Followers

/ Tagboard \

We are really hope that you will get something with this blog. Please respect to each other and keep enjoying with us ^.^
.Images are credit to Google.

Bab 23

Sakinah keluar dari kamar mandi. Rambutnya yang basah dikesat-kesat pada tuala. Malam itu seperti malam-malam yang lalu, Sakinah hanya ringkas mengenakan t-shirt serta berkain batik. Kemudian Sakinah menjenguk ke dalam baby cot. Shafiq sudah sedar dari tidurnya. Tangan kecil dan mulus itu terawang-awang seperti ingin menggapai sesuatu. Sakinah tersenyum.
Seusai mengerjakan solat maghrib, Sakinah duduk di depan meja solek. Rambutnya di sikat perlahan-lahan. Dilurut-lurut rambutnya yang panjang dan lurus itu. Bebola matanya tertangkap satu tanda merah di leher. Sakinah mendekat ke cermin. Kolar t-shirt ditarik. Ada satu lagi di pangkal leher.
 Bayangan wajah Rafiq mencumbuinya tergambar di ingatan. Sakinah agak mungkin kesan cumbuan itu. Wajahnya memerah tiba-tiba. Terasa segan untuk turun ke bawah. Dia malu untuk berhadapan dengan Rafiq. Tapi juadah makan malam harus disediakannya. Nak tak nak kena turun jugak! Desis hati Sakinah.
Sakinah mengambil hero kesayangannya keluar dari dalam baby cot. Dia membawa Shafiq turun ke tingkat bawah. Dijenguk ke ruang tamu. Rafiq tiada di situ. Selalunya suaminya akan duduk di ruang tamu sambil menonton berita sementara menunggunya  menghidangkan makan malam.
Shafiq diletakkan di dalam kerusi yang khas untuk bayi. Sakinah membetulkan kedudukan duduk Shafiq agar anak itu tidak merengek atau menangis kerana tidak selesa. Sebelum melangkah ke dapur, Sakinah sempat mengucup beberapa kali pipi Shafiq. Akibat kegelian Shafiq ketawa sambil merengek manja. Mata Shafiq yang bulat itu terkebil-kebil memandangnya.
Dipanaskan lauk asam pedas ikan pari, sayur masak lemak dan ayam masak merah yang sempat dimasak petang tadi. Kemudian dihidang semuanya di atas meja makan di ruang tengah antara ruang tamu dan dapur. Sakinah perasan kelibat Rafiq turun dari tingkat atas. Dia kembali semula ke dapur. Malas bertembung pandangan dengan suaminya. Jauh di sudut hati Sakinah tetap bersedih dengan perlakuan Rafiq petang tadi walaupun sebenarnya semua itu hanya satu salah faham.  
Rafiq turut ke dapur. Shafiq yang sedang menggigit-gigit permainan yang diberikan didukung oleh Rafiq. Dikerling lewat ekor matanya gelagat isterinya yang pantas membuat kerja. Rafiq mengacah-acah anaknya. Dihalakan pipinya yang berkumis ke pipi Shafiq. Kumis yang belum dicukur meliar ke bahagian bawah wajah begitu menggelikan anaknya. Terkekeh-kekeh Shafiq ketawa.
“ A..bah..” suara halus Shafiq kedengaran. Rafiq semakin seronok mengacah anaknya.
Sakinah memandang ke belakang. Rupa-rupanya kedua-dua anak beranak itu sedang bergurau. Patutlah dia pelik mendengar tawa riang Shafiq secara tiba-tiba. Sakinah langsung meneruskan kerjanya walaupun agak kekok dengan kehadiran Rafiq.
Air sirap yang dibancuh dimasukkan ais. Jag air sirap itu diangkat ke ruang makan beserta dengan sebiji gelas. Sakinah masuk semula ke dapur lalu mengambil pula mangkuk kaca untuk diisi nasi. Kemudian dihantar ke meja makan. Sepanjang berulang-alik dari ruang dapur ke ruang makan sikitpun Sakinah tidak menegur Rafiq. Sengaja membiarkan suaminya bermain dengan Shafiq.   
“ Makan malam dah siap. Abang pergilah makan. Bagi Shafiq pada Kinah,” ujar Sakinah. Pandangannya dilarikan dari menatap wajah suaminya. Sakinah hanya memandang Shafiq.
Rafiq memberikan Shafiq pada isterinya. Shafiq yang memang berkobar-kobar untuk pergi kepada Sakinah menghulurkan tangan. Sakinah meletakkan Shafiq semula ke dalam kerusinya. Rafiq sudah beredar ke meja makan. Sakinah mengambil sepiring nasi yang telah dilenyekkan yang dicampur dengan isi ikan serta sedikit kuah masak lemak.
Shafiq mengunyah perlahan-lahan dengan berbekalkan empat batang gigi. Sakinah kemudian menyuakan air melalui sudu ke bibir comel itu. Selepas membersihkan mulut Shafiq, Sakinah membancuh sebotol susu. Selepas itu, barulah Shafiq dibawa keluar dari dapur. Sakinah terpegun di ruang makan. Rafiq terkebil-kebil. Hampir saja mereka bertembung jalan.
“ Abang nak ke mana? Kenapa tak makan? ” Tanya Sakinah setelah menyedari lauk masakannya tidak langsung dijamah. Isyh, dia ni takkan nak buat hal lagi? Tak lalu nak makan masakan aku ke? Soal hatinya.
“ Er..nak cuci tangan,” balas Rafiq sedikit gugup.
Sakinah musykil. Berkerut keningnya. “ Itu,” dia menunjukkan air basuh tangan yang sudah tersedia di dalam mangkuk kecil di atas meja. Rafiq malu sendiri. Alasannya tidak relevan. Mahu saja dia meluku kepalanya tika itu. Dia kembali duduk. Sakinah mula mengatur langkah semula untuk ke tingkat atas.
“ Kau tak mahu makan? ” Rafiq menyoal sambil mencedok nasi putih ke dalam pinggannya. Sengaja dia mencetuskan perbualan. Mengajak Sakinah untuk berbicara lebih panjang. Namun, hampa. Sakinah sekadar menggeleng sebelum berlalu. 
RAFIQ gelisah di dalam bilik kerjanya. Ke hulu ke hilir Rafiq berjalan di sekitar kamar itu. Memikirkan cara untuk memohon maaf pada Sakinah. Biarpun petang tadi dia telah mengucapkannya tapi Rafiq masih belum berpuas hati. Sakinah tidak membalas ucapannya itu. Malah gadis itu pergi dengan perasan yang berkecamuk. Entah mengapa pula perasaannya yang bersimpang-siur selepas itu.
            Sungguh Rafiq tidak mahu perbuatannya itu kelak bakal membuatkan isterinya itu membenci dirinya. Rafiq rasa tidak betah jika keadaan itu berlaku. Selagi bibir Sakinah tidak membalas ucapan maafnya Rafiq tidak akan duduk tenang. Walaupun terpaksa berulang kali memohon maaf Rafiq rela. Asalkan Sakinah tidak membencinya dan sudi memaafkannya.
Jam di bilik kerjanya menunjukkan pukul sembilan. Rafiq teringat solat isyak yang belum ditunaikannya. Kelekaan berfikir membuatkan dia alpa. Kemudian Rafiq menapak keluar dari bilik kerjanya yang terletak di tingkat bawah. Bunyi pinggan yang saling berlaga kedengaran dari dapur. Rafiq tidak jadi meneruskan niat ke tingkat atas. Sebaliknya langkahnya dihayun ke dapur. Rafiq tahu Sakinah pasti berada di situ.
Sakinah terkejut. Tubuh Rafiq yang terpacak diam di situ memeranjatkannya. Yang pasti Sakinah gelisah menonton sorotan mata Rafiq yang mengenai tepat ke wajahnya. Pandangan mata mereka saling menikam. Sakinah tunduk melarikan anak matanya.
“ Abang nak apa-apa ke? ” Soalnya. Rafiq diam. Sakinah mengagak mungkin Rafiq tidak memerlukan pertolongannya dan mahu dia segera beredar dari situ. Sememangnya Sakinah tidak selesa berlama-lamaan dengan jejaka itu dalam suatu ruang. Tambahan pula kerjanya di dapur telahpun selesai.
“ Sakinah,” suara Rafiq menegur. Sakinah berhenti melangkah. Dia menoleh pada suaminya. Takut-takut Sakinah memandang raut itu tapi Rafiq pula sudah bersedia menentang wajahnya.
“ Aku minta maaf tentang hal petang tadi,” ucap Rafiq. Sedaya upaya diluahkannya. Diharap ucapan itu tidak perlu diulangnya lagi.
 Sakinah memandang pelik. Bibirnya tergamam. Masih enggan membuka bicara. Rafiq pula semakin tidak keruan.
“ Kau tak nak maafkan aku? ” Rafiq bertanya. Perlahan suaranya didengari oleh Sakinah.
“ Abang tak salah, cuma salah faham.” Ujar isterinya.
“ Tapi aku dah berkasar dengan kau. Maafkan aku,” pintanya lembut. Sakinah tersenyum kecil. Rafiq terkedu.
“ Kinah dah maafkan.” Ringkas balasannya. Tidak betah dia bertapa lebih lama di situ. Sakinah rasa seram sejuk tiba-tiba. Malam ini perwatakan Rafiq dirasakan luar biasa. Siap meminta maaf berulang kali padanya. Sanggup merendahkan sifat ego dan pentingkan diri yang dimiliki selama ini. Sakinah tertanya-tanya ke mana menghilangnya sifat suaminya yang semalam dan hari-hari lalu. Dia keliru dalam diam.
            “ Kinah naik dulu,” Sakinah meminta diri. Rafiq lekas mencapai tangan isterinya. Sakinah pula yang terkedu.
“ Kau tunggu sekejap,” Rafiq melepaskan tangan isterinya. Dia berlalu ke ruang hadapan. Sakinah terpegun. Arahan Rafiq tidak berani diingkari biarpun memang dia ingin sangat berbuat sebaliknya. Rafiq muncul kembali dengan sesuatu di tangan.
“ Leher kau merah. Biar aku sapukan ubat.” Botol krim ubat luka itu dibuka. Sakinah terpinga-pinga.
“ Eh, tak apalah. Kinah boleh sapu sendiri.” Tingkahnya menghalang niat Rafiq.
“ Tak apa, biar aku sapukan. Lagipun kau bukannya nampak kesan merah tu,” Rafiq sudah mencalit krim itu ke jari telunjuknya. Bersungguh-sungguh ingin menolong. Padahal krim di tangannya hanya krim luka biasa. Sedangkan apa yang terpalit di leher Sakinah tidak seteruk mana. Sengaja berkelakuan baik supaya Sakinah tidak menyimpan rasa marah di hati dengan kelakuannya petang tadi.
“ Er..Kinah boleh sapu sendiri kat bilik..depan cermin,” bersungguh-sungguh Sakinah ingin menghindar. Gementar sungguh perasaannya.
“ Syuhhh..” jari telunjuk Rafiq yang masih bersih di sebelah kiri kini menekan bibir Sakinah. Mengisyaratkan supaya isterinya tidak membantah lagi. Sakinah tidak terkata  ketika tangan kiri suaminya sudah hinggap di tengkuknya. Sentuhan yang mencemaskan hatinya tiba-tiba.
“ Kalau tak sapu ubat boleh berparut ke? ” Sakinah bertanya untuk menghilangkan kegugupan.
Rafiq tersengih dalam hati. Sungguh polos pertanyaan itu. Ternyata Sakinah kurang arif ataupun mungkin langsung tidak mengetahui perihal itu. Maklumlah umurnya baru menjejaki awal dua puluhan. Lagi pula berasal dari kampung mungkin hal sebegini tidak pernah diketahuinya.
“ Kesan ni takkan tinggalkan parut dan mudah aje nak hilang.” Beritahu Rafiq. Kelihatan terdapat dua kesan merah yang wujud di tubuh itu.
Rafiq jadi malu pada dirinya. Kerana marah dihantui peristiwa lama tubuh Sakinah diperjudikan. Sekarang dia pula yang terhegeh-hegeh memohon maaf. Malah begitu bermurah hati untuk menyapukan ubat. Rafiq terasa keliru dengan perbuatannya. Tetapi perkara yang dilakukan saat ini adalah ikhlas dari hatinya. Jauh sekali berasa terpaksa.
“ Betul ke mudah nak hilang? ” Sakinah masih di topik yang sama. Dia lemas dengan situasi yang senyap dan mendebarkan itu.
“Betul. Tapi kalau tetap tak hilang kita boleh cuba berjumpa doktor,” Rafiq sengaja memperolokkan Sakinah. Teringin menduga reaksi isterinya. Bibir nipisnya tersenyum kecil. Lambat-lambat dia menyapu krim ke atas kesan merah yang dibuatnya. Malah leher isterinya dipandang asyik tanpa disedarinya.
“ Hah, serius sangat ke sampai kena berjumpa doktor? ” tanya gadis itu bingung. Tadi kata senang nak hilang. Tiba-tiba kata nak jumpa doktor kalau tak hilang. Sebenarnya boleh hilang ke tak? Soalnya dalam benak.
“ Seriuslah sebab benda senang nak hilang takkan tiba-tiba tak boleh hilang. Mana tahu kau ada penyakit lain? ” sambungnya lagi menyakat Sakinah. Terasa seronok mempermainkan isterinya.
Sakinah mengetap gigi. Kata-kata Rafiq cukup difahaminya. Nampak sangat lelaki itu berniat mempermainkan dia yang sedia dungu tentang hal-hal yang belum pernah dilaluinya. Maklumlah dia langsung tidak berpengalaman. Memang senang ditipu orang. Dan dia pula begitu mudah mempercayai orang.
“ Dah sudah? ” Sakinah bertanya setelah Rafiq melepaskan lehernya. Suaminya mengangguk sambil menutup krim ubat dengan penutup. 
“ Kalau macam tu, Kinah naik dulu.”
“ Kejap. Aku ada benda nak cakap,” tahan Rafiq. Sekilas Sakinah menatap wajah suaminya sebelum mengalihkan anak mata. Rafiq pula masih setia memandang Sakinah.
“ Lain kali telefon aku dulu kalau ada apa-apa hal yang berlaku di rumah semasa aku di pejabat. Aku tak mahu dikejutkan macam peristiwa petang tadi. Jangan buat hal yang bukan-bukan tanpa pengetahuan aku, sebab aku tak suka.” Rafiq berpesan. Sakinah mengangguk tanda mengerti.
“ Selamat malam,” ucap Rafiq sebelum melangkah pergi. Sakinah mengangguk lagi tapi tercengang selepas itu. Selamat malam? Biar betul? Pertama kali diberi ucapan itu. Sakinah sukar mempercayainya. Malah suara garau jejaka itu menampan lembut di telinga.  Sakinah menarik senyuman di tepi bibir. Pelik dan geli hati dengan pendirian suaminya yang berubah-rubah.   

4 comments:

hai ! terima kasih ^.^