32
Langkahnya tidak keruan. Seiring dengan debaran yang berdenyut di dada. Dalam gerak langkah kakinya, otak Sakinah ligat befikir. Musykil, keliru dan pelik dengan berita yang baru diterimanya.
Hari tu kata nak jemput lepas kenduri, kenapa tiba-tiba dah tercongok kat sini? Kenduri pun tak berlangsung lagi. Semalam tak cakap pun nak datang. Rindu sangat ke dia pada Shafiq? Entah-entah.. ada apa-apa perkara yang terjadi? Isyhh, jangan fikir yang bukan-bukan! Desis hati kecilnya.
“ Betul ke, alang? ” Sakinah menyoal untuk kepastian. Shakirah mengangguk.
“ Ibu suruh angah balik cepat sebab kat rumah tak ada siapa pun. Kesian Abang Rafiq tinggal seorang diri aje.” Shakirah berkata lagi.
“ Okey, angah balik sekarang tapi alang boleh tak tolong jagakan Shafiq? Dia tengah tidur kat dalam bilik sebelah bilik pengantin.” Soal Sakinah. Tidak sampai pula hatinya membawa Shafiq pulang dalam keadaan begitu.
Shakirah mengangguk setelah berfikir sesaat dua. “ Tapi macam mana kalau tiba-tiba dia terjaga? Kang, jenuh alang nak memujuk. Shafiq tu bukannya boleh tengok angah hilang dari pandangan dia.” Omel adik Sakinah.
“ Kalau dia terjaga terus aje bawa balik ke rumah, boleh? ” Tersenyum Sakinah kerana mula menyedari dia sedang memberi tugasan lebih pada adiknya itu.
Shakirah mencebik. “ Banyaknya kerja. Tak ada upah ke? ”
“ Ada. Nanti angah bagi tapi itupun kalau alang pandai jaga Shafiq. Setuju? ” Sogoknya.
“ Beres.” Balas Shakirah.
Sakinah terus memanjat anak tangga yang terletak di depan pintu rumah. Salam diberikan. Namun, tiada sesiapa yang menyahut. Sakinah ke kamarnya. Tombol pintu dipulas perlahan dan cermat. Sekujur tubuh sedang terbaring di atas katil.
Rafiq bernafas tenang. Tangan kanannya diletakkan merentangi dahi. Sebelah lagi di atas bantal peluk. Sakinah menghampiri suaminya. Pandangannya melurut dari kepala sehingga ke hujung kaki suaminya. Rafiq memakai shirt bewarna coklat gelap beserta jeans hitam. Nampak segak dan tampan seperti lazimnya. Sakinah tahu Rafiq keletihan kerana memandu jauh. Suaminya kelihatan belum sempat menanggalkan stokin yang dipakai.
Sakinah duduk di hujung katil. Cermat dia melabuhkan punggung. Takut mengejutkan suaminya. Stokin yang masih tersarung di kaki suaminya cuba dibuka. Rafiq terjaga. Sakinah kaget. Kaki suaminya dilepaskan serta-merta.
“ Maaf, bang. Kinah tak sengaja nak kejutkan abang.” Sakinah tertunduk kesal. Takut dengan reaksi yang bakal Rafiq tunjukkan. Dalam keadaan keletihan, siapa pun akan marah jika diganggu.
Rafiq bangun. Dahinya terkerut-kerut. Menahan sakit yang berdenyut. Tangannya memicit-micit kepala. “ Kinah baru balik? ” dia bertanya.
Sakinah mengangguk.“ Abang baru sampai? Maaflah, tadi Kinah ke rumah Wan nak uruskan kenduri kat sana.” Dipandang wajah suami yang diingatinya dalam diam.
Rafiq senyap sekejap sebelum mengangguk perlahan-lahan. Otaknya makin memberat. Soalan Sakinah dijawab lambat. Terasa sakit di kepala semakin menjalar. Tangannya makin ligat memicit. Pandangannya berpusing-pusing. Wajah Sakinah juga kelihatan samar-samar. Inilah akibatnya jika dia kurang tidur. Penyakit itu pasti akan singgah tanpa diminta.
“ Abang kenapa? Abang sakit ke? ” cemas suara Sakinah menyoal. Rafiq tidak menjawab sebaliknya terus mendaratkan kepala ke bantal semula.
“ Kepala abang sakit. Boleh Kinah tolong picitkan? ” Pinta Rafiq dengan suara yang parau. Tanpa lengah Sakinah menghampiri suaminya di kepala katil. Pantas jari-jemarinya yang runcing mengurut lembut kulit kepala suaminya.
Rafiq menarik tangan isterinya. Berdebar-debar perasaan Sakinah. “ Kat sini,” ujarnya setelah dihalakan tangan isterinya ke kawasan kepalanya yang sakit.
Selang beberapa ketika Rafiq mula terasa lega dan nyaman dengan urutan isterinya. Dia terlena kembali. Sakinah berhenti mengurut. Dia bangun dari katil lalu ke almari baju. Laci di bukanya. Kemudian botol minyak angin cap kapak diambil.
Sakinah menyapu sedikit minyak angin ke dahi dan di kulit kepala suaminya. Diurut semula kepala suaminya. Dalam sibuk mengurut, sempat lagi Sakinah membelek wajah suaminya. Wajah sawo matang itu kelihatan penat.
Mata Sakinah bertaut di mata suaminya. Terus merenung ke mata yang terpejam itu. Mata yang begitu memikat kerana sangat tajam dan galak jika merenung sesuatu. Mata itulah yang sering menodai matanya sehingga dia menundukkan pandangan. Sesuai sekali dipadankan dengan kening hitam yang agak lebat itu. Mata yang nakal, kan? Soal hatinya yang mengusik.
Pandangan Sakinah jatuh pula ke hidung mancung suaminya. Hidung yang turut dimiliki oleh Shafiq. Hidung yang suka bergesel dengan hidung Shafiq. Mata bundar Sakinah tertunak di bibir suaminya yang nipis dan kemerahan. Sakinah pernah mendengar bahawa mereka yang memiliki bentuk bibir yang nipis suka mencium orang. Dia kemudian tersenyum malu. Teringat peristiwa Rafiq mencumbuinya.
Urutannya disudahkan. Sakinah bangkit. Stokin yang masih tersarung di kaki suaminya ditanggalkan. Jam di dinding menunjukkan pukul dua belas setengah tengah hari. Ditinggalkan Rafiq sendirian. Sakinah berlalu ke dapur. Ingin memasakkan sesuatu untuk suaminya.
Selasai memasak pukul satu suku petang. Sakinah masuk kembali ke dalam kamarnya. Dia menghampiri suaminya yang begitu lena. Dikuis sedikit bahu suaminya.
“ Abang..bangun..” seru Sakinah. Ditepuk perlahan lengan suaminya. Rafiq tidak memberi reaksi.
“ Abang..” panggilnya lagi. Kali ini sedikit kuat dia bersuara. Akhirnya Rafiq mencelikkan mata. Dia kelihatan terpinga-pinga.
“ Kenapa? ” Tanya Rafiq.
“ Waktu solat dah masuk.” Beritahu isterinya. Sakinah mengambil tuala di penyidai di penjuru bilik.
“ Solat apa? ” Tanya Rafiq yang masih belum sedar sepenuhnya.
“ Zohor. Abang pergilah mandi dulu segarkan badan. Nanti Kinah siapkan makan untuk abang. Abang tak makan lagikan? ” Sakinah meletakkan sehelai tuala di sisi suaminya yang masih baring di katil.
“ Abang sakit lagi? ” Spontan Sakinah menyentuh kepala suaminya. Rafiq terkejut. Jiwanya bergetar halus dengan sentuhan itu. Namun, dibiarkan isterinya bertindak begitu. Dia senang dengan kelembutan dan keprihatinan isterinya.
“ Kurang sikit,” pendek Rafiq membalas. Sakinah tesenyum. Lega hatinya. Dia kemudian mengorak langkah keluar dari bilik.
Rafiq bangun setelah Sakinah berlalu. Dia melangkah terus ke bilik air. Sepuluh minit selepas itu Rafiq keluar dengan bertuala. Tubuhnya yang keletihan mula segar kembali disimbahi air. Siap berpakaian barulah Rafiq menunaikan tanggungjawabnya kepada Yang Maha Esa.
hehe. besh gile.. xsabar nk tunggu chpter 32 :)
ReplyDeletesuke nya ceritanya
ReplyDeletesanggup tunggu tuk bab seterusnya
hmmm! sambung secepat yang mungkin k!! (queen)
ReplyDeletependek sgt la..baru nak feel..but good job..;)
ReplyDeletebest..x sabar nak tunggu yg seterusnya... :)
ReplyDeletebest nya
ReplyDeletebosan bab ni
ReplyDelete