seseorang,” jawabnya damai dalam dakapan sang suami.


“ Siapa? Abang kenal ke? Yang penting bukan lelaki lain yang berada dalam fikiran isteri abang sekarang.” Tangan kanan Saiful mengelus lembut kepala isterinya. Manakala tangan kirinya masih merangkul pinggang Laila.


“ Hanya lelaki bernama Saiful yang wujud dalam fikiran Laila. Jangan cepat sangat cemburu, abang.” Tegurnya mengingatkan suaminya. “ Tadi Laila sebenarnya teringatkan Nuzul. Bila abang bercerita tentang kejadian dekat café, Laila risau sangat dengan Nuzul. Bimbang kalau Irsyad berdegil nak memecat Nuzul. Kesian dia, abang.”


“ Janganlah risau… demi Laila, abang akan pertahankan kawan baik awak tu.”


“ Terima kasih, abang. Laila sayang abang.” Ucapnya lembut.


“ You’re most welcome, my love.” Balas Saiful dengan berbesar hati.


“ Biarpun apa-apa terjadi, Laila nak abang pertahankan Nuzul. Dia terlalu kasihan untuk ditimpakan ujian yang sangat berat. Kadang-kadang Laila sangat kagum dengan ketabahan Nuzul, biarpun terpaksa melalui kesusahan dan keperitan, Nuzul tetap memilih untuk membahagiakan insan di sekelilingnya. Laila sendiri tak mungkin menjadi seperti dia.”


“ Abang faham dengan kasih sayang Laila pada Nuzul. Abang pun berharap Nuzul akan menemui hakikat bahagia yang sebenar. ”


Laila mengangguk. Dalam hati turut berdoa, agar segala kesulitan teman baiknya itu segera terhapus. Puas dirinya ingin membantu tetapi Nuzul bukanlah seorang yang mudah menerima. Gadis itu lebih suka berdikari serta menikmati perjuangan yang dilaluinya. 


“ Abang sedih tengok Laila susah hati tentang Nuzul.” Luah Saiful demi meraih perhatian isterinya.


“ Sorry, Laila terbawa-bawa emosi sedih.”         


“ Sayang…” seru Saiful apabila masing-masing mendiamkan diri beberapa ketika.


“ Hurmm…” sahut sang isteri.


“ Tadi sebelum tidur, Shira ada bisikkan sesuatu dekat abang.” Beritahu Saiful di tepi telinga Laila.


“ Hah? ” Laila kehairanan. “ Apa yang anak abang bisikkan? ” teruja Laila untuk mengetahui bicara anak daranya yang baru berusia tiga tahun. 


“ Sedih sangat abang dengar luahan anak kita tu. Katanya… papa, Shira sunyi sangat hidup seorang diri. Shira nak seorang kawan.” Saiful berkata sambil mengajuk suara Shahira yang kononnya bersedih.


“ Abang biar betul?! Takkan Shira mengadu begitu dengan abang? Laila selalu ada dengan Shira tak pernah pun dia mengadu perkara tu.” Laila sedikit tidak percaya.


“ Sebab Shira tahu ibunya mesti tak faham maksud kawan yang dia mahukan.”


“ Dah tu, maksudnya apa? ” soal Laila yang semakin tidak mengerti. 


“ Dia nak adiklah, sayang. Sunyi katanya tak ada adik so, kita kena bagi seorang ‘kawan’ untuk Shira. ” Bersungguh Saiful memaklumkan kepada isterinya. Wajahnya tidak langsung menampilkan sebarang riak bersalah. Selamba dan santai.


“ Ini mesti abang punya idea, kan? Sengaja buat propa kata Shira sunyilah, perlukan kawan. Padahal papanya yang ada agenda lain.” Bicara Laila sambil mencebik. 


Tercetus tawa Saiful apabila isterinya mampu menangkap maksudnya. “ Papa Shira memang bijak, kan? ”       


“ Hurmm, memang bergeliga otak papa Shira. But unfortunately, abang beritahu Shira semula yang ibunya terpaksa postpone permintaan Shira untuk tujuh hari lagi.” Laila tergelak-gelak sejurus itu. Geli hati dengan kata-katanya sendiri.


“ Oh, no…” Saiful tidak terkata. Kecewa sendiri. “ Patah hati abang ni, sayang.”


‘ Oh, hati abang yang kecewa? Bukan Shira yang sepatutnya lebih kecewa? Dia tak dapat kawan.’ Sempat lagi hati Laila berbisik nakal. Tidak sampai hati mahu melahirkan dalam bentuk usikan tatkala melihat wajah yang sedang berduka itu. 


Cupp! Laila mengucup pipi suaminya. “ Janganlah sedih, macam tak biasa pulak.”







“ ZAO AN, papa.” Ucap Irsyad sewaktu melabuhkan punggung di sofa berkembar. Tan Sri Jeffri Lee menurunkan ahkbar yang dibacanya. Melihat anaknya yang baru menjenguk muka.


            “ Bukan selamat pagi lagi, Irsyad. Dah nak masuk tengah hari. Ni wei shenme hen wan qi chuang? ( Kenapa kamu bangun tidur lambat? ), ” papanya menegur. 


Irsyad senyum segaris. Baru teringat perkara yang menyebabkan dia tidak mampu melelapkan mata. Telinga, mata serta fikirannya bagaikan tidak mahu bekerjasama malam semalam. Berdesir-desir sebuah lagu yang dia kurang pasti datangnya dari mana.


“ Semalam tak lena sangatlah, papa. Lepas subuh terus sambung tidur lagi.” 


“ Ni chi zao fan le meiyou? (Kamu dah sarapan ke belum? ) ” Tan Sri Jeffri Lee menyambung kembali pembacaannya.


“ Shi, wo chi fan le. Irham qu nali, baba? Wo kan bu jian ta zai fang jian.” ( Ya, saya sudah sarapan. Irham pergi mana, papa? Saya tak nampak dia dalam bilik.)  

Irsyad menyoal apabila bayang-bayang Irham langsung tiada. Lagi-lagi di hujung minggu adik bongsunya itu memang gemar menghabiskan masa bermain computer game di dalam bilik.


“ Ni de didi pei mama qu chaoshi mai dongxi. Tamen hai meiyou huilai.” ( Adik kamu temankan mama pergi ke supermarket beli barang. Mereka masih belum balik lagi.) 


Tan Sri Jeffri menjawab ketika sedang membaca akhbar. “ Mama ingat nak ajak Irsyad sekali tapi kamu lambat sangat bangun.” Tambahnya lagi.


“ Sorry papa, Syad tak sengaja bangun lambat.” Irsyad akur dengan salahnya. Tan Sri Jeffri Lee amat tegas dalam soal disiplin diri. Jika mahu berjaya, disiplin harus ditekankan. Setiap tindak tanduk perlukan perancangan serta ketelitian. Begitulah yang sering dipraktiskan dalam bidang perniagaan. Tidak hairanlah papanya mampu mencapai tingkat kejayaan seperti sekarang.


“ Hah, itu dia orang dah balik.” Sela papanya apabila enjin kereta kedengaran memasuki porch. “ Pergilah tolong mama kamu.”


Irsyad bangkit lalu bergerak ke muka pintu. Menunggu mamanya masuk bersama barang-barang. Ketika itu juga Bibik Ainon sedia mengusung beberapa beg plastik untuk dibawa masuk ke dalam rumah. Irsyad menghulurkan tangan untuk membantu orang gaji itu. 


“ Enggak perlu repot-repot, pak. Saya boleh bawak sendiri ke dapur.”


“ Tak apalah, bibik. Saya bawakan ke dapur. Mari sini barang-barang tu.” Kata Irsyad bersedia mahu membantu. Bibik Ainon menyerahkan hasil belian tersebut sebelum berlalu ke bahagian dapur.


“ Zao an, gege.” Sergah Irham yang sengaja menyindir abangnya dengan mengucapkan selamat pagi.


Irsyad menjungkit keningnya. “ Selamat pagi, budak gemuk.” Balasnya bersahaja.


“ Mama, tengoklah Abang Irsyad, dia kata Irham gemuk.” Irham mengadu kepada Puan Sri Ayuni sewaktu ingin masuk ke dalam rumah.


“ Mama dengarlah, sayang. Irsyad… kalau dah tahu adik tak suka dengan panggilan tu buat apalah dipanggil macam tu.” Tegur Puan Sri Ayuni. 


Irham mencebik padan muka pada abang sulungnya. Bahagia kerana mamanya bertindak membela dirinya. 


Irsyad sebaliknya tersengih memandang Irham. “ Memang itu hakikatnya, mama. Irsyad cakapkan perkara yang betul.”


“ Yelah, mama tahu tapi…”  


“ Apa ni, mama? Kenapa tiba-tiba sokong Abang Syad pulak? ” potong Irham tidak berpuas hati. Irsyad tergelak-gelak memandang adiknya yang gendut.


“ Mama tak sokong mana-mana, Irham.” 


Irsyad malas melayan kecoh adiknya yang terlebih manja. Dia lantas membawa barangan yang dipegang ke bahagian dapur. Manakala Puan Sri Ayuni dan Irham melabuhkan punggung di ruang tamu.


“ Lamanya dekat supermarket? Ramai orang ke? ” tanya Tan Sri Jeffri Lee setelah melipat surat khabar yang dibacanya. Kemudian akhbar tersebut diletakkan ke atas meja kopi.


“ Boleh tahan ramai, tapi yang melambatkan lagi Ayu balik disebabkan anak abang si Irham ni, ajak masuk Pizza Hut. Tak cukup dengan pizza, KFC dengan McD pun nak dicubanya. Entah dekat manalah bahagian perut disumbatnya.” Omel Puan Sri Ayuni memberitahu suaminya.


“ Mama…” Irham merengek. “ Kita, kan dah janji takkan beritahu papa?! ”


“ Irham…Irham…” Tan Sri Jeffri Lee mengeluh berat.


 “ Dah papa bertanya, takkan mama nak berbohong. Berdosalah, sayang.” Kata mamanya bersahaja. Irham mengetap mulut kemudiannya. Serba salah.


“ Jangan sampai papa hantar ke UK, duduk dengan che che. Biarkan che che kawal pemakanan Irham.” Tan Sri Jeffri Lee mula membuka mulut. 


Irham pantas menggeleng. Enggan. “ Janganlah, papa…Irham tak mahu duduk dengan che che nanti dia bagi makan sehari sekali aje. Setiap kali makan mesti oat dengan susu, Irham boleh mati kering dekat sana nanti.”


“ Tak mungkin matilah, Irham. Papa cuma bagi cara yang paling efektif untuk Irham kuruskan badan.” Sampuk Puan Sri Ayuni.


“ Alah, mama… dekat Malaysia pun Irham boleh kuruskan badan cuma tak sampai seru lagi nak bersenam. Okey, Irham janji lepas final exam nanti Irham takkan makan banyak-banyak lagi.” Tekadnya bersemangat demi meluputkan buah fikiran papanya yang mahu menghantarnya kepada Irina, anak kedua dalam keluarga mereka.


“ Dan Irham kena pergi bersenam sekali. Rasanya lebih baik dia ikut Syad ke gim, papa. Boleh Syad train dia punya lemak supaya mengecut. Manalah tahu semua lemak tu boleh bertukar menjadi muscle pulak.” Tokok Irsyad tiba-tiba apabila menghampiri ruang tamu.


Sejurus itu, ketawa besar meletus seisi banglo. Gelak Tan Sri Jeffri Lee dan Puan Sri Ayuni bergabung bersama Irsyad. Irham menggetus marah. Wajahnya bertukar masam dan kelat.


“ Sudahlah tu, nanti ada orang merajuk tak nak makan mama yang susah hati.” Puan Sri  Ayuni cuba meredakan suasana yang gamat. 


“ Alah, kalau merajuk pun apa salahnya. Jimat makanan dalam rumah ni. Proses untuk kuruskan badan pun akan menjadi lebih mudah, tak perlu kita hantar dia sampai ke UK.” Irsyad masih mahu mengenakan Irham yang duduk di sebelah mamanya. Muka bulat adiknya jelas sedang menahan rasa geram terhadapnya. 


“ Irham mogok makan hari ni! ” putus Irham sebelum laju mendaki anak tangga.

Irsyad semakin melambakkan tawa. Terkekeh-kekeh gelaknya sewaktu memandang badan adiknya bergegar-gegar dek lebihan lemak semasa berlari di anak tangga. 


“ Sudahlah tu, Irsyad. Jangan gelakkan dia lagi. Lepas ni, mama nak kamu pujuk Irham balik. Kang, tak pasal-pasal mama yang kena bersusah payah hantar makanan ke atas.” Arah mamanya.


Irsyad mendengus. “ Hisyh, umur dah enam belas tahun pun merajuk macam budak tadika. Manja! ” 


“ Irsyad pulak dah lebih dua puluh lapan tahun, masih lagi suka cari gaduh dengan Irham. Siapa yang tak matang sekarang ni? ” Puan Sri Ayuni bertanya dalam bentuk sindiran.


“ Yelah, Syad yang salah! Tapi Irsyad bukan sengaja cari gaduh, Syad cuma nak mengusik dia, mama. Dan Irsyad suka sangat tengok dia merajuk. Super-duper cute bersama lemak dia yang excessive tu, mama. ”


“ Hisyhh, budak ni! ” Puan Sri Ayuni hanya mampu menggeleng sahaja.


“ Irsyad, malam ni jangan lupa kita ada majlis annual dinner dengan Riyad Holding.” Tan Sri Jeffri Lee memaklumkan hal tersebut bagi mengingatkan anak terunanya itu.


“ Syad tak lupa, papa.”


“ Hah, sebelum attend annual dinner malam ni, pergi jemput Melati dulu.” Puan Sri Ayuni mengingatkan Irsyad dengan suatu tanggungjawab yang lain pula.


“ Mama, can I say something? ” Irsyad meminta izin. Puan Sri Ayuni mengiyakan.


“ Syad boleh jemput Melati bila-bila mama suruh, anytime Irsyad tak kisah. Tapi bukan bermakna Irsyad setuju jadikan Melati sebagai isteri atau kekasih. Kami cuma partner untuk malam ni, bukan untuk selamanya. Kalau mama ada niat nak satukan Syad dengan Mel, tolong ketepikan.” Ujar Irsyad lebih bersikap terbuka.


“ Kenapa? Irsyad tak sukakan Melati? Kalau ada jodoh apa salahnya? ” Puan Sri Ayuni menyoal lebih lanjut.


Irsyad segera menggeleng. “ Please, mama… Irsyad tak boleh terima. Mel tak sesuai dengan Syad. Lagipun Syad anggap Melati macam Irina, lebih sesuai jadi adik.”


“ Okey, mama sebenarnya tak kisah siapa pun pilihan Irsyad. Tapi Syad janganlah terlalu memilih, umur kamu tu semakin ke angka tiga puluh.” 


            “ Syad tak memilih, mama. Cuma belum ada yang terpilih di mata Syad.”


Puan Sri Ayuni mengeluh lembut. “ Susahlah macam ni, kalau nak menunggu pilihan kamu.”


“ Bagi dia masa, Ayu. Dia pun macam abang, nak mencari yang betul-betul pasti, untuk seumur hidup. Bukan sekerat perjalanan hidup, masing-masing dah berpatah arang.” Bicara Tan Sri Jeffri secara tidak langsung menyokong anaknya.  


“ Xie xie, baba.” ( Terima kasih, papa.) Irsyad sedikit lega papanya lebih memahami soal tersebut berbanding mamanya. 


Puan Sri Ayuni hanya mampu diam bila suaminya sudah bersuara. Dia akur kerana ada kebenaran dalam kata-kata itu.


“ Irsyad naik dulu, nak pujuk budak gemuk.” Pamit Irsyad sebelum bergerak ke anak tangga. 



  * Kalau suka sila senyum yer, kalau tak puas boleh mintak lagi, dan kalau tak suka boleh komen utk penambaikan, hihik (^_^)

3 comments:

hai ! terima kasih ^.^