Followers

/ Tagboard \

We are really hope that you will get something with this blog. Please respect to each other and keep enjoying with us ^.^
.Images are credit to Google.

Bab 13

Tangisan Shafiq mula bergema. Sakinah cuba memujuk. Ditepuk perlahan dan dibelai lembut belakang Shafiq agar anak kecil itu lebih tenang. Tetapi tangisan Shafiq tidak menunjukkan tanda untuk berhenti. Sakinah mengagak mungkin Shafiq kelaparan kerana telah lama berjalan. Justeru itu, segera Sakinah menyudahkan pembeliannya.
            Meliar anak mata Sakinah mencari keberadaan suaminya setelah usai urusan pembeliannya di butik pakaian. Sempat matanya menangkap sebuah kerusi panjang yang masih lapang. Bergegas Sakinah menuju ke situ untuk mendapatkan bangku tersebut sementara menanti kehadiran suaminya.
            Semakin hampir tubuhnya merapati tetapi akhirnya peluang yang ada tinggal sifar. Seorang jejaka telah terlebih dahulu mendapatkan bangku tersebut daripadanya. Sakinah mati langkah. Shafiq dalam dukungan masih tidak mengerti situasi yang berlaku. Malah makin membuak-buak air mata Shafiq mengalir.
            “ Er, awak tak nak duduk? ” tegur lelaki itu saat Sakinah ingin berpaling pergi.
            “ Tak apalah.” Sakinah beralah. Perasaannya antara serba salah. Sama ada terpaksa merelakan diri duduk sebangku dengan jejaka itu atau tidak. Tetapi rengekkan Shafiq mendera hatinya. Dia perlu duduk untuk memberikan susu pada Shafiq yang lapar.
            “ Duduklah sekali, saya tak kisah. Lagipun kesian pada awak, mesti penat dukung anak.” Pelawa pemuda itu beserta senyuman.
            Sakinah menggeleng sambil menyelitkan senyuman. “ Tak apalah.” Memang dia kurang selesa untuk berkongsi tempat duduk dengan jejaka yang langsung tidak dikenalinya itu. Perasaan takut dan gentar turut memalu hati. Apa pula kata suaminya apabila melihat situasi itu nanti.
            “ Okeylah, saya bangun kalau awak tak sudi duduk sebangku dengan saya. Kesian pada anak awak tu. Asyik menangis aje dari tadi,” ujar lelaki itu seraya bingkas berdiri dengan harapan Sakinah bersetuju.
            “ Eh, janganlah macam ni! Saya tak terdesak pun nak duduk.” Sakinah menolak kerana tidak mahu menyusahkan jejaka itu yang kelihatan beriya-iya.
            “ Janganlah rasa bersalah. Duduk aje. Lagipun saya bukannya penat pun. Awak mesti lagi penat berjalan sana sini sambil bawa anak, bawa barang. So, duduklah.” Bersungguh-sungguh jejaka itu menawar. Sakinah mengalah juga kerana pinggangnya memang mula terasa sengal. Dan kelaparan Shafiq juga perlu ditangani.  
“ Terima kasih. Maaf kerana menyusahkan,” ucapnya setelah meletakkan barangan yang dibelinya tadi di sebelah kakinya. Shafiq dibaringkan di atas ribanya. Sakinah segera mencapai botol susu yang masih suam dari dalam bekas menyimpan susu yang dibawanya dari tadi.
“ Tak ada hal. Saya cuma rasa terpanggil untuk berbuat macam tu.” Bersahaja jawapan jejaka itu sambil berdiri di sebelah bangku Sakinah. Dia melihat khusyuk pada  Shafiq yang mula menghisap puting botol susu yang disumbat ke dalam mulut comel itu. Sakinah masih setia melihat Shafiq yang meminum rakus di ribanya.
            “ Er, kalau awak tak kisah, boleh saya tahu nama anak awak? ” Tanya lelaki itu.
            “ Shafiq.”
            Pemuda itu mengangguk.“ Nama saya Zikri, nama awak? ”
            “ Sakinah.” Beritahu Sakinah ringkas.
            “ Oo..Sakinah. Sedap nama tu. Jarang saya dengar. Nama yang sesuai dengan sifat awak yang lemah lembut.” Puji Zikri dengan senyuman lebar seperti mempunyai makna yang tersirat.
            Sakinah hanya membalas dengan senyuman hambar. Timbul perasaan takut tatkala mendengar pujian Zikri yang tidak dikenalinya itu. Dalam hati, Sakinah berdoa agar kelibat Rafiq muncul secepatnya agar perbualan yang baru bermula ini segera selesai.
            “ Sakinah datang dengan siapa? Datang dengan Shafiq saja ke? Tak ada teman lain? ” Zikri masih giat bertanya. Sakinah mula terasa yang bukan-bukan. Aneh benar perasaannya. Walaupun Zikri sekadar bertanya tetapi liar mata dan sorotannya sangat mendebarkan Sakinah. Membuatkan Sakinah bagaikan panas punggung.
            “ Saya datang dengan suami saya,” jawab Sakinah berterus-terang. Semoga ayat itu menjadi pelindung untuknya daripada diganggu lebih-lebih oleh jejaka yang baru menolongnya itu.
            “ Eh, saya tak percayalah! Betul ke awak ditemani suami? Dari tadi saya tak nampak sesiapa pun dengan awak. Dari dalam butik tadi saya tengok awak cuma berdua dengan anak awak.” Kata Zikri lagi.
            Sakinah tersentak. Sesak nafasnya mendengar kata-kata itu. Bermakna lelaki itu telah mengekori gerak langkahnya sejak dari dalam butik pakaian lagi. Sakinah semakin gerun dan takut. Langsung tidak dipedulikan mahupun membalas kata-kata pemuda itu.
            “ Atau awak sebenarnya sengaja menipu saya sebab takut saya akan menganggu awak? Kalau tentang itu, awak jangan risau saya takkan ganggu awak. Saya memang tak ada sifat kurang sopan itu.” Bersahaja Zikri menceritakan perihal dirinya yang kelihatan baik.
            Sakinah diam lagi. Direnung tepat pada Shafiq yang masih meminum susu. Sepatah perkataan pun tidak terkeluar dari bibir mungilnya.                  
            “ Hai, Cik Sakinah ni dah jadi bisu pula. Kenapa ni, tiba-tiba aje senyap semacam? Ada saya tersalah kata? ” Zikri bersuara begitu lembut. Kedengaran begitu romantis jika sekiranya mereka sepasang kekasih. Oleh itu, pada Sakinah sangat menjengkelkan.                
            “ Saya tak ada apa-apa yang ingin diucapkan.” Sakinah membalas pendek.
            “ Mengapa? Adakah pertanyaan saya menyinggung perasaan awak? Ceritalah. Mungkin awak perlukan seseorang untuk berkongsi cerita.” Sopan Zikri mendesak. Sakinah termangu. Keliru dengan bicara Zikri. Kenapa dengan lelaki ni? Dia tak percaya ke yang aku dah bersuami?
            “ Tak ada apa yang perlu diceritakan. Saya memang datang dengan suami saya. ” jawabnya lancar kerana itulah hakikatnya.
            Zikri tidak puas hati. “ Betul..”
            “ Kinah,” pintas satu suara. Sakinah menuntaskan pandangan pada pemanggil. Syukur..dalam jarak tiga meter darinya sudah terpacak tubuh suaminya di situ.
            Sakinah lantas tersenyum mesra. “ Abang,” sahutnya pada Rafiq.
            Sakinah meneleku sekilas pada Zikri yang tercengang. “ Suami saya,” ujarnya.  Dia masih statik dengan kedudukannya semasa Rafiq mendekati. Sakinah tidak boleh bangun sesuka hati kerana perbuatan itu hanya akan menganggu tumpuan Shafiq menyusu.
            Zikri terpinga-pinga menghadapi suasana itu. Cuba menerima kenyataan yang berlaku di hadapannya. Bahawa Sakinah memang ditemani oleh suaminya sedangkan apa yang difikirkan jejaka itu adalah sebaliknya. Sangkanya Sakinah ialah isteri yang sudah berpisah dengan suami atau isteri yang dibiarkan kesepian tanpa kehadiran suami. Ternyata sangkaannya meleset. Dia malu sendiri.
            “ Okeylah, saya minta diri dulu.” Zikri pamit dahulu sebelum beredar. Lama-lama dia di situ bukannya ada faedah. Ternyata wanita bermuka cantik manis itu sudah punya pemiliknya.  
            “ Terima kasih,” balas Sakinah sesopan yang mungkin. Rafiq hanya memandang.
            Zikri lantas beredar. Ada terselit rasa gerun melihat tubuh badan suami Sakinah yang sasa berbanding tubuhnya yang keding. Silap hari bulan memang kena batang hidungnya dengan penumbuk gara-gara mengacau bini orang.
            Rafiq terus melabuhkan punggung di sisi isterinya. Sakinah pula menanti bicara dari suaminya yang masih berwajah tenang.
            “ Siapa lelaki tadi? Kau kenal dia? ” Rafiq memeluk tubuh sambil menjeling respon isterinya.
            Pantas Sakinah menggeleng. “ Tak. Dia saja nak berbual dengan Kinah.”
            “ Habis tu, seronoklah kau layan dia berbual? Pandai kau pancing lelaki ya? Taktik apa yang kau pakai, hah? ” tanya Rafiq keras.
            Sakinah berterusan menggeleng. Menolak anggapan suaminya. “ Bukan begitu, bang. Tadi Shafiq menangis nak susu jadi Kinah cubalah cari tempat duduk kosong nak susukan dia tapi tak ada kerusi yang kosong. Lelaki tu pula tawarkan tempat duduk ni yang asalnya dia punya sebab kesian tengok Shafiq menangis. Lepas tu, dia ajak bersembang. Kinah cuma layan perbualan itu sekadar membalas pertolongan dia. Tak lebih daripada itu. Abang percayalah.”
            Telus Sakinah menceritakan perkara yang terjadi. Sekurang-kurangnya dia telah memberitahu perihal yang berlaku tanpa berselindung. Terpulang pada Rafiq untuk mempercayai dirinya atau tidak. Tetapi Sakinah memohon sangat di dalam hati agar Rafiq percaya akan omongannya.
Rafiq tiba-tiba panas hati. Spontan dia mencengkam lengan Sakinah. Marah sungguh dia kali ini.“ Dah tu, tadi kau ke mana, hah? ”
Air muka Sakinah berubah keruh. Menahan sakit daripada cengkaman tangan kekar suaminya. “ Sakit, bang.”
“ Aku peduli apa kau sakit ke tak? Aku suruh kau tunggu aku tapi apasal kau tiba-tiba menghilang? Puas aku mencari kau dengan Shafiq macam orang gila dalam shopping mall ni kau tahu tak? Ke mana kau pergi sebenarnya? ” Rafiq menjerkah berang. Suaranya masih dalam kawalan lagi.
Jika diikutkan panas barannya yang menggelegak, sememangnya akan ditengking kuat Sakinah di situ. Rafiq masih terbayang situasinya yang bagaikan orang bodoh mencari Sakinah dan anaknya. Berbagai-bagai andaian buruk berpusar di kepala otaknya. Hampir-hampir tadi Rafiq ingin melakukan pengumuman di kaunter pertanyaan jika kelibat isteri dan anaknya masih belum ditemui.
            “ Maaf, bang. Kinah..tak sengaja. Er, tadi..Kinah masuk sekejap.. ke kedai baju.. tengok baju.” Ujar Sakinah takut-takut.
            Rafiq merengus. Makin berapi marah di jiwanya. “ Lagi-lagi maaf. Asyik minta maaf memanjang tetapi tetap buat benda yang sama. Kau ni memang suka menyusahkan aku kan? Bodoh betullah kau ni. Lain kali kalau nak ke mana-mana cakaplah dulu supaya aku tahu kau ke mana. Siap bawak Shafiq pulak tu! Kalau kau nak lari atau menghilang kau boleh pergi seorang diri, tak payah bawak anak aku. Aku tak kisah kau nak buat apa-apa pun tapi yang penting jangan  libatkan anak aku. Aku tak suka!” tengking Rafiq keras di telinga Sakinah. Semakin kuat dicengkam lengan isterinya.
            Berdesing telinga Sakinah mendengarnya. Sebak hatinya ditengking begitu. Rasa sakit dilengannya semakin merawankan hatinya yang pilu. Sakinah akui semua itu salahnya tetapi patutkah Rafiq menghukumnya begitu? Dengan mengasarinya.
            “ Maafkan, Kinah. Kinah tahu Kinah salah.” Katanya dalam sendu yang mula bertamu. Setitis air matanya tumpah ke pipi.
            Rafiq segera melepaskan cengkamannya pada lengan Sakinah. Terkejut dengan air mata yang hadir pada wajah itu. “ Lap air mata kau sekarang.” Perintahnya.
            Sakinah lantas menurut.
            “ Tolonglah faham, Sakinah. Aku mintak sangat pada kau satu perkara, tolong jangan menyusahkan aku. Jangan buat aku semakin benci pada kau. Cukuplah sampai sini aje. Aku tak suka kau bertindak yang bukan-bukan. Faham tak? ” perlahan Rafiq berkata tetapi penuh amaran.
            Anggukan Sakinah meredakan sedikit amarah Rafiq. “ Beri Shafiq pada aku.” Sakinah menghulurkan Shafiq pada suaminya setelah dicabut botol susu pada mulut si kecil. Shafiq jelas kekenyangan tetapi belum mahu melelapkan mata.
            “ Buat apa kau kedai baju tadi? ” soal Rafiq. Sekilas menjeling Sakinah yang diam.
            “ Kinah..er, ada beli beberapa helai pakaian..er.. untuk ayah, mak dan adik-adik di kampung. Tapi..abang jangan risau..Kinah guna duit Kinah sendiri.” Bicaranya gusar. Takut jika kemarahan suaminya hadir lagi.
            Rafiq mengetap gigi. Ada saja butir bicara Sakinah yang kurang enak didengar di celah telinganya.
            “ Ada aku tanya kau pakai duit siapa? Yang kau sibuk-sibuk nak terangkan duit tu duit kau, kenapa? Lagipun kau tak payah nak berlagaklah kata itu duit kau, sebab hakikatnya aku yang berikan duit tu pada kau. Betulkan? ” sinis Rafiq menyindir. Membuatkan isterinya tertunduk malu. Pedihnya kata-kata seorang suami.
            “ Sudahlah. Jom kita balik.”

3 comments:

  1. Sedihnye part nie....begenang air mata...miss aii best sesangat

    ReplyDelete
  2. Rasa nak sepak aje si rafiq ni.. sedih sgt part ni 😭😭😭 agak agak ah aduyai

    ReplyDelete
  3. Hurmm..laki mcm tu memang ada, tapi pompuan mcm tu tak wujud zaman moden sekarang

    ReplyDelete

hai ! terima kasih ^.^