Sepuluh minit selepas itu mereka telah pun bergerak di atas jalan raya yang sibuk. Maklumlah hari minggu tentulah banyak kenderaan yang keluar. Rafiq tenang dalam pemanduannya. Sama juga dengan Sakinah yang kelihatan tenang. Sesekali Sakinah mengusik dan melayan keletah Shafiq yang sentiasa mengujakan hatinya. Rafiq pula hanya memandang dua insan di sisinya itu. Terutamanya pada Shafiq yang galak ketawa dalam dakapan Sakinah.
Dijeling lewat ekor matanya pada penampilan Sakinah. Rafiq perasan sesuatu. Gadis itu pandai juga bergaya. Tidak kelihatan kekampungan seperti di dalam rumah yang hanya ber t-shirt dan berkain batik seharian. Sakinah tampak lain dari kebiasaan. Hari ini gadis itu mengenakan sehelai blouse putih hitam beserta dengan tudung dari rona yang serupa. Kemudian dipadankan pula dengan skirt hitam yang labuh sehingga ke buku lali.
Sekali pandang seolah-olah mereka berdua bagaikan berjanji memakai pakaian dari rona warna yang serupa sedangkan hakikatnya bukan begitu. Jelas terpamer kematangan isterinya jika dilihat dari cara pemakaian walaupun gadis itu masih dalam lingkungan usia remaja.
“ Er, kalau tak keberatan..boleh.. Kinah tanya? ” gusar Sakinah menyoal. Menyedarkan Rafiq yang melamun.
“ Hrmm..” balas Rafiq malas.
“ Er, kita nak ke mana sebenarnya? ”
“ Beli hadiah.” Jawabnya pendek.
Berkerut dahi Sakinah. Hadiah? “ Er, untuk siapa? ”
Rafiq diam. Sakinah juga ikut diam kerana tiada jawapan daripada suaminya.
“ Untuk Rina.” Balas Rafiq sebelum memulas stereng ke kanan ketika melalui selekoh.
Sakinah menganggukkan kepalanya. Patutlah Rafiq mahu keluar awal tadi. Rupa-rupanya ingin membelikan hadiah buat hari lahir Marina. “ Erm, abang nak beli kat mana? ” Tanya Sakinah mesra.
Mekar senyuman Sakinah apabila terkenangkan gadis cantik itu. Walaupun Marina lebih tua tiga tahun daripadanya namun gadis itu menerima kedatangan Sakinah dengan rela hati. Begitu juga dengan Mardina yang merupakan anak sulung dalam keluarga suaminya.
“ Kat mana-manalah yang ada jual hadiah. Takkan dekat tepi jalan! ” ujar Rafiq dengan suara jengkel. Stupid question!
Serta merta senyuman Sakinah kaku lalu pudar. Menyesal pula dia bertanya. Ingatkan ingin beramah mesra tetapi lain macam pula ‘mesra’ yang ditunjukkan oleh Rafiq. Menakutkan orang sekeliling.
Lima belas minit berlalu mereka telah pun memasuki shopping mall The Mines. Rafiq mendukung Shafiq sementara Sakinah berjalan di belakang suaminya. Jauh juga jarak antara mereka. Sakinah tidak peduli. Dia leka melihat permandangan di dalam pusat beli-belah itu yang kelihatan besar dan indah. Rafiq pula ralit melayan kerenah Shafiq sambil berfikir arah jalan ke kedai yang ingin dimasukinya.
Jika dilihat sekali imbas, tentu orang sekeliling menyangka Sakinah bersendirian tanpa teman. Namun jika dilihat dua kali imbas pasti sangkaan mereka akan berubah apabila melihat bekas menyimpan botol susu yang dibawa oleh Sakinah.
Rafiq memasuki kedai yang menjual barangan aksesori perempuan. Sakinah masih membuntuti tanpa banyak soal. Rafiq membelek-belek gelang dan rantai manik yang digubah indah.
Sakinah melihat penuh minat ke sekeliling sudut ruang kedai tersebut. Semuanya dipenuhi dengan barangan aksesori wanita yang cukup elegan dan berstail. Patutlah Rafiq memilih untuk memasuki kedai itu kerana di dalamnya ada banyak pilihan untuk dijadikan sebagai hadiah.
Ramai juga pelanggan lain yang turut berada di situ. Semuanya bagaikan rambang mata. Semua jurujual kelihatan sibuk melayan kehendak pembeli. Sakinah menoleh semula pada suaminya.
Rafiq kelihatan sukar untuk membuat pilihan. Shafiq pula semakin sibuk mengusik benda-benda yang terdekat dengannya. Ingin dicapai apa-apa yang menarik di hadapannya. Oleh itu, Rafiq bertindak memberi anaknya pada Sakinah.
“ Boleh kau tolong pilihkan untuk aku? ” Kali ini terpaksa Rafiq membuka mulut meminta pandangan Sakinah memandangkan tiada jurujual yang menghampiri mereka.
Sakinah mengangguk. Gembira kerana Rafiq sudi meminta pandangannya walaupun hakikatnya dia kurang berpengetahuan bab aksesori wanita yang moden dan elegan. Lebih-lebih lagi berkaitan tentang cita rasa Marina, Sakinah kurang pasti. Namun diikutkan saja permintaan suaminya.
“ Er, Rina memang mahukan hadiah ni? ” Sakinah menyoal dalam keberanian yang diciptanya sendiri. Itupun gugup juga darah gemuruhnya.
“ Hrmm,” sela Rafiq.
“ Tapi macam mana, abang boleh tahu ini kesukaan Rina? Er, bukan ke lelaki kurang peka tentang hal ni? ” Tanya Sakinah lagi berdasarkan pengalaman yang diceritakan oleh teman-temannya yang pernah mempunyai teman lelaki.
Rafiq mengangkat wajah. Tajam sinar matanya. Panjang pulak soalannya! Getus Rafiq. Sakinah menikus. Faham sangat dengan sorotan mata suaminya. Memang mulutnya tidak boleh diam jika dibenarkan berkata-kata. “ Maaf.”
“ Memang ini yang dia mahukan.” Rafiq menjawab juga apabila melihat wajah isterinya yang terkulat-kulat. Tidak tergamak Rafiq untuk membalas dengan percakapan sinis. Lebih-lebih lagi mengenangkan keberadaan mereka di mana.
Sakinah mengulum senyuman kecil. Sudi juga Rafiq menjawab pertanyaannya.
“ Kau dah pilih? Mana yang okey pada kau? ” Tanya suaminya.
Sakinah memandang sekilas pada Rafiq sebelum menuntaskan pandangan pada aksesori gelang di tangannya. “ Sebenarnya Kinah kurang pasti yang mana sesuai untuk Rina. Lagipun Kinah tak tahu bagaimana nak pilih yang kena dengan cita rasa Rina.” Akuinya.
Rafiq mendengus. Lama-lama boleh sesak nafasnya menahan geram pada gadis itu. Sakinah tergamam. Segera diletakkan semula aksesori gelang yang berada di tangannya. Sakinah kecut melihat melihat raut suaminya yang mula menyinga. Dia melarikan anak mata.Takut untuk bertemu dalam satu pandangan. Silap hari bulan dirinya boleh ditempelak di khalayak ramai.
“ Tadi bukan main beria-ria mengangguk. Sekarang cakap tak tahu. Lain kali kalau kau tak tahu cakap awal-awal. Jangan buat-buat tahu. Membazir masa aku aje suruh kau pilih.” Herdik Rafiq perlahan.
Sakinah tertunduk malu.“ Maaf, bang.”
Rafiq malas melayan isterinya lagi. Tidak kering mulut gadis itu dengan perkatan maaf. Menyampah pula Rafiq mendengarnya. Tangan Rafiq menggamit jurujual yang ada. Dia perlu segera menyelesaikan urusannya di situ.
“ Boleh saya bantu encik dan puan? ” ramah pekerja di kedai tersebut melayan.
“ Tolong rekomenkan saya suatu aksesori yang cantik dan menarik. Soal harga saya tak kisah. Janji kepuasan yang diutamakan.” Ujar Rafiq.
Jurujual itu mengangguk faham. “ Boleh saya tahu aksesori jenis apa yang puan mahukan? ” tanya gadis Cina itu pada Sakinah.
Sakinah terpinga-pinga.“ Er, bukan..”
“ Not for her but for someone else. Birthday gift for my sister. Anything is good and beautiful please show it to me.” Pintas Rafiq. Gadis itu mengangguk dengan senyuman manis sebelum berlalu.
“ Kau bawa Shafiq keluar dari sini. Pergi tunggu aku kat luar. Lama-lama kau dekat sini pun tak ada guna.” Rafiq mengarah.
Sakinah akur lalu mengangguk perlahan. Suram wajahnya tatkala itu. Rafiq memang tidak menyenangi kehadirannya. Di mana-mana pun mereka berada Rafiq memang tidak sudi untuk bersamanya. Sakinah melangkah keluar bersama Shafiq. Lebih baik dia menunggu di luar daripada menjadi mangsa herdikan suaminya lagi.
Niat hati ingin mencari tempat duduk terbantut tatkala retina matanya singgah ke sebuah butik pakaian yang besar. Butik tersebut terletak selang dua buah kedai dari kedai aksesori yang baru ditinggalkannya.
Bagaikan diseru, Sakinah menghayun langkah kerana mengagak suaminya mungkin akan kelamaan untuk memilih hadiah yang bagus buat Marina. Rasanya dia masih berpeluang untuk menjamu mata dengan pakaian-pakaian yang dipamerkan di butik tersebut. Sakinah melangkah penuh yakin.
“ Boleh saya bantu, puan? ” tawar seorang gadis Melayu yang menjadi promoter di situ. Sakinah yang ralit meneliti kemeja-kemeja lelaki yang bergantungan segera menoleh pada gadis di sisinya.
“ Saya cuma nak tengok-tengok saja,” ujar Sakinah sopan bersama senyuman manis.
“ Apa salahnya kalau puan membeli sekali kerana hari ini butik kami ada menawarkan harga diskaun sebanyak lima puluh peratus bagi setiap pembelian. Oleh itu puan dapat membeli barangan di butik kami dengan separuh harga untuk setiap barangan. Semua ini bersempena dengan jualan penghabisan stok dan ulang tahun ke-4 butik ini.” Beritahu gadis itu secara langsung untuk makluman pelanggan.
Lagi-lagi Sakinah mengangguk. Faham dengan pernyataan itu. “ Tak apa, terima kasih. Biar saya tengok-tengok dulu.” Katanya berhemah.
Hakikatnya Sakinah mahu jurujual itu pergi menjauh daripadanya agar mudah dia melihat-lihat pakaian yang dipamerkan. Sejak dari tadi Sakinah agak kekok dengan keberadaan gadis itu di sebelahnya. Mengekori saja dari belakang sejak dia masuk ke dalam butik tersebut.
“ Okey, puan tengok-tengoklah dulu. Kalau ada apa-apa yang puan perlukan panggil saja saya atau jurujual kami yang lain.” Beralah juga gadis itu akhirnya. Sakinah lega. Shafiq yang berada dalam
kendongannya di pandang sekilas. Anak kecil itu alpa dalam dunianya sendiri.
Like!!
ReplyDelete