Sakinah melipat marhana setelah mengerjakan solat subuh. Pandangannya meliar ke seluruh ruang kamar termasuk tempat peraduan suaminya malam semalam tetapi kelibat Rafiq langsung tidak kelihatan. Mungkin ada di luar, sangkanya.
Sakinah mengemas katil dan tempat tidur suaminya dengan cermat. Langsung tidak berniat untuk menyambung tidurnya kembali. Dia mahu menolong di dapur disamping menyediakan sarapan untuk saudara-mara yang masih belum pulang.
Seusai mengemas bilik barulah Sakinah menyusul ke dapur. Dia menyarung tudung kerana masih ada lagi sanak-saudara yang bukan muhrimnya berada di situ. Kelihatan senyuman nakal bertamu di bibir saudara-maranya apabila melihat keberadaannya di dapur. Sakinah tersenyum membalas sekadar yang mampu.
“ Awalnya pengantin bangun…” usik Kak Milah, dua pupunya. Sakinah sekadar tersengih.
“ Betul tu. Cik abang tak tarik ke sebelum keluar dari bilik? ” sampuk pula suara dari Mak usu Khatijah, ibu Kak Milah. Sakinah sekadar menjungkitkan bahu tanpa kata-kata. Cuma senyuman saja yang mampu diberi untuk mengaburi mata yang memandang.
“ Abang dia pagi-pagi lagi dah keluar. Katanya nak pergi berjalan-jalan di sekitar kampung nak hirup udara segar.” Puan Syamila menjawab bagi pihak anaknya. Dia tahu Sakinah tidak betah dengan suasana itu. Anaknya itu belum mampu menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku.
“ Aik, udara segar dalam bilik tu dah habis ke dihirup sampai nak keluar rumah? Agaknya sesak nafas tengok tuan puteri lama-lama kut.. ” Kak Milah masih berlawak. Kulit wajah Sakinah merona merah. Segan mendengar usikan itu. Seisi dapur tertawa kecil. Mulut Kak Milah memang begitu. Terlebih mesra. Sama seperti ibunya.
“ Jangan ambil hati, Kinah. Kami cuma bergurau aje.” Ujar Mak Usu Khatijah.
“ Tak apa, Kinah tahu mulut Kak Milah memang mesra alam.” Sakinah menyakat pula dua pupunya. Kak Milah tersenyum lebar. Dalam hati turut mengakuinya.
“ Ada apa-apa yang Kinah boleh tolong? ”
“ Tak payahlah tolong. Kamu tu pengantin baru jadi rehat aje hari ni sementara kami tak balik lagi. Esok-esok bila kami dah balik nak buat kerja apa-apa pun tak ada siapa nak menghalang. Lagipun ramai kakitangan kat sini.” Mak Usu Khatijah berkata lagi.
“ Betul tu. Semalam pun Kinah dah penat mengemas satu rumah jadi, hari ni biar kami saja yang buat kerja. Kamu tu dahlah pengantin baru, mesti penat melayan suami. Elok kami aje yang selesaikan kerja kat dapur ni,” ujar Kak Milah bersahaja. Sakinah memuncungkan bibir. Tidak setuju.
“ Alah, Kinah tengah lapang sekarang. Biar Kinah tolong,” desak Sakinah. Memang tidak betah dirinya tinggal diam. Rasa tidak enak membiarkan saudara-maranya membuat kerja di rumahnya sedangkan dia tuan rumah hanya duduk goyang kaki.
“ Kalau macam tu, Kinah bawak keluar pucuk paku dari dalam peti ais tu. Lepas tu potong. Senang ibu nak masak lemak pucuk paku tengah hari nanti.” Arah Puan Syamila. Sakinah mengangguk setuju dalam senyuman. Seronok sangat diberikan tugas di dapur. Yang lain hanya memandang dalam senyuman yang belum lagi sirna.
RAFIQ merebahkan tubuh di atas katil. Membaringkan badannya dengan menelentang sambil merenung siling. Hangat jiwanya perlu didinginkan. Panas telinganya perlu disejukkan. Jika tidak padahnya lebih teruk. Kata-kata yang didengarnya tadi sungguh berada diluar jangkauannya. Ternyata dia tersilap menilai Sakinah. Uminya juga sudah tersalah meletakkan harapan. Sakinah bukan gadis yang baik. Malah hanya seorang perempuan yang tidak bermaruah.
“ Awak suami Sakinah, kan? ” Tegur satu suara ketika Rafiq sedang duduk tenang menghadap keindahan pantai di awal dinihari. Rafiq memandang gerangan gadis yang menyapa. Gadis itu menguntum senyuman. Rafiq kemudian berpaling kembali ke pantai yang terhampar luas tanpa senyuman mahupun kata-kata. Malas dia mahu melayan kerenah orang kampung.
“ Kau siapa? ” soal Rafiq jengkel.
“ Aku Azila, kawan Sakinah.” Azila membalas. Bahasa sopannya juga ditukar apabila mendengar cara Rafiq berbahasa. Lagipun malas dia berpura-pura baik. Jenuh mulutnya ingin mengatur ayat nanti.
“ Habis tu, kenapa? Sakinah tak ada kat sini, ” Rafiq menjawab tanpa menoleh.
Azila mencebik dalam hati. Sombong! “ Ya, aku tahu. Saja aku nak bertanya khabar? ”
“ Kalau nak bertanya khabar datanglah ke rumah. Boleh tanya khabar seisi rumah.” Rafiq terus bangkit. Seluar jeans yang terlekat pasir ditepuk perlahan sebelum berlalu pergi.
“ Jangan sombong sangat Encik Rafiq. Isteri baru kau tu bukannya baik sangat.” Azila berkata kuat. Rafiq menghentikan langkah kaki yang diatur. Dia berpaling. Wajah gadis bernama Azila itu direnung tajam.
“ Apa maksud kau? ”
“ Kau tahu tak dia tu sebenarnya gadis paling ligat dalam kampung ni. Ke hulu ke hilir dengan macam-macam jantan. Silap besarlah kau jadikan dia isteri lebih-lebih lagi ibu segera pada anak kau! Perempuan macam dia tak layak langsung. Kalau kau tak percaya, aku boleh bawa kau berjumpa dengan kawan-kawan aku. Kita orang semua satu sekolah.”
“ Kenapa kau beritahu aku semua ni? Apa motif kau? ” Rafiq bertanya. Dia nampak relaks dan bersahaja. Walaupun sebenarnya dalam hati begitu hangat membara.
“ Aku sebenarnya kesian pada kau. Kononnya nak dapatkan seorang isteri yang baik dan ibu yang sempurna untuk anak kau tapi alih-alih dalam kau memilih yang terbaik rupa-rupanya kau dapat sampah.” Kata Azila mengikut rasa hati.
“ Habis tu, kau sebagai kawan kenapa sanggup mendedahkan perangai buruk dia pada aku? Kau nak rosakkan hubungan kami? Atau kau dengki sebab dia dapat berkahwin dengan orang kaya tapi kau tak dapat? Apa alasan kau sebenarnya? ” Bening Rafiq meneleku tepat ke wajah Azila. Kalau boleh memang ingin dipaku mulut yang berkata. Hatinya pedih menadah telinga mendengar momokan Azila.
“ Aku cuma nak peringatkan kau siapa sebenarnya Sakinah. Aku takut kalau kau akan menyesal dikemudian hari nanti. Jadi, lebih baik aku ceritakan hal sebenarnya supaya kau berhati-hati kelak. Untuk pengetahuan kau, aku langsung tak ada rasa iri hati pada Sakinah. Setakat duda anak seorang aku langsung tak laparlah!” hambur Azila sebelum melangkah pergi. Puas hatinya tika itu. Dendamnya terbalas. Senyumannya memekar bak bunga kembang pagi. Padan muka kau, Sakinah!
Rafiq tergelak kecil. Hambar. Fikirannya yang sedia bingung bertambah sasau gara-gara mulut teman Sakinah. Rafiq merasakan segalanya bagaikan memakan dirinya kembali. Satu perjudian diri yang tidak membawa apa-apa makna. Malah pengorbanan yang dilakukan demi ibu tercinta akhirnya sia-sia belaka.
Walau apa pun yang berlaku, Rafiq masih berasa lega dengan surat perjanjian yang berada di tangannya. Apa sekalipun tindakan Sakinah semuanya sudah tersurat dalam isi surat perjanjian tersebut. Rafiq percaya gadis itu tidak akan berani berbuat macam-macam. Jika tidak akibatnya cuma mengundang padah pada diri sendiri.
“ Abang nak sarapan? ” tegur satu suara lunak. Fikiran Rafiq yang melayang kembali ke alam realiti. Apa yang difikirkan tadi semuanya lenyap. Wajah Sakinah pula yang muncul. Gadis itu berjalan ke arahnya setelah menutup pintu kamar.
“ Kenapa kau masuk dalam bilik ni? ” Rafiq bertanya garang. Matanya menuntas tajam ke mata isterinya. Sakinah terkedu. Langkahnya pegun. Perasan takut untuk berhadapan dengan suaminya hadir semula.
“ Er..Kinah nak tanya.. abang nak makan? ” gugup Sakinah memberitahu tujuannya bertandang ke dalam bilik sedangkan hakikatnya dia tidak perlu berbuat demikian kerana bilik itu juga miliknya.
“ Tak payah susah-susah dan tak perlu nak buat baik. Aku tak harapkan layanan baik daripada kau. Sekarang ni, aku cuma nak kau keluar dari bilik ini. Aku rimas tengok muka kau berdiri kat sini lama-lama. Tolong keluar.” Jerkah Rafiq terus memejamkan mata. Konon ingin merehatkan fikiran.
Sakinah mengangguk dalam keperitan. Tidak mahu berlama-lamaan di situ. Suaminya tidak sudi buat apa lagi dia mahu tersorong-sorong pipi pula!
No comments:
Post a Comment
hai ! terima kasih ^.^