Followers

/ Tagboard \

We are really hope that you will get something with this blog. Please respect to each other and keep enjoying with us ^.^
.Images are credit to Google.

Bab 5


Mak andam membetulkan letak selendang di atas kepala Sakinah yang dilitupi tudung. Sulaman bunga-bunga kecil yang timbul pada selendang putih itu kelihatan cantik. Sesuai dengan kulit wajah Sakinah yang mulus dan manis. Kebarung moden yang tersarung pada tubuh gadis itu juga tampak menawan. Mak andam dari tadi asyik mengomel tentang kulit wajah Sakinah. 
“ Kamu ni muda lagi tu pasal kulit kamu cantik. Senang kerja akak, tak payah nak touch up tebal-tebal. Lagi bagus sebab kamu tolong jimatkan make up akak tau! ” Usik Kak Tijah. Sakinah senyum.
“ Akak nak tanya sikit boleh? ” Kak Tijah berbisik. Sakinah memandang mak andam yang dibawa khas dari Kuala Lumpur buatnya.
“ Tanyalah, bukan ada sesiapa pun kat sini.”
“ Oh, lupa pula tak ada siapa pun kat sini. Akak bukan apa, saja nak tanya tapi Sakinah jangan marah.” Sedari tadi memang dia yang menyuruh semua orang beredar dari bilik itu untuk memudahkan proses mengandam pengantin.
“ Tanyalah dulu nanti baru saya ambil keputusan nak marah ke tidak.” Balas Sakinah bersahaja. Kak Tijah mencebik.
“ Tak apalah. Akak takut kamu meradang, tak pasal-pasal akak kena angkut semua barang balik KL hari ni.” Kak Tijah berkata lagi.
“ Tanyalah. Saya gurau aje.”
“ Kamu kahwin ni atas pilihan keluarga atau pilihan kamu? ” Mak andam mula mengorek cerita. Sakinah tersengih kemudian tergelak kecil.
“ Entah. Tapi rasanya pilihan saya sebab kalau tak bukan sayalah yang menjadi  pengantinnya.” Jawab gadis itu. Nampak main-main saja lagaknya.
Kak Tijah ketawa. Soalannya dibalas dengan jawapan kurang cerdik buat dia tercuit hati untuk ketawa. Rasa ingin di cubit-cubit bibir mungil itu. Terlebih pandai bibir itu mengatur ayat.
“ Kamu ni suka main-mainlah. Akak tanya betul-betul kamu pakai jawab selamba.” Kak Tijah mengomel.
“ Pilihan sayalah,” jawab Sakinah perlahan.
“ Kamu tu anak dara, muda pulak tu, tak kisah ke hidup dengan duda? Ada anak pulak tu? ” cungkil Kak Tijah lagi.
“ Aduh, akak ni! Dah pilihan saya mestilah saya tak kisah. Kalau saya kisah dah lama saya cari teruna tau. Tapi teruna pun belum tentu teruna, entah-entah dah pernah tebuk anak orang. Lagi bagus pilih duda yang memang sah bukan teruna.” Tukas Sakinah selamba.
“ Erm, yelah..” malas dia menyoal lagi. Selepas itu, Kak Tijah menyematkan sebentuk kerongsang berlian ke tudung Sakinah. Diberi sentuhan terakhir pada wajah gadis itu.
“ Ada saja jawapan kamu. Tak kisahlah apa kamu cakap tapi kamu ni baru dua puluh tahun tak teringin ke nak sambung belajar? Takkan nak jadi suri rumah tangga  seumur hidup? Boleh mati kebosanan tau kalau akak jadi kamu.” Soal Kak Tijah setelah duduk di birai katil pengantin yang dihias indah.
“ Insya Allah ada rezeki sambung belajar saya akan teruskan. Memang itu pun niat saya,” Sakinah membalas. Moga-moga dia dibenarkan sambung belajar kelak.
            “ Dah siap ke? ” Kak Tijah mengangguk. Mengandam gadis itu tidak memerlukan banyak masa. Kak Tijah akui Sakinah mempunyai raut yang cantik dan manis. Kerjanya sudah selesai buat masa ini. Esok barulah kerja mengandam lebih susah dengan adanya beberapa pertukaran persalinan semasa majlis persandingan.
            “ Assalammualaikum..” terjah banyak suara dengan ketukan di balik pintu.
“ Waalaikummussalam..akak boleh tolong bukakan pintu,” ujar Sakinah. Kak Tijah membuka pintu yang dikuncinya tadi.
“ Dah siap ke? Nak tengok pengantin,” Kak Tijah diterjah satu soalan.
“ Dah, masuklah.” Sakinah berkata dari dalam. Dia cukup kenal dengan suara-suara itu. Kak Tijah melebarkan daun pintu untuk memberi laluan masuk kepada teman-teman Sakinah. Kak Tijah pula keluar selepas itu.
“ Mak oii, cantiknya! Lawan tauke nampak,” usik Nurul yang memang ratu bergaya sekampung. Pantang melihat orang lain lebih cantik darinya. Tetapi hari ini Nurul terpaksa mengiyakan yang Sakinah tampak jelita dan anggun. Namun, dia pasti suatu hari nanti dia tentu akan kelihatan lebih cantik jika menjadi pengantin kelak.
“ Wah, bilik pun baru! ” tempik Wan Asiah. Sakinah mengiyakan. Memang kamar itu baru dibina sempena perkahwinannya. Itupun atas kehendak pihak lelaki supaya bilik pengantin nampak lebih selesa dan luas. Siap dengan sebuah bilik air.
“ Lawalah kau, Kinah..” puji Siti. Dia berdiri di sisi Sakinah sambil merenung temannya itu. 
“ Ha’ah. Selalu selekeh sekarang bukan main lawa.” Nurul mengusik setelah bangun semula dari birai katil untuk menutup pintu kamar. Siti dan Wan Asiah terkekeh-kekeh ketawa. Sakinah mencebik geram.
 “ Apa pulak selekeh? Cuma tak pandai melawa aje.” Balas Sakinah. Membela diri.
“ Betul tu. Tapi tak pandai melawa pun ada juga yang minat.” Siti menambah gurauan antara mereka. Wan Asiah dan Nurul ketawa lagi. Sakinah tarik muka.
“ Kesian Zul tau, Kinah.” Wan Asiah tersengih mengusik. Sakinah menjeling.
            “ Merana jiwa dia dengar kau nak menikah..dengan lelaki lain pulak tu.” Nurul menambah lagi sekadar bercanda. Mengusik temannya itu.
“ Hisyyh, aku tak sukalah dengar nama mamat tu! Buat hilang mood aje.” Omel Sakinah.
 Bila teringat saja wajah Zulfi, dia memang cukup tidak berkenan. Sejak dia mula tinggal di kampung itu dan mula bertukar ke sekolah yang sama, jejaka itu selalu mengacau dan mengekorinya. Sakinah terlebih rimas dengan kehadiran Zulfi di sisinya sedangkan gadis-gadis lain sememangnya amat menanti dan menghargai kehadiran jejaka itu.
“ Dahlah semua jangan sebut nama Zulfi lagi. Nanti ada pulak yang tak menikah hari ni,” Wan Asiah mengarah. Nurul dan Siti menurut saja. Selepas itu mereka mula bersembang tentang perasaan Sakinah. Jauh di sudut hati teman-teman Sakinah, mereka juga ingin merasai debar perasaan dalam menghadapi majlis perkahwinan sendiri.
“ Hai, semua..” terjah Azila dari sebalik pintu yang dibuka. Tanpa salam pembuka bicara. Mati senyuman empat orang sahabat yang sedang bersenda gurau. Suasana riang dengan gelak tawa berganti sepi.
 Azila dan Kamariah masuk tanpa dijemput. Berlenggang-lenggok pinggang mereka berdua ketika berjalan masuk. Senyuman bahagia bertamu di bibir kedua-duanya. Yang jelas bagi Sakinah dan teman-temannya, senyuman itu memang plastik. Langsung tak ikhlas.
“ Wah, cantiknya Sakinah! Berseri-seri macam bintang,” Azila memuji. Sakinah tersengih. Faham sangat maksud Azila.
“ Betul tu. Tahi bintang pun kalah,” suara gedik manja Kamariah pula menyusul. Azila tergelak-gelak.
“ Setahi-tahi bintang pun laku jugak dia. Dah nak kahwin pun. Daripada dua orang tu asyik mengelek tahi kat badan tak perasan pulak.” Nurul menempelak sinis. Selamba dibantai mulutnya bercakap.
“ Ha’ah. Moleklah tu cakap kau. Bila dua orang tu masuk aje dalam bilik ni, aku dah mula dapat merasakan aura bau tahi menyumbat hidung aku. Habis hilang bau wangi bilik pengantin.” Siti menambah.
“ Itu bau tahi hidung kau!” Kamariah menempelak.
“ Pengotor rupanya kawan pengantin ni. Hisyyh, mulut pun berbau busuk. Ini mesti lupa gosok gigi. By the way, sebelum bertandang ke rumah ni tadi aku dah siap mandi air bunga. Bagi wangi satu badan.” Azila mengulum senyuman lebar.
Sakinah memang malas membuka mulut. Biarlah Azila mengeluarkan semua kata-katanya sepuas hati kerana setelah ini mereka akan berpisah. Dia tidak akan bertemu lagi dengan gadis itu. Mungkin dalam jarak waktu yang lama. Sakinah sendiri kurang pasti.
“ Baguslah tu. Aku dengar mandi bunga ni diamalkan sebab nak buang sial kat badan. Nak bagi cepat kahwin. Kau mesti cemburu tengok Sakinah kahwin, kan? Tu pasal kau dah tak sabar nak berlaki,” giliran Wan Asiah melepaskan ayat berbisa. Habis saja bicara Wan Asiah, Nurul dan Siti bantai gelak semahunya. Sakinah ikut sekali ketawa.
            “ Eleh, setakat duda aku tak laparlah! Ada anak seorang pulak tu. Buat membebankan. Macam beli barang kat supermarket. Buy one free one! ” hambur Azila sebelum melangkah pergi. Terkedek-kedek Kamariah membuntuti dari belakang.
“ Nah, ambik ni. Zulfi bengong bagi kat kau.” Kamariah masuk semula lalu mencampak sekeping sampul surat yang berisi ke riba Sakinah. Gadis itu terus berlalu pergi.
Sakinah membelek-belek surat yang diterima. Nurul, Wan Asiah dan Siti memandang dari birai katil. Menanti gerak jari-jemari Sakinah yang berinai merah  membuka sampul itu. Sakinah mencebik. Surat cinta yang selalu diperolehinya tetapi setiap kali itu juga dia pasti akan membuangnya.
“ Bukalah.” Siti berkata teruja. Nurul dan Wan Asiah juga mengangguk.
“ Tak naklah. Surat dia merepek-repek. Aku tak lalu nak baca.”
“ Tak nak baca bagi kita orang baca.” Nurul meminta. Sakinah memberi saja surat tersebut. Dia langsung tidak berminat untuk mengetahui isi surat itu.
Belum sempat membuka sampul surat itu, Kak Tijah meluru masuk ke dalam kamar. Berita kedatangan rombongan lelaki dan tok kadi telah pun tiba. Sakinah berpindah duduk di atas katil. Wan Asiah dan Siti beralih duduk di atas lantai yang diliputi permaidani. Manakala Nurul duduk di atas bangku meja solek. Surat yang berada di tangannya terus dimasukkan ke dalam laci meja solek. Berniat ingin mengambilnya  semula selepas majlis akad nikah.

No comments:

Post a Comment

hai ! terima kasih ^.^