Followers

/ Tagboard \

We are really hope that you will get something with this blog. Please respect to each other and keep enjoying with us ^.^
.Images are credit to Google.

Bab 6

Sekali lafaz namanya terpateri menjadi milik orang lain. Fikirannya tiba-tiba bercelaru. Terfikir-fikir nasib yang bakal ditempuhi. Dia bakal menempuh sebuah kehidupan baru. Malah kampung halaman ini juga bakal ditinggalkan. Perasaan cemas, takut dan risau membelah jiwa. Sakinah mulai ragu dengan keputusan yang diambil. Sedangkan ijab dan kabul telah terungkap.
Sebelum ini dia tidak terlalu berfikir soal itu. Sakinah hanya menumpukan perhatiannya pada pengajian yang bakal disambung. Perkara lain ditolak ke tepi. Rasa teruja untuk menyambung pengajian benar-benar menggembirakannya.
Oleh itu, tidak langsung benaknya teringat akan masalah lain yang bakal berkunjung. Tadi sewaktu tok kadi meminta tandatangannya, Sakinah berasa satu perasaan aneh berkunjung. Perasaan lebih kepada ragu-ragu. Macam kena paksa saja ketika dia menurunkan tandatangan. Itupun setelah Siti berdehem padanya.         
“ Pengantin lelaki dah nak masuk,” Kak Tijah berbisik. Sakinah seperti tersedar dari lamunan. Dia terasa semakin aneh dan pelik. Aku ni kenapa?
“ Beri laluan pengantin lelaki nak masuk.” Arah satu suara dari luar pintu. Tetamu-tetamu yang berada di ambang pintu berkalih tempat duduk. Sakinah berdebar-debar.
Rafiq menghampiri pengantin perempuan yang duduk bersimpuh di atas katil. Wajah isteri barunya tidak dapat dilihat dengan jelas kerana gadis itu tertunduk. Mungkin malu. Entah cantik atau hodoh Rafiq kurang pasti. Selalu juga umi menyuruh dia melihat gambar Sakinah tapi Rafiq malas. Biarpun gadis itu hodoh atau tidak dia perlu berkahwin juga. Demi umi dan Shafiq, Rafiq mahu semuanya segera selesai.
Disarung sebentuk cincin ke jari manis isterinya. Spontan Sakinah tunduk mencium tangan suaminya. Rafiq menolak dagu si isteri dengan tangan kanannya. Mengangkat wajah itu. Sakinah terdorong. Wajah mereka saling bertemu. Mata mereka saling menyapa. Rafiq terus melekapkan sebuah kucupan ke dahi isterinya. Kerlipan cahaya putih daripada kamera-kamera turut bergemerlapan merakamkan saat indah itu.
“ Tahniah, Sakinah.” Ucap teman-temannya. Tersenyum manis Sakinah mendengar ucapan ikhlas dari rakan-rakan seusianya. Dia berterima kasih kepada semua yang datang menemaninya di waktu itu. Rafiq yang berada di sisi hanya diam mengukir senyuman kecil.
“ Tahniah, sayang.” Puan Syamila mencium pipi anaknya. Dikuti umi Rafiq serta kakak dan adik perempuan Rafiq. Sakinah agak segan pada mulanya apabila bertemu empat mata dengan ahli keluarga suaminya. Namun penerimaan baik daripada Mardina dan Marina benar-benar membuatkan Sakinah lega.
“ Terima kasih kerana sudi menerima nak umi. Insya Allah, umi percaya Kinah mampu membahagiakan anak umi. Dia anak yang baik dan mendengar kata. Hanya dialah seorang saja anak lelaki yang umi ada. Jagalah Rafiq serta Shafiq dan sayangilah mereka dengan sesungguhnya. Umi harap Kinah dapat menunaikan kebahagiaan Rafiq dan Shafiq yang telah tertangguh. Jangan hampakan harapan umi. Tahniah, sayang.” Datin Noraini berkata ketika mereka tinggal berdua.
Penuh emosi Datin Noraini mengungkap kata. Sehingga menerbitkan air mata. Sakinah terharu. Kucupan Datin Noraini yang hinggap di keningnya begitu lembut dan tenang.
“ Jadi isteri yang terbaik buat Rafiq tau? Kak long percaya pada umi bahawa Sakinah mampu menjadi ibu terbaik untuk Shafiq dan isteri yang baik untuk Rafiq. Jangan sesekali kecewakan kami. Tahniah,” pesan Mardina dalam ucapannya.
Sakinah hanya mampu mengangguk dalam senyuman sambil berkata, “ Insya Allah, Kinah akan cuba.”
“ Hai, saya Marina! Adik bongsu Rafiq. Kinah boleh panggil Rina aje. Senang. Tak payah nak panggil ‘Kak’ Rina walaupun Kinah muda lagi daripada Rina. Actually seganlah ada kakak ipar yang muda lagi daripada Rina tapi tak kisahlah, janji umi gembira.Yang penting Kinah mesti jadi isteri yang sangat-sangat baik buat abang supaya dia akan bahagia kali ni. Kami percaya dengan pilihan umi kali ini. Jangan kecewakan kami tau! ” ujar Marina panjang lebar.
Oleh kerana, terlalu kasihan dan menyayangi abangnya itu, Marina sanggup memohon dan merayu agar Sakinah tidak menghampakan hidup Rafiq buat kali kedua.
Lagi-lagi Sakinah hanya mengangguk dengan doa, harapan dan impian yang diungkapkan padanya. Walaupun ada kemusykilan yang bertaut di jiwa, Sakinah hanya mendiamkan diri. Namun benaknya masih terfikir-fikirkan tentang pengharapan yang disandarkan di atas bahunya. Masih terngiang-ngiang di telinga kata-kata daripada pihak keluarga suaminya.

AZILA mencebik dalam hati. Komen-komen yang didengar dari para tetamu termasuklah kedua-dua orang tuanya, membengkakkan seluruh organ dalamannya. Dekat di dasar hati, Azila langsung tidak bersetuju. Malah dia paling benci mendengar ayat ‘ secocok sangat mereka berdua. Sama cantik sama padan’. Biarpun seribu orang berkata begitu, Azila tetap dengan pendiriannya. ‘ Sama buruk sama hodoh. Sama-sama malang’.
“ Cantik betul Sakinah. Sesuai sangat dengan laki dia.” Mak Kiah tersengih sambil tersenyum melihat Sakinah dan Rafiq dalam acara makan beradab.
“ Tapi itulah sayang sebab lakinya duda. Kalau tak, memang sesuai betul dengan Sakinah.” Mak Timah pula mengeluarkan butir bicara.
“ Tak apalah, dah jodoh. Lagipun duda bukan sebarang duda. Itu duda berisi. Duit banyak tu. Anak orang kaya.” Mak Lah, ibu Azila pula membuka mulut.
“ Berisi anak jugak,” Azila berkata perlahan. Mak Lah memandang tajam anak daranya. Amaran yang berbunyi jangan suka menyampuk cakap orang tua!
“ Betul tu. Dari dapat teruna tak berduit, aku lagi sanggup kahwinkan anak aku dengan duda berduit. Sekurang-kurangnya terjamin hidup anak aku.” Tutur Mak  Timah pula.
“ Itu kalau duda muda. Buatnya duda yang sama baya dengan umur kita tak ke buang tabiat. Esok-esok dipanggilnya kita mak, tak lalu aku nak mendengarnya. Mahu termuntah aku. Gamaknya hari tu juga aku suruh anak aku mintak cerai.” Gurau Mak Kiah. Mak Lah dan Mak Timah ketawa kecil.
 Azila mencebik geram. Perbualan di kalangan orang tua itu betul-betul menghimpit fikirannya. Ditambah pula dengan rasa sakit hatinya yang dibawa dari semalam sehingga ke hari ini. Otaknya masih teringat sindiran tajam Sakinah dan teman-temannya. Memang malu besar dia waktu itu. Ingin dibalas tapi takut pula nanti kecoh satu rumah pengantin dikerjakannya. Azila hanya bersabar. Dia pasti akan membalasnya  satu hari nanti. Tapi macam mana?  

No comments:

Post a Comment

hai ! terima kasih ^.^