“ Kau apasal nampak stres aje hari ni? ” Rudi bertanya ketika mereka berdua sedang menikmati juadah makan tengah hari di restoran yang berdekatan dengan kawasan syarikat.
Rafiq menggeleng.
“ Come on, Raf! Aku dah lama kenal kau. Air muka kau yang macam cendawan busuk tu aku dah cukup arif. Ada perkara yang tengah menyesak gila dalam otak kau, kan? Cubalah cerita sikit. Mana tahu aku boleh tolong selesaikan,” kata Rudi.
Wajah Rudi dipandang. Memang Rudi cukup kenal akan dirinya. Selama ini mereka sentiasa bersama dan mana mungkin dia menyembunyikan sesuatu dari teman baiknya itu. Tetapi jika soal Sakinah wajarkah dia menceritakan pada Rudi bahawa gadis itu sedang merajuk padanya? Rafiq keliru dalam kemusykilan yang diciptanya sendiri.
“ Ini mesti pasal Sakinah, kan? ” Rudi meneka.
“ Apasal kau agak dia? ”
“ Sebab mulut aku yang suka-suka nak mengagak dia? ” Rudi selamba menjawab. Rafiq menjamu hidangan nasi paprik tanpa menghiraukan kata-kata Rudi.
“ Kenapa dengan dia? ”
“ Tak ada apa-apa.” Malas Rafiq mahu bercerita walaupun soal isterinya itu begitu menyesakkan kepala. Entah mengapa semenjak kebelakangan ini dia selalu ingin menjaga perasaan Sakinah. Padahal sewaktu di awal perkahwinan dulu begitu kerap dan sengaja dia menyakiti hati wanita itu. Malah tidak tercuit langsung rasa bersalah saat itu. Yang wujud hanya rasa puas hati. Namun, kini semuanya bagaikan berubah. Rafiq kurang pasti sama ada hatinya sudah boleh menerima kehadiran Sakinah ataupun sebenarnya dia sudah jatuh suka pada isterinya itu.
“ Suka hati kaulah,” Rudi mengalah. Walaupun perkembangan hubungan antara Rafiq dan Sakinah memang ingin diketahuinya. Dia kembali menyambung seleranya dengan nasi goreng ayam kampung.
“ Dia merajuk,” tanpa berat mulut Rafiq berkata. Terasa pula ingin berkongsi masalah yang melanda. Rafiq tahu Rudi mungkin dapat mencari jalan penyelesaian. Temannya itu memang arif sangat hal perempuan. Maklumlah, playboy kelas pertama!
“ Merajuk? Sakinah maksud kau? ” Rudi tidak percaya. Rafiq mengangguk. Sejurus itu, tawa kecil pecah dari mulut Rudi. Rafiq mengerutkan dahi. Pelik.
“ Kenapa kau gelak? Aku tak fikir itu lawak, okey ? ” gerutunya dengan dahi berkerut.
“ Kau tak rasa itu lawak? Come on, Raf. Apasal tiba-tiba kau nak ambil berat tentang perasaan dia? Dulu kalau pasal Sakinah bukan main kau melenting, tapi sekarang kenapa kau kisah sangat tentang perasaan dia? Mana Rafiq yang suka sangat melenting tak tentu pasal bila aku sebut aje nama Sakinah? Apa mimpi kau dapat malam tadi? ” sempat lagi Rudi memerli temannya itu. Rafiq mendengus geram.
“ Pleaselah, Di. Aku tak ada masa nak berlawak dengan kau. Aku nak kau tolong selesaikan masalah ni, bukan nak suruh kau kenakan aku balik.”
“ Ohh, okey. Cuba kau cerita sikit macam mana dia boleh merajuk manja dengan kau? Apa sebabnya? ” Dalam bertanya sempat Rudi menyelitkan senyuman nakal.
“ Malam tadi…” Rafiq menceritakan perihal sebenar yang berlaku dari mula sehinggalah Sakinah melontarkan segala isi hatinya pagi tadi sebelum dia ke pejabat. Rudi yang mendengar hanya menadah telinga. Dalam tenang dia cuba menganalisa perasaan pasangan suami isteri itu.
“ Memanglah dia patut marah. Dah kawan baik dia nak kahwin mestilah dia nak raikan sama-sama. Alih-alih kau pula yang membantutkan niat dia. Siapa yang tak marah? Aku pun boleh marah.” Rudi memberikan pandangannya.
“ Aku bukan sengaja nak sakitkan hati dia. Masalahnya memang aku ada hal lain waktu tu. Takkan nak tundakan pula lawatan ke site projek kat Langkawi tu semata-mata untuk dia? Aku tak kisah pun sebenarnya cuma semalam aku sakit hati betul sebab dia berdegil sangat nak balik kampung. Aku dah kata tak boleh dia nak pujuk guna cara lain pula. Aku pulak rasa tercabar bila dia cuba nak ubah pendirian aku. Itu pasal aku terus cakap tak boleh! ”
“ Itulah kau. Bab ego kalau boleh nak sampai ke angkasa lepas. Cubalah berdiplomasi sikit. Itukan bini kau. Bukan orang gaji atau baby sitter anak kau yang kau boleh main tempelak. Dia ada hati dan perasaan. Lebih-lebih lagi wanita macam Sakinah, mudah terhiris dan terluka bila kau berkasar. Lembutkanlah sikit hati tu bila layan bini,” tutur Rudi. Sekadar mengingatkan temannya agar menghargai apa yang sudah berada dalam hidupnya.
“ Aku dah biasalah, Di. Lagipun aku tak biasa nak berlembut dengan dia, aku kekoklah.” Luah Rafiq. Minuman yang dipesannya disedut.
“ Mula-mula memanglah kekok tapi lama-lama nanti kau akan biasa. Dia pun akan rasa seronok bila kau dah mula nak berlembut dengan dia. Aku yakin kalau kau boleh berubah tentu kau dan Sakinah akan rasa serasi bersama. Percayalah cakap aku! ”
“ Susahlah, Di.” Degil hati Rafiq.
“ Susah sebab kau tak cintakan dia macam mana kau cintakan Suraya dulu.” Tempelak Rudi. Air muka Rafiq berubah.
“ Tolong jangan kaitkan perempuan tu di antara aku dan Sakinah. Aku tak suka!” Kata Rafiq jengkel. Hilang seleranya saat nama bekas isterinya itu disingkap oleh Rudi.
“ Aku bukan nak kaitkan Suraya dalam hal ni. Tapi saat kau bersama Suraya begitu kukuh dalam ingatan aku. Percaya atau tak. Aku suka tengok riak bahagia kau dulu sewaktu bercinta dengan Suraya. Kau nampak sungguh gembira waktu tu. Jadi apa salahnya kau ulang semula saat-saat romantik itu dengan Sakinah. Jadikan dia seorang isteri yang kau boleh dampingi, kasihi dan cintai. Tak salahkan? ” Penuh hemah Rudi memberi pendapat. Begitulah yang dia mahukan untuk kebahagiaan Rafiq.
“ Kau ni kenapa, Di? Tiba-tiba nak jadi doktor cinta. Kau tengah jatuh cinta ke? ” Rafiq menduga Rudi. Ternyata Rudi nampak lain kebelakangan ini. Rafiq sendiri kurang pasti apa yang telah berlaku dalam hidup temannya itu.
Rudi tersengih-sengih. “ Jangan nak tukar tajuk, okey? Aku nak kau fikir-fikirkan apa yang aku cakapkan tadi. Tak rugi kalau kau mencuba,” ujar Rudi lagi.
“ Aku tahu. Kita tengoklah nanti apa yang berlaku seterusnya. Aku pun tak pasti. So, macam mana pulak aku nak selesaikan masalah yang ada sekarang ni? ”
“ Senang aje. Kau ikut ajelah ape yang dia nak. Hantar dia balik ke kampung. Lepas tu, bila semuanya selesai kau pergilah ambil dia.”
“ Macam tu aje? Habis tu, semalam aku dah cakap tak boleh takkan tiba-tiba aku nak cakap boleh? Malulah aku nanti. Mahu tercalar ego aku kalau kali ni aku mengalah. Silap-silap hari bulan dia gunakan cara yang sama untuk mintak itu ini.” Ulas Rafiq kurang setuju.
“ Tengok tu, lagi-lagi pasal ego kau yang penting. Tak payahlah fikir negatif sangat. Aku yakin dia takkan ambil kesempatan. Alah, balik nanti kau buat-buatlah cakap pasal hal semalam tu. Katalah kau dah ubah fikiran. Lepas tu kau cakap straight aje tak payah nak berdialog banyak-banyak. Confirm kau akan berjaya laluinya,” terang Rudi.
“ Yelah tu. Senanglah kau cakap sebab bukan kau yang berada kat tempat aku. Yang menghadap dia nanti aku jugak.” Rafiq mengelap bibirnya dengan tisu. Kemudian ditala pandangannya kepada temannya itu.
“ Tak susah. Tarik nafas perlahan-lahan kemudian hembus. Just relax. Aku yakin kau mesti boleh.” Rudi mengajar.
Rafiq menjuihkan bibir. “ Cakap memanglah senang, Di. Kau tak tahu apa yang aku rasa sekarang ni? ” keluhnya. Rudi menjungkitkan kening. Bertanya lanjut.
“ Kau tahu tak semenjak kebelakangan ni aku agak nervous nak berdepan dengan dia? Kadang-kadang aku rasa sesak nafas nak tengok muka dia lama-lama. Aku rasa perasaan aku macam kena pukau aje bila pandang muka dia.” Beritahu Rafiq mengenai perasaan aneh dan asing yang sering membelenggu dirinya dalam waktu terdekat ini.
Rudi tercengang. “ Asal kau rasa macam tu? Bunyinya macam pelik.”
“ Aku pun rasa pelik dengan apa yang aku alami sekarang. Yang penting, perasaan marah yang menggunung pada dia sejak kahwin sekarang ni semuanya dah beransur hilang. Lepas tu, aku ada terfikirkan sesuatu tau.” Rafiq berjeda.
“ Kau terfikirkan apa? ”
“ Entah-entah..” sengaja Rafiq berhenti sebelum menyambung ayat, “ aku dah kena ubat guna-guna dia kut? ”
“ Hah? ” Rudi terngadah!
thanx bb smbung citer nya...mmg dh lme tunggu
ReplyDelete