Followers

/ Tagboard \

We are really hope that you will get something with this blog. Please respect to each other and keep enjoying with us ^.^
.Images are credit to Google.

Alahai, suamiku amnesia! 12





Salam to all readers, today aii nak up lg n3 ASA, bab kli ni terlbih pnjg but hope semua terhibur..

jika ada kekurangan please give ur comment, aii tak mahu syok sendiri nti haru je jd novel nti..hikhik...syg a lot to u all, semoga sentiasa berbhgia : )





***************************************










Tumpuan retinanya tidak pernah lari. Sejak tiga puluh lima minit yang lalu dia tetap merenung gadis itu. Hanan menjeling seraya mengelakkan muka ke tempat lain. Rimas kerana tatapan Abrar terlalu aneh. Menghadirkan gentar ke dadanya. Menggelisahkan ketenangan dirinya dalam diam. Mencemaskan aliran darah dalam setiap pembuluh. Hanan geram, Abrar seolah-olah tidak mengambil endah akan ketidaksenangan hatinya.
Abrar tersenyum lebar. Sekali lagi senyumannya tidak mampu disembunyikan. Dia suka dengan tingkah gadis itu. Setiap kali Hanan melarikan mata daripadanya membuatkan Abrar merasakan kemenangan berada di pihaknya. Dia sukakan situasi itu. Biarpun dia tahu Hanan tidak gemar akan renungannya. Peduli apa, janji hati aku puas!
 “ Nampaknya kita dah capai kata sepakat,” Abrar berkata setelah mereka kehabisan bicara beberapa minit lalu. Dia bersandar ke kerusi sambil memeluk tubuh. Posisinya cukup santai dalam menghadapi gadis di hadapannya kini. Sengaja mereka memilih minum di Food Court UO kerana pusat beli-belah itu yang paling dekat dengan sekolah.
“ Siapa kata? Saya tak setuju apa-apa pun,” muncung mulut Hanan.
Abrar tergelak.“ Tak puas hati lagi? ” berkedut dahinya menghadapi tunang yang degil seperti Hanan. Sabarlah hati, tak lama lagi mesti dia dengar cakap aku!
“ Yelah, siapa yang puas hati kalau buat keputusan berat sebelah? Saya tak rela! ” tegasnya tanpa kompromi. Sengaja menunjukkan protes.
Abrar menelan liur. Hanan memang suka mendera perasaannya. “ Jangan buat mulut macam tu, jantung abang boleh meletup tengok bibir tu.” Gumamnya sebelum mengalihkan pandangan. Dia betul-betul memaksudkan kata-kata itu. Abrar dapat merasakan setiap detak jantungnya hampir lemas melihat bibir yang asyik mencebik geram padanya.   
             Pantas Hanan menarik muncung lalu mengetap kuat dua ulas bibirnya. Terkejut dengan kenyataan itu. Rasanya jantung dia pula mahu meletup gara-gara ucapan Abrar. Tersekat-sekat alur nafasnya bersama mata yang terkebil-kebil. Sungguh Hanan cukup tidak sedar akan reaksi yang dipertontonkan. Tidak menyangka Abrar begitu berani berkata demikian. Sangat jujur tanpa silu. Hanan seram tiba-tiba.

“ Kalau dah tahu jantung tu nak meletup, lain kali tak payah pandang orang macam nak telan. Pandanglah tempat lain. Lagi aman damai jantung tu.” Tukasnya berani.
“ Buat apa nak pandang orang lain, nanti tunang abang marah pulak. Lagi baik pandang tunang sendiri sebab tak lama lagi semua yang abang pandang tu akan jadi milik abang jugak.” ucap Abrar selamba dan mendatar. Perilaku yang ditunjukkan santai dan tenang.
 Kali ini anak mata Hanan terjegil bulat. “ Jangan yakin sangat! Belum tentu lagi..”
“ Kalau Hanan sayang dekat mulut tu, lebih baik berjaga-jaga. Jangan cakap sesuatu yang mampu buat abang padam semua kata-kata Hanan.” Abrar mencelah. Memintas bicara Hanan. Sakit hatinya dengan kata-kata itu. Nampak sangat Hanan cuba menggertak dia untuk berbalah lebih lanjut. Bercakap soal ketentuan takdir yang masih belum menentu. Abrar pasti gadis itu sedang berusaha mencari jalan untuk keluar dari ikatan antara mereka.
Secepat kilat Hanan menekup mulutnya. Terperanjat sangat. Beraninya dia cakap macam tu!
  InsyaAllah kita akan bersatu jugak, Hanan dan abang akan jejak pelamin bersama. Jangan harap Hanan boleh terlepas daripada abang. Pelamin angan kita takkan musnah sebab abang yakin Hanan hanya untuk abang,” Abrar menekan ucapannya. Serius mukanya. Marah kerana Hanan suka bermain tarik tali sejak mereka bertunang.
Termangu-mangu Hanan. Masih tergamam. Belum pernah mana-mana lelaki di luar sana lancang berkata begitu padanya selain daripada Abrar, tunangnya sendiri. Sejak bila dia pandai gertak aku? Dari siapa dia belajar main ugut-ugut aku sekarang?
“ Balik pada topik asal, selepas kahwin abang nak kita hidup bersama. Bukan seorang kat utara, seorang lagi ke selatan.” Abrar menambah lagi. Dia menggunakan pendekatan yang dipelajari daripada Fahmi dalam menangani Hanan. Gadis itu bersifat degil dan akan memberontak jika hatinya tidak berkenan kerana itu Abrar mempraktikkan ketegasan dalam berurusan dengan Hanan.
“ Tapi saya dah kata tadi, saya nak habiskan praktikal dulu. Lepas tu, nak cari tempat mengajar yang tetap.” Katanya masih teguh dengan pendirian yang sama.
“ Berapa lama tu? ” soalnya seraya menyisip minuman Nescafe ais.
“ Dalam setahun,” Hanan menjawab tanpa ragu-ragu setelah berfikir panjang.
Abrar hampir terjeluak. Gelas air ditolak ke tepi. “ Setahun? Hanan jangan nak kelentong abang. Mana ada orang praktikal sampai setahun. Paling lama pun enam bulan aje, lagi-lagi jadi cikgu! ” Bulat mata kuyu Abrar kerana terperanjat. Jari telunjuknya siap diangkat sebagai isyarat untuk ‘satu tahun’. Agak-agaklah nak menipu pun, praktikal jadi cikgu aje pun bukannya macam doktor pelatih, paling lama dua tahun! 
Jangan sampai jari aku ni mendarat ke mulut dia yang agak ‘lepas’ tu. Tengok mulut dia bukan main comel tapi bila bercakap pedas betul. Nasiblah aku boleh tahan lagi. Kenapalah Hanan suka sangat duga abang?
Abrar tahu Hanan sengaja memperbodohkan dirinya, dan dia tidak akan membiarkan perkara itu berlaku. Nak tak nak, aku mesti takluk Hanan dalam tempoh kurang enam bulan ni jugak, titik!
“ Bila masa saya nak ting tong awak. Masa setahun tu cukup fleksibel untuk habiskan praktikal dan cari tempat mengajar yang sesuai. Kalau dah dapat kerja nanti mestilah saya kena ambil masa sesuaikan diri dulu kat tempat baru tu. Kemudian barulah boleh fikir pasal kahwin. So, pada saya masa setahun tu kira okeylah untuk bersedia menjadi seorang isteri dalam posisi yang selesa.”
“ Buat apalah nak bersedia sangat! Hanan bukannya nak kahwin dengan anak raja pun,” sungut Abrar. Mukanya mencuka. Langsung tidak bersetuju.
“ Salah tu, sebab tak kahwin dengan anak rajalah saya kena bersedia. Kalau kahwin dengan anak raja, tak payahlah nak sediakan diri sangat.. sebab dah tentulah anak raja tu tanggung dari hujung kaki sampai hujung tudung.” Bidasnya pula.
Abrar tercengang. “ Hanan memang sengaja, kan? Nak calarkan mood abang? ”
“ Eh, tak terniat pun dalam hati, okey? Saya cuma cakap benda yang betul pada pandangan saya. Takkan cakap macam tu pun perasaan awak dah tercalar? Sensitifnya..” balasnya selamba sambil buat muka tidak bersalah depan Abrar.
Abrar memejamkan mata. Menenangkan jiwa yang tunggang terbalik dikerjakan oleh Hanan.
Relax Abrar..jangan cepat melatah.  Hanan sedang menguji tahap kesabaran kau dalam menangani dia so, kau mesti pupuk  perasaan SABAR. Biarkan dia bercakap ikut suka sebab lepas kahwin nanti kau ada banyak cara untuk diamkan dia. Sekarang bagi Hanan menang dulu. Tapi yang penting jangan sampai dia pijak kau, itu bukan sabar lagi tapi dah jatuh grade biul @bendul!
“ Suka hatilah Hanan nak cakap apa pun, abang tak peduli. Yang abang tahu, kurang enam bulan kita dah kahwin.”
“ No, saya tak mahu. Mana boleh awak tetapkan sesuka hati awak.” Hanan terasa nak menyinga. Sememangnya dah semula jadi singa pun sejak berdepan dengan lelaki bernama Abrar!
“ Bukannya abang yang tetapkan, tapi ini hasil perbincangan orang tua kita. Dia orang nak buat lekas-lekas sebelum keluarga abang balik semula ke KL.”
Kepala Hanan sudah terangguk-angguk.  “ Eloklah tu, awak balik ke KL dulu. Lepas setahun kita berjumpa balik, lepas tu baru fikir soal kahwin. Dalam tempoh tu, siapa tahu ingatan awak yang hilang  pulih balik. Masa tu nanti saya tak kisah kalau awak nak putuskan pertunangan kita.” Laju Hanan menjawab. Tanpa berfikir panjang mulutnya membalas macam bertih jagung yang baru siap masak. Panas!
“ Ohhh, itulah sebabnya Hanan sengaja mintak tempoh setahun? Sengaja cari jalan untuk kita putus tunang? Sengaja nak berpisah dengan abang pakai cara ni? Kejamnya..”
 “ Saya rasa itu jalan terbaik, sebelum kita menyesal baik berfikir lama-lama nanti tak adalah masing-masing kecewa.” Perlahan suaranya membela diri. Terdera jiwanya apabila dituduh ‘kejam’ oleh jejaka itu. Kejamkah aku? Tapi kenapa aku rasa ini jalan yang terbaik untuk kami berdua?
“ Sebab itulah abang suruh Hanan yakin dengan abang. Kalau Hanan yakin tak adanya timbul rasa kecewa tu. Lagipun Hanan sendiri tak pasti apa yang bakal terjadi, jangan cepat sangat judge sesuatu pakai mata. Manalah tahu entah-entah Hanan boleh terjatuh hati dekat abang sebelum kita kahwin.”
Aku jatuh hati dengan dia? Detik hati Hanan.
“ Macam abang cakap dulu, takkan ada istilah kecewa sebab kisah kita belum lagi bermula. Bila dah kahwin, dah sah jadi suami isteri nanti barulah kita akan sama-sama melakar novel cinta kita. Samada akan kekal bersama selamanya atau tak, semuanya bergantung atas diri kita. Yang penting yakin pada diri sendiri.” Tambah Abrar lagi semata-mata mahu memujuk gadis itu agar yakin padanya. Sekali gus menawan Hanan untuk setia dan teguh dalam ikatan mereka yang masih rapuh.
“ Sebab yakinlah.. saya cadangkan perkara ni pada awak,” gumam Hanan saat berpaling ke arah lain. Tidak mampu memandang sorotan mata Abrar yang seolah-olah sangat resah dengan dirinya yang sering tidak tetap pendirian.
“ Hanan..please jangan buat abang macam ni. Hanan dah bagi abang harapan sejak Hanan setuju dengan pertunangan kita. Jangan bagi abang kecewa sebelum kita mencuba. Abang harap sangat semuanya akan berlaku dengan mudah, jangan rumitkan keadaan lagi sayang. ” Abrar memohon. Sungguh dadanya gentar sejuta rasa jika Hanan mengambil keputusan nekad untuk bubarkan segalanya.
Hanan telan liur. Sayang? Alahai, dia rasa sangat terbuai mendengar setiap patah kata Abrar. Nadanya kedengaran sayu, sedih dan sangat berharap. Sesaat dua selepas itu Hanan berasa tertekan pula.
‘Kau jangan buat gila Hanan! Mulut kau tu memang pandai cakap, bedal ikut suka lidah kau. Padahal sebenarnya kau tak sanggup batalkan pertunangan ini, kan? Kau sengaja nak bagi Abrar ‘ribut’ macam sekarang, kan? Suka tengok dia jadi tak tentu arah? Sudahlah tu dera perasaan dia, nanti menangis pulak anak teruna Haji Asri dengan Hajah Salmi.’ Monolog Hanan dalam dirinya.   
“ Doktor? Doktor Zikry! ”
Abrar dan Hanan terkedu. Terpinga-pinga apabila ada seorang perempuan mencelah perbincangan mereka. Sudahlah perempuan tersebut berpakaian ala-ala ketat sarung nangka. Siap dadanya terbuka lebar dengan skirt sempit paras lutut. Menampilkan setiap rahsia kewanitaan yang sepatutnya diselindungi daripada pandangan yang bukan mahram. Rambut pula diwarnakan coklat keperangan. Hilang ciri-ciri ketimuran jika ingin ditilik satu persatu.
Terkelip-kelip biji mata Abrar. Berkerut keningnya menjeling perempuan yang sudah mengambil tempat duduk di sebelahnya. Turut berada di situ dua orang kawan si perempuan yang berdiri macam bodyguard. Cara pemakaian juga tidak jauh beza daripada gadis yang sedang terpegun menatap Abrar.
Hanan teguk liur. Malu menonton kaum sejenisnya yang begitu ‘daring’. Islam ke tak dia orang ni? dia musykil sendiri.
Thanks god.. saya jumpa doc kat sini. Macam tak percaya! ” getusnya tersangatlah teruja. “ Jun, Lina, inilah doktor yang selalu aku cakap tu! Nama dia.. Abrar Zikry. ” Perkenal perempuan itu pada rakan-rakannya.
“ Doktor yang mana? ” soal Jun yang memakai jeans yang dikerat tiga suku dengan baju t-shirt sendat dan singkat sehingga menonjolkan pusat.
“ Alah, doktor yang rawat aku masa aku kena apendiks dulu.” Jelasnya lagi.
“ Ohh, jadi inilah doktor yang kau asyik cerita tu? ” teka Lina pula dengan mata terbelalak.
Perempuan itu lekas mengangguk tanpa ragu-ragu.
“ Patutlah kau angau nak mampus! Handsome doh.. ” balas Jun . Tergelak-gelak perempuan itu mendengar komen temannya.
“ Bukan setakat angau tapi dah kemaruk sangat kut,” sampuk Lina. Ketiga-tiganya merenung Abrar tanpa kelip. Tanpa mempedulikan gerangan siapa wanita yang berada di depan jejaka itu saat ini.
“ Hai, doc! Ingat saya lagi tak? ” tegur perempuan tersebut dengan senyuman paling lebar dan manis.
Abrar tersenyum nipis. “ Awak pesakit saya dulu? ”
Perempuan itu mengangguk laju. “ Dah lama kita tak jumpa, saya tak salahkan doktor kalau doktor tak ingat saya. Lagipun banyak lagi patient yang doktor kena handle selain saya. By the way, saya Ella, Norlaila. ” Ella menghulurkan tangan.
Oh, Islam rupanya! Hanan menyisip minumannya. Melarikan tumpuan daripada wayang yang berlaku depan mata.   
            Since awak dah kenal saya, tak payahlah saya kenalkan diri.” Kata Abrar selepas menyambut huluran tangan Ella dan teman-temannya. Sekadar menghormati gadis itu sebagai bekas pesakit seperti yang diucapkan sebelum ini.
I’m confusing, kenapa sekarang doc boleh ada dekat Ipoh? Bercuti ke? Dah tak kerja dekat KL lagi? Or doc kena transfer ke sini? ” soal Ella bertubi-tubi dengan riak terlalu teruja untuk mengetahui perkembangan jejaka itu.
“ Saya tengah bercuti panjang sekarang.”
“ Oh, yeke? Rumah doc kat mana? Boleh saya datang melawat,” tanpa segan Ella bertanya lanjut.
Hanan telan liur. Tergamam. Dia mula terfikir, di mana letaknya maruah seorang wanita yang Allah tekankan dalam Al-quran supaya memelihara setiap kecantikannya, baik luar dan dalaman.
“ Saya tak menetap kat Ipoh. Saya ke sini sebab nak jumpa tunang saya.” Abrar terus-terang ketika menghalakan wajah ke depan. Dia tersenyum pada Hanan.
“ Tunang? ” dalam terkejut Ella lantas memandang kepada wanita yang duduk senyap di hadapan Abrar.
“ Kenalkan tunang saya, Hanan. ” Abrar memperkenalkan Hanan dengan cara yang paling terhormat. Sejajar dengan perasaannya yang sering dibelenggui gadis itu.
Hanan mencuit senyuman kecil di pinggir bibir. Lesung pipitnya membentuk. Dalam. “ Hai,” sapanya sekadar berbahasa.
Abrar teguk liur. Berdegup kencang jantungnya. Pertama kali di ruangan matanya. Indah sungguh permandangan itu walaupun hanya selayang pandang. Hanan senyum??
“ Hai..” balas Ella dalam senyum tawar. Tangannya dilambai sekilas sekadar menyapa. Kelihatan amat hambar. Dia kemudian memandang  pada Jun dan Lina dengan muka mencuka. Kecewa dan terkilan dengan berita itu. Malu sendiri kerana doktor kesayangannya telah menjadi milik wanita lain.
Namun sejurus itu, Ella menuntaskan renungan pada Abrar semula. Bersinar galak anak matanya saat itu.“ Doc nak number saya? Mana tahu kalau datang Ipoh lagi doc nak contact saya. Boleh kita sembang-sembang.” 
“ Sure..” Abrar mengeluarkan handphone dari dalam poket seluar jeans hitam yang dipakai. Kemudian dengan rela diserahkan pada Ella.
Tersiat senyuman  Ella ketika mendapat telefon bimbit itu. Lagaknya seperti diberikan cincin berlian bersalut emas. Senyuman yang begitu bahagia bersama hati yang berbunga-bunga.
“ Kita tukar phone number, boleh? ” Tanya Ella bersungguh.  Abrar mengiyakan. Ella tergelak girang sejurus itu. 
Hanan tercegang. Kembang kempis hidungnya menahan perasaan yang tidak menentu. Air muka Abrar yang suci tanpa dosa membuatkan Hanan kelu seribu patah kata. Dengan senang hati lelaki itu menawarkan peluang pada Ella untuk mereka terus berhubung. Langsung tidak menampakkan rasa bersalah! Selamba dan sempoi sampaikan gajah depan mata pun dia buat-buat tak nampak!
Okay, Hanan please take a deep breath. Ini bukannya drama akasia atau cerekarama. Ini adalah reality so, jangan buat hal dekat tengah food court. Itu cuma bekas pesakit Abrar. Tak perlulah kau nak rasa tergugat.
 Wait, kau jealous ke? Soalan cepumas itu menerpa laju ke minda.

Tersentak dan tersedar dengan bisikan hatinya. Serta-merta perasaan Hanan kembali sejuk. No, I’m not jealous! Itu hak Abrar untuk berhubungan dengan sesiapa pun. Elok juga Abrar tertawan dengan gadis tu, mungkin itu yang terbaik untuk dia. Yalah, gadis tu nampak teruja sangat bila berjumpa dengan Abrar. Tentu ada cinta di hati gadis itu buat Abrar..
“ Kalau doc sunyi or need someone to talk, just call me. Even tak sunyi pun boleh call jugak, lagi digalakkn. Please.. jangan segan dengan saya, I’m a friendly person.  Tak percaya tanya my friend dua orang ni, dia orang pun very friendly like me. Anytime and anything you want from me, just call me, ” bersungguh-sungguh Ella berbicara. Lunak dan mesra menggoda. Sengaja menunjukkan sisi dirinya yang mudah didekati dan dimiliki. Supaya nanti Abrar tidak gentar dan ragu-ragu untuk datang kepadanya bila berkesempatan.
 Sure,” Abrar membalas dengan hati yang lapang. Tersengih di hujung bibir.
“ El, kita dah lambat ni.” Jun mencelah sambil menayangkan jam tangannya.
Okay, got to go. Nanti jangan lupa call saya okey.” Suara Ella berharap sungguh kali ini.
Sure..” Abrar ringkas menjawab.
Hanan mencebik dalam hati. ‘Sure, sure, sure!’ ajuk hatinya.
Bye, doc..” Sela Ella seakan berbisik lembut di telinga Abrar. Lambaian mesra diperlihatkan. Sayu raut wajahnya terpaksa berpisah lagi dengan doktor pujaan hatinya.
 “ Er..mungkin pesakit abang dulu,” beritahu Abrar sekadar menghindar rasa kekok yang tiba-tiba singgah. Macam orang baru lepas buat salah. Itupun setelah Ella berlalu pergi. Terasa lapang sungguh dadanya saat ini. Dia melayan sekadar menghormati bekas pesakit yang pernah dirawat olehnya.
“ Rasanya memang pesakit awak.” Tembak Hanan.
“ Entah, abang tak ingat.” Akuinya jujur.
“ Takkan tak ingat? Entah-entah buah hati awak dulu. ” Hanan menebak.
Abrar lekas menggeleng. “ Abang berani botakkan kepala, perempuan tu bukan taste abang.” Sengaja Abrar bikin lucu. Mengelakkan sangkaan Hanan yang hanya akan menjatuhkan sahamnya untuk menawan gadis itu.
“ Amboi, demand! Habis tu, apa taste awak? ” terjungkit kening Hanan. Kembang hidungnya menahan tawa. Disamping meluat dengan Abrar yang berlagak. Nak botakkan kepala konon. Tinggi betul dia punya taste. Beranganlah tu nak yang hebat-hebat! Apa agaknya cita rasa doktor sombong ni?  Model antarabangsa? Pramugari yang cantik molek? Atau doktor macam dia jugak?
“ Takkan tak tahu? ” Abrar balas dengan soalan semula.
Berkerut kening gadis itu. “ Kalau tahu tak tanya! ”
“ Sepatutnya Hanan tahu dan kenal diri sendiri. Abang pilih Hanan tentulah gadis tu tahu ciri-ciri apa yang ada dalam diri dia.” Ucap Abrar. Matanya redup merenung gadis pilihan hatinya.
 “ Walaupun pendirian Hanan tentang abang asyik berubah, abang akan terus bertahan. Walaupun susah untuk yakinkan Hanan abang tetap berusaha untuk Hanan. Dan kalau Hanan suka main tarik tali, abang pulak akan tarik tali tu kuat-kuat supaya Hanan jatuh pada abang. Abang takkan lepaskan walaupun abang perlu mati untuk pertahankan Hanan.”   
Hanan terkedu. Air liurnya hampir tersangkut di kerongkong. Bulu romanya sedikit meremang. Ternyata kata-kata itu telah berjaya menusuk ke jiwanya. Memanah ke setiap penjuru anggota tubuh. Tipulah Hanan jika dia menafikan ucapan Abrar langsung tidak mengusik naluri wanitanya. Sedangkan sememangnya dia sangat terusik dan senang dengan setiap bicara Abrar yang kerap membelai jiwanya.
“ Kita ikut plan orang tua kita ya? ” cadang Abrar dalam versi memujuk.
“ Hah? ” terperanjat Hanan. Perasaan bahagia yang singgah sirna serta-merta.
“ Abang tak mahu memaksa. Jauh lagi daripada kita kahwin paksa @ terpaksa kahwin. Abang nak Hanan rela dengan semua ni. Belajar ikhlaskan hati untuk terima diri abang sepenuhnya. Dan abang tak mahu pendirian yang tak tetap. Hanan mesti yakin dengan apa yang bakal kita tempuh untuk masa depan nanti.”
Hanan.. ‘ kun fayakun’  Allah kata jadi maka jadilah, walaupun kau tak sangka perkahwinan ini akan berlaku juga. Kalau kau terfikir nak larikan diri, silakan tapi ingatlah takdir itu takkan pernah berubah. Jodoh pula adalah ketetapan yang tidak dapat dipinda. Walaupun kau lari sampai ke pusaran Segi Tiga Bermuda sekalipun tetap terpateri jika dia adalah untuk kau. Lari daripada takdir takkan mampu mengubah apa-apa  melainkan kau berusaha untuk menukar jalan cerita ini.
‘ Tapi sanggup ke kau buat Encik Malik dengan Puan Norsal berduka cita, bermuram durja wahai Hanan...’ hati berbisik syahdu.
“ Hanan..kenapa diam aje? Bagilah respon, abang..”
“ Bagi saya masa..nanti saya text awak.” Hanan memintas dengan wajah yang kelihatan sedikit tegang dan tertekan. Stress memikirkan situasi yang membelenggu. Cuak mengenangkan harapan Abrar, impian mak ayahnya dan bakal mertuanya.
“ Okey..tapi jangan lama-lama sebab sampai tarikh tu kita tetap akan kahwin.”
“ Sampai tarikh tu abang tak mahu Hanan rasa terpaksa berkahwin dengan abang. Hanan mesti rela..zahir dan batin. Jangan sampai abang kena tidur asing dari bini sendiri sudahlah.” Sempat pula Abrar menambah sepatah dua kata. Demi menjamin kesejahteraan bersama sewaktu mereka telah sah kelak.
Hanan menjeling. Mengetip kuat bibir dan gigi. Bengang dengan mulut Abrar yang suka benar menakal. Mengusik keharmonian jiwanya. Dalam pada itu, dia gelabah sungguh. Cuak. Zahir dan batin?? Perkara-perkara yang zahir memang mampu digalasnya kelak tapi kalau bab yang lebih sulit sampai tahap batin, Hanan terasa mahu tergolek ke bawah meja. Gerun menafsirkan ayat Abrar yang terlalu berhikmat. Dia lebih sanggup tidur bawah katil daripada sekatil kalau Abrar menuntut yang bukan-bukan.
“ Jangan merepek boleh tak? Benda tak jadi lagi, tak payahlah fikir bukan-bukan.” Getusnya geram. Perasaan silu dan segan ditolak ke tepi.
“ Abang tak fikir pun cuma membayangkan kalaulah benda tu terjadi.” Abrar ketawa kecil sejurus itu.
Dia bayangkan?? Hanan terkulat-kulat. Apa yang dia bayangkan? Siap gelak-gelak pulak tu! Aku confirm mesti benda yang tak senonoh. Mesti dia bayangkan aku dan dia… no, no, tolonglah otak be nice to me. Jangan fikir terlalu mendalam. Jangan pedulikan kata-kata miang Abrar. Ahh…balik ni aku mesti celup kepala dalam kolah dekat dalam bilik air. Cuci dan nyahkan segala kata-kata Abrar yang ‘gatal amat’ tu! Brainwash sampai puas hati..tapi jangan sampai semua rambut kau luruh dalam kolam sudahlah, nanti bising pulak Ustazah Hidayah.
“ Saya nak balik. Hantar saya balik! ” gesa Hanan.
“ Aik, cepatnya nak balik? Kenapa tiba-tiba? Banyak lagi perkara abang nak cakap.”
“ Saya rasa semuanya dah dibincangkan. Point utama awak pun saya dah tahu.”
“ Abang tak habis lagilah, banyak lagi perkara abang nak bualkan dengan Hanan.”
“ Sudahlah, saya letih nak dengar. Perkara yang awak cakap mana penting pun, asyik nak merapu. Siapa tahan kalau asyik merepek benda yang bukan-bukan.” Tukas Hanan.
“ Sayang..semua yang abang cakapkan penting tau. Ikhlas dari hati abang.”
“ Simpan ajelah lain kali, saya dah penat nak dengar celoteh awak.”
“ Maknanya lain kali abang boleh datang melawat Hanan lagi? ” Abrar bertanya dalam senyuman lebar. Nampaknya Hanan mengalu-alukan kedatangannya. Bagaikan bercahaya wajah Abrar. Ceria dan teruja. Okey, minggu depan aku akan terpacak lagi depan pintu sekolah dia. Biar satu sekolah tahu bahawa Cikgu Hanan Safura sudah ada pemiliknya. Siapa yang berani masuk jarum perlu berdepan dengan aku. Rancangnya dalam benak.
Hanan tercengang. Alah, salah cakaplah pulak!
“ Okey nanti abang datang lagi.” Putus Abrar mendadak.       
“ Jangan! ” tegah gadis itu. Terkebil-kebil biji mata Abrar.
“ Kenapa pulak? Tadi elok aje cakap boleh! ”
“ Err..tak payahlah selalu datang. Kita cuma bertunang bukannya suami isteri. Tak eloklah kalau pelajar saya selalu perasan kita keluar berdua. Tak baik untuk image saya sebagai seorang pendidik.” Ulas Hanan menjawab persoalan Abrar. Sungguh apa yang diungkapkan adalah kata-kata spontan yang terlintas di ruang minda. Hanan belum sempat menganalisis ucapannya itu, sama ada kurang logik atau masih boleh diterima. Doanya dalam hati semoga Abrar termakan kata-katanya.
“ Lagipun orang tua selalu pesan jangan selalu jumpa nanti hilang seri. Darah manis, kan? ” Hanan terus menggula-gulakan Abrar. Terus mengukuhkan hujahnya. Hanan berharap Abrar faham dengan maksud yang ingin disampaikan.
“ Ohh, kalau macam tu..abang datang dua minggu lagi.”
“ Kalau tak datang terus pun lagi okey,” gumamnya di hujung bibir sambil memusingkan wajah ke sebelah kanan. Risau pula Abrar terdengar bicara lepas dari mulutnya.
“ Apa dia? ”
“ Awak tak payahlah susahkan diri ke sini sebab saya akan balik kampung jugak. Kalau ada hal penting sekalipun, kita bincang depan keluarga nanti. Tak eloklah berduaan macam ni, orang pandang tak manis. Nanti orang ingat kita dah tak sabar-sabar nak kahwin.”
“ Memang itupun yang abang nak. Biar orang lain nampak lekas sikit kita naik pelamin.” Ujar Abrar selamba. Langsung tidak segan menyatakan hasrat hati. Hanan pula terasa mahu mengeluarkan aura marah. Ingin ditarik telinga Abrar luas-luas biar faham dengan maksudnya. Orang nak lambatkan dia pulak sibuk nak cepat!
            “ Dahlah, bercakap dengan awak ni tak pernah berhenti, saya letih tau. Nak balik tidur lagi baik.”
            “ Yelah, kita balik. Abang takkan paksa kalau orang tu tak suka. Tapi sebelum balik, abang nak pergi tunaikan Solat Asar sekejap. Hanan boleh solat? ” Tanya Abrar secara live. Direct question yang membuatkan Hanan tercengang. Menghadirkan seribu malu dalam dirinya. Memerahkan serata wajahnya. Ahh, lelaki ni memang suka mencetuskan kegawatan dalam dada aku! Dia ingat aku kawan lelaki dia ke sampai bertanyakan soalan cepumas macam tu? Siap dengan muka suci lagi tawadduk tu? Errr…
“ Ohh, tak boleh erk? Kalau macam tu tunggu abang kat sini, surau kat hujung sana aje.” Abrar buat kesimpulan bila Hanan seolah-olah malu dengan pertanyaannya.
“ Tak malu betul,” gumamnya bila Abrar beredar. Sempat dia menjeling meluat.
“ Jangan main mata dengan laki lain tau,” pesan Abrar di telinga Hanan. Lebih kepada berbisik.
Tersentak. Hampir Hanan tertepis gelas minumannya. Tidak menyangka Abrar akan berpatah balik. Hampir terlompat keluar isi jantungnya dengan perbuatan lelaki itu.
Sorry, abang buat Hanan terkejut..tapi pesanan abang tu Hanan kena ingat tau. Walaupun abang tak nampak tapi Allah dan kedua-dua malaikat yang ada kat bahu Hanan tetap nampak. So, please tundukkan pandangan.”
“ Hissyhh, orang tahulah.” Hanan menggerutu. Rasa sakit hati dipesan begitu. Macamlah aku ni perempuan tak tahu malu, maruah aku tinggi tau!
Please promise pada abang dulu,” pinta Abrar.
“ Awak pergilah solat tak payah risaukan benda yang bukan-bukan. Takkan tak percaya dengan saya? Lagipun saya tak ada masa saya nak melayan lelaki lain.” Dengan awak pun saya tak terlayan ini pulak nak tempah bala lain!

Promise me first,” Abrar tetap mahukan Hanan ikut berjanji.
“ Ya Allah..okey.. promise! ” ucapnya beralah. Dia menghelakan nafas seperti melepaskan bebanan berat. Bengang dan sasau kepala otaknya gara-gara Abrar.
Good girl..now abang boleh solat dengan khusyuk dan tenang.” Abrar lantas berlalu dengan muka yang ceria lagi damai.
“ Silakan Encik Abrar.” Tempelaknya pada gelas minuman Abrar yang terletak tepat di matanya. Ikutkan hati, nak je aku tabur julap dalam air tu biar Abrar ‘lenyap’ dalam dunia aku sekarang! 






4 comments:

  1. Ku suka sgt.....

    ReplyDelete
  2. hahaha... sabar ja la Hanan dpt tunang yg sengal. Tp wlau ingatan Abrar dtg smula rasanya dia takkan sesal pun dgn perkahwinan dia sbb mmg dr dl dia ada hati kat Hanan tp Hanan yg jual mahal. kan??? kan???

    ReplyDelete
  3. makin best crite nih...teruja ke n3 pasnih..heeheeee cepat tempek yer dek...

    ReplyDelete
  4. Dear IVORYGINGER tenkiu sudi bace, suke dgn keterujaan awk :D

    Dear kak norihan mohd yusof, tenkiu krn sudi snggah dn bace, insyaAllah aii akn update secepat mngkin ^_^

    ReplyDelete

hai ! terima kasih ^.^