Followers

/ Tagboard \

We are really hope that you will get something with this blog. Please respect to each other and keep enjoying with us ^.^
.Images are credit to Google.

Malam bertemu Bintang 8 & 9





BAB 8




Matanya tercelik apabila desiran angin deras mengejutkannya daripada lena yang panjang. Langsir di jendela dan sliding door beralun-alun mengikut arah putaran angin. 


Irsyad melemparkan permandangan ke sekeliling kamar. Hairan. Dekorasi biliknya amat berlainan, tidak seperti mula-mula di dudukinya. Haruman sekeliling bilik amat menyegarkan. Membangkitkan sejuta rasa dalam diri. Susun atur perabot jauh berubah. Seni ukiran kepala katil yang disandarnya juga amat berbeza. 

Pintu bilik terkuak. “ Abang dah bangun? ” terpacul seraut wajah. Seorang wanita mendekatinya. Irsyad sedia menunggu wanita itu duduk di sisinya.  

“ Nuzul baru nak gerak abang tadi. Kesian abang terkena demam. Meh, Nuzul sentuh dahi tu.” Telapak tangan Nuzul menyapa dahi itu.

“ Dah okeylah,” Nuzul tayang senyum. “ Abang dah semakin sembuh.”

“ Sebab Nuzul dah ada dengan abang.” Irsyad meraih jejari runcing Nuzul. Beberapa kucupan dihadiahkan ke telapak tangan itu. Menzahirkan rasa yang terbuku di dada.

“ Manjalah abang ni, pantang Nuzul hilang sekejap mesti suhu badan abang naik mendadak. Nervous sangat bila Nuzul tak ada depan mata.” Omel Nuzul sambil tangannya membelai-belai rambut pendek suaminya. Irsyad nyata senang dengan sentuhan itu.

“ Mana ada hilang sekejap? Sayang pergi seminggu tau. Suami mana yang tak parah bila isteri hilang. Abang rindu sangat.”

“ Nuzul pun rindu tapi tak seteruk abang.”

Irsyad melepaskan genggaman eratnya. “ Teruk sangat ke abang bila rindukan isteri? ”

“ Alahai, kenapa tiba-tiba keluar nada merajuk? Nak Nuzul pujuklah tu.”

“ Nuzul langsung tak hargai perasaan abang.” Irsyad menolak belaian di kepalanya. Terlalu menunjukkan betapa tersinggung hatinya apabila perasaannya tidak diberi perhatian.

“ Siapa cakap macam tu? Disebabkan terlalu menghargai perasaan abang, ada sesuatu yang wujud di sini.” Nuzul menarik tangan kasar suaminya lalu dihinggapkan ke perutnya. Irsyad terkebil-kebil merenung isterinya.

“ Ni de er zi ( anak awak). Sorry, dah tiga bulan baru Nuzul perasan kewujudan anak abang dekat sini.” Beritahunya lembut seakan berbisik. Pipi comel Nuzul muncul tatkala senyuman bergayutan di celahan bibirnya.

“ Allah…syukur Alhamdulillah. Wo de er zi? ( Saya punya anak?) ” Irsyad benar-benar sukar untuk mempercayainya. Perut Nuzul dielus-elus penuh kasih sayang. Membayangkan zuriat yang dinantikannya di dunia ini.

Nuzul mengangguk senang hati.

“ Bila sayang dapat tahu? Dah tiga bulan? Abang orang ke berapa yang tahu? Sampai hati sorokkan daripada abang.” Irsyad mengemamkan mulut tanda terkilan.

“ Kejap nak kira, satu… dua...” lambat-lambat Nuzul mengira dengan jari-jemarinya. “ Abang orang ketiga yang tahu.” Katanya selamba tanpa menghiraukan cemberut di wajah suami. 

“ Bukan sepatutnya abang orang pertama yang perlu tahu? ” sekali lagi Irsyad menampakkan aura berkecil hati. Wajahnya kelihatan sugul tanpa senyuman bahagia seperti tadi.

“ Memang sepatutnya abang yang pertama patut tahu, tapi bila Nuzul kira-kira balik abang tetap menjadi yang ketiga. Orang yang pertama tahu tentulah doktor yang buat medical check up. Lepas doktor beritahu Nuzul so, Nuzul menjadi orang yang kedua. Lastly abanglah yang ketiga tahu.”

Tercengang Irsyad berfikir sejenak dua sebelum menghamburkan tawa besar. “ Pandai Nuzul kenakan abang.”

“ Lainlah kalau abang doktor, mesti abang orang yang pertama.” Nuzul buat muka innocent. Tampak suci dan sangat memukau wajah kuning langsat itu.

“ Nakalnya dia…gigit nanti baru tahu.” Luah Irsyad dengan nada geram.  

“ Janganlah dera ibu mengandung, tak sayang dengan Nuzul ke? ” Nuzul tayang muncung. Sengaja menunjuk lagak berkecil hati.

“ Sayang sangat! ” Irsyad meraih pinggang isterinya. Merangkul rapat ke dadanya. Dahi Nuzul dikucup syahdu sebelum turun ke pelipis. Kemudian bibirnya berlabuh di tulang pipi isterinya. Dia mengusap-usap rambut lurus dan panjang milik belahan jiwanya itu.

“ Nuzul tak kena sebarang alahan jadi susahlah nak kesan dari awal. Nuzul baru dapat tahu tadi, kebetulan ke farmasi nak belikan ubat demam untuk abang. Sambil menunggu giliran, Nuzul terpandangkan gambar baby dekat dinding klinik dan teringatlah yang dah lama Nuzul tak period.”

 Irsyad memandang bening sang isteri. “ Awal tahun depan kita dah jadi mama dan papa.”

Nuzul angguk. “ Permata yang kita tunggu akan menjelma juga ke dunia.”

“ So, sementara masih berdua kita perlu gunakan kesempatan yang ada. Bulan madu sepenuhnya. Hurmm…” Gumam Irsyad dengan nada yang cukup nakal. Menggetarkan sukma.

Jari telunjuk Nuzul melekap ke tengah mulut encik suami. Menghalang dekat wajah itu kepadanya. “ Aik, abang tak sihat lagi ! Tak boleh hyperactive.”

“ Tadi Nuzul kata abang dah sembuh.” Kata suaminya meraih simpati. Nuzul laju menggeleng. 

“ Jangan degil, abang mesti berehat.” Nuzul memberi amaran seraya meleraikan pegangan Irsyad di pinggang tatkala suaminya alpa. Dia lantas bersimpuh di hujung katil sementara merenung Irsyad yang terpinga-pinga di birai katil dek tindakan drastiknya.

“ Sayang…marilah sini. Abang perlukan Nuzul.” Irsyad merayu-rayu namun Nuzul hanya mengerdipkan mata berkali-kali. Sungguhlah kelihatan comel dan menawan tingkahnya. Makin membuatkan perasaan sang suami geram.

“ Catch me if you can, ” Nuzul sengaja mencabar. Irsyad mendengus menahan rasa.

“ Siaplah, kalau abang dapat tangkap Nuzul nanti. Memang sayang akan menyesal, takkan cabar abang lagi.”

“ Ye ke? Okey, kita tengoklah abang berjaya atau tak.” 

Nuzul mula memasang niat dan langkah untuk mempertahankan diri. Bersedia menghadapi serangan suaminya. Dan apabila sekelip mata Irsyad mahu menerkam, Nuzul bingkas turun daripada katil. Berdiri gagah di depan katil tatkala Irsyad berusaha menangkapnya.

Sungguh pun demikian, Irsyad tersalah percaturan dan akhirnya, “ arghhh..! ” dia terjatuh sembam ke bawah katil. Kepalanya jatuh dahulu sebelum badan terikut rebah ke ambal di lantai bilik.  
     
“ Abang..!! ” 





GURUH berdentum kuat. Dihadirkan bersama pancaran kilat. Sekelip mata Irsyad terjaga daripada tidurnya. Matanya meliar ke sekeliling bilik yang luas. Rintik-rintik hujan yang lebat jelas kedengaran di telinga sedang jendela dan sliding door tertutup rapi.

            Irsyad bangkit daripada pembaringan, bersandar di kepala katil. Kelihatan agak penat seperti terjaga daripada mimpi yang panjang. Lama dia berteleku di atas katil. Jam dinding menunjukkan pukul sembilan malam. Terasa baru tadi dia melelapkan mata selepas solat Maghrib namun masa sungguh pantas berlalu.

            ‘ Nuzul!’ detik hatinya. Buat pertama kali Irsyad menguntum senyum saat membayangkan gadis itu. Rasa bahagia seakan mengalir ke seluruh tubuh. Menyegarkan perasaannya yang ketandusan dalam kesepian. Helaan nafasnya tenang dan damai. Jauh daripada sebarang keresahan. Irsyad bagaikan mendapat nafas baru tatkala ini.

            Kata-kata terakhir mamanya terngiang-ngiang kembali. Sebelum membawa diri, Puan Sri Ayuni sempat memberi pesanan yang menginsafkan lalu diturutinya sehinggalah kesannya membawa dia ke alam mimpi.

            “ Kalau Irsyad sangat keliru dengan percaturan Allah, maka Irsyad kembalilah mengadu kepada Dia. Serahkan apa yang sepatutnya sewaktu bersama-Nya. Beribadat memerlukan pengabdian seluruh tubuh, akal dan jiwa. Bila Irsyad bersedia, jangan ragu-ragu untuk mintak apa yang diperlukan.”

            Oleh itu, Irsyad cuba mencari solusi tersendiri. Solat dan doanya telah dilahirkan melalui kesungguhan hati. Irsyad tunduk kepada Tuhan yang memberi sejuta nikmat dan turut mendatangkan seribu satu peringatan agar sentiasa mengakui kekuasaan-Nya. Sesungguhnya nikmat kasih Tuhan yang Irsyad dambakan. Kedamaian dan ketenangan itu telah memandunya jauh daripada kerumitan serta keresahan sehingga akhirnya dia terjaga saat ini.  

            Apabila guruh dan kilat semakin bercakaran di langit, Irsyad panggung kepala. Teringatkan sesuatu yang berkaitan di luar sana. ‘ Hujan?! ’ hatinya berdesis.

            Tanpa perlu berfikir lanjut, Irsyad segera menyelak selimut. Dengan langkah seribu, dia menuju ke wardrobe yang terletak di sebalik pintu sana. Jaket hitam bertopi dipakaikan ke atas tubuhnya yang masih berbaju t-shirt.  Kemudian dia menarik zip di bahagian depan jaket. Kain pelikat yang tersarung di kaki diganti pula dengan seluar khaki.

            Siap! Irsyad bergegas keluar dari bilik persalinannya. Kunci kereta, handphone dan jam tangan dicapai di atas meja solek. Sempat Irsyad menelek wajah di cermin solek. Jelas wajahnya tidak bermaya, sedikit pucat dan matanya kelihatan kuyu. Namun itu semua tidak membataskan niat Irsyad untuk keluar. 

            “ Irsyad…? ” tegur Tan Sri Jefri Lee apabila Irsyad meluru ke depan tanpa menyedari dirinya di ruang tamu. Puan Sri Ayuni juga memandang hairan kepada anaknya yang siap bertopi bagai.

            “ Papa, mama…” sahut Irsyad perlahan apabila menyedari mama dan papanya sedang berbual-bual sambil menikmati coklat panas. Suaranya sedikit serak dan parau.  

            “ Ni yao qu nali? ( Kamu mahu pergi mana?) ” papanya menyoal.

            “ Irsyad nak keluar sekejap ambil angin.”

“ Ambil angin apa waktu hujan macam ni?! Badan Irsyad tak sembuh lagi daripada demam.” Tingkah Puan Sri Ayuni bimbang.

“ Irsyad ada hal sikit mama, papa. Irsyad janji takkan kena hujan lagi macam semalam.” Katanya demi melegakan hati kedua-dua orang tuanya. 

Ya, Irsyad sedar semalam telah mencoretkan sejarah dalam hidupnya. Hujan yang tidak pernah memberi kesan ke atas tubuhnya tiba-tiba menjadi punca dia jatuh sakit. Sedangkan tubuh badannya sangat teguh dan tahan lasak biar apa-apa cuaca yang ditempuhi selama ini. Walaupun Irsyad sendiri arif bahawa sakit yang diberikan merupakan penghapus dosa-dosa kecil yang dilakukan.

“ Pergi dengan apa? Tak nak suruh Pak Mail hantar? ” usul Tan Sri Jefri Lee.

“ Ha’ah, Irsyad bukan pening kepala? ” celah Puan Sri Ayuni dengan persoalan lain. 

Semalam Irsyad balik dengan seluruh badan basah akibat hujan. Dia sendiri musykil bagaimana anak terunanya boleh menjadi begitu. Bila ditanya, katanya tempat kereta diletakkan agak jauh daripada bangunan pejabat menyebabkan Irsyad terpaksa meredah hujan. Peliknya mengapa Irsyad tidak menggunakan parking kereta yang disediakan dalam bangunan syarikat. 

Kesimpulannya, Puan Sri Ayuni terpaksa menerima bulat-bulat alasan tersebut sehingga menjadi penyebab Irsyad jatuh demam. Dan sepanjang tengah malam itu, Irsyad mengerang memanggil-manggil nama Nuzul, mengigau dalam tidur. Mungkin Irsyad kebasahan semalam disebabkan Nuzul…? Sangkal benaknya. 

“ Mama, papa, Irsyad dah sihat. Syad boleh drive sendiri.” Kata Irsyad setelah menggelengkan kepala menolak cadangan papanya.

“ Okey, cepat sikit balik. Jangan terlalu lama dekat luar tu, Irsyad baru sihat.” Kata papanya.

Irsyad mengiyakan. “ Insya Allah, papa.” 

“ Take care of yourself, Irsyad.” Pesan Puan Sri Ayuni. Dia kelihatan risau dan tidak senang duduk. Irsyad yang menyedari lekas mengangguk.

“ Please don’t worry, mama. I’ll be right back. ” Irsyad segera berlalu. Tanpa berlengah dia menurut kata hati.




BAB 9



Sudah setengah jam Nuzul berada di bawah bumbung di luar Rayyan Café. Sejak awal pukul sembilan dia menunggu air hujan menjadi renyai namun tiada sebarang petanda hujan akan berhenti. 

Bahagian dalam café telah pun gelap kerana semua kakitangan telah pun pulang. Kini tinggal Nuzul duduk di bangku panjang di luar café sambil memerhatikan langit malam memuntahkan air yang disejat oleh langit siang. 

Keluhan kecil dilepaskan tatkala mengenangkan nasib diri. Sudah tiga hari berturut-turut hujan menimpa bumi dan di saat itulah dia terhegeh-hegeh mahu pulang ke rumah. Semalam tanpa sekaki payung, Nuzul nekad menempuh hujan apabila malam makin larut. Jangkaannya meleset menafsirkan cuaca langit. Pepatah ‘sediakan payung sebelum hujan’ amat menginsafkan Nuzul. Mujurlah tubuhnya kebal, buktinya hari ini dia masih mampu bekerja dengan sihat. 

Untuk malam ketiga, Nuzul mengambil tindakan yang bijak. Bukannya dia tidak membawa payung hari ini, cuma payungnya tidak mampu menaunginya dalam titisan air hujan yang deras. Maklumlah payung itu sudah berusia dan beberapa bilahnya telah tercabut. Sekali angin kuat berhembus, tentu renyuk payungnya kelak. Silap hari bulan bercerai batang dengan besi-besi halus di keliling payung. 

“ Kenapalah tak hujan waktu siang tadi…? ” keluhnya di hujung bibir.

“ Jangan sedih bila hujan menganggu aktiviti hidup kita. Hujan sebenarnya rahmat daripada Allah. Turunnya hujan seperti turunnya rezeki jadi berdoalah supaya rezeki Allah melimpah ruah kepada kita.”     

            Nuzul senyum kecil. Teringat kata-kata Laila sewaktu di alam persekolahan. Oleh itu, cepat saja Nuzul menadah tangan. Berdoa dalam hati supaya Allah sentiasa memberikan dia rezeki yang tidak putus-putus sama ada dalam bentuk kesihatan, harta, kebahagiaan serta ketabahan dalam menangani setiap ujian-Nya. Di penghujung doanya, Nuzul meminta Allah menghentikan hujan agar mudah untuk dia pulang demi bertemu adik-adiknya.

Bila difikirkan semula, Nuzul terasa geli hati dengan doanya yang terakhir. Bolehkah aku berdoa supaya hujan berhenti? Tadi bukan main berdoa nak macam-macam rezeki disebabkan hujan, tapi at last aku mintak pulak Allah hentikan hujan. Macam main-main aje! Sudahnya Nuzul tersengih saja dengan perangainya yang tidak stabil. 

            “ Fine, langit memang takkan mengalah dengan aku.” Tutur Nuzul sebelum bangun dari bangku. Kesabarannya untuk menanti telah pudar. Biarlah dia terpaksa berhujan lagi asalkan adik-adiknya tidak menunggu lama kepulangannya.  

            “ Kalau hujan berdegil nak turun, aku pun boleh tunjuk degil merempuh dia.” 

            “ Nuzul…! ”

            Sekali dipanggil, Nuzul pantas menoleh. Buntang matanya. Sebatang tubuh lelaki telah berada dengannya. Bersama berteduh di bawah bumbung café. Liur ditelan kerana terkejut. Mahu tersenyum juga Nuzul kaku.

“ Err, kenapa datang waktu ni? Café dah lama tutup, dari pukul sembilan tadi.” Beritahunya cermat serta berhemah.

“ Aku tahu.”

Nuzul mengangguk kecil. Menerima dengan baik balasan pendek daripada jejaka itu. “ Encik nak order apa-apa ke? ” tanya dia lagi sekadar berbahasa.

“ Tadi kau kata café dah tutup, kalau aku order kau boleh buatkan sekarang? ”

Sekali lagi Nuzul telan liur. Dia terperangkap akibat tersalah kata. “ Err, saya buat esoklah.”
Lelaki itu diam tanpa senyum. Air mukanya kelihatan tenang dan damai tidak seperti kebiasaannya; cengil dan bengis.  

            “ Oh, saya kena balik sekarang! Minta diri dulu encik.” Ucapnya tidak sabar mahu beredar. Seram bulu roma Nuzul berlamaan di situ. Renungan dingin si pemilik mata redup meresahkannya seperti siang tadi. Eh, bukan siang tadi dia tak sihat ke? Asal malam-malam macam ni dia boleh main-main hujan pulak?!

“ Tunggu sekejap.”

Nuzul gigit bibir bawahnya sebelum berpaling semula. “ Kenapa encik? ”  

“ Ambil ni.” 

Nuzul tercengang. Sekaki payung yang digunakan lelaki itu tadi tiba-tiba dihulurkan kepadanya. “ Eh, kenapa nak bagi saya? ”

“ Sebab hujan.”

Geleng. “ Saya tak perlukan payung encik.” 

“ Kenapa? Kau tak sudi? Takkan nak meredah hujan macam semalam.” Kata jejaka itu tidak berpuas hati payungnya ditolak.

Nuzul terlongo. Musykil apabila lelaki itu mengetahui perihalnya merempuh hujan lebat malam semalam. “ Bukan tak sudi, sebab sebenarnya saya ada bawak payung saya sendiri.” Jawabnya kemudian. Beg sandangnya dibuka sebelum mengeluarkan sekaki payung yang boleh dilipat serta diikat kemas.

Nuzul lantas mengembangkan payungnya dengan debaran yang asing. Sangat canggung apabila merasakan lelaki itu sedang memerhatikan perbuatannya. Membuatkan Nuzul tidak keruan dan ingin terus berlari dalam hujan supaya dirinya kembali tenang seperti di awal waktu. 

“ Saya balik dulu, encik.” Pamitnya dengan menoleh sekilas seraya berjalan keluar meredah hujan sambil berteduh bawah payungnya ‘yang hidup segan mati tak mahu’.

‘Alahai, payung…! Tolonglah bertahan, jangan kuncup di tengah jalan..!’ pohonnya dalam hati sambil merenung ke jalan yang basah ditimpa hujan. Nuzul berjalan dengan hati yang walang.

Terkesima. Nuzul terkejut besar apabila payungnya direntap kasar seolah ditiup oleh angin. Dia menyangkakan telah tertewas dek angin hujan yang kuat namun jangkaannya meleset. Dalam waktu itu juga wujud sekaki payung yang lain bertindak melindungi dirinya.

Nuzul bertambah terkejut bila menyedari dia berkongsi satu payung dengan si jejaka. Payungnya pula sudah berlari-lari dalam hujan yang berangin. 

“ Apa ni Encik Alif ?! ” jerkahnya geram. 

“ Payung kau dah tak berguna.”

“ Tak berguna bagi encik tapi berguna bagi saya.” Marahnya lagi sebelum bertindak untuk mengejar payung yang semakin menjauh. Sungguh pun demikian, lengannya dipegang kejap. Terhalang kakinya mahu melangkah.

Nuzul pantas mendongak. Memandang Irsyad dengan tatapan yang dingin.

“ Please…jangan marah aku,” Irsyad berkata dengan nada yang sangat lembut. Dia ingin memujuk tetapi nyata dia kurang berpengalaman. Memujuk hati wanita tidak sama seperti memujuk adik lelakinya, Irham yang kadang kala merajuk dengannya. Teman-teman wanitanya sebelum ini juga jarang merajuk dengannya kerana Irsyad telah memberi amaran bahawa dia cukup lemas dengan wanita kaki rajuk. Namun sebaliknya berlaku, Irysad sanggup memujuk gadis di sampingnya ini kerana dia tidak betah Nuzul kecewa dan marah terhadapnya.

“ Aku tak mahu kau main hujan macam semalam.” Irsyad melahirkan kata-kata dari dalam kalbu. Amat dalam suara garau yang digunakan. Menggambarkan sikap keprihatinan dan kebimbangan yang bertakung di dalam dadanya. 

Kelu lidah Nuzul. Siapa lelaki ini sebenarnya? Dia bukan seperti yang aku kenal dua minggu lepas? Entah-entah Encik Alif ada penyakit multiple personality disorder ?! 

“ Kau ambil payung ni, anggap aku gantikan payung kau yang aku campak tadi.”

“ Kenapa? ” Nuzul menyoal sepatah kerana terlalu kehairanan.

“ Kenapa? Apa lagi yang kau tak jelas dengan permintaan aku? ”

“ Sebab apa nak buat baik dengan saya padahal satu café tahu Encik Alif tak sukakan saya?! ” tingkah Nuzul berterus-terang. Suaranya dikuatkan kerana bunyi hujan sedikit menganggu ‘conversation’ antara mereka.

“ Aku tak ada jawapan untuk itu. Yang aku tahu, hati aku yang suruh.” Suara Irsyad turut kuat demi melawan suara rintihan hujan.

            Hati yang suruh? Nuzul terpisat-pisat. “ Err..Encik Alif tak ada…penyakit…multiple personality disorder, kan? ” itu pula yang difikirnya sejak tadi.
 
Penyakit Multiple Personality Disorder (MPD) terjadi kepada seseorang yang mengalami kecelaruan identiti diri. Pesakit MPD mampu menjadi orang yang berbeza-beza mengikut karakter yang dibawa. Dan lebih tepat pesakit MPD ada masalah dalam menstabilkan mental dan selalunya dirawat oleh ahli psychiatric.

Irsyad terkebil-kebil dengan pertanyaan itu sebelum dapat menangkap maksudnya. Dia tergelak kecil. “ Kau rasa orang yang ada penyakit tu akan beritahu kau yang dia ada penyakit tu? ” dia bertanya balik. 

Nuzul terkulat-kulat apabila menyedari hakikat itu. Terasa sedikit kurang cerdik bertanya soalan demikian kepada pelakunya. Mustahillah ada orang nak mengaku. Yang sukar hati Nuzul menafikan sekarang ialah betapa gundah jiwanya menadah tawa halus sang pemuda. Sangat meruntun dan menyentuh naluri. Pertama kali Irsyad sudi senyum dan tawa bersamanya.

“ Jangan risau, Nuzul. Aku masih waras dan aku tahu apa yang aku tengah buat sekarang,” tukasnya bersahaja. Sungguh permainan perasaan itu amat menyakitkan. Berperang antara ego dan keinginan hati yang terlalu mengasak. Irsyad akur dia telah tewas. Tewas dalam mencari kemanisan serta kenikmatan yang bakal menjadi miliknya.

“ Er, aku balik dulu.” Berat mulut Irsyad berkata. Serasa ingin tenggelam dalam renungan Nuzul yang berkaca-kaca. Mata yang berbentuk kacang almond disertakan bulu mata yang lentik tampak amat indah di matanya. Mahu saja Irsyad melepaskan sebuah kecupan di ubun-ubun Nuzul demi meleraikan rindu yang bertamu tetapi apakan daya dia tidak berhak.

    “ Nah,” Irsyad menyuruh Nuzul memegang batang payung tersebut dan gadis itu menurut. Tangan kiri Nuzul naik untuk menyambutnya. Kemudian Irsyad menarik topi jaketnya ke atas kepala. Bersiap sedia untuk meredah hujan ke tempat keretanya diletakkan.

 



“ Encik Alif…”

“ Hurmm…”

“ Tangan saya…”

Irsyad telan liur. Dengan rasa segan dia melepaskan pergelangan tangan kanan Nuzul. Wajah malunya tidak mampu disorokkan. Kelekaan bersama Nuzul memberi impak besar dalam dirinya. Ikutkan hati Irsyad ingin terus menghantar gadis itu pulang tetapi dia tidak mahu mengambil langkah tergesa-gesa. Ini sebagai permulaan dalam meraih perhatian si gadis.

            “ Encik Alif…”

            “ Yup.”

“ Jaga diri.” Pesannya lembut. “ Pagi tadi encik tak sihat, kan..! ”

Irsyad senyum. Kembang perasaannya mendengar pesanan ringkas itu. Lantas dia mengangguk dengan cermat. Akur dengan permintaan itu. “ Anything else, Nuzul? ”   
   
“ Er, terima kasih untuk payung ini,” ucap Nuzul sedikit tertunduk.

“ You’re most welcome,” bisik Irsyad dekat sebelah telinga Nuzul. Desah suaranya samar-samar kedengaran. 

Nuzul mengetap kuat giginya. Kedekatan Irsyad menjadikan saluran pernafasannya seolah-olah tertekan dan tersekat-sekat. 

“ Got to go,” ucapnya lagi. Dengan menarik nafas panjang, Irsyad berlari keluar dari payung tersebut. Meninggalkan Nuzul yang termangu sendiri.

Terharu. Nuzul hanya memandang lelaki itu berlari anak dalam hujan. Tanpa sedar, Nuzul memegang dada kerana degupannya berentak lebih kencang daripada kebiasaan. Ngilu perasaannya. Apa yang lelaki ini cuba buktikan sekarang ?!

‘ Allahuakbar..!’ Nuzul kembali teringatkan sesuatu yang tidak wajar berlaku. ‘ Kenapa aku tak tumpangkan saja payung ni, temankan dia ke kereta?! Tak payahlah dia berlari dalam hujan. Sudahlah dia tak sihat, kalau semakin parah sakitnya, aku pula yang bersalah..! ’

Nuzul memandang payung yang lebar mengembangkan sayapnya. Memang kukuh dan gagah payung itu menaunginya. Cukup besar untuk berteduh di bawahnya lebih-lebih lagi sewaktu dia dan Irsyad berkongsi satu payung yang sama. Jauh berbeza dengan payung miliknya yang dibuang oleh lelaki itu.   

“ Esok aku kena pulangkan payung ni semula,” tekadnya sewaktu melangkah dalam hujan.



DARI dalam kereta Irsyad memandang buah hatinya pergi. Berjalan tenang dalam hujan. Buah hati? Irsyad tersengih tanpa dipaksa. Hatinya lapang dan gembira menerima kenyataan itu.

            Kejadian semalam kembali berlegar-legar di minda. Irsyad jauh mengelamun mengingatinya. Waktu yang sama dalam cuaca yang sama, Nuzul menunggu hujan berhenti tetapi akhirnya gadis itu nekad untuk kehujanan. Irsyad tidak sanggup melihat kejadian itu lantas keluar daripada keretanya. Bonet dibukanya untuk mencapai sekaki payung. 

Namun demikian, apabila dia mengejar langkah Nuzul, Irsyad berperang hebat antara ego dan keinginan hati. Dia gagal untuk memilih sama ada mahu menunjukkan perasaannya atau membiarkan egonya menang. Penyudahnya, dia sendiri kehujanan tanpa disedari. Ego telah membataskan langkah Irsyad, jiwanya yang meronta-ronta terpaksa ditelan saja.  

Berbeza dengan perkara yang berlaku sebentar tadi. Irsyad tahu bahawa dia telah berjaya mengubah plot semalam menjadi sebaliknya pada hari ini. Egonya yang tinggi melangit akhirnya tewas membendung desakan hati yang maha hebat. Irsyad merasakan kemenangan yang besar telah berlaku dalam dirinya.

            “ Nuzul…” serunya bersama getaran ngilu yang mampu menggigilkan perasaan dalamannya.

            Irsyad tidak lagi peduli siapa Nuzul sebelum ini. Sama ada hati itu pernah ditakluki atau sebaliknya, Irsyad nekad untuk memilikinya. Dia akan berusaha menggamit Nuzul kepadanya. Susah atau senang, Irsyad pasti Nuzul akan rebah dalam dakapannya. Semoga hari esok, perasaannya semakin tetap dan berani menentang keegoannya yang satu.   






*** sO, bagaimana rasa hati? Suka atau tak? Sebarang komen bolehlah letakkan di sini supaya Aii lebih bersemangat untuk menulis cerita ini. Kalau banyak yang suka cepatlah aii update tapi kalau tak ada kita tampal lambat-lambat la. Btw tq sudi berkunjung ke blog ini. Majulah cinta demi Allah dan rasul ^_^

 

 




4 comments:

  1. besstttt sangattt kak aii cepat siapkan mss eh :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. ye sygku cayla iman, insyaAllah i'll try my best :D

      Delete
  2. Salam. Sangat seronok walaupun jalan crrita agak slow. Haha. Sebenarnya, dah oke je jalan cerita tu tapi sebabkan tak sabar nak tahu apa yg jadi lepas tu , tu yg ckp jalan cerita slow. Jgn marah. Gurau je ^^

    ReplyDelete
    Replies
    1. wassalam dear, hahahak Aii akui jln cerita mngkin slow dgn menulis pun agk lambat hehe, btw tq for the comment. Aii hargai komen awk dan akn berusaha utk cepat2x update entry.

      Delete

hai ! terima kasih ^.^