Rafiq menghampiri Sakinah yang ketiduran di sofa. Barangkali mungkin gadis itu menunggu kepulangannya. Rafiq meletakkan briefcase dan beg pakaiannya di kaki sofa. Raut Sakinah dikerling sesaat dua sebelum dikuis perlahan lengan isterinya yang melintang di dahi.
Terpisat-pisat Sakinah membuka kelopak mata. Tergamam dirinya ketika wajah Rafiq menyapa mata. Tambah menghairankan dahi suaminya terpalit sedikit darah. Ada luka kecil di situ. Kesan darah itu turut ada di kolar kemeja suaminya dan di lengan baju.
“ Abang dah balik? ” sela Sakinah untuk menghilangkan rasa gementar. Rafiq diam sambil memandang Sakinah yang sedang membetulkan posisi tubuh. Dari kedudukan baring terus duduk berlunjur kaki ke bawah.
“ Shafiq mana? ”
“ Ada kat atas. Dah tidur lepas Kinah bagi makan ubat.”
Rafiq mengangguk tenang sebelum berpaling. Briefcase dan beg pakaiannya dicapai semula. “ Lain kali kalau aku balik lambat kau tak payah tunggu. Aku bukannya tak ada kunci nak masuk rumah.”
“ Abang nak makan? ” Sakinah bertanya ketika suaminya sudah menjejaki anak tangga yang kedua.
Rafiq menoleh lalu menggeleng. Dia bergegas memanjat anak tangga untuk bertemu dengan anak terunanya. Walaupun Sakinah ada membuat panggilan memberitahu tentang kesihatan Shafiq yang semakin pulih, Rafiq tetap mahu menemui dan mendakap anak yang sering terabai olehnya itu.
Rafiq sedar kerja-kerja yang melanda di pejabat menjadikan dia alpa dengan tanggungjawabnya. Mujurlah Sakinah ada. Dalam tidak menyenangi gadis itu, Rafiq terasa mulai senang dengan kehadiran Sakinah. Cuma, untuk mendekati dan menyayangi isterinya yang sah itu, dia belum mampu dan sudi.
Sakinah terjengul di muka pintu. Lapang hatinya melihat Rafiq menjenguk Shafiq. Dia gembira melihat belaian kasih sayang yang ditunjukkan Rafiq pada Shafiq. Bagi Sakinah, Rafiq nampak sempurna sebagai seorang bapa walaupun jejaka itu sering sibuk dengan urusan pejabat. Rafiq sentiasa tahu di mana dan bila masa untuk menyentuh anak itu di saat kehadirannya diperlukan.
Sakinah hanya memandang aksi Rafiq melepaskan rindu pada anaknya di depan pintu. Walaupun itulah kamar yang selalu dihuninya saban malam namun, Sakinah berasa kekok untuk menerjah masuk. Terasa asing apabila berdua di dalam sebuah bilik bersama suaminya. Kewujudan Rafiq membataskan tingkahnya. Maka Sakinah mengambil keputusan untuk berdiri saja di muka pintu.
“ Terima kasih,” ucap Rafiq perlahan tanpa memandang Sakinah. Malu. Pertama kali dirasakan itulah ucapan yang paling baik yang pernah diungkapkan buat Sakinah sejak mereka disatukan. Ikhlas dari hatinya.
Sakinah memandang suaminya dalam debaran yang aneh di dada. Pertama kali dia dihadiahkan dengan ucapan itu. Suatu perkataan yang menunjukkan penghargaan ke atas dirinya. Sakinah suka mendengarnya. Terutama bila ianya terbit dari bibir suaminya tanpa paksaan.
“ Untuk apa? ” tanyanya perlahan.
“ Shafiq.” Balas Rafiq ringkas.
Sakinah sekadar mengangguk perlahan. Inikan sebahagian daripada tanggungjawab Kinah di dalam surat perjanjian yang abang cipta. Lirih hatinya berkata.
Rafiq mencium dahi anaknya buat kali terakhir sebelum beredar keluar dari bilik itu.
“ Kenapa dengan dahi abang? ” Tanya Sakinah lembut ketika tubuh mereka berselisih di muka pintu.
Rafiq menggeleng. “ Tak ada apa-apa.” Kemudian Rafiq terus menghayun langkah kakinya ke bilik utama. Mata bundar Sakinah mengekor gerak suaminya dari belakang. Selepas Rafiq menghilang ke dalam bilik sebelah, Sakinah lantas menutup pintu.
RAFIQ membelek luka pada dahinya di depan cermin hias. Gara-gara desakan perasaannya yang mahu segera pulang menjenguk keadaan Shafiq, Rafiq hilang tumpuan ketika memandu. Bermacam-macam perkara yang difikirkan tentang anak terunanya itu meskipun Sakinah telah pun memberitahu keadaan Shafiq semakin stabil melalui panggilan telefon.
Entah bagaimana Rafiq tidak sedar lampu brek yang dinyalakan oleh pemandu di hadapannya. Menyebabkan dia terlanggar bontot kereta pemandu tersebut. Menjadi tragis apabila dahinya siap terhantuk ke stereng kereta sehingga berdarah. Kemudian terpaksa pula Rafiq menghadap tuan kenderaan yang dilanggarnya. Akhirnya Rafiq membayar duit ganti rugi atas kesilapannya itu.
Rafiq berjalan ke katil. Penatnya belum hilang. Dibaringkan tubuhnya di atas ranjang. Denyutan pada dahinya tidak diendahkan. Rafiq cuma mahu merehatkan tubuhnya yang dicengkam rasa penat.
Beberapa bunyi ketukan bergema di muka pintu bilik. Dahi Rafiq terkerut. Memikirkan siapa dibalik pintu itu. Bila teringatkan keadaan Shafiq yang belum sembuh sepenuhnya, Rafiq segera bangun. Kelibat Sakinah terpacul. Dalam tangannya tergenggam sesuatu.
“ Kenapa? ” soal Rafiq hairan.
“ Maaf, Kinah menganggu. Kinah cuma nak bagi ubat ni pada abang. ” Sakinah menghulurkan sebotol minyak gamat pada suaminya.
Berkerut dahinya. Rafiq musykil. “ Nak buat apa dengan ubat ni? ”
Telunjuk Sakinah menunjuk ke dahi Rafiq yang terluka. “ Sapu pada dahi abang yang luka tu.”
Rafiq mengangguk faham.
“ Tapi abang kena mandi dulu. Cuci luka tu sampai bersih kemudian baru sapu ubat. Kalau tak kuman berkumpul nanti lambat pulak sembuh.” Sakinah berpesan.
Rafiq mengangguk lagi. “ Hrmm..terima kasih,” malas dia berbahasa basi dengan bininya lagi. Otaknya dah cukup sengal tika ini.
“ Sama-sama,” Sakinah berlalu setelah membalas ucapan terima kasih suaminya.
Ditutup kembali pintu. Rafiq meletakkan minyak pemberian Sakinah di atas meja kecil sisi katil. Dia bergerak ke penyidai kayu di sudut bilik. Tualanya diambil sebelum berlalu masuk ke dalam bilik air.
Selepas membersihkan diri Rafiq menunaikan solat Isyak setelah berpakaian. Sepuluh minit selepas itu dia kembali berbaring di atas katil. Jam kecil di sebelah katil dipandang. Pukul sembilan setengah malam. Rafiq memejamkan matanya untuk lelap. Tangan sasanya diletakkan merentangi dahi. Kelopak matanya terbuka kembali. Tangannya tersentuh luka yang terpahat di dahi. Minyak gamat di sisi katil dicapainya.
Rafiq membelek minyak gamat tersebut. Terbayang sekilas wajah isterinya. Kebaikkan Sakinah mula Rafiq sedari. Gadis itu nampak bertanggungjawab. Rafiq tiba-tiba berasa lega dengan kehadiran Sakinah di sisinya.
Tanpa perlu menyusahkan umi, Sakinah sendiri mampu menjaga putera kesayangannya itu. Keprihatinan isterinya pada Shafiq sangat Rafiq hargai. Biarpun telah terikat dengan perjanjian yang tidak membawa apa-apa keuntungan, Sakinah tetap menjalankan tanggungjawabnya dengan sebaiknya.
Namun, bagi Rafiq mungkin gadis mentah itu gentar dengan isi surat perjanjian yang termeterai. Sakinah mungkin takut Rafiq akan mengenakan sebarang dakwaan terhadap dirinya jika ada sesuatu perkara yang menimpa Shafiq. Oleh itu, Rafiq masih berfikir bahawa semua tugas Sakinah terhadap keperluan Shafiq dilakukan semata-mata memenuhi isi surat perjanjian bukannya datang dari hati yang ikhlas. Ya, Rafiq semakin pasti dengan prasangka hatinya itu.
Malas berfikir lagi tentang Sakinah. Rafiq meletakkan kembali minyak pemberian Sakinah atas meja setelah menyapu sedikit pada lukanya. Dia bangun dari katil semula. Dimatikan suis lampu bilik sebelum menuju kembali ke katil. Rafiq kemudian terus menyelitkan tubuhnya dibalik selimut. Sekejap saja dia terlelap dalam kesuraman malam.
PAGI yang sepi dan senyap tanpa bicara. Yang kedengaran hanyalah dentingan bunyi sudu dan garpu yang berlaga dalam satu pinggan. Rafiq menjamah sarapan dengan tenang. Sakinah bersandar setia di kabinet dapur menunggu suaminya selesai makan kerana begitulah tabiatnya hari-hari.
“ Sakinah,” Rafiq memanggil setelah dia selesai menghirup air teh susu yang dibuat pagi itu. Sakinah menghampiri. Berdiri di tepi meja makan. Rafiq menatap tepat ke wajah isterinya. Menjadikan perasaan Sakinah tidak ketentuan direnung begitu.
“ Mulai hari ni, aku akan tugaskan Pak Samad dirumah ni. Dia yang akan bertanggung jawab menghantar kau ke mana saja.” Tutur Rafiq memaklumkan.
Terkebil-kebil Sakinah mentafsirkan ayat suaminya. “ Pak Samad? Siapa dia, bang? Kinah tak kenal pun.”
“ Memanglah kau tak kenal sebab Pak Samad tu cuma driver aku di pejabat. Selalunya dia yang akan bawa aku ke mana saja dalam waktu pejabat. Luar dari waktu pejabat, dia tak bekerja untuk aku. Tapi mulai sekarang aku akan tugaskan Pak Samad di rumah ini sekali selain di pejabat. Senang kalau kau nak ke mana-mana, ada orang tolong hantar dan jemput kau setiap masa. Tapi ingat, kau jangan nak merambu pulak sana-sini tak tentu arah. Dan setiap kali sebelum kau keluar kau mesti mintak izin dulu daripada aku. ” Rafiq memberi amaran dalam bentuk pesanan.
Sakinah mengangguk faham. “ Baik, abang.”
“ Kalau kau nak ke pasar atau nak berjalan ke rumah umi, kau call aje pejabat dan minta Pak Samad datang jemput kau. Jangan sesekali kau cuba ambil teksi atau bas sebab aku takut perkara yang bukan-bukan berlaku nanti. Senang lepas ni, kalau Shafiq sakit lagi tak payah susah-susah aku nak mencari orang bawakan kau ke klinik bila aku tak ada di rumah atau di KL.” Rafiq menambah kata.
Sakinah mengangguk lagi. Sempat matanya singgah pada kesan luka yang terpalit di dahi suaminya. Nampak agak surut kesannya berbanding semalam.
“ Yang paling penting aku tak suka kau merayap ke mana-mana tanpa tujuan. Jangan nak ambil kesempatan pada kemudahan yang aku berikan. Lagipun aku buat semua ini bukannya untuk kau tetapi untuk kepentingan anak aku. Aku tak mahu ada perkara buruk yang menimpa dia sewaktu aku tak ada dalam KL. Kau faham tak? ” Sengaja Rafiq memperingatkan Sakinah agar gadis itu tidak lupa diri.
“ Kinah faham.”
“ Baguslah kalau kau faham. Jangan memanjang asyik minta maaf. Kali ni aku tak mahu kau buat salah lagi.” Rafiq bangun dari meja makan. Dicapai briefcase dan kot sebelum menghayun kaki ke ruang hadapan. Sakinah membuntuti suaminya.
“ Jaga anak aku elok-elok dan jangan cuai sikitpun pada Shafiq.” Peringat suaminya sebelum berpaling pergi. Sakinah mengangguk.
“ Er..abang,” panggilnya semula.
Rafiq menoleh. Ditatap muka isterinya yang kelihatan kalut. “ Ada apa? ”
“ Er, tak ada apa-apa. Cuma Kinah nak tanya..er.. luka kat dahi abang dah baik? ” Sakinah bertanya gugup.
“ Tak payah risau tentang aku. Yang perlu kau risaukan tentang kesihatan Shafiq. Jangan biarkan dia jatuh sakit lagi. Aku tak mahu dengar.” Pesan Rafiq. Kemudian dia terus beredar. Meninggalkan Sakinah yang berdiri teguh di tepi pintu.
sikit je lagi nk jatuh hati...
ReplyDeleteurmp..bez3