Followers

/ Tagboard \

We are really hope that you will get something with this blog. Please respect to each other and keep enjoying with us ^.^
.Images are credit to Google.

Malam bertemu bintang bab 5 & 6




Buat pengunjung blog, tahun baru 2014 dah menjelang, harap tahun ini membawa keberkatan buat kita, aaminn ya rab...sempena tahun baru, Aii berikan entry terbaru Malam Bertemu Bintang, semoga terhibur dan memuaskan hati anda (^_^)






BAB 5






Irsyad tercegang-cengang apabila membuka kelopak matanya. Terpisat-pisat dia memandang muka Saiful terpacul di depannya. Tetapi rasa terkejutnya tidak mampu diluahkan kerana tekaknya berasa sedikit perit dan pahit. Maklumlah baru bangun dari lena yang panjang sedang rasa pening di kepala serta suhu badannya belum surut sepenuhnya.

“ Saif…kau buat apa dekat sini? ” Kelat suaranya tatkala memulakan bicara.

“ Melawat orang sakit.” Saiful tersengih-sengih.

“ Baiknya hati kau melawat aku. Aku demam ajelah, bukannya aku koma atas katil ni.” 

“Aku ni best friend kau, takkan nak tunggu kau keras kejung tak sedarkan diri barulah aku terhegeh-hegeh nak menziarah. Apa punya kawanlah, tak appreciate langsung kawan datang melawat.” Tukas Saiful menceberkan mulut.

“ Hurmm, aku terharu Saif. Lain kali ajaklah sekali Laila dengan Shira, kita berkelah terus dalam bilik aku ni.” Sindir Irsyad selamba. Perlahan suaranya tetapi dibalas Saiful dengan  ketawa besar.
“ Sukalah kau tengok aku lemah tak bermaya.” Irsyad menceberkan mulut. 

“ Tapi aku sendiri dapat agak mesti kau pelik dengan kedatangan aku, padahal kau cuma demam biasa. Bukannya dapat serious injury sampai aku perlu melawat.”

“ Itulah maksud aku…” dengan malas Irsyad menjawab celoteh Saiful.

 “ Kau tak ada apa-apa nak beritahu aku, Syad? ” Saiful menukar rentak bicara. Berubah ke nada yang sedikit serius.

“ Apa maksud kau? Bagi tahu apa? ” soal Irsyad kehairanan. Pertanyaan Saiful menarik perhatiannya.

“ Sesuatu yang serius, yang sedang berlaku dalam hati kau! ”

Irsyad mengerutkan dahi. Berfikir dan cuba menganalisa kata-kata Saiful namun akalnya tidak boleh memahami. Bingung dan bertambah keliru. “ Pleaselah, Saif…aku tengah sakit boleh pulak kau berdolak-dalih dengan aku. Get to the point, lah.”

“ Masalahnya, aku risau kalau aku bertanya direct, demam kau bertambah teruk. Manalah tahu boleh pengsan sebab terkejut! ” tingkah Saiful kelihatan santai tetapi penuh dengan agenda.

“ Jangan merepeklah, Saif. Aku tengah sakit pening, jangan banyak bunyi boleh tak? Aku nak berehat.” Irsyad menggosok-gosok dahinya. Menunjukkan fikirannya sedang berserabut dengan perbualan yang tidak mampu ditanggapnya.

“Amazing, Syad. Aku tak sangka kata-kata aku boleh termakbul. Menjadi sebuah realiti padahal aku cuma menggertak kau. Ini natijahnya bila orang bercakap besar, termakan dalam kata-kata sendiri.” Saiful berkata lagi. Terkandung makna yang sangat besar. 

“ Stop it, Saif. Kau ni kena sampuk ke? Bercakap tak ada hujung pangkal, kau ingat aku faham ke? ” Irsyad membentak.

“ Aku tak kena sampuk, tapi kau yang terkena sampuk dek Nuzul. Dalam tak suka, boleh pulak kau berangankan dia.”

Irsyad terkedu. Tergamam dengan kenyataan secara langsung itu. “ Apasal kau timbulkan soal dia? Kenapa tiba-tiba kau bercakap soal dia? Kenapa mesti dia yang kau mention depan aku sekarang? Aku tengah sakit, jangan sebut pasal dia boleh.” Semakin tertekan Irsyad jadinya.

“ Berapa banyak dia, lah. Kenapa kau tak sebut ‘dia’ tu dengan menggunakan nama? Dia ada nama, Syad. Nuzul Filzah atau kau lebih kenal dengan watak Nuzul, si pelayan café.” Saiful menggiat lagi ketidaksenangan hati Irsyad.

            “ Oh, damn it! ” keluh Irsyad geram. “ Jangan sebut nama dia, Saif. Aku tak nak dengar lagi.” 

“ Kenapa kau tak nak aku sebut nama dia? Sebab apa kau tak nak dengar? Aku ada jawapannya, Syad. Sebabnya setiap kali aku sebut, setiap kali itu jugaklah hati kau terkesan. Berdebar macam nak gila. Cuba kau sendiri yang sebut nama dia, mahu luruh agaknya jantung kau menahan getarannya. Kau ingat aku tak tahu ke, Syad? Aku dah pernah rasa apa yang kau rasa sekarang ni. Kau ni dah teruk betullah, Syad. Jatuh cinta macam kena sampuk. Hebat betul penangan Nuzul.”

“ Tak mungkin cinta. Aku tak sukakan dia.”

“ Kau tak suka atau kau bencikan dia sebenarnya? Apalah dosa Nuzul dengan kau? By the way, kalau tak suka kenapa mesti sebut-sebut nama dia sewaktu tidur? ” tingkah Saiful memprovok.

“ Bila masa? Kau jangan buat cerita gila, Saif.” Irsyad sendiri terperanjat.

Saiful tergeleng-geleng kepala. “ Inilah dia manusia tak sedar diri. Dia yang gila bayang, aku pulak yang dituduh gila. Mama kau panggil aku ke sini semata-mata nak tanya aku siapa Nuzul yang kau sebut. Sepanjang malam kau mengerang sakit panggil dia. Apa maknanya, Syad? Takkan benci sampai terpanggil-panggil orang tu? ”

“ Shut up, Saif… ” Irsyad mendesah hiba. Tidak menyanggah kenyataan yang dilemparkan kerana seraut wajah itu benar-benar hadir dalam mimpinya.

“ Time sakit macam ni, kita nakkan seseorang yang paling dekat dengan jiwa kita. Macam aku, kalau sakit tentu aku mahukan Laila yang menjaga dan merawat aku. Sama juga dengan kau, Syad.  Orang yang kau sebut-sebut adalah orang yang paling kau perlukan di sisi. Ada kau dengar orang sakit panggil musuh dia atau orang yang dia tak suka? Orang yang dah nazak pun menyebut-nyebut nama orang yang paling dia perlukan saat dia nak meninggal.” Tukas Saiful dengan hujah yang bernas.

“ Please, Saif…hati aku sakit..”

“ Kalau kau cuba tahan atau sekat perasaan itu, memang sakit, Syad. Ini soal hati.” Saiful membalas lembut.

“ Aku tak sangka…aku boleh jatuh suka dengan janda, Saif. Aku tak boleh terima kenyataan itu.” Luah Irsyad dengan sendirinya. Saiful terperanjat. Terlopong mulutnya.

“ Janda? Nuzul, maksud kau? ”

“ Siapa lagi kalau bukan dia. Aku kalau boleh, biarlah aku menjadi yang pertama dalam hati dia. Aku tak mahu jadi lelaki kedua, ketiga atau lebih daripada itu. Aku nak perasaan dia pada aku wujud pertama kali, sama macam perasaan aku untuk dia. Ini pertama kali bagi aku, Saif. Aku betul-betul tak boleh terima.” Kata Irsyad sedalam perasaan yang dialaminya.

“ Bila pulak Nuzul jadi janda? Dia kahwin pun belum.” Saiful menyoal musykil kerana setahunya, Nuzul seorang gadis dan menjadi ibu dan ayah kepada adik-adiknya yang masih belajar.

Irsyad menyauk rambutnya kasar. Terkenangkan peristiwa pertama kali dia dan Nuzul bersua empat mata. 

“ Aku pernah dengar dia bahasakan diri dia dengan ‘mama’ dan panggil seseorang dengan panggilan ‘baby’ dalam telefon. Kalau kau dengar, macam perbualan ibu dengan anak. Aku sakit hati setiap kali mengenangkannya, Saif. Dia tak layak untuk dapatkan perasaan aku yang wujud untuk pertama kali.”

“ Agungnya perasaan yang kau ada, Syad… sampaikan dia tak layak untuk mendapatnya disebabkan kau sangka dia dah pernah bersama lelaki lain. Aku rasa kau yang belum tentu layak untuk mendapatkan cinta dia.” 

            “ Apa maksud kau, Saif? ” Irsyad termangu-mangu.

            “ Cinta itu mengalir kerana keikhlasan untuk memberi, Syad. Tak kira kepada sesiapa pun kau nak serahkan perasaan itu, semuanya berlaku kerana ikhlas. Tak sepatutnya kita mengukur sama ada dia layak menerimanya atau tak, sebab kau sendiri belum tentu layak untuk cintanya. Apatah lagi mengukur ketulusan perasaan dia pada kau.” Saiful tidak menjawab persoalan Irsyad sebaliknya memberi kata-kata yang wajar untuk Irsyad fikirkan.

            “ Kau tak faham aku, Saif.”

            “ Aku kenal kau dah lama, Syad. Aku sangat faham siapa Alif Irsyad. Kau sebenarnya tak boleh menerima kenyataan bahawa orang yang kau inginkan ternyata hanyalah manusia biasa, yang tak memiliki apa-apa keistimewaan. Dia bukan anak orang yang berpengaruh, bukan keturunan kerabat dan bukannya sesiapa yang patut kau ingati. Hanya gadis biasa yang tiba-tiba muncul. Tapi kau sedar tak, Syad? Dia sebenarnya sangat istimewa, dan cuma hati kau yang mampu mengesan keistimewaan Nuzul. Pernah kau rasa begini pada gadis lain? Aku rasa tak pernah, kan?! ”

            “ Aku buntu, Saif. Kenapa mesti dia?! ”

“ Sebab Nuzul terpilih di mata hati kau.”




   
“ SIAPA Nuzul sebenarnya, Saif? Auntie tak pernah dengar pun nama macam tu. Saif kenal perempuan tu? ” soal Puan Sri Ayuni setelah Saiful beredar dari kamar Irsyad.

“ Irsyad dah jatuh cinta, auntie.” Saiful mendedahkan tanpa mampu menyorok fakta tersebut. 

“ Hah, dengan siapa? Nuzul? ” Terkerdip-kerdip mata Puan Sri Ayuni dek terkejut.

“ Saya pasti dia dah jatuh cinta dengan Nuzul.”

“ Saif kenal dengan Nuzul? Auntie tak pernah dengar dari mulut Irsyad selama ini pun.”

“ Kenal sangat. Dia best friend Laila masa di sekolah dulu. Tapi auntie jangan terkejut, sebenarnya Nuzul sekarang bekerja dengan saya dekat café.”

            Mata Puan Sri Ayuni mencerlung. Agak terkejut. “ Oh, Nuzul bekerja dengan Saif?! Sebagai apa? Waitress? ”

            Saiful mengangguk kecil. 

“ Irsyad jatuh cinta dengan waitress di tempat Saif berniaga?! How come? Auntie susah nak percaya! ” luah Puan Sri Ayuni mendadak. Masih terkebil-kebil dengan kenyataan tersebut.

            “ Saya pun terkejut jugak, auntie.”

“ Auntie nak sangat jumpa Nuzul.” Putus Puan Sri Ayuni. Saiful tersentak. Tertelan liur dengan hasrat mama kepada Irsyad.

“ Err…saya rasa lebih baik auntie berbincang dulu dengan Irsyad.” Teragak-agak Saiful berkata. Dia tidak boleh memberi kata putus tanpa pengetahuan Irsyad. 

Sesungguhnya Saiful bimbang dan ragu-ragu tentang niat Puan Sri Ayuni terhadap Nuzul. Jika sesuatu berlaku pada gadis itu, Saiful terbayangkan wajah sedih Laila. Pasti isterinya terluka jika teman baiknya disakiti dari sudut hati. Dan itulah yang ingin Saiful hindari. Lebih-lebih lagi mengenangkan Nuzul ialah pekerjanya.

“ Auntie cuma nak berkenalan dengan Nuzul.” Tambah Puan Sri Ayuni.

“ Tapi saya rasa…Nuzul tentu terkejut nanti auntie. Dan saya tak mahu berlaku apa-apa terhadap Nuzul kalau auntie berjumpa dengannya. Nuzul cuma gadis biasa, auntie.” Saiful berkata penuh hemah dan belas. 

“ Saif janganlah risau atau fikir yang bukan-bukan. Dah lama kamu kenal auntie, takkan Saiful masih tak kenal siapa auntie lagi. Auntie bukannya nak marah atau maki hamun Nuzul seperti gadis itu tak layak untuk anak auntie. Semua manusia itu sama di sisi Allah, sama ada berharta lebih atau kurang berduit. Kekayaan yang kita miliki, semuanya pinjaman daripada Allah. Auntie cuma menjadi penjaga harta Allah dan menunaikan amanahNya. 

Untuk makluman Saif, auntie bencikan watak wanita kaya yang bodoh sombong seperti dalam TV. Sanggup menghalang cinta anaknya demi darjat. I’m not like that, Saiful.” Panjang hujah Puan Sri Ayuni demi menyangkal keraguan yang berada di benak anak teman baiknya itu, Datin Syarifah.

“ Maafkan saya, auntie. Saya tersilap sangka.”

“ It’s okay, auntie faham Saiful nak menjaga kebajikan pekerja seperti Nuzul. So, bila auntie boleh berjumpa dia? ” 

“ Bila auntie nak jumpa Nuzul? ”

“ Secepat mungkin.”

Saiful berfikir-fikir. “ Sebenarnya saya ada satu cadangan, itu pun kalau auntie sudi ikut plan saya.” Saiful menayang sengih kepada wanita yang sudah dikenalinya sejak berusia remaja. Sejak itu juga dia mula mengenali Irsyad namun mereka menjadi akrab apabila menyambung pengajian ke destinasi yang sama.

Puan Sri Ayuni kelihatan terpinga-pinga. Masih belum mengerti. “ Plan apa tu? Kalau menarik auntie join pakatan Saif.”

“ Confirm menarik punya! Macam ni…” Saiful terus membentangkan rancangannya dengan teliti dan sungguh berkeyakinan.  











BAB 6 





Selepas membayar tambang, Nuzul turun daripada kereta teksi. Terpegun Nuzul memandang sesuatu yang amat besar dari sudut hadapannya. Dia separuh kagum melihat banglo tersergam indah lagi luas itu.

            Pintu besar setinggi dua meter terbuka di depannya. Terkocoh-kocoh seorang wanita menghampiri pintu utama. Nuzul kehairanan. Kedatangannya seperti sudah diketahui. Ah, tentulah Encik Saiful dah maklumkan kedatangannya kepada rakan perniagaan yang perlu ditemuinya.    

            “ Masuklah cik, tuan muda menunggu di dalam.”

            ‘ Tuan muda? Mungkin itu orang yang perlu aku temui?! ’ fikir Nuzul dalam hati.
Nuzul membuntuti pembantu rumah yang membawanya sehingga dia masuk ke dalam rumah. Kemudian pembantu rumah itu meninggalkannya lalu mendaki tangga ke tingkat atas. Nuzul meliarkan mata sejurus itu. 

Jika tadi Nuzul telah terpegun hanya dengan melihat dari luar, kini dia jelas amat terpukau. Dengan setiap reka bentuk, hiasan serta kemewahan yang dimiliki rumah tersebut, segalanya seperti di dalam syurga. Tetapi hanyalah buatan duniawi semata sedang syurga Allah tentulah berjuta kali lebih hebat keindahannya seperti disingkap dalam kalam-Nya, Al-quran.

Setiap sudut rumah mempunyai hiasan yang unik. Ada yang dilengkapi dengan cermin hiasan, bunga-bunga Kristal, perabot dan set pinggan mangkuk berjenama. Terdapat juga tulisan-tulisan khat yang dibingkai dan diletakkan pada ruang tamu dan ruang beristirehat. Di bahagaian tengah rumah pula diletakkan candeliar yang sungguh menawan dan amat besar. Kelihatan seakan berlian yang tergantung di siling yang berbentuk melengkung ke bawah seperti kubah yang terbalik.

Nuzul pantas melarikan mata. Terdapat satu bingkai besar tergantung di tengah rumah. Terlopong. Hampir terbelalak mata Nuzul. Salah seorang dalam gambar keluarga tersebut amat dikenalinya. Tertelan air liur Nuzul apabila menyedari bahawa dia sedang berada di bawah satu bumbung dengan lelaki itu.

“ Mana dokumen itu? ” soal seseorang secara tiba-tiba.

Nuzul mengucapkan basmalah berkali-kali. Tidak cukup dengan basmalah, lidahnya mengalunkan istighfar pula agar semuanya berjalan lancar. Sungguh Nuzul tidak ketahuan bahawa rakan kongsi Encik Saiful ialah lelaki itu. Dia hanya diberikan tugasan serta alamat supaya dia segera ke mari. Tetapi ternyata Nuzul merasakan dia tersalah langkah.  

            “ Oit, dengar tak aku panggil? Mana dokumen tu? Aku tengah tak sihat ada pulak yang datang menganggu.” Omel orang itu.

            Dengan berbekalkan semangat yang wajar, Nuzul berpaling. Walau apa-apa pun terjadi, dia akan keraskan hati dengan segala kesulitan yang bakal ditempuh. Nuzul pasti dia mampu mengharunginya. Lebih-lebih lagi tentu lelaki itu kurang gemar dengan kunjungannya yang tiba-tiba. Apatah lagi untuk melihat wajahnya, tentu lelaki itu bakal menghalaunya secepat mungkin. 

Terkesima. Terbelalak anak mata kedua-duanya. Nuzul tergamam sebelum lekas memalingkan kepala dan tubuhnya ke arah lain. Irsyad pula terperanjat kerana yang hadir kepadanya ialah seseorang yang sedang diingatinya. Terpaku dia di tengah anak tangga.

“ Kau nak apa ke sini? ”

“ Saya tahu encik tak suka saya ke sini, tapi Encik Saiful suruh saya serahkan sampul ini kepada encik. Dia nak encik tandatangan dokumen yang saya bawak sekarang.” Petah Nuzul berkata sambil menghulur sampul coklat yang dibawanya sedari tadi.

“ Kau bercakap dengan siapa tu? Aku dekat sini. Kenapa kau tak pandang aku? ”

“ Tak apalah, saya lebih selesa macam ni.” Nuzul tetap dengan postur badannya yang menghadap ke sebelah kiri bahunya. Jauh daripada kedudukan anak tangga.

“ Kalau aku suruh kau tengok aku maknanya itu arahan, bukan permintaan yang berbentuk pilihan.” Tegas Irsyad.

            “ Err…encik tak berbaju lengkap, pakai seluar pendek. Saya tak boleh tengok.” Nuzul berterus terang mengenai tindakannya. Masih terbayang di kotak fikirannya betapa terdedahnya lelaki itu hanya dengan bersinglet hitam serta sepasang kaki yang hanya berseluar pendek tiga suku. Naik meremang mata Nuzul menontonnya walaupun selayang pandang.

            “ Kau tunggu sekejap.” Irsyad mendaki semula ke tingkat atas. 

            Tiba saja ke dalam bilik, Irsyad pantas ke meja kecil sisi katil. Iphone’nya dicapai.

“ Hye, buddy! Aku dah agak kau mesti telefon aku.” Saiful menggunakan suara sarkastik. 

“ Apa motif kau hantar dia ke sini, Saif? Kau sengaja nak kenakan aku ke? ” soal Irsyad sedikit berang.

“ Apa perasaan kau? Best tak jumpa buah hati kau? Ada rasa rindu tu surut tak? ”

“ Jangan merepeklah, Saif. Kau memang melampau tahu tak?! Aku tak expect kau boleh buat macam ni dekat aku.” Tempelak Irsyad semakin berangin.

“ Hei, don’t take it seriously! Aku dah kata ada dokumen yang perlukan tandatangan kau so, sign dengan cepat. Kalau tak suka dengan orang yang aku kirim tu bagi balik dekat aku, terasa pulak tak cukup kaki tangan aku dekat café ini.” Saiful menceceh di talian. Masih menggunakan intonasi main-main.

“ Saif...”

“ Okey, ada customer panggil aku! Bye, bye, assalammualaikum.” Talian terus mati sejurus itu. 

Irsyad merengus geram. Dia segera menapak ke sebuah pintu yang berada di sudut kanan bilik. Ruang yang menempatkan seluruh pakaiannya dari set tali leher, pakaian kasual, pakaian pejabat, hatta koleksi jam tangan serta kasut-kasutnya tersimpan di situ. Irsyad mencapai baju panas berlengan panjang jenis berkait tangan. Seluar pendeknya pula digantikan dengan seluar panjang jenis corduroy.

Tanpa melengahkan masa, Irsyad menuruni anak tangga. Sewaktu itu, Nuzul sedang duduk di ruang tamu dengan dihidangkan secawan air di atas meja kopi. Irsyad lantas menghampiri ruang tersebut lalu merebahkan diri di sofa berangkai tiga, di bahagian tengahnya. Manakala Nuzul duduk bertentangannya, di sofa berkembar dua.

“ Ini dokumennya, encik.” Kata Nuzul lembut seraya meletakkan sampul coklat bersaiz F4 di atas meja kopi. Perlahan-lahan dia menolak sampul tersebut kepada Irsyad.

Irsyad diam sejenak. Merenung tajam benda alah yang disampaikan oleh Nuzul itu. Sekejap kemudian dia mengambilnya. Tanpa ragu-ragu Irsyad membukanya. Sebuah dokumen dikeluarkannya setelah membuka lilitan benang pada sampul tersebut.
 Sebaik sahaja Irsyad membuka helaian pertama, suatu nota menyapa matanya.



Unfortunately, I’m sorry Alif Irsyad. Sebenarnya tak ada dokumen yang penting pun untuk kau sign, Syad. Aku sengaja kirimkan penawar rindu untuk kebahkan demam kau. Tolong tenung buah hati kau lama-lama sebelum kau pulangkan pada aku balik. Fikirkan cara yang paling kreatif untuk buat dia berada lebih lama dengan kau, itupun kalau kau sudi bersama Nuzul!
Syed Saiful
 




         



           ‘ BUAH HATI?! ’ desis hati Irsyad.

            “ Boss kau ada cakap apa-apa bila dia arah kau ke sini? ” soal Irsyad sejurus itu.

            “ Tak ada pulak Encik Saiful cakap apa-apa. Cuma dia pesan supaya encik sign dokumen tu.” Katanya memaklumkan. “ Lagi cepat encik sign, lagi bagus.” Tambah Nuzul perlahan.

“ Yang nak cepat siapa sebenarnya? Boss kau atau kau sendiri? ” Irsyad bertanya padahal dia tahu jawapannya. Sengaja memprovok balasan daripada Nuzul.

“ Err…lebih baik saya balik cepat sebelum kehadiran saya dianggap menganggu encik.” Teragak-agak Nuzul menjawab.

“ Kehadiran kau memang menganggu aku.”

“ Ini pen untuk encik.” Nuzul menolak pen hitam pula kepada Irsyad. Tidak mempedulikan kata-kata lelaki itu. Yang penting dia segera pulang sebelum berlaku hal yang tidak diundang.

Irsyad tidak mengambil pen tersebut. Dia sebaliknya merenung gadis di depannya itu dengan pandangan yang amat tajam. Nuzul yang menyedari pantas melarikan anak mata. Tidak betah ditenung seperti seorang pesalah.

Dari kepala hingga ke kaki Irsyad membelek Nuzul dengan matanya. Penampilan gadis itu berbeza dengan pertemuan-pertemuan mereka sebelum ini. Jika di café Nuzul hanya mengenakan uniform yang dikhaskan, tetapi hari ini Irsyad melihat karakter sebenar gadis itu dalam berpakaian. Simple dan santai. Nuzul mengenakan shawl yang dililit sekemasnya, kemeja wanita yang kelihatan longgar pada tubuh ramping itu dan seluar jeans jenis boot cut

            Irsyad menghela nafas berat tatkala mencuri pandangan setiap lekuk wajah gadis itu. Dari mata turun ke hidung yang melekuk comel lalu mendarat ke bibir merah mungil itu. Ikutkan jiwanya yang sedia meronta hebat, ingin saja Irsyad memegang dagu Nuzul. Dia mahu menatap setiap inci wajah bujur sirih itu. Terlalu ingin mengenal pasti bahagian mana di wajah itu yang paling istimewa sehingga menyukarkan dia menutup mata sepanjang malam. Irsyad benar-benar geram. Dia mendengus-dengus mengenangkan keinginan yang terlalu menonjol bakal menjerat dirinya sendiri.

            Demi melegakan perasaan yang tidak menentu, Irsyad menutup dokumen hitam yang berada di ribanya.

            “ Encik tak tandatangan lagi dokumen tu.” Nuzul mengingatkan seandainya lelaki itu terlupa atau terlepas pandang. Lebih-lebih lagi pen yang dihulurkan tidak diambil oleh Irsyad. Bila masa dia tandatangan kalau pen masih tersadai atas meja?! Agaknya dia nak suruh aku hulurkan betul-betul depan mata dia kut baru nak disambutnya! Bicara benak Nuzul.
 
            Nuzul nekad mencapai semula pen yang berada di tengah meja. Dia kemudian bingkas berdiri sebelum mendekati tempat duduk Irsyad yang berada di tengah antara sofa berangkai tiga tersebut. “ Ini pennya, encik.”

            Irsyad mendongak. Melihat muka Nuzul yang tidak melahirkan sebarang riak, berlagak selamba di depannya. Pen tersebut diambilnya.

            Nuzul menghembus nafas lega apabila pen yang dihulurkan bersambut. Hisyh, pemalas betul lelaki kaya ni! Ambil pen pun nak suruh orang lemah macam aku ni tolong hulurkan! Agaknya inilah akibatnya hidup dalam kekayaan, serba serbi memerlukan khidmat orang. Nuzul mengomel dalam hati.

            Tersentak. Nuzul tercengang apabila pennya dicampak ke bawah. Jatuh di atas permaidani yang tebal lagi luas. Nuzul mengetap bibir. Terasa ingin dikeluarkan aura marah yang tersimpan rapi. Bebola matanya yang ingin menjeling juga ditahan sebaik mungkin. 

Dengan penuh kesabaran, Nuzul mengutip kembali pen tersebut. “ Ini pennya, encik.”

Kali ini Irsyad tidak mengambil pen itu. Sebaliknya dia menghempas dokumen yang dipegang ke meja. “ Aku tak ada mood nak menconteng hari ni. Kau tunggu sampai aku ada mood nak pegang pen.”

“ Encik janganlah macam ni, saya kena lekas balik. Ada banyak lagi kerja saya di café tu.” Bicara Nuzul sedikit memujuk.

“ Kau tak dengar apa aku cakap tadi? ” Irsyad bertanya semula. Rayuan Nuzul tidak memberi sebarang kesan langsung di hatinya. Demi memenuhi tuntutan jiwa, Irsyad akan menggunakan kesempatan yang ada.

“ Apalah yang susah sangat dengan sekali sign?! Artis pun tak merungut-rungut bila disuruh bagi signature, ramai pulak tu peminat dia. Tak susah encik, sekejap aje tandatangan tu.” Nuzul membentak kecil. Terketap-ketap giginya dek geram.

Irsyad termangu. “ Kau tengah marah aku? ”

“ Tak, saya tak marah encik. Maaf, saya tak sengaja tertinggikan suara. Tapi saya berharap sangat encik lekaslah tandatangan benda alah tu. Saya nak balik dah ni.” Nuzul masih berusaha memujuk biarpun Irsyad enggan.

“ Aku tengah sakit tahu tak?! ” tukas Irsyad mendatar. Demi memaklumkan bahawa dia sangat memerlukan keprihatinan Nuzul agar berkompromi dengan keadaannya. Entah mengapa Irsyad ingin meluahkan bahawa gadis itu adalah penyebab dia jatuh sakit. Irsyad mahukan Nuzul menemani, menjaga dan merawatnya sehingga dia kembali sembuh. Sepintas, Irsyad terkenangkan kata-kata Saiful. 

“ Maaf, saya tak tahu encik tak sihat. Okey, kalau macam tu apa kata encik sudahkan tandatangan dokumen tu kemudian saya akan terus pulang. Encik Saiful kata, itu file kena cepat ditandatangan sebelum dihantar kepada supplier. Lepas encik sign, saya janji akan terus balik, takkan menganggu waktu rehat encik lagi.”

Nyata Irsyad jelas kecewa dengan balasan Nuzul. Terasa patah hatinya apabila Nuzul lebih menumpukan soal dokumen yang berada di depan mata walaupun ternyata dia sedang sakit. Dengan kasar, Irsyad mengambil pen yang sedia terhulur padanya. Dokumen hitam di atas meja diselaknya dengan rakus. Sekali gerakan tangan, tandatangan miliknya sudah berada di atas sekeping surat.

“ Puas hati kau?! Sekarang pergi balik, tak payah datang sini lagi. Aku tak nak tengok muka kau langsung.” Dingin Irsyad berkata kerana terlalu marah dan geram. Dia bingkas bangun meninggalkan gadis itu. Semakin berlamaan di situ, semakin lemah perasaannya.

Nuzul sangat tersentuh tatkala mendengar butir bicara yang ditujukan kepadanya. Bagaikan diherdik dan dihalau tanpa belas. Dia mengawal sebak yang tiba-tiba mengisi ruang dada. Pedih dan pilu dirasakan sebagai manusia yang tidak memiliki apa-apa selain harga diri.

“ Maafkan saya, Encik Alif. Saya tak berniat nak buat encik marah dengan saya. Sorry.” Ucapnya ketika Irsyad telah berjalan membelakanginya.  

Irsyad memejamkan mata, mengawal rasa yang bercampur baur. Terpegun tubuhnya sejenak sebelum dia berpaling semula. Tidak rela membiarkan Nuzul pergi dalam keadaan sedemikian. Dia sedar bicaranya sedikit sebanyak mampu mengguris jiwa halus seorang perempuan. 

“ Nuzul,” seru Irsyad dengan kedua belah tangan dikepal seerat mungkin. Menahan getaran jiwa saat dia mengalunkan nama gadis itu di bibirnya. 

Demi mendengar panggilan tersebut, kakinya terbatas untuk melangkah pergi. Nuzul hanya menunggu kata-kata seterusnya daripada jejaka itu. Mungkin sebarang arahan untuknya sampaikan kepada Encik Saiful.

“ Tunggu sekejap. Aku suruh driver aku hantar kau balik.”

Nuzul terus menggeleng. “ Tak payah susah-susah, encik. Saya boleh balik sendiri.”

“ Aku tak bagi kau pilihan, Nuzul.” Ujar Irsyad deras. 

Akhirnya terpaksalah Nuzul akur seraya mengangguk. 

“ Irsyad, dah sihat ke? Kenapa turun ke bawah? ”  tiba-tiba muncul satu suara dari pintu tengah rumah. Irsyad menoleh ke sisi kanannya. Begitu juga Nuzul.

“ Mama dari mana? ” Irsyad tidak menjawab soalan mamanya.

            “ Baru lepas tengok tanaman mama. Ta shi shui? Ni de pengyou ma? (Siapa dia? Kamu punya kawan ke?) ” soal Puan Sri Ayuni apabila menghampiri Irsyad.

“ Bu shi. Dia bukan kawan, Syad.”

“ Saya Nuzul, pekerja di Rayyan Café. Encik Saiful suruh saya ke sini supaya serahkan dokumen kepada Encik Alif.” Nuzul mencelah dengan berhemah. Sedikit kehairanan sebenarnya apabila mendengar wanita yang berwajah Melayu sejati mampu menuturkan Bahasa Mandarin dengan sebaiknya. Seperti dalam drama dari Taiwan.

“ Ohh, Saif punya pekerja. Hao ke ai (comel sungguh).” Puan Sri Ayuni sempat memuji si gadis yang elok pekertinya itu. Penampilan yang serba sederhana dari segi pemakaian.Wajah manis itu hanya diserikan dengan make up yang tipis. Sekadar berbedak asas dan bibirnya dioles dengan pelembap bibir yang kelihatan merah basah.

“ Papa zai nali? Wo bu kan jian ta. ( Papa dekat mana? Saya tak nampak dia.) ” Irsyad bertanya untuk mengalihkan renungan Puan Sri Ayuni terhadap Nuzul. Terlalu teliti dan asyik seperti dia memerhatikan gadis itu tadi. 

“ Irsyad sakit tentulah papa pergi ke pejabat uruskan business. Ta bushi ni de nu pengyou? ( Dia bukan kamu punya teman wanita?) ” beritahu Puan Sri Ayuni lalu menokok pertanyaan lain. Sekadar mengusik anak terunanya. Sengaja mengguna pakai Bahasa Mandarin agar Nuzul tidak terkesan perbualan mereka menjurus ke arah gadis itu.

“ Bushi, mama. (Bukan, mama.) ” Irsyad pantas membalas. Bimbang Puan Sri Ayuni menyedari sesuatu yang ganjil padanya sehingga menyebabkan mamanya boleh bertanya sebegitu. “ Dia dah nak balik.”

“ Eh, apa kata Nuzul makan tengahari di sini?! ” pelawa Puan Sri Ayuni mendadak.

“ Tak perlu susah-susah, puan. Saya kena balik café sekarang.” Nuzul menolak jemputan itu dengan sebaik bahasa.

“ Dia dah nak balik, mama. Irsyad ingat nak suruh Pak Mail hantar dia balik ke cafe.” Irsyad menambah pula.

“ Biarlah Nuzul makan tengahari dekat sini. Alang-alang dah masuk waktu lunch. Jom, Nuzul.” Puan Sri Ayuni berura-ura mahu menarik tangan Nuzul.

“ Err..saya betul-betul tak boleh, puan. Encik Saiful perlukan dokumen ini dengan segera.” Nuzul mengunjukkan dokumen yang telah disumbatkan dalam sampul coklat.

“ Dia lagi pentingkan dokumen tu berbanding permintaan mama. Let her go, mama.” Balas Irsyad sedikit dingin. Nuzul terkebil-kebil dengan sindiran itu. 

“ Jangan risau, nanti auntie call Saiful supaya izinkan Nuzul balik lewat sikit ke café.” Lebar senyuman Puan Sri Ayuni demi memujuk gadis itu.

“ Tapi…”

“ Tak apa, don’t worry. Saif tu dah macam anak auntie. Dia mesti izinkan. Jom, kita pergi ruang makan. Selagi Nuzul tak kenyang, selagi itu jangan balik.” Puan Sri Ayuni sudah memegang tangan gadis itu. Menggamit Nuzul mengikutinya ke ruang makan.

“ Irsyad pergi naik atas dulu. Kamu tu tak sihat lagi. Nanti mama suruh bibik Ainun atau Kak Siti hantar makanan ke atas.” Arah mamanya. 

 Irsyad menggeleng. “ Tak payahlah suruh sesiapa hantar makanan, mama. Irsyad dah okey sikit. Syad makan dekat bawah saja.”

Demikian bicara Irsyad, Puan Sri Ayuni menjungkit alis matanya seraya mengulum senyum penuh makna.  




* Jangan segan tinggalkan komen, pendapat atau saranan anda, wahai readers yang dikasihi sekalian, moga sentiasa bahagia :D


7 comments:

  1. hehe..nuzul makan kenyang2 ..hihi biar irsyad blh tgk lama2 muka awak :)

    ReplyDelete
  2. hahaha dah sihat mama, ,ingwei wo the nui bangyau ..,tak payah makan ubat dah ada obat alamai

    ReplyDelete
  3. Aii...
    Best sgt..x sabar nak tggu next entry.. :D

    Nur Aidah Muhamad Noh

    ReplyDelete
  4. Mengada2 sungguh si irsyad ni....kaki buli. nuzul, sila bersabar ye..

    ReplyDelete
  5. Irsyad dah ok sikit sbb boleh tgk Nuzul puas2😂😍

    ReplyDelete

hai ! terima kasih ^.^