“ Assalammualaikum umi,” Rafiq melambai pada Datin Noraini yang terjengul di muka pintu setelah keluar dari perut kereta. Tangan kirinya merangkul mesra pinggang Sakinah sambil mendukung tubuh Shafiq ditangan kanan. Rafiq perasan perbuatannya membuahkan senyuman di bibir uminya saat menonton kemesraan yang ditayangkan.
Badan Sakinah pula keras semacam. Serupa batang pokok. Kaku dalam lakonan yang dicipta suaminya. Semakin tidak faham dengan tingkah suaminya yang berubah-ubah. “ Senyum sikit. Jangan nak bagi umi curiga.” Peringat Rafiq pada isterinya. Sakinah terus mengukir senyuman selepas itu.
Rafiq sedar Sakinah mungkin tidak selesa dengan perlakuannya tetapi sebetulnya Rafiq juga begitu. Namun untuk mengelak daripada umi dan abah berterusan meleterinya bab kebaikan Sakinah, Rafiq terpaksa. Malas menyesakkan otak dengan ceramah pendek supaya dia menerima Sakinah seadanya.
Alih-alih Rafiq berfikir lebih baik jika mereka berdua berlakon buat-buat bahagia disatukan sebagai suami isteri walaupun secara paksa. Kononnya Rafiq telah sanggup menerima jodoh yang ditentukan oleh uminya itu. Dan kini mereka berbahagia melayari alam rumah tangga yang sangat ‘harmonis’ kala ini.
“ Amboi, mesranya anak menantu, umi! Ada apa-apa perkara yang umi tak tahu ke? ” Datin Noraini menyoal. Timbul kemusykilan tatkala melihat perubahan yang mendadak dalam perhubungan Rafiq dan Sakinah. Sedikit curiga perasaannya. Tetapi boleh jadi ini rahmat daripada perkahwinan yang diaturnya.
“ Alah, umi..takkan nak bergaduh pulak. Kami berdua dah sah menjadi suami isteri so, mestilah kena saling berbaik dan bermesra. Betul tak, Kinah? ” Rafiq mencuit pipi Sakinah dengan senyuman lebar. Kelihatan sengaja mengacah isterinya yang kelihatan kaget dengan situasi yang berlaku.
“ Er, ya..umi.” Sakinah tertunduk malu. Merona merah wajahnya diperlakukan begitu. Kemesraan yang belum bisa dibiasakan walaupun dibuat-buat. Biarpun sebenarnya Sakinah pasti perlakuan suaminya semata-mata mahu mengaburi mata mertuanya.
“ Betul ke apa yang umi dengar ? ” Datin Noraini bagaikan tidak percaya. Sukar menerima apa yang didengarnya. Semudah itu Rafiq menerima Sakinah. Padahal bermatian-matian anaknya itu menentang dan memprotes segalanya tentang Sakinah dan perkahwinan yang dipaksanya ini.
“ Memang pada awalnya Raf tak boleh terima tapi sekarang syukur alhamdulillah. Mungkin ini adalah berkat kerana menuruti kata-kata umi. Pilihan umi memang tepat. Sakinah memang isteri yang baik dan ibu yang sempurna untuk Shafiq. Tak sia-sia umi suruh Raf memperisterikan dia. Now, I’m very happy with my life. Terima kasih, umi.”
Kata Rafiq sepenuh hati sambil menjeling mesra pada isterinya. Cuba menggambarkan riak ceria dan gembira saat bersama Sakinah supaya lakonan mereka lebih berkesan. Biarpun Rafiq terpaksa menelan rasa benci sewaktu mulutnya memuji Sakinah di hadapan uminya.
Sakinah meneguk liur beberapa kali. Ungkapan penghargaan suaminya kelihatan sangat ikhlas dan bermakna. Sakinah berasa sayu tiba-tiba. Kasihan pada mertuanya yang telah tertipu dengan apa yang dilihat dan didengarnya. Tetapi Sakinah tiada kekuatan untuk mencegah pendustaan yang dicipta. Kelak dia hanya akan mengundang padah. Malah mungkin menyebabkan hubungan mereka semakin keruh dan rapuh.
Datin Noraini mengulum senyuman bahagia. Luhur sungguh ucapan itu menyapa telinganya. Tidak menyangka Rafiq sudah boleh menerima Sakinah sebagai isteri. Itulah doa yang selalu dititipnya setiap kali selepas bersolat dan ternyata kini Allah telah mengkabulkan doanya. Syukur..ya Allah.
“ Alhamdulillah..umi selalu doakan supaya kamu berdua akan berbahagia seperti pasangan suami isteri yang lain dan sekarang akhirnya doa umi dimakbulkan. Syukur pada Allah kerana DIA telah menemukan kamu di satu jalan yang sama. Umi berharap kemesraan ini akan berkekalan sehingga ke akhir hayat kamu berdua. Umi percaya Raf dan Kinah memang diciptakan untuk saling memiliki antara satu sama lain. Syukur sangat,” luah Datin Noraini gembira.
Sakinah mengetap gigi. Mengawal gejolak perasaan. Sebak mendengar kata-kata mertuanya. Rafiq terkesan rasa yang serupa. Timbul kekesalan di hati. Memang bukan itu caranya untuk melegakan hati umi tetapi dia tiada pilihan lain. Rafiq tidak mahu terus menyakiti hati uminya gara-gara hubungan dingin antaranya dan Sakinah. Barangkali Sakinah juga sependapat dengannya. Hanya cara ini yang Rafiq punya untuk meredakan kekalutan hubungan tanpa cinta ini.
“ Abah mana, umi? ” Rafiq mengalih perbualan.
“ Abah ada kat dalam. Rina pun ada sama. Dia orang berdua tengah bersembang. Marilah kita masuk.” Ujar Datin Noraini lalu menarik tangan Sakinah.
“ Kak Ina dengan Abang Zaidi datang malam ni, umi? ” Soal Rafiq lagi ketika mereka hampir masuk ke dalam rumah. Datin Noraini mengangguk.
“ Insya Allah, tapi lepas maghrib nanti baru mereka sampai ke sini kut.”
“ Assalammualaikum,” Rafiq memberi salam pada abah dan adik bongsunya yang rancak berbual.
“ Waalaikummussalam..” Hampir serentak Datuk Faiz dan Marina menyahut salam yang diberi. Rafiq dan Sakinah menghampiri Datuk Faiz untuk bersalaman.
“ Awal sampai Raf ? ” Datuk Faiz bertanya hairan. Rafiq tersengih. Sakinah mengukir senyuman pada kedua-dua insan di depannya. Datin Noraini sudah menghilang ke dapur.
“ Ha’ah, awal abang sampai sini. Ada hal apa? ” Marina mengulang soalan abahnya. Rafiq dan Sakinah mengambil tempat duduk di sofa berangkai tiga. Menghadap Marina di sofa berangkai dua manakala Datuk Faiz berada di antara mereka di sofa tunggal.
“ Eleh, banyak tanya pulak dia. Kalau bukan sebab nak carikan hadiah Rina yang abang terlupa nak belikan tu, tak adalah sampai awal macam ni.” Cebik Rafiq pada Marina. Datuk Faiz mengangguk faham.
Terjegil biji mata Marina. “ Habis tu, ada tak hadiah untuk Rina? Ee..jangan nak buat pasal. Tak kira, Rina nak jugak! Dah lama Rina ingatkan abang, takkan abang tak ingat? Tak adil betullah, ” gerutu Marina memberontak. Geram kerana Rafiq tidak mengambil berat soal hari lahirnya sedangkan dia sangat menghargai hari lahir Rafiq.
Rafiq tergelak besar.“ Ya Allah, budak ni..perangai macam budak-budak! Tak dapat hadiah pun nak merengek mengalahkan Shafiq. Macam nak terbalik dunia ni kalau kurang satu hadiah.” Rafiq sengaja memanaskan hati Marina. Mengacah adik yang memang selalu dipermainkannya.
Sakinah masih tersenyum dan kelihatan ingin ketawa melihat wajah Marina yang sangat mencuka. Marah sungguh gadis itu.
“ Mestilah. Tak kira dan tak peduli, abang mesti belikan jugak satu hadiah kalau tak siaplah..” ugutnya geram.
“ Siaplah apa? ” duga abangnya. Marina mendengus. Dipeluk tubuhnya mengawal rasa marah. Datuk Faiz hanya mampu menggeleng menonton tingkah Marina yang masih keanak-anakkan. Akibat selalu dimanjakan oleh abang dan kakaknya, tidak boleh sekalipun permintaannya ditolak.
“ Just joking. Nah ambillah,” Rafiq meletakkan beg kertas yang dibawa lalu ditolak pada pemiliknya yang sedang meradang emosinya.
Tersiat senyuman lebar di bibir Marina. Wajah cemberutnya bertukar bahagia dan gembira. Dia tergelak kecil. “ Ee..abang memang sengaja nak sakitkan hati Rina! By the way, terima kasih sangat. Love you so much.” Ucapnya dalam nada ceria. Sibuk tangannya mengusik hadiah yang berbalut indah itu.
Rafiq menjuihkan bibir. “ Eleh, sayang tak ikhlas! Dapat hadiah baru nak sayang abang. Agaknya apa jadi kalau abang betul-betul tak bawak hadiah? Rina nak buat apa pada abang? ” Soalnya ingin tahu.
“ Macam-macam Rina boleh buat. Senang aje nak buli abang.”
“ Apa dia yang senang sangat? ” cabar Rafiq dengan sengihan sinis. Marina membalas sengihan abangnya yang satu itu.
“Ambil aje rakaman video abang kena sunat waktu kecil dulu buat tayangan unggul. Bagi semua orang tengok especially Kinah. Biar berbulu mata semua orang tengok abang menangis time sunat dulu.” Lantang Marina berkata.
Sakinah menutup mulut. Menahan gelak yang ingin meletus. Geli hatinya mengenangkan kata-kata adik iparnya itu. Memang kelakar. Begitu sekali Marina sanggup lakukan jika hadiah yang patut diberi tidak diterima. Dasyat juga Marina dalam diam.
Terngadah mulut Rafiq dikerjakan Marina. Terbeliak besar matanya. Kenyataan itu menampar deras di gegendang telinga. Rafiq teguk liur yang kesat di rongga tekak. Merintik malu mukanya dikenakan oleh Marina. Betul-betul di depan Sakinah. Sebuah jelingan tajam dihadiahkan supaya adiknya berhenti bercakap dan jangan merepek lagi.
Marina tersenyum kemenangan. “ Just kidding. Janganlah marah...”
Rafiq menjeling geram pada Marina. Malu sungguh dengan hakikat yang telah tercoret. Sempat dikerling reaksi isterinya apabila Marina mendedahkan rahsia kelemahannya. Ternyata Sakinah turut mentertawakan dirinya. Bertambah bergelora panas di dadanya.
“ Alah, janganlah marah abangku sayang.. Rina gurau aje. Tak ada kena mengena yang mati ataupun yang hidup. Hari ini birthday Rina so, abang kena bagi Rina some excuses. Biarlah Rina nak buat apa-apa pun. Nak cakap itu ini, nak usik ke, nak marah ke, janji Rina happy. Jangan nak marah-marah nanti rosak mood Rina payah pulak.” Marina memberi amaran. Memang emosinya suka berubah-ubah tetapi itupun hanya kerana pengaruh keadaan sekeliling.
“ Okey, tuan puteri. Because today is your birthday so, I should shut up for a while but no more excuses on other time. Kalau buat lagi lain kali siaplah! Tahun depan dan tahun-tahun seterusnya memang takkan ada hadiah lagi untuk Rina.” Bicara Rafiq turut menyertakan ugutannya.
“ Okey, Rina janji lain kali memang tak buat lagi.” Hadiah punya pasal memang Marina sanggup mengalah. Datuk Faiz ketawa memandang kerenah anak bongsunya. Sakinah masih mengulum senyuman melihat gelagat abang dan adik yang mengusik hati. Dia terbayangkan kemesraan dengan alongnya, Yusri yang jauh nun di perantauan. Hanya panggilan telefon saja yang dapat menguraikan rasa rindu antara mereka sekeluarga.
“ Sembang apa pulak dua orang beradik ni? Umi tengok bersungguh-sungguh muka Rina tadi. Ini janji pasal apa? ” celah Datin Noraini dengan menatang dulang minuman.
“ Tak ada apa-apa. Saja nak main-main dengan abang.” Jawab Marina dalam tawa riang. Sakinah membantu mertuanya menyusun minuman yang diletakkan di atas meja kopi. Datin Noraini mengambil tempat di sebelah anak daranya.
“ Eh, cup! Sekejap, dari tadi Rina nak tanya satu benda tapi asyik lupa. Apasal hari ni, Rina tengok penampilan abang lain daripada kebiasaan? Macam ada suatu perubahan. ” Cungkil Marina dalam persoalan. Sebenarnya memang soalan itu yang ingin dibahas sejak mula Rafiq sampai. Melihat kelainan pada cara pemakaian Rafiq memusykilkan Marina soal cita rasa abangnya.
Rafiq terpinga-pinga. Membuatkan yang lain turut tertanya-tanya makna disebalik persoalan Marina.
“ Apa yang lainnya? Umi tengok okey aje.” Datuk Faiz mengiyakan kata-kata isterinya. Sakinah mendiamkan diri. Kurang mengerti bicara Marina yang penuh pandangan.
“ Apa yang tak kena? Or something wrong with my shirt? ” Rafiq menatap Marina tepat sambil memegang kemeja berjalur melintang putih hitam.
Marina segera mengiyakan. “ Maybe. Sebab macam dah lainlah taste abang. Dah ubah cita rasa ke sejak kahwin ni? ” selorohnya.
Rafiq tergelak kecil. “ Buruk sangat ke? Actually, someone gave it to me. Abang pun pakai ajelah sebab dah ada orang bagi hadiah. Takkan nak simpan buat pekasam. Tapi kenapa Rina tanya? Teruk sangat ke dengan shirt ni? ” Rafiq menjeling isterinya sekilas. Sengaja menyindir dengan cara tersendiri. Sakinah menelan bicara suaminya bulat-bulat.
“ Taklah. Mana ada buruk. Abang nampak more handsome and more macho tau! Ingatkan abang dah ubah cita rasa yang lama kepada yang baru tapi rupa-rupanya orang lain punya taste. Tapi Rina salutelah pada orang tu sebab ada vision lain daripada yang lain. Ada class gitu! ” Marina memuji macam saham naik melambung tinggi sedangkan dia belum mengenali siapa orang yang dipujinya itu.
Rafiq menggerutu tidak puas hati dengan pujian Marina. Ekor matanya sempat menangkap senyuman isterinya. Bertambah sakit biji mata Rafiq memandangnya. Terasa cita rasanya telah dicabar oleh cita rasa isterinya. Eleh, baru dipuji sikit dah seronok sangat padahal taste orang kampung aje!
“ Amboi, hebat betul pujian Rina! Tak kenal siapa lagi orangnya tapi puji bukan main.” Getus Datin Noraini.
“ Biarlah, bukan senang nak dengar Rina memuji orang lain selain diri sendiri. Selalunya ada saja yang tak kena di mata dia.” Tambah Datuk Faiz menyakat anak gadis manjanya itu. Marina menjuihkan bibir.
“ Tapi ini seriuslah. Abang memang nampak hot. ” kata Marina beriya-iya. Wah, makin tinggi saham Sakinah. Rafiq mengancingkan gigi. Panas punggungnya tidak senang duduk.
“ Alah, bukan hebat sangat pun orangnya. Cita rasa yang datang entah dari kutub mana.” Ujar Rafiq dengan niat memerli Sakinah.
Sakinah menekur pandangan ke lantai yang dilitupi karpet permaidani. Hati wanitanya yang sedia lembut tersentuh. Pedih menusuk kalbu. Sedih memalu jiwa. Benarlah sangkaannya bahawa Rafiq sememangnya membenci dirinya dan tidak ingin sekalipun melihat dia bahagia.
“ Tapi sungguh Rina tak bohong.”
Rafiq terus menukar tajuk perbualan. Lemas emosinya ditenggelami pujian Marina yang secara tidak langsung memuji Sakinah. Berdengung telinganya mendengar kata-kata itu. Malah kesungguhan Marina menghangatkan hati Rafiq. Seolah-olah cita rasa Sakinah melebihi cita rasa teragung yang berasal entah dari mana. Padahal hanya cita rasa seorang gadis kampung yang masih muda dan mentah. Mempunyai perwatakan dan gaya kekampungan yang jelas. Masakan mampu membuat pilihan yang hebat. Tentu ini pilihan daripada jurujual yang ada. Sangkal Rafiq geram.
Ditatap anak terunanya yang seronok berdiri memaut pada sofa. Jika bukan disebabkan Shafiq mungkin Rafiq tidak perlu memaksakan diri untuk memakai kemeja itu. Tetapi takdir telah tertulis bahawa dia
akan memakai juga kemeja itu tanpa pilihan lain. Rafiq terdesak.
No comments:
Post a Comment
hai ! terima kasih ^.^