Followers

/ Tagboard \

We are really hope that you will get something with this blog. Please respect to each other and keep enjoying with us ^.^
.Images are credit to Google.

Bab 3

Sakinah berdebar-debar dengan kedatangan keluarga Datin Noraini ke terataknya usangnya itu. Selepas menghantar air dan sedikit kuih-muih ke ruang tamu, Sakinah terus masuk ke dalam kamar. Benaknya tertanya-tanya tujuan keluarga berada itu bertandang. Pada fikirannya, mungkin sengaja menziarahi keluarganya. Maklumlah, dulu arwah neneknya dan arwah Nenek Khatijah, ibu Datin Noraini berkawan baik. Begitu juga hubungan antara ibunya dan Datin Noraini.
Terimbau kembali kenangan kali pertama pertemuan antaranya dan Datin Noraini di tepi pantai. Semuanya tidak terjangkau tapi kehendak Yang Maha Esa tiada siapa pun yang menjangka.
Perkenalan itu telah membawa Datin Noraini bertemu semula dengan ibunya. Dua orang sahabat lama itu berpelukan dan hampir menitiskan air mata. Jarak perpisahan yang lama mengundang sebak di dada masing-masing.
Perkahwinan yang berlaku antara keduanya memisahkan dua orang sahabat itu. Ibunya terpaksa berpindah mengikut ayah yang bekerja sebagai anggota tentera. Meninggalkan nenek dan atuk. Manakala Datin Noraini terpaksa mengikut suaminya yang bekerja di Kuala Lumpur. Anggota tentera seperti ayah yang selalu berpindah-randah membuatkan mereka sekeluarga jarang pulang ke kampung. Sehinggalah ibu mendapat berita nenek semakin tenat, barulah mereka pulang. Sempat juga mereka sampai sebelum nenek menghembuskan nafas terakhir.
Ayah yang berasa bersalah melihat kedukaan ibu terus berhenti daripada menjadi askar. Oleh sebab mahu memujuk perasaan ibu, ayah mengajak ibu pulang ke kampung arwah nenek dan menetap terus di sana. Di samping menjaga atuk yang telah keuzuran. Ibu benar-benar bahagia. Mulai saat itulah mereka berpindah, ayah pula hanya menjadi nelayan di sebelah pagi dan menguruskan kebun atuk di sebelah petang. Hidup mereka sekeluarga kadang-kadang agak susah tetapi ayah dan ibu tetap berusaha memberikan mereka pelajaran dan didikan agama yang sempurna.

NAMUN satu keputusan yang lahir dari bibir ayah dan ibu pagi itu benar-benar menghampakan impiannya. Sakinah kecewa dan sebak. Harapannya untuk mengubah nasib keluarga tidak kesampaian.
Alasannya, pengajian Abang Yusri belum lagi tamat di universiti luar negara dan adik-adiknya masih bersekolah. Ibu dan ayah tidak dapat menampung biaya pembelajarannya jika dia turut ke universiti walaupun hanya dalam negara. Oleh itu, ibu dan ayah menyuruhnya menangguhkan pengajian sehingga Abang Yusri tamat  pengajian dalam masa dua tahun lagi. 
            Sakinah yang terkilan, membawa rasa kecewa sehingga ke pantai. Tempat yang selalu dicarinya di kala hati kerunsingan. Dia duduk di atas sebatang pokok kelapa yang telah tumbang. Pukulan ombak yang menghempas pantai menjadi tatapan. Angin yang menderu kuat membuatkan tudung yang dipakai tidak tentu arah. Sambil itu air mata yang meleleh laju dikesat di hujung tudung. Mujur juga tiada sesiapa di situ.
Satu sentuhan lembut di bahu mengejutkan Sakinah. Diseka laju air mata yang masih turun ke pipi. Risau jika ada yang melihat dirinya begitu. Sakinah tidak mahu sesiapa pun mengetahui duka yang bermukim di hatinya. Biarlah dia saja yang menyimpan rasa itu sendirian. 
Sakinah berpaling. Seorang wanita separuh usia yang elegan dan cantik sedang tersenyum padanya. Wanita itu duduk di sebelahnya. Dikendongan wanita itu ada seorang bayi yang comel. Pada perkiraan Sakinah mungkin wanita itu bukan berasal dari sini. Mungkin pelancong yang menginap di homestay kampung dan sengaja berkunjung ke sini melihat keindahan pantai.
“ Menangis? ” tanya wanita itu perlahan dan masih tersenyum. Pandangan mereka bertaut. Sesekali wanita itu mengusap pipi bayi yang berada dalam kendongannya.
Sakinah menggeleng laju. Menipu. Walaupun dia sendiri menyedari tentu bebola matanya sudah memerah akibat terlalu banyak mengeluarkan air mata.
Wanita itu menggeleng perlahan. Tangan kanannya yang masih bebas tiba-tiba hinggap di pipi Sakinah. Disapu perlahan sebutir air mata yang masih tersimpan di situ. Kemudian ditunjukkan kesan air mata itu di depan mata bundar Sakinah. Membuatkan Sakinah tergamam.
“ Bergaduh? ” lembut pertanyaan wanita itu. Sakinah lantas menggeleng laju.
“ Habis tu, kenapa? Ada masalah? ”
“ Masalah kecil saja.” Balas Sakinah sayu. Hampir tenggelam suaranya yang baru lepas menangis.
“ Kalau tak keberatan ceritalah pada saya,” ujarnya lagak seorang ibu penyayang.
“ Tak ada apa-apa. Masalah saya kecil saja. Comelnya baby ni. Anak puan ke? ” Sakinah mengelak dari menjawab. Sengaja beralih tajuk.
Ternyata wanita itu cukup faham. Mungkin gadis di hadapannya ini tidak mahu berkongsi duka yang dilalui. Ataupun belum bersedia bercerita padanya. Sementelah mereka bukannya kenalan rapat. Baru pertemuan pertama. Masakan cerita luar dalam ingin disingkap gadis itu padanya. Mustahil.
“ Hiisyh, bukanlah! Saya ni dah tua mana nak ada anak kecik. Ini cucu saya,” beritahu wanita itu. Tergelak-gelak di hujung bicaranya. Lagak gadis itu kelihatan naif mencuit hatinya.
“ Mana ada tua. Puan nampak cantik dan muda tak mustahil boleh ada anak sekecil ini. Tak sangka pula ini cucu puan. Siapa namanya? ” Sakinah memegang kaki halus bayi itu yang tersarung sarung kaki. Memang sangat comel pada pandangannya.
“ Namanya Amar Shafiq .” Jawab Datin Noraini. Digenggam tangan si kecil yang terawang-awang seperti ingin menggapai sesuatu di langit. Sakinah menguntum senyuman bahagia. Rasa kecewa berlalu dan diganti pula dengan rasa ceria melihat telatah si cilik.
“ Umurnya berapa? ” diusap pula pipi mungil bayi itu.
“ Hampir setahun.”
“ Ibu dan ayahnya mana? Tak datang sekali? ”
“ Ibu dan ayah dia dah berpisah.” Tenang saja wanita itu berkata.
Sakinah tersentak. “ Maafkan saya.”
“ Tak apa. Eh, dah lama kita bersembang. Saya langsung tak tahu nama kamu.”
“ Sakinah. Panggil Kinah saja pun boleh. Boleh saya dukung dia? ” Pinta Sakinah. Dia memang ingin mengendong anak kecil itu. Lebih-lebih lagi Sakinah bersimpati mengenangkan nasib bayi comel itu. Terpaksa mengharungi situasi perpisahan ibu bapa biarpun dalam usia yang sangat mentah. 
Wanita itu mengangguk perlahan. Diberikan dengan cermat cucunya pada Sakinah. 
“ Er, boleh saya tahu nama puan? ” teragak-agak dia menyoal.
“ Nama saya Noraini. Semua orang panggil Ain termasuklak suami saya. Sampai saya naik muak mendengar nama saya sendiri.” Gurau  Datin Noraini. Sakinah ketawa kecil mendengar ujaran wanita di hadapannya itu. Begitu bersahaja intonasinya. Tercuit hatinya untuk ketawa.
“ Hah, kan manis ketawa begini! Jangan menangis lagi. Setiap dugaan itu pasti ada hikmahnya.” Secara tidak langsung Datin Noraini memujuk hati gadis manis itu.
Sakinah mengangguk. Sebuah senyuman terukir biarpun hambar. “ Puan di sini dengan siapa lagi selain Shafiq? Saya tak nampak sesiapa pun dari tadi. ”
            “ Saya datang dengan suami saya. Tapi dia keluar ke pasar sekejap beli barang dapur. Maklumlah, kami baru pulang ke sini jadi tak sempat nak membeli barang untuk memasak.”
            “ Pandai juga suami puan beli barang dapur. Saya jarang nampak lelaki ke pasar sebab selalunya kat pasar tu, majoritinya semua wanita.” Sakinah mengulas.
            “ Mana tak pandainya, sepanjang usia perkahwinan kami selama tiga puluh tahun ni saya selalu paksa dia masuk dapur. Mana tahan kita seorang saja yang memasak tapi dia duduk goyang kaki baca surat khabar. Jadi, bila saya ugut tak nak memasak baru dia nak ikut sekali.” Cerita Datin Noraini secara tidak langsung. Sakinah hanya tergelak  mendengarnya. Datin Noraini terkesan sesuatu dibalik senyuman itu.
            “ Kamu ni orang sini ke? Wajah kamu macam ada iras orang yang saya kenal.”
“ Ha’ah, ibu saya orang sini. Lepas arwah nenek meninggal kami terus menetap di sini. Puan selalu ke melancong ke sini? ”
“ Apa pulak melancong? Saya ni dilahirkan dan dibesarkan di sini. Anak jati kampung ni. Cuma selepas arwah mak saya meninggal saya dah jarang pulang ke sini. Kalau raya pun kami adik beradik selalu berkumpul di Kuala Lumpur. Tapi entah mengapa sejak kebelakangan ini saya tiba-tiba terpanggil untuk balik ke sini. Rindu agaknya.” Luah Datin Noraini. Sakinah hanya mendengar. Dibelai ubun-ubun Shafiq. Sesekali ciuman kecil bertaut dikening bayi itu.
“ Ibu kamu orang sini. Siapa namanya? Mana tahu kami saling mengenali.” Datin Noraini senang melihat Sakinah mengulit manja cucunya itu. Penuh sifat keibuan biarpun gadis itu nampak begitu muda.
“ Nama ibu Syamila.” Beritahu gadis itu. Senyuman Datin Noraini mati. Berubah air mukanya serta merta. Sakinah turut terkesan.
“ Syamila? ”
Sakinah mengiyakan. “ Orang kampung panggil Mila.”
“ Syamila anak arwah Hajah Fatimah dan arwah Haji Abdullah?  Kamu anak dia? ” Datin Noraini semakin penasaran.
“ Ya. Kenapa, puan? ” Sakinah hairan melihat riak wajah Datin Noraini. Tergambar sebuah rahsia disebaliknya.
Datin Noraini mengampu wajah Sakinah dengan kedua-dua belah tangannya. Tidak silap tekaannya. Wajah Sakinah ada iras Syamila. Alhamdulillah, tak sangkanya  ya Allah..
“ Bawa mak cik berjumpa ibu kamu. Mak cik dah lama nak berjumpa dia,” pohon Datin Noraini. Rautnya benar-benar berharap. Air matanya hampir bergenang. Sakinah yang kaget, mengangguk sebagai tanda persetujuan. Sambil mengendong Shafiq, Sakinah membawa haluan bersama Datin Noraini ke rumahnya. Meninggalkan kawasan pantai.

No comments:

Post a Comment

hai ! terima kasih ^.^