Pintu rumah dibuka. Kelihatan seorang lelaki berbaju kemeja biru berlengan pendek dan berseluar jeans hitam berdiri di muka pintu. Sakinah tersenyum sambil mendukung Shafiq.
“ Rudi? ” Sakinah bertanya. Pemuda yang memakai rantai itu mengangguk sambil tersenyum. Wajah gadis itu ditatap dibalik kaca mata hitamnya. Sakinah mengenakan sepasang baju kurung kapas berbunga kecil. Nampak cantik dalam kelembutan gadis itu. Sempat Rudi menganalisis wanita itu.
“ Jom.” Ajak Rudi. Sakinah mengangguk. Rudi berjalan mendahului ketika Sakinah mengunci pintu rumah. Enjin kereta dihidupkan semula. Pintu kereta dibuka agar mudah gadis itu masuk ke dalam kereta tanpa terkial-kial membuka dengan sebelah tangan.
Sakinah duduk tenang di sebelah Rudi sambil memangku Shafiq. Kereta Honda Civic Rudi kemudian bergerak keluar dari kawasan perumahannya.
“ Dah sebulan kahwin so, how’s life ? ” Rudi mengajukan pertanyaan buat gadis itu. Terasa kekok pula duduk diam saja dari tadi. Ingin dipasang radio takut menganggu Shafiq yang ketiduran. Risau juga jika gadis itu tidak menyukai jenis instrumen muzik yang didengarnya.
“ Er..baik. Alhamdulillah.” Sakinah menjawab tenang. Rudi tersenyum. Baik?
“ Macam mana layanan Raf ? Maksud I hubungan antara you all berdua. Was he being a good husband to you? ” Rudi sengaja mencungkil cerita. Berminat mengetahuinya dari mulut Sakinah sendiri. Padahal luar dalam hubungan suami isteri itu dalam tangannya.
“ Er..baik.” Teragak-agak Sakinah membalas. Pertanyaan itu mendebarkannya.
“ Sungguh? You macam teragak-agak,” tekan jejaka itu.
Sakinah mengangguk perlahan. Sebenarnya dia memang ingin mengelak daripada menjawab pertanyaan rakan baik suaminya itu. Sakinah tidak selesa.
“ Betul ke? Come on, Sakinah. I know your husband very well. Dia takkan mudah menerima you dalam hidup dia.” Rudi berkata perlahan. Risau pula hati gadis itu tersentuh lalu menangis apabila mendengar butir bicaranya.
“ A..pa maksud awak? ” Tanya Sakinah seakan berbisik.
“ I bukan nak menakut-nakutkan you tetapi Rafiq sekarang memang sukar ditangani berbanding Rafiq yang dulu. Hati dan perasaan dia telah rosak sepenuhnya.” Rudi mengerling lewat ekor mata. Kelihatan berubah air muka gadis itu.
“ Rafiq pernah kecewa sekali dan untuk melupakan kekecewaan itu bukan mudah untuk dia. Bila you mula hadir dalam hidup dia, I tahu Raf takkan boleh terima. Tapi demi umi dan Shafiq dia terpaksa menurut. Sedangkan hati dia begitu membenci perempuan sejak Suraya curang pada dia.” Cerita jejaka itu tidak langsung. Sakinah memandang Rudi yang tenang memandu.
“ Awak kenal bekas isteri dia? ”
“ Yup! Kami bertiga mula mengenali semasa belajar di UK. Raf dan Suraya mula bercinta di sana. Suraya memang cantik tapi susah untuk dimiliki. Raf bekerja keras untuk itu dan sehinggalah Suraya jatuh cinta pada dia. At the end, dia orang berkahwin bila balik semula ke sini,” Rudi berjeda. Sakinah menanti bicara Rudi lagi. Ingin sekali mengetahui cerita dibalik sikap kekerasan suaminya.
“ Tapi sayang, cinta Raf tak cukup kuat untuk menghalang perempuan jahanam tu daripada curang. Lastly, perempuan bodoh tu memilih untuk tinggalkan Raf dan Shafiq. Pergi bersama dengan lelaki yang kononnya boleh memberi lebih kebahagiaan pada dia.” Cengil suara Rudi berbicara.
Memang Rudi cukup membenci Suraya. Hidup Rafiq hampir musnah dikerjakan perempuan itu. Terutama pada Shafiq yang masih kecil dan langsung tidak mengerti tentang dunia manusia.
Sakinah terdiam. Wajah si kecil dalam dakapannya itu ditenung. Inilah hasil kasih sayang Rafiq dan Suraya. Tapi dibiarkan begitu saja tanpa belas kasihan. Sakinah kesal. Bagaimana Suraya sanggup meninggalkan bayi sekecil itu dikala anak itu memerlukan tangan seseorang untuk berpaut? Mengharapkan sedikit kekuatan daripada orang pertama yang begitu dipercayainya sejak bernafas di dunia ini. Belaian kasih seorang ibu kandung.
Sekilas wajah Rafiq yang sentiasa bengis terlayang di mata. Mendengar saja cerita Rudi tentang kehidupan lalu suaminya, Sakinah jadi sayu. Walaupun belum pernah kenal erti cinta tapi Sakinah dapat rasakan keperitan yang perlu ditanggung oleh Rafiq. Menghulurkan cinta, kasih sayang serta ingatan rindu buat wanita itu tapi ternyata kasih itu diracuni. Cintanya dicurangi. Bukankah itu perbuatan yang sia-sia?
“ Sebab itu dia tak boleh menerima saya? ” Tiba-tiba bibirnya bertanya. Teringin mengetahui jawapan Rudi.
“ Itu I tak dapat agak. Hati manusia ni bila-bila masa berubah. Daripada cinta jadi benci. Daripada benci boleh jadi cinta. Tak mustahil you boleh ubah perasaan dia. I percaya you mampu menjadi seorang isteri yang setia walaupun tanpa cinta. Cuma I nak ingatkan jangan lakukan perkara yang pernah Suraya buat pada dia. Kalau tak, I tak jamin you boleh selamat kali ni! ” ujar Rudi.
“ Maksud awak? ”
“ Hadapi kekecewaan buat kali kedua? I tak rasa Raf mampu menghadapinya lagi. I sendiri tak dapat mengagak apa tindakan I jika kekecewaan itu hadir lagi sekali. Tapi I rasa bila seseorang dihadapkan dengan kelukaan yang sama berulang kali mungkin akan bertambah parah. Manalah tahu seseorang itu boleh membunuh jika terlalu terluka. Hati manusia tiada siapa yang tahu.” Rudi berkata setenangnya.
Jauh dari sudut hati, Rudi sengaja menekan Sakinah. Dia mahu Sakinah memperjudikan seluruh kesetiaan buat Rafiq. Rudi tidak mahu menonton kepedihan Rafiq untuk kali kedua. Kali ini dia mahu perkahwinan ini berjaya.
Biarpun antara mereka tiada cinta tapi kesetiaan mampu mengikat hati mereka.Walaupun Rafiq masih dengan ego lelakinya namun untuk berlaku curang tidak sama sekali. Makna perkahwinan buat Rafiq terlalu mendalam. Rafiq tidak mungkin akan mencemari ikatan itu. Rudi pasti tentang itu.
Sakinah telan liur. Bunuh? Mungkinkah Rafiq boleh bertindak sedemikian? Ah, tak mustahil! Ada benarnya kata Rudi. Sesiapa pun belum tentu mampu menghadapi kelukaan yang sama berulang kali. Inikan pula insan seperti Rafiq. Panas barannya pun dah melampau. Langsung tak ada sifat sabar. Inikan pulak nak dihadapkan dengan kelukaan yang sama. Boleh mati aku dikerjakannya, getus Sakinah dalam hati.
“ Tapi I pasti you tak akan buat perkara yang sama seperti Suraya. I percaya you mampu berikan yang terbaik buat Raf. Tentang perjanjian antara you dengan Raf, anggap saja you tak pernah tandatanganinya. Itupun kalau you bersedia patuh dan setia pada dia.” Tokok Rudi lagi. Sakinah tersentak. Dipandang sesaat dua wajah Rudi sebelum mengalihkan anak matanya kepada Shafiq.
“ Awak tahu tentang perjanjian tu? ” Tanyanya gusar.
“ Yup! I yang cadangkan pada Raf untuk buat satu perjanjian antara you dengan dia.” Akui jejaka itu. Tenang riak wajah Rudi berkata.
“ Tapi kenapa? ”
“ Untuk melindungi dan menjaga kepentingan Raf dan Shafiq.” Jawabnya terus-terang.
“ Maksud awak? ”
“ Manalah tahu you berkahwin dengan niat tertentu. Maksud I untuk mengambil kesempatan membolot harta dia.” Selamba Rudi menjelaskan pada gadis itu. Namun sebenarnya, Rudi mahu segalanya jelas dan nyata bagi Sakinah. Walaupun percakapannya agak biadap.
Sakinah terkesima. Tuduhan itu menyakiti perasaannya. “ Tapi saya tak pernah terfikir untuk mengambil kesempatan dalam ikatan ni. Saya terima Rafiq kerana kesungguhan umi tapi mengapa saya pula yang dituduh sengaja mengambil kesempatan atas kesenangan dia? ” Kesal Sakinah dalam bicaranya.
Rudi mengeluh.“ Look, Sakinah. You tiba-tiba muncul untuk menggantikan posisi Suraya sebagai isteri dan juga ibu kepada Shafiq. Perkara itu terlalu mendadak. Lebih-lebih lagi Raf belum pernah mengenali hati budi you. Tak mudah untuk dia menerima semua tu. Dan of course dia perlu lakukan sesuatu untuk melindungi hak dia dan Shafiq.”
Sakinah mengalih pandang ke luar tingkap kereta. Dia tidak mahu menyambung kata lagi. Bicara Rudi membuatkan dia berfikir. Memang wajar tindakan Rafiq. Cuma Sakinah terkilan kerana dirinya tidak dipercayai walaupun sekelumit. Lebih-lebih lagi suaminya sendiri yang meragui ketulusan hatinya.
Rudi menumpukan perhatian pada pemanduannya. Namun, tidak lama selepas itu dia berkata, “ Cubalah dekati Raf dan selami hati dia. I tahu you mampu berikan kebahagiaan pada Raf. Kebahagiaan yang jauh lebih baik sewaktu dia bersama Suraya.”
Sakinah hanya membisu tanpa balasan.
No comments:
Post a Comment
hai ! terima kasih ^.^