“ Woi, apahal moody semacam ni ? Aku ajak kau ke sini untuk hilangkan rasa tension dalam kepala otak kau tu tapi alih-alih aku pulak yang tension tengok kau macam ni. Apahal? ” Tanya Rudi setelah mengambil tempat di bar lalu duduk bersebelahan Rafiq. Sementara perempuan cantik dan seksi yang dikeleknya tadi masih setia berdiri manja di sisinya sambil mengusap dan mengelus wajah dan lehernya. Dia tersengih pada Rafiq.
Rudi mengangkat jari telunjuk memesan minuman kepada seorang lelaki yang bertugas sebagai pelayan bar. Tidak perlu dia bersusah-susah menyebut pesanan minuman yang perlu dihidangkan kerana pelayan bar itu cukup mengenalinya.
“ So, apahal yang buat kau runsing sangat ni? “ Soal Rudi lagi apabila melihat Rafiq masih diam membisu. Minuman koktel diletakkan dihadapannya oleh pelayan bar.
“ Kau rasa masalah aku yang paling rumit sekarang ni apa? ” Rafiq melemparkan pandangan kepada sekelompok manusia yang asyik menari. Suasana meriah dalam kelab langsung tidak dapat menarik perhatiannya.
“ Banyak. Kau nak yang mana satu? ” balas Rudi selamba. Air yang dipesan diteguknya rakus. Maklumlah dahaga sangat setelah penat menari terkinja-kinja sebentar tadi.
“ Jangan jadi banganglah, Di! Aku tengah serius kau boleh pulak main-main,” Getus Rafiq geram. Rudi tergelak besar.
“ Relakslah Raf. Aku buat lawak pun kau nak marah. Kawallah sikit temper tu. Boleh buat awek aku lari, beb. “ Bicara Rudi sambil merangkul perempuan di sisinya. Semakin menggedik gelagat perempuan itu. Semakin berbulu mata Rafiq menontonnya. Perempuan..tak sah kalau tak menggedik pada lelaki yang berduit.
“ Kaulah punya pasal. Siapa suruh kau buat lawak bodoh pulak time ni? Kepala aku tengah berserabut sekarang tiba-tiba kau tambah pulak dengan lawak bodoh kau, memang aku malas nak layan.” Rafiq menyedut minuman pepsi yang dipesannya.
“ Ini tak lain tak bukan, mesti masalah tentang kahwin lagi, kan? ” Teka Rudi. Jangkaannya tepat apabila Rafiq menganggukkan kepala. Memang dia sudah mengagaknya dari tadi.
“ Kejap, ” Rudi berpaling pada perempuan seksi di sebelahnya sambil berbisik sesuatu. Perempuan itu kemudiannya berlalu dari situ.
“Siapa tu? ” soal Rafiq sekadar meredakan gejolak di hati. Rudi tersengih seperti kerang busuk.
“ Kenapa, kau berminat? Kalau kau nak aku boleh bagi tapi aku dah pernah rasalah perempuan tu. Bestlah jugak . Macam mana, nak cuba? ” Tawar Rudi seperti menjual ikan di pasar malam.
“ No, thanks. Aku tak berminat nak jamah bangkai kau. ” Rafiq menolak tawaran murah dari Rudi.
“ Tak berminat dengan bangkai aku? No, problem. Aku boleh tolong carikan seorang perempuan yang belum lagi pernah jadi mangsa aku. Anak dara…nak? ” Giat Rudi lagi. Padahal dia kenal sangat siapa Amar Rafiq yang sebenarnya.
Rafiq tersengih sambil menggelengkan kepala.
“ Kenapa, kau tak berani? ” Rudi bertindak mencabar. Sengaja dibakar perasaan Rafiq dengan cabaran itu kerana dia tahu sangat jejaka itu memang pantang dicabar.
Rafiq masih tersengih. Dia memang pantang dicabar dalam semua hal tetapi hanya empat perkara yang terkecuali iaitu arak, judi, zina dan rokok.
Ajaran agama yang diterapkan oleh abah dan uminya sangat kuat. Perempuan. Memang pertama kali imannya diduga hebat sejak berkawan dengan Rudi. Tapi dia terpaksa akui ajaran orang tuanya telah sebati dalam tubuhnya. Kuat mencengkam dirinya daripada terjebak dalam kancah maksiat. Biarpun ramai teman rapatnya menyangka dia juga merupakan stok anak-anak orang kaya yang bebas bersosial. Namun, sangkaan itu meleset sama sekali.
Cuma dia tidak boleh mengelak daripada berkawan dengan mereka yang terlibat dalam kancah itu. Terutamanya, Rudi. Seteruk-teruk Rudi, itulah teman yang sentiasa bersamanya tika susah dan senang sejak mereka menjalani hidup di UK.
Dan bagi Rafiq, Rudi memang agak sosial dari sudut itu tapi dari sudut lain siapa yang menyangka dia seorang yang berjiwa pengasih. Pantang mendengar teman terdekat mempunyai masalah pasti akan dibantu walau dengan cara apa pun. Dan sesiapa pun tidak dapat menyangka Rudi yang suka bersosial itu selalu memberikan derma ke rumah anak yatim yang pernah dihuni jejaka itu suatu masa yang lalu.
“ Cubalah sekali, pasti nak lagi! Mana tahu tension kau boleh hilang nanti. Kau takkan rugi apa-apa pun.” Tambah Rudi lagi. Sengaja mengumpan temannya itu mengikut katanya.
“ Tak perlulah, Di. Aku tak bersedia lagi nak menggalas dosa berzina.” Rafiq membalas sinis. Rudi ketawa besar.
“ Okay, fine! Aku tahu kau takkan layan punya cabaran aku. So, berbalik pada masalah kau,” Rudi mengalah. Fikiran Rafiq kembali berpusar pada masalah yang melanda.
“ Ceritalah..umi tetap paksa kau?” desak pemuda itu lagi bila melihat Rafiq hanya diam.
“ Tak kira apa pun alasan aku, umi tetap mahu aku berkahwin dengan pilihan dia. Siap ugut aku lagi,” Rafiq menghela nafas perlahan. Masalah itu merumitkannya. Masalah yang sedia ada sudah terlalu banyak ditambah pula dengan permintaan uminya yang dirasakan satu bebanan yang maha dasyat. Cukuplah dengan pengalaman lalu. Dia serik untuk mengharunginya lagi.
“ Ugut? ”
“ Kira dia nak istiharkan aku Si Tanggang versi moden,” laju saja kata-kata itu keluar dari bibirnya. Spontan Rudi tergelak. Terbayang wajah umi Rafiq yang dianggap seperti ibunya sendiri. Wanita itu memang penuh sifat keibuan, penyayang dan sangat mengambil berat. Lebih-lebih lagi perihal yang berkait rapat dengan anak-anak.
Minda Rafiq cepat saja mengimbau peristiwa petang tadi. Sungguh kritikal suasananya. Walaupun hanya dengan kehadiran dirinya, umi dan abah namun perbincangan memang terasa amat sengit. Terlalu menghimpit perasaannya. Rafiq sungguh tidak mahu menuruti saranan Datin Noraini tetapi apakan dayanya. Jika menolak buruk padahnya. Tetapi jika menerima seolah-olah memberi peluang untuk dirinya dilukai lagi. Mungkin kali ini bertambah parah.
Rudi menepuk perlahan bahu Rafiq. Menyedarkan bapa tunggal itu dari lamunan singkat yang dicipta. Rafiq lantas kembali ke alam realiti. Suasana riuh dalam pub itu memang bingit namun dia masih mampu melayan perasaan yang bercelaru. Minuman yang dipesan diteguk lagi. Wajah Rudi kembali dipandang.
“ Aku tahu kau dah serik nak terlibat dengan perempuan tapi kau tak boleh nafikan yang naluri kau tetap mendambakan layanan dari seorang perempuan. Lumrah seorang lelaki sejati,” Rudi tersengih. Rafiq mencebik sinis.
“ Itu kau bukan aku! Bagi aku, sekali aku terkena, aku takkan mengulangi sejarah yang sama,” ujar Rafiq pula. Rudi hanya menjungkitkan bahu. Dia kenal sangat perangai Rafiq. Persahabatan yang terjalin antara mereka cukup membuatkan Rudi mengenali siapa sebenarnya Rafiq.
“ Jadi kau tolak atau terima permintaan umi? ” Tanya Rudi yang berkulit cerah lagi berbanding Rafiq yang berkulit sawo matang.
“ Terpaksalah aku terima kalau umi siap mengugut nak buang aku dari keluarga. Aku ni dahlah bapa tunggal takkan nak jadi anak tunggal pula,” kata Rafiq. Masih terbayang lagi wajah uminya yang kecewa dengan keputusannya yang mendadak. Langsung tidak diendahkan perasaan umi yang sedia sensitif. Dan akhirnya dia juga yang mengalah. Semata-mata mahu menggembirakan hati seorang ibu.
“ Apa salahnya? Aku pun anak tunggal so, joinlah aku.” Rudi bergurau. Tawa kecil tercetus di bibirnya.
“ Kau bukan anak tunggal tapi anak yatim. Tak sama,” tanpa niat Rafiq laju membalas. Rudi terdiam kali ini. Rafiq tersedar bibirnya sudah melanggar kata.
“ Sorry, aku tak sengaja.” Pohon Rafiq. Rudi tersenyum sambil menggeleng.
“ Kau patut bersyukur sebab masih ada umi dan abah daripada aku yang tak ada sesiapa. Kalau aku jadi kau, aku akan ikutkan saja permintaan umi. Seorang ibu mestilah mahukan yang terbaik untuk anaknya tak mungkin sebaliknya. Umi memaksa sebab dia tak sanggup tengok kehidupan kau yang tak tentu arah selepas jadi bapa tunggal.
So, mestilah dia nak carikan kau seorang isteri yang mampu menguruskan diri kau dan Shafiq dengan sempurna. Lebih-lebih lagi Shafiq yang perlukan kasih sayang seorang ibu. Aku tak rasa kau mampu bahagikan masa yang secukupnya buat Shafiq. Sekarang inipun umi yang tolong kau jagakan budak tu,” Rudi berbicara panjang.
Rafiq yang mendengar turut mengakui dalam hati kebenaran kata-kata itu.
“ Tapi kau rasa perempuan tu boleh terima Shafiq sepenuh hati? Aku takut perempuan tu apa-apakan Shafiq. Maklumlah, ibu tiri tak sama dengan ibu kandung. Sedangkan ibu kandung pun boleh buang anak sendiri inikan pula ibu tiri. Esok-esok jangan sampai Shafiq kena dera pulak. Memang aku bunuh perempuan tu,” Rafiq mengulas lagi. Kali ini giliran Rudi mengiyakan kata-kata Rafiq. Sesiapa pun tidak mampu menjangka jika hal itu berlaku.
“Apa kata kau pasang CCTV? Senanglah sikit bila kau tak ada, dia takkan cuba mengapa-ngapakan Shafiq. ” Rudi memberi buah fikiran. Rafiq menggeleng laju.
“ Kau ingat rumah aku tu pusat beli-belah ke? Tak relevanlah nak pasang benda tu dalam rumah sendiri pulak tu. Kang, apa kata umi dengan abah aku? Lagipun lecehlah. Nak pasang CCTV memanglah senang tapi nak tengok balik rakaman tu aku mana ada masa. Sekarang pun tengah terkejar-kejar kat pejabat balik sampai lewat malam. Lepas tu, kau nak suruh aku tengok pula rakaman lewat malam. Bila masa pula aku nak tidur? ” sanggah Rafiq.
Rudi mencebik. Mudah saja ideanya ditolak oleh Rafiq walaupun memang ada benarnya. Rafiq diam dan begitu juga dengan Rudi. Masing-masing ligat berfikir tentang cara yang lebih tepat dan mantap.
“ Aku rasa cuma ada satu cara boleh tolong kau lindungi Shafiq dan sekaligus harta kau.” Rudi tersengih lebar. Idea kali ini memang relevan padanya.
“ Harta aku? ”
“ Itu pun kau mesti berhati-hati. Soal tuntutan harta.Tak ada siapa pun tahu yang perkahwinan ni bakal gagal ataupun tidak. Kalau gagal kau nak perempuan tu lakukan perkara yang sama seperti Suraya lakukan pada kau selepas kau orang bercerai? Perempuan macam Suraya tak layak diberi sesen pun,” Rudi berbicara penuh makna.
Rafiq terpinga-pinga. Rudi seolah-olah terlebih pengalaman darinya.
“ Cara apa yang kau ada tu? ” Soalnya. Rudi makin tersengih besar.
No comments:
Post a Comment
hai ! terima kasih ^.^