Followers

/ Tagboard \

We are really hope that you will get something with this blog. Please respect to each other and keep enjoying with us ^.^
.Images are credit to Google.

Housewife'ku tercinta! 2


Enjoy reading dan moga terhibur :D






‘ Ohhh, gara-gara tidur lewat semalam sehingga mencecah ke angka dua pagi akibat berangan-angan, sekarang ini padahnya!’ Terbangun lambat sehinggakan terlajak subuh ke pukul tujuh tiga puluh minit pagi. Kelam-kabut aku menyarung baju yang tergantung di dinding bilik. Nasiblah sudah bergosok dari malam semalam. 

Peach blouse aku sertakan dengan skirt maroon labuh ke buku lali. Tali pinggang hiasan aku selitkan ke pinggang untuk melengkapkan imej. Semuanya aku lakukan dengan tahap gopoh dan gelojoh. Cuma apabila masuk masa untuk berhias tentulah perlu mencuri sedikit masa agar pemerah dan pelembap bibir tidak tercomot keluar dari garisan bentuk mulut. Bedak juga ku pakai dengan cermat supaya seimbang ke serata muka. Tidaklah nanti bertepu di suatu kawasan saja. Malu ditegur orang nanti. Siap semua barulah aku mengenakan tudung. 

            “ Eh, tak mahu sarapan dulu?! ” tegur ibu yang muncul dari dapur ketika aku meluru terus ke ruang tamu setelah menuruni anak tangga.

            “ Tak sempatlah, ibu.” Balasku yang telah kelewatan. Aku tidak bertanya pada ibu mengapa tidak mengejutku kerana sememangnya selama ini aku bangkit dengan usaha sendiri. Sangatlah jarang aku bangun lambat. Hari ini saja aku terbabas.

            “ Nak ibu bekalkan? Hari ini ibu ada masakkan nasi lemak sambal udang. Ibti sukakan?”

            Ahh, ibu sengaja mendugaku di awal pagi ini! “ Boleh juga ibu.” Sengihku comel. Mana boleh menolak hidangan tersebut. Terlalu nikmat air tangan ibu di saluran kerongkongku.
            Siap memakai kasut tumit dua inci di rak luar sebelah pintu rumah, aku bergegas membuka pintu kereta lalu menghidupkan enjin. “ Ibu cepatlah..” seruku apabila kembali semula ke muka pintu.
            Sekejap kemudian ibu tersembul seraya menyerahkan bekas nasi lemak yang diletakkan dalam beg kertas. “ Bawa kereta baik-baik, jangan kalut sangat.”
            “ Hurmm, baik ibu.” Aku terus mengucup tangan ibu sebelum menyumbatkan badan ke tempat duduk pemandu. Bermulalah pengembaraan aku untuk hari ini.


AKU terlupa pesanan ibu supaya tidak kalut. Sikap cemerkap membuatkan aku tidak boleh bertenang lagi. Kesesakan di jalan raya membuatkan aku makin tertekan. Hampir roboh pintu kereta aku kerjakan.

            Permandangan yang aku lihat pagi ini membuatkan aku tercengang. ‘ Hari ini, hari lambat satu Malaysia ke? Asal ramai sungguh yang beratur di depan lif ? Semua bangun lambat macam aku jugak ke? ’ Aku tertanya-tanya tatkala menapak hampir ke pintu lif. Ohh, sudah semestinya aku tidak akan meniti anak tangga untuk pagi yang telat ini kerana aku cukup lelah buat hari ini.

            Perkara yang paling aku tidak pernah tersangka dalam hidup ini, hari ini mencatat sejarah aku berhimpit masuk ke dalam lif. Menyelit dari tepi. Sesungguhnya tubuhku yang kurus dan langsing berjaya melepasi masuk ke dalam lif. Sewaktu itu hanya tarikan nafas lega dapat aku lepaskan. Aku sudah tidak pedulikan orang lain lagi hatta untuk senyum dengan orang di sebelahku.

            Lif dari ground floor naik ke tingkat satu setelah hampir sepuluh orang memenuhinya. Berhenti kemudiannya. Buntang mataku melihat beberapa orang diluar sana turut mahu menumpang lif yang sama. Aku risau sungguh jika perlu bersentuh-sentuhan di dalam lif. Tidak terjangkau dek fikiran. Aku berharap ada beberapa orang dalam lif keluar di tingkat ini. 

Dalam keadaan yang mungkin berlaku kesesakan itu, aku terkejut bila sesuatu terhidang di depanku. Sebuah beg bimbit. Aku terdongak memandang gerangan yang menghulur barangan itu. Untuk tujuan apa?

“ Peluk briefcase ini supaya tubuh kau tak terkena dengan sesiapa.” 

Aku sebaliknya terpanar demi mendengar bicaranya. Suaranya serak basah dan garau. Lembut tetapi sedikit tegas. Semakin terkesima menatap wajah itu. Bentuk muka yang tidak pernah kucam sebelum ini. Dan matanya…tampak redup dan kecil. Kelihatan sayu dan berkaca-kaca dalam kornea itu. Yang pasti meruntun jiwaku untuk terus melihat ke dalam mata itu.

            “ Ambillah,” kata jejaka itu sebelum memakai sunglasses yang diambil dari saku kot. Mungkin sedar bahawa aku sedang menelek dirinya. Ahh, tiba-tiba aku segan gila jika benarlah tekaanku! Awas, Ibti…!!! Ibu tak pernah mengajar anak ibu menakal dengan menyelusuri muka seorang lelaki ajnabi!

Nyata aku mengambil sekotak briefcase yang diperbuat daripada aluminium tersebut. Meletakkannya dihadapan tubuhku. Melindungi sesuatu yang aku punyai. Lelaki itu telah mengalihkan pandangan tatkala aku menerima bantuannya. Aku menjeling lewat ekor mata lelaki di sisiku. Dia sedang berdiri sandar pada dinding lif sambil memeluk tubuh. Kot elegan bewarna kelabu yang dipakai menampakkan ciri-ciri seorang ahli korporat.

Lif berhenti di tingkat seterusnya. Wujud tiga lagi penumpang mahu menaiki lif. Maka seorang lelaki di depanku berundur ke belakang sedikit. Terlalu hampir mengenaiku. Syukurlah ada perisai yang menghalang badanku daripada terkena sentuhan yang tidak sepatutnya berlaku. Aku sedikit lapang saat ini. 

Tiba sahaja di tingkat tiga, ramai orang berpusu-pusu keluar. Tinggal empat orang sahaja lagi termasuk diriku. Justeru itu, aku mengambil peluang memulangkan barang yang bukan milikku. “ Err..terima kasih.” Tundukku tanpa merenung si jejaka. 

“ Sebagai balasan, aku nak breakfast kau. Boleh kau bagi?! ”

“ Hah? ” terkejutku sambil panggung kepala. Melihat ke matanya yang terlindung dek ray ban hitam. Baru kuperasan cara dia berbahasa, agak kasar dengan menggunakan 'aku dan kau'.

“ Disebabkan nasi lemak kau, habis berbau satu lif ini! ” komennya mendadak.

‘What?! Nasi lemak?? ’ Aku terkebil-kebil sebelum tersedar beg kertas yang kukepit di antara pelipat siku semasa aku bersungguh memeluk beg bimbitnya. Patutlah dia mampu mentafsirkan aroma tersebut, beg kertas itu berada dekat dengannya  Tak hairanlah, keharuman sambal udang ibu menusuk sehingga ke hidungnya. Wah, mesti habis hilang bau minyak wangi DKNY Apple Blossom aku dipengaruhi sambal buatan ibu tercinta!  

“ Er..encik..nak nasi lemak..” bicaraku terputus apabila jari telunjuknya naik. Mengisyaratkan aku supaya tidak berkata. 

“ No thanks, aku bergurau.” Katanya seraya bergegas keluar apabila pintu lif terbuka.

Terkulat-kulat aku ditinggalkan begitu saja. Pintu lif tertutup semula. Siapa dia? Kenapa aku langsung tak pernah terserempak dengan air muka macam gitu?! 

Ting! Pintu lif terbuka. Eh, tingkat berapa ni? Aku melihat kepada angka yang bercahaya di atas pintu lif. Astaghfirullah!!! Ini dah terlajak tingkat! Macam mana boleh tak sedar??! Aku sampai ke tingkat yang tak berpenghuni! Paling menakutkan kerana tingkat ini banyak menyimpan cerita misteri yang aku dengar daripada mulut-mulut rakan sepejabat termasuklah pak guard yang bertugas di waktu malam! 

Nauzubillah…!! Jari telunjuk pantas menyentuh butang lif agar pintu segera tertutup. Memang menempah bala. Sudahlah lambat punch card, boleh pulak tersesat ke tingkat atas. Sia-sia aje aku bertempur masuk ke dalam lif semata nak lekas sampai! Itulah akibatnya kalau gopoh! Hilang segala tumpuan. Tapi bukankah orang yang tadi tu penyebab aku kehilangan fokus serta tujuan asal?!

Aik, sendiri punya salah, kenapa mesti diletakkan atas bahu orang lain? Berdosa tau?!  


DARI tingkat lima yang kosong, aku berhenti di tingkat empat. Tempat di mana aku bekerja. Telah hampir lima tahun aku bertapa di sini mencari rezeki sebagai eksekutif pemasaran syarikat setelah tamat ijazah. 

Syarikat D’Mewah Construction Sdn. Bhd. ialah syarikat pembinaan dan merupakan  anak syarikat kepada Syarikat D’Megah Holdings Sdn. Bhd. yang terulung di Malaysia. Syarikat D’Mewah ini ditubuhkan awal sepuluh tahun lalu. Masih dalam usaha menapak nama dan kelihatan ‘kecil’ di mata Malaysia. Dan akhir-akhir ini kemerosotan dalam keuntungan berlaku seiring pasaran ekonomi yang lemah dan pesaingan yang sengit dalam merebut tender dan jualan.

            “ Oik, lambatnya cik puan hari ini! ” tegur satu suara. Aku tersentak dari lamunanku. Terbawa-bawa dek kenangan dalam lif.

            Bibirku menarik sengih. “ Orang tak sengajalah, Mail.” Kataku menutup salah yang telah terdedah. Semua yang sedang tertunduk buat kerja angkat kepala. Ismail yang bertugas di bahagian pengurusan sumber manusia tergelak-gelak. 

            “ Wah, pekerja contoh datang lewat! Siapa yang patut menggantikan dia pula tahun ni? ” Fauziah menjerkah deras. Dia juga seperti Ismail, bertugas di bahagian yang sama.    

“ Isyh, melampaulah tu! Aku baru sekali datang lambat, okey. Sebelum ini mana pernah pun. Selalu aku yang terpacak depan pintu pejabat menunggu pak guard bukakan pintu tahu! ” aku menjegilkan mata. Volume suaraku yang ingin menggerutu geram lekas aku perlahankan. Buat malu saja ramai yang sedar kelewatanku nanti. 

Fauziah ketawa nyaring. “ Aduhai, masuk lif tekan sendiri! Nyampah aku tau.”

“ Betullah tadi aku masuk lif tekan sendiri! ” aku membalas sengal. Terus meluru ke department aku di hujung sebelah kanan. Tidak menghiraukan lagi pandangan pekerja yang lain. Baru buat salah sekali, habis semua orang menyerbu muka pada aku gara-gara tahun lepas aku mendapat anugerah pekerja contoh. 

Sejujurnya sewaktu menerima anugerah itu, aku sendiri terkejut bagai nak terbalik meja disebabkan tak terjangkau dek fikiran. Mana pernah aku letakkan target untuk mendapat anugerah tersebut melainkan di ‘vote’ rakan sekerja dan pihak atasan yang turut menilai. 

Satu prinsip aku, masuk kerja perlulah tepat, dan untuk menepatinya perlulah hadir awal supaya tidak terlewat dari jangkaan. Buat kerja juga perlu berdisiplin dan bersungguh serta memenuhi dateline kerana sumber rezeki itu akan aku peruntukkan untuk keluarga. Jadi mestilah rezeki yang diperolehi berkat dan tidak mengandungi syubhah akibat kecuaian dalam bertugas. Semuanya akan menjadi darah daging kita juga.

Baru sahaja melabuhkan punggung, ada yang menyapa bahuku. Pantas aku menoleh.

 “ Kenapa lambat, Ibti? ” soal Murni, teman baikku. Dari zaman universiti kami bersama. Satu kos pengajian yang sama, bilik hostel yang bersebelahan dan sekarang satu tempat kerja. 

Murni juga merupakan executive pemasaran sama sepertiku. Bezanya aku yang merekomen pada senior marketing executive, Encik Maliki untuk mengambil Murni bekerja dua tahun lalu disebabkan department aku kekurangan kakitangan. Encik Maliki pula tidak banyak soal dan hanya meluluskan kerana dia tangkap angau dengan aku (perkara yang aku tak harap langsung berlaku). Yang aku tak boleh lupa, sehari selepas Murni masuk kerja, terus diajaknya aku pergi makan malam bersama. Wah, sudah tentulah aku yang menyimpan seribu akal bersusah-payah meloloskan diri daripada buaya tersebut! 

 Sebelum ini, Murni seorang suri rumah sepenuh masa selepas habis belajar tetapi disebabkan tertekan hidup sebumbung dengan mertua, dia bertindak bekerja semata-mata mahu mengelak daripada berkrisis lebih besar. Pendekatan yang lebih baik muncul setelah bersalin anak pertama, Murni mengusulkan cadangan untuk mencari pendapatan lebih buat keluarga. Faiz, suami Murni terpaksa membenarkan untuk mengelak ibu dan isterinya terus bermasalah. Semua cerita ini aku perolehi daripada mulut Murni sendiri. 

“ Aku tidur lambat semalam, sebab itu terlajak bangun. Rasanya setengah jam lewat tak apa kut, masih boleh dimaafkan buat pekerja contoh macam aku.” Aku menayang muka tak berdosa. Murni menceberkan mulut.

“ Yelah, orang kesayangan Encik Maliki! ”

“ Isyhh, jangan cakap macam gitu nanti habis terlingkup satu department ini! Kalau orang dengar tentulah parah dibuatnya. Dan seperti kau sedia maklum, aku tak ada kena-mengena dengan anak orang kaya itu tau.” 

Aku bertegas sambil melihat keliling. Risau sungguh jika ada yang mampu menangkap kata-kata Murni. Jangan esok ada yang mengata aku syok sendiri dengan majikan. Padahal Encik Maliki tidak menunjukkan kesungguhan yang nyata dan jelas terhadapku di khalayak ramai. Aku juga tahu orang seperti dia mampu mendapat seribu kali lebih cantik daripada wajahku yang suam-suam kuku saja ini.

“ Jual mahallah kau, Ibti. Anak orang kaya dah bersemangat mengejar, kau tolak mentah-mentah.” 

“ Sebab dia anak kepada orang kaya, Puan Murni! ”

“ Yelah, yang kau mahu orang yang tak ada sesiapa dalam dunia ini. Anak yatim piatu! ”  

“ Jadi salahkah saya, Puan Murni? ” aku bertanya dalam senyum dan santai. Lantunan suaraku seakan mengusik formal.

“ Tak salah, tetapi jarang nak berjumpa jodoh macam itu. By the way, kalaulah anak yatim piatu itu tak ada memiliki apa-apa, kau sanggup terima? Sanggup hidup bersusah-payah demi dia. Sedangkan ada jalan untuk kau bahagia dengan kehidupan lebih senang dan mewah.” Bidas Murni tiba-tiba. Aku punya kening sedikit menongkat naik sebelum turun melekuk seperti biasa. Memandang muka comel Murni sekilas.

“ Wang ringgit tak menjamin kebahagiaan, Murni. Dan kalau itu yang termaktub buat aku, aku terima seadanya biarpun dia papa kedana. Asalkan dia berusaha demi kebahagiaan bersama. Takkanlah aku nak berkorban diri, untuk memilih seseorang yang tidak berkemampuan menanggung aku. Penganggur lagilah mintak simpang.”   

“ Disebabkan tak mahu ada ibu mertua macam aku, sanggup kau telan semuanya, kan? ” tekan Murni sedia maklum.

 “ Itu dah tentulah! ” Aku buang sengih pada Murni. 

“ Eh, sudahlah! Aku ni datang lambat, ada hati nak bersembang lagi.” Celotehku mencelah perbualan yang bakal meleret.   

Murni tergelak-gelak. “ Weih, sebenarnya aku nak cerita, tadi ada orang asing lalu dekat sini! ” 

“ Hah, maksudnya siapa orang asing tu?! ” Gaya Murni membuka hikayat seperti lagak berjumpa UFO. Teruja dan terkejut sungguh!

“ Aku tak tahu, baru sekejap kita orang kecoh-kecoh dekat luar sebelum Encik Maliki  jeling suruh buat kerja! Dah tu, semua ketua department diarah ke bilik bos.” Lapor Murni. 

“ Gila kentang! Handsome…!! Tapi yang aneh tabiatnya siap bercermin mata gelap dalam office terang-benderang. Rupa macam James bond nak menahan silau dari lampu aje! ” gosip Murni lebih lanjut.

‘ Ohh, orang yang itu…’ aku berbisik sendiri.










4 comments:

  1. Cepatlah sambung!

    ReplyDelete
  2. Mohon sambung cepat... Hihihi ^,-

    ReplyDelete
  3. Hurmm...pompuan yg tak memandang harta & pangkat pada seorg laki memang tak wujud zaman moden sekarang.

    ReplyDelete

hai ! terima kasih ^.^