Followers

/ Tagboard \

We are really hope that you will get something with this blog. Please respect to each other and keep enjoying with us ^.^
.Images are credit to Google.

Bab 4



Ketukan pada pintu bilik menyedarkan Sakinah dari khayalannya. Sakinah menapak ke pintu lalu membuka kunci yang diselitnya. Wajah Datin Noraini dan ibunya tersembul. Datin Noraini mengukir senyuman manis. Sakinah membalas. Ibunya pula memandang dengan senyuman kecil.
“ Mari,” tangan Sakinah ditarik. Datin Noraini mendudukkan Sakinah di birai katil. Dia turut mengambil tempat di sebelah kanan Sakinah manakala Puan Syamila di sebelah kiri anaknya. Datin Noraini segera mencapai tangan Sakinah.
            “ Keluarga umi datang nak pinang Kinah.” Datin Noraini berterus-terang. Perasaan gembira di wajahnya sungguh jelas terpamer.
            Sakinah terkesima. Bagaikan ada satu rentapan kuat mencabut tangkai hatinya. Jantungnya seolah-olah berhenti berdenyut. Ayat itu seperti membelit lehernya. Sakinah menoleh perlahan kepada ibunya. Memohon pengertian. Mungkin semuanya gurauan semata-mata. Wajah ibunya ditatap.
             Ternyata anggukan Puan Syamila memecah-belahkan seluruh ruang hatinya. Ya, Allah..ujian apa pula kali ini? Kahwin? Bagaimana pula dengan impianku untuk menyambung pengajian?
Tanpa Sakinah sedari, sebentuk cincin bertatahkan sebutir berlian telah tersarung di jari manisnya. Sakinah semakin tidak keruan. Mata bundarnya hampir menitiskan air mata. Namun, ditahan supaya tidak menitik. Cuma sekeliling bebola putih matanya mulai memerah. Tangannya masih dalam genggaman tangan Datin Noraini.
“ Umi tahu anak umi dan Sakinah tak sepadan. Maklumlah, anak umi duda dan Sakinah pula anak dara. Tapi umi berharap sangat Sakinah tidak kisah dan sudi menerima pinangan ini. Umi ingin sangat menjadikan Sakinah menantu umi, isteri pada anak umi dan ibu pada Shafiq.” Lembut tutur kata Datin Noraini. Ingin membeli jiwa Sakinah supaya bersetuju kerana itulah impiannya.
“ Shafiq masih terlalu kecil untuk kehilangan sentuhan seorang ibu. Apatah lagi untuk memahaminya. Umi yakin Kinah mampu memberi kasih sayang buat Shafiq.” Tambah wanita elegan itu.
“ Kinah setuju? ” Puan Syamila menyoal. Sakinah memandang ibunya kembali. Dia kehilangan kata-kata.
“ Sakinah tak setuju? ” teka Datin Noraini setelah menyedari kebisuan Sakinah.
Sakinah mengetap gigi. Bibirnya langsung tidak terbuka. Apatah lagi lidahnya yang memang kelu. Sakinah memandang raut hampa Datin Noraini. Dia tidak sanggup menatapnya. Wanita itu begitu mengharap masakan dia begitu kejam ingin menolak. Sakinah serba salah. Dia masih ingin menyambung pengajian yang tertunda. Bolehkah impiannya itu dipenuhi walaupun setelah dia berkahwin kelak?
“ Umi tak kisah kalau Kinah nak fikirkan dulu,” Datin Noraini menyambung bicara.
“ Kinah masih ada satu impian yang Kinah nak sangat capai. Kinah takut selepas berkahwin nanti Kinah dah tak boleh nak capai impian tu.” Ujar gadis itu tenang. Puan Syamila mengusap rambut anak daranya itu dengan lembut.
 Datin Noraini kembali ceria. Ayat yang diungkap Sakinah tidak menunjukkan sebarang penolakan itu menggembirakannya. Ternyata dia masih mempunyai harapan.
            “ Apa impian yang Kinah nak capai tu? Boleh umi tahu? ”
            “ Er..Kinah nak sambung pengajian ke universiti. Kinah nak dapatkan segulung ijazah buat ibu dan ayah. Kinah nak sangat bantu ibu dan ayah,” begitu polos suara gadis itu. Puan Syamila sebak. Mutiara jernih mulai terbit dari celah kelopak matanya.
            Datin Noraini turut hiba. Sakinah memang anak yang mulia. Gadis itu tidak seperti kebanyakkan anak gadis kampung yang hanya menunggu masa untuk di pinang. Sakinah masih berfikir tentang nasib orang lain walaupun dirinya di ambang kehidupan selesa. Nampaknya dia telah tersilap menilai. Mengagak bahawa Sakinah akan segera bersetuju. Pantas saja gadis itu tidak terus menyatakan persetujuan kerana masih ada tanggungjawab yang belum dilunasi sebagai seorang anak.
            “ Kalau umi berjanji selepas berkahwin yang Kinah masih boleh sambung belajar, Kinah setuju dengan pinangan umi? ” Soal Datin Noraini. Sakinah memandang Puan Syamila sekilas sebelum memandang kembali wajah Datin Noraini.
            “ Boleh ke begitu? Kinah tak mahu susahkan sesiapa.” Tanya gadis itu begitu berhati-hati dan berhemah.
            Datin Noraini mengangguk laju. “ Boleh. Umi akan tunaikan.”
            “ Tapi Kinah tak mahu bebankan sesiapa.” Ujar Sakinah serba salah.
            “ Itu bukan satu bebanan tetapi satu tanggungjawab. Bila Kinah dah berkahwin dengan anak umi, secara automatik Kinah juga menjadi anak umi. Jadi, tak salah umi memenuhi impian Kinah itu sebagai seorang ibu. Lagipun anggaplah itu sebagai satu hadiah penghargaan tidak ternilai di atas kesudian Kinah menerima anak umi.”
            Sakinah mati bicara. Menganalisa kata-kata Datin Noraini. Adakah ini saja jalannya agar aku dapat menyambung cita-citaku?
“ Macam mana? Kinah sudi terima lamaran daripada pihak umi? ” Datin Noraini menyoal lagi. Berdebar-debar menanti jawapan Sakinah yang masih diam membisu. Ya, Allah permudahkanlah segalanya agar Sakinah menerima pinanganku ini, amin..
“ Er,  Kinah ikut keputusan ibu dan ayah,” kata Sakinah lagi. Walau apa pun keputusan yang dibuat, ibu dan ayah adalah keutamaannya.
“ Kalau ibu dan ayah setuju, Kinah setuju? ” Datin Noraini bertanya balik. Kali ini Sakinah diam.
“ Diam saja. Setuju ke, Sakinah? ” Puan Syamila pula menyoal. Sakinah telan liur.
“ Kinah ikut kata ibu dan ayah.”
“ Ikut kata kau dengan Yusuf pula, kalau Sakinah setuju kamu berdua setuju. Mana satu ni, Mila? ” soal Datin Noraini kebingungan.
“ Kalau ibu dan ayah setuju, Kinah setuju? ” Puan Syamila menarik dagu anak gadis itu menghadapnya. Wajah Sakinah ditenung oleh matanya. Sakinah tertunduk malu. Jika diangguk kepalanya kelihatan seperti dia tersua-sua ingin berkahwin. Jika digeleng lain pula maksudnya nanti.
“ Kira setujulah. Anak dara mana nak mengangguk kalau setuju. Selalunya dia orang diam saja. Orang tua-tua pesan kalau dah diam tanda setujulah tu,” Datin Noraini membuat simpul kata. Wajah Sakinah merona merah. Puan Syamila faham.
            “ Ikut kata kau sajalah, Ain.” Balas ibu Sakinah. Datin Noraini menghela nafas lega. Dia berasa lapang yang amat sangat. Akhirnya pernyatuan dua hati ini akan berlangsung juga.

No comments:

Post a Comment

hai ! terima kasih ^.^