Cerpen Hati bersatu jiwa 2
**************************************************************
Furqan tersenyum. Memori lalu menggamit di
minda. Betapa dia rindukan Syuairah yang dulu. Yang mudah gelabah, ceria dan
sentiasa membuat tidur malamnya bertemankan mimpi indah. Bukan mudah untuk dia
mencuit hati wanita itu, kerana Aira sangat pandai mengawal rasa hati. Namun
apabila rasa sayang semakin singgah di dalam hati, Furqan bertekad untuk
menjadikan Aira isteri yang bakal dicintai dan didampingi dengan kasih yang halal.
Hasrat itu terkabul. Allah telah
memudahkan jalan untuknya memiliki seorang Syuairah. Furqan bersyukur kerana
rombongan pinangan yang dihantar olehnya kembali dengan sebuah jawapan yang amat
dia harapkan. Seluruh isi keluarga Aira menerimanya dengan ikhlas. Jawapan itu
lahir dari bibir gadis pujaannya.
“ Tuan,” seru Syuairah pada Furqan
yang ralit meneliti dokumen.
“ Hrmm..”
“ Betul ke tuan yang hantar rombongan
meminang ke rumah saya? ”
Furqan panggung kepala. Bingkas.
Dahinya berkerut. “ Kenapa? Awak tak setuju? ”
“ Eh, bukan tuan..saya cuma tanya.”
“ Awak setujukan? Tolong jangan ubah
jawapan yang awak berikan pada rombongan saya hari tu,” Furqan berkata lagi.
Seperti merayu lagaknya. Takut Aira bakal merubah apa yang telah dipersetujui.
Aira tergelak kecil. Air muka Furqan
yang cemas dan gelabah menggelikan hatinya. Tuan Furqan takut sangat ke kalau
saya berubah hati? “ Jangan risau jawapan saya tak berubah.”
Furqan menghembus nafas lega.
Alhamdulillah..
“ Saya cuma nak pastikan tuan yang
hantar rombongan. Manalah tahu kalau-kalau ada Tuan Furqan lain yang masuk
merisik saya. Nanti boleh tersalah pulak pengantin laki.” Canda Aira dalam
bicara.
Furqan ketawa besar. Aira tersenyum.
“ Takkan ada Furqan lain sayang..hanya
abang yang akan peristerikan Aira,” balas Furqan selamba. Senyumannya
benar-benar lebar. Melekuk lesung pipit di kanan-kiri pipinya.
Gullp!! Aira telan liur yang tersekat
di kerongkong. Lafaz kata dari bibir Furqan mengkakukannya. Hampir terlopong
dibuatnya. Sayang? Abang? Dadanya tiba-tiba diserbu debar yang menggila.
“ Bolehkan abang panggil Aira sayang?
”
Syuairah tergamam.
“ Aira..” seru Furqan.
“ Err..ikut suka tuanlah.” Jawabnya
ringkas. Malu sangat. Wajahnya yang putih kuning kini menular merah.
“ No more tuan, sayang. Panggil
abang,” suruh Furqan. Sebuah permintaan yang agak tegas.
“ Err..er..tuan saya..”
“ Mulai saat ni, no more tuan dan saya
dalam hubungan kita. Yang ada sekarang ni, antara abang dan Aira or sayang. Abang
tak nak nanti bila dah kahwin Aira tersalah panggil. Elok-elok nak panggil
abang ‘abang’ tiba-tiba terpanggil ‘tuan’ pulak sebab dah biasa.” Bagaikan
sebuah arahan yang terbit dari mulut Furqan.
“ Er..saya..cuba tuan..”
“ Wrong! The statement should be like
this. Insya Allah Aira cuba abang, itu yang betul.”
“ Er, saya keluar dulu tuan,” pinta
Aira. Ingin menghindar.
“ Not until you call me abang! ”
“ Hah? ” Eh, macam mana ni? Aku tak
sanggup nak panggillah! Tak jadi suami lagi pun dah keluarkan arahan yang
bukan-bukan, agak-agak bila dah jadi valid husband macam manalah perangai si
Tuan Furqan ni?
“ Kalau nak panggil sayang pun boleh.”
Furqan menambah.
“ Esok-esoklah tuan, today saya tak
sanggup nak panggil. Lagipun saya dah banyak stok-stok abang takkan nak tambah
lagi? ”
“ What? Berapa banyak lagi abang yang
Aira simpan selain abang? ” Mata kuyu Furqan mencerlung. Kaget.
“ Lahh, selain tuan saya ada abang
tiga orang lagi kat rumah tu,” ulas Aira tanpa riak.
“ Huh..” Furqan lepaskan nafas lega. “
Itu abang kandunglah, sayang. Tak sama dengan abang,” balasnya. Sememangnya
gadis bernama Syuairah mampu menghantarnya ke wad kecemasan.
“ Furqan, your wife collapsed! ”
sergah satu suara. Menyedarkan Furqan yang terleka dibuai kenangan lalu.
Furqan terkejut. Bergegas bangun dia
bangun. Segera ke muka pintu, menjenguk ke tempat isterinya selaku
setiausahanya. “ Kat mana, Man? ” apabila tiada kelibat Aira di situ.
“ Dekat pantry.”
Pantas Furqan berlari ke pantry. ‘ Ya
Allah tolong selamatkan Aira.’
***********************************************************************
Syuairah
memejamkan mata. Sungguh dia tidak rela Furqan mendekati tetapi apakan daya
dirinya lemah saat ini. Terpaksa membiarkan Furqan menukar pakaiannya. Tubuhnya
sejuk disapa tuala lembap di anggota tubuhnya.
“ Kenapa tak cakap yang Aira demam? ”
Diam. Aira mengambil sikap membisu.
“ Abang suami Aira, you should have
told me if you are not feeling well. Now, everyone kat office thought that I’m
a useless husband! ” Tegas suaminya.
Syuairah menolak tangan Furqan. “
Kalau abang tak ikhlas, jangan dekat dengan Aira. Aira mampu jaga diri
sendiri.”
“ Sayang..abang bukan tak ikhlas.
Abang cuma tak suka Aira belakangkan abang.”
“ Kalau ikhlas janganlah marah-marah,
saya pening tau tak.” Balas Aira dalam nada geram.
“ I’m sorry sayang..I really sorry,
abang tak sengaja.” Furqan rasa bersalah. Tidak sepatutnya dia tinggikan suara
pada Aira. Isterinya itu sedang menanggung sakit, tidak wajar dia mengikut rasa
marah di hati.
“ Aira pening, Aira nak tidur.” Ujar
Aira tanpa memandang wajah Furqan. Tidak larat melayan lagi bicara Furqan. Saat
ini dia cukup pening. Tekaknya juga tak sedap. Serasa mahu muntah tetapi dia
cuba bertahan.
Furqan mengetap mulut. Menghimpun
penuh ruang kesabaran. “ Tidurlah, sayang.” Semoga abang tidak wujud dalam
mimpi sayang..doa hati kecilnya.
***************************************************************************
Pukul 3.45 pagi, Syuairah terjaga.
Matanya pantas tercelik. Tekaknya tidak mampu menahan lagi gejolak yang mahu menerjah
keluar. Selimut tebal diselak pantas. Ingin
berlari ke bilik air.
“ Uwerrk,” luahnya tanpa mampu
tertahan lagi. Meluik muntah yang ditahan pakai tangan yang menekup di mulut.
Bau kurang enak terus menyengat ke hidung.
“ Uwerrk..” lagi muntahnya membuak
keluar. Kali ini terus tumpah sisa muntahnya ke cadar.
“ Ya Allah, Aira.” Furqan terbangun.
Bunyi jeluakkan Aira yang telah mengejutnya dari lena.
“ Uwerrk..” Aira tahan lagi dengan
tangan daripada terus menghamburnya di atas katil.
Furqan menarik tangan isterinya. “ Its
okay muntah aje, sayang. Nanti abang ganti cadar lain.”
“ Uwerrk..” Aira mengesat air mata
yang mengalir seiring. Tubuhnya benar terasa lemah dan sangat letih. Panas di
tubuhnya masih belum surut. Tekaknya pula perit sangat. Aira rasa sangat sedih
dengan dirinya yang amat-amat memerlukan Furqan.
Furqan mengusap belakang isterinya. “
Dah habis? ” Tanyanya apabila Aira tidak lagi muntah.
Aira mengangguk. Furqan turun dari katil
lalu mencempung tubuh Aira. Terkejut Aira dengan tindakan itu. Tanpa berfikir
keadaan dirinya yang terkena muntah, Furqan membawanya ke bilik air.
Diturunkan Aira di bawah shower.
Kemudian Furqan kembali dengan sepasang baju tidur serta tuala. Temperature
shower diturunkan supaya air suam yang menyimbahi tubuh isterinya.
“ Sayang mandi dulu. Then change your
clothes,” suruh Furqan. Aira menurut.
Selepas membersihkan tubuh, Aira
keluar. Dia terpaku. Sarung cadar katil telah bertukar. Tentulah Furqan yang
menukar sewaktu dia mandi tadi.
“ Feeling better? ” Tanya suaminya
yang menghampiri.
Aira mengangguk. Furqan meletakkan
tapak tangan ke dahi. Masih panas tetapi agak kurang hangat dari tadi. Dia
kemudian menyentuh tangan Aira. “ Aira nak makan atau minum apa-apa? ”
Geleng. “ Aira nak baring.”
“ Tadi baru lepas muntah so, you need
eat something sayang. Nanti perut masuk angin.”
Aira tetap menggeleng.
“ Minum susu pun jadilah. Abang dah
buat susu untuk sayang.”
“ Tak nak,” dia jeda. “ Saya takut nanti muntah lagi kalau minum
susu.”
“ Okey, kalau macam tu sayang tidurlah,”
Furqan mengalah.
Aira kembali menempatkan tubuh di atas
katil. Furqan menyelimutkan separuh badan isterinya. Dia kemudian tunduk
mengucup dahi Aira.
Matanya dipejamkan rapat. Bibirnya
diketap erat. Aira ingin menyingkirkan sisa ciuman Furqan tetapi ditahan.
Tangannya dikepal dari dalam selimut. Bimbang Furqan terkilan dengan
tindakannya yang cuba mengesat tempat Furqan melabuhkan bibir.
********************************************************************************
Aira
terpaku. Raut wajahnya tidak dapat menyembunyikan rasa terkejut. Ini bukanlah
bayangannya atau sekadar ilusi tetapi benar-benar realiti. Wajah mertuanya
menyapa mata.
“ Dari mana Aira? ” Tanya Mak cik
Normah. Berdiri tegak di ruang tamu sambil berpeluk tubuh. Gayanya amat
menakutkan.
“ Er.. Aira..dari rumah ibu.. mak. ”
“ Dah lewat macam ni baru ingat nak
balik rumah? ” soalnya tegas.
“ Mak..” Furqan yang turun dari tangga
menegur. Bunyi enjin kereta yang menjalar masuk ke dalam halaman tadi telah
menggamitnya segera mendapatkan Aira. Dia pasti maknya akan menyerang Aira.
“ Aira minta maaf, mak.”
“ Buat apa minta maaf dengan mak?
Dengan Furqan yang kamu kena mintak maaf. Isteri apa kalau tak pandai jaga
suami.”
Aira tergamam. Sebak menyerbu dada.
“ Mak, Furqan tak marah. Lagipun Aira balik
lambat sebab dia rindukan ibu dia, Furqan faham.” Balasnya membela Aira. Tapak
kakinya segera menghampiri isterinya.
“ Jangan nak bela sangat isteri,
Furqan. Kamu suami, ketua keluarga kena tegas jangan sebab sayang biar isteri
ambil kesempatan.”
“ Aira tak ambil kesempatan pada saya,
mak. Furqan percayakan dia. Lagipun saya izinkan semua tindakan dia,” Furqan
masih pertahankan isteri yang sering membuatkan jiwanya terdera oleh rindu. Jemari
Aira digenggam erat.
Aira lantas tunduk mengucup tangan suaminya.
Sekadar menunjukkan ‘kemesraan’ suami isteri yang terjalin antara mereka.
“ Hrmm..elok-elok sikit lepas ni. Kamu
dah makan belum Aira? ” Tanya ibu mertuanya.
“ Dah mak.”
“ Kalau macam tu pergi naik tidur.
Esok kita sarapan sama-sama.” Mak cik Normah terus berlalu sejurus itu.
****************************************************************************
“ Kenapa abang tak bagi tahu saya mak
datang? ” Syuairah menyerang dengan pertanyaan sejurus sampai ke bilik mereka.
“ Abang dah cuba telefon Aira tapi
Aira tak jawab.” Furqan membalas.
Aira mendengus kecil. Macam mana nak
terdengar panggilan itu jika handsetnya sengaja dipadamkan agar Furqan tidak
mencarinya atau menghantar sms padanya.
“ Mak datang seorang aje ke? Ayah tak
ikut sama? ”
“ Ayah ke Indon, ikut kawan dia ke
sana. Mak malas ikut ayah jadi, mak ambil peluang ni datang jenguk kita.”
Maklumlah antara anak menantu yang lain, hanya mereka yang tinggal asing dari
Mak cik Normah.
“ Berapa hari mak duduk sini? ”
“ Dalam dua tiga hari kut,” Furqan memandang
raut yang masam itu. Dia tahu isterinya kurang senang dengan kunjungan maknya.
“ Aira jangan risau, mak takkan tahu masalah yang wujud antara kita.”
Aira panggung kepala. Bibirnya digigit
kecil. Terharu dalam hati. Terima kasih, abang..
***************************************************************************************
Hari
ini sudah beberapa kali bibir Furqan menyapa kulit wajahnya. Demi membuktikan
kemesraan wujud dalam hubungan mereka, Aira terpaksa relakan walaupun jiwanya
terdera dalam diam. Ingin disingkirkan tubuh Furqan yang dekat padanya tetapi
itu tak mungkin berlaku.
Mak cik Normah sentiasa tajam
matanya. Melihat perhubungan mereka dari segenap penjuru. Aira sangat takut.
Begitu juga Furqan risau jika isterinya diserang lagi. Maknya memang tegas jika
ada benda yang tidak kena di mata tuanya. Furqan bimbang maknya akan mengetahui
soal yang diselindunginya itu.
“ Kamu berdua ni dah macam belangkas
pulak mak tengok, Aira ke dapur Furqan pun nak ke dapur, Furqan nak pergi basuh
kereta, Aira pun ikut sama. Dah macam pengantin baru je mak tengok.”
“ Mak ni, Furqan mesra dengan Aira
pun salah. Kami nak tunjuk kat mak yang kami betul-betul bahagia, bukannya tak
bahagia macam mak fikir,” Furqan berkata sambil menggenggam tangan Aira. Dipandang
sekilas ke anak mata isterinya. Aira tersenyum padanya. Ya Allah, indahnya
senyuman isteriku.
“ Yelah tapi dah macam orang hangat
bercinta mak tengok.”
“ Tak boleh ke macam tu mak? ”
“ Boleh. Siapa kata tak boleh? ”
Furqan dan Aira tersenyum selepas itu.
“ Aira lain kali jangan balik lambat
sangat, kamu tu ada suami untuk dijaga, jangan berlagak bujang pulak. Mak tak
mahu ada menantu macam tu. Sekali Aira kecewakan Furqan, mak takkan maafkan
kamu.” Mak cik Normah memberi ingatan. Dia tahu anak bujangnya seorang yang
begitu bertanggungjawab tentulah tiada masalah yang datang daripada pihak
anaknya. Oleh itu, dia mengingatkan menantunya agar jangan menggunakan
kesempatan atas kebaikkan anak lelakinya.
“ Aira faham mak,” ucapnya perlahan.
Terkilan rasa hati dipesan begitu. Sedih sangat sehingga merasakan dirinya
langsung tidak berguna.
“ Mak, Aira takkan kecewakan saya.”
Furqan menepis tuduhan Mak cik Normah. Dia pasti hati isterinya tentu terluka
saat ini. Lantas ditaut erat jemari runcing isterinya.
“ Yelah, mak cuma pesan aje. Takut
kalau tak dipesan nanti terleka.” Bersahaja Mak cik Normah berkata.
“ Insya Allah, Aira akan ingat pesan
mak.”
************************************************************************************
“
Eh, kamu berdua dah lama kahwin takkan tak ada tanda-tanda nak ada orang
ketiga? Kamu merancang ke? ” tegur mak ngah, mak saudara Furqan dan adik kepada
Mak cik Normah. Sejak semalam mereka
telah tiba di kampung untuk majlis kenduri sepupu Furqan. Ramai sekali tetamu
yang hadir kerana keluarga sebelah suaminya memang ramai jumlahnya. Maklumlah
keturunan besar.
“ Baru lapan bulanlah mak ngah, mana
ada lama.” Selamba Furqan menjawab.
“ Eh, lapan bulan tu lama tau.
Keturunan kita mana pernah dapat anak lambat-lambat. Tengok Dayah anak mak usu,
baru kahwin dua bulan lepas sekarang ni dah mengandung. Kamu pulak mak ngah
ingatkan senyap-senyap dah memboyot ada baby tapi rupa-rupanya belum berisi.
Patutlah mak ngah tak dengar apa-apa berita dari mak kamu.”
“ Kami tengah mood honeymoon lagi mak
ngah,” canda Furqan. Tangan Syuairah disulam erat. Risau jika isterinya tidak
kuat untuk menghadapi situasi kala itu.
“ Banyaklah kamu punya honeymoon,
orang lain pun kahwin jugak, ber ‘honeymoon’ jugak tapi tetap mengandung. Ingat
lepas ada anak tak boleh honeymoon lagi ke? ” mak ngah menjuihkan mulut.
Dilihat pada wajah Aira yang kelihatan sugul. Sedih kut dengar mulut aku
bangkitkan soal ni?
“ Belum ada rezeki mak ngah,” jawab
Furqan.
“ Ermm..kalau ada masalah apa-apa
jangan sorok-sorok. Kami yang tua ni dah banyak belajar tentang resam hidup,
eloklah rujuk pada kami dulu kalau ada masalah.” Mak ngah menitipkan pesanan.
Furqan mengangguk. “ Insya Allah, mak
ngah.”
“ Aira jangan kecik hati, mak ngah
cuma tanya aje sebab Furqan ni memang jenis suka dengan budak-budak jadi, rasa
peliklah kalau dia cakap masih dalam mood honeymoon.” Tambah mak ngah. Bimbang
kata-katanya akan membuatkan Aira simpan rasa kecewa terhadapnya.
“ Aira tak ambil hati, mak ngah.” Aira
kemudian mengulum senyuman selepas itu.
“ Baguslah macam tu,” mak ngah
kemudian berlalu ke dapur yang hingar-bingar dengan kedatangan tetamu.
***************************************************************************
“ Kalau abang rasa nak anak, Aira
izinkan abang kahwin dengan wanita lain.”
Furqan tersentak. Kaku kakinya yang
baru melangkah ke dalam kamar.
“ Sayang, jangan sebab kata-kata mak
ngah sayang ambil keputusan melulu macam ni,” kata Furqan lembut. Mahu memujuk
rawan di hati isterinya.
“ Dah lapan bulan awak terseksa dengan
saya, buat apa nak simpan saya lagi.” Aira memejamkan mata. Menahan sakit di
jiwanya.
“ Abang tak pernah rasa terseksa
dengan Aira. Sikit pun abang tak pernah menyesal bersama sayang.”
“ Jangan panggil saya ‘sayang’!
Tolonglah jangan lukakan diri sendiri. Awak berhak bersama dengan wanita yang
dapat cintakan awak. Saya tak mampu cintakan awak.” Rintih Aira separuh pilu.
“ Aira..abang lagi terluka bila Aira
cakap macam ni. Abang yakin kita mampu
bersama seperti orang lain. Aira pasti cintakan abang jugak satu hari nanti.” Tekad
Furqan.
“ Jujur saya tak mampu! Semakin saya
paksa semakin payah untuk saya cintakan awak.” Tegasnya.
Furqan menapak ke birai katil. Aira
lantas bangun, menjauhi suaminya.
“ Abang yakin abang mampu buat sayang cintakan
abang. Aira kena percayakan abang.”
“ Ya Allah, janganlah seksa diri awak,
Furqan. Selama lapan bulan awak cuba tapi hubungan ni tetap sama. Saya dan awak
takkan dapat bersatu.”
Furqan meraup wajah. Bibirnya terketap
rapat. Dia jadi sakit hati dengan kata-kata Aira yang seperti mahukan dia terus
mengalah. Aira nak apa sebenarnya sayang? Kenapa cepat sangat sayang mengalah?
Takkan tak ada cara lain yang boleh buatkan Aira cintakan abang seperti cinta
abang pada Aira?
“ Habis tu, apa lagi cara yang Aira
ada untuk selesaikan masalah ni? ” Tanya suaminya. Aira menarik nafas panjang
sebelum menghembusnya.
“ Lepaskan saya, itu yang terbaik.”
Furqan terkesima. Tersentak dengan
permintaan itu.
“ Daripada awak terus terseksa, lebih
baik kita ikut haluan masing-masing.”
“ Aira dah fikir masak-masak? ” Furqan
cuba bertenang walaupun jiwanya merusuh hebat.
“ Daripada kehadiran saya menyeksa
awak, cara ini saja yang boleh membawa saya keluar dari hidup awak.” Aira
menjawab yakin.
“ Tak ada cara lain lagi? Mungkin kita
boleh ikhtiar dari sudut lain.”
“ Jangan taruh harapan lagi, saya tak
mampu lagi bertahan. Saya penat dengan semua penipuan ni.”
“ Sikit pun Aira tak sayangkan abang?
Walaupun sedetik? ”
Diam. Sangat-sangat terdiam. Aira
memilih untuk tidak meluahkan rasa di jiwa. Dia takut untuk memberi harapan.
Aira tidak mahu Furqan berterusan pertahankan hubungan yang semakin menemui
titik tamat ini. Walaupun sayang itu wujud tetapi ia disulami rona-rona
kebencian yang nyata. Dan lingkaran kebencian itu yang membataskan segala tindak-tanduknya
dalam melahirkan perasaan pada Furqan.
“ Awak ambillah masa untuk berfikir,
saya tunggu jawapan muktamad dari bibir awak.” Sejurus itu Aira segera
melangkah keluar dari bilik. Meninggalkan Furqan terdampar sendirian.
***************************************************************************
“
Jadi selama ni kamu berdua berlakon bahagia depan kami semua? ” Tanya Mak cik
Normah. Suaminya di sisi hanya mampu mendengar. Berfikir dalam diam. Ruang tamu
itu kelihatan hening tetapi hangat dalam perbualan.
“ Furqan sayangkan dia, mak. Sekalipun
perasaan Furqan tak pernah berubah dari hari pertama kami bertemu.” Luahnya
telus.
“ Dah mak agak mesti ada apa-apa yang pincang
dalam rumah tangga kamu. Sekarang ni, kamu pasti ke dengan keputusan kamu? ”
Mak cik Normah mengawal rasa hati yang
kecewa. Melihat raut Furqan kala ini, dia seperti sangat terluka. Furqan anak
yang sangat baik dan tentulah akan menjadi suami yang baik jua. Tetapi
sayangnya dipertemukan dengan seorang wanita yang tidak mampu menghargai
ketulusan seorang Furqan.
Furqan mengetap bibir. Menahan sebak
di dada. Aira..Aira..nama itu semakin kuat berdegup dalam dadanya. Macam mana
abang nak lepaskan sayang?
“ Kalau itu yang terbaik, Furqan rela
mak. Furqan tak mahu Aira rasa terseksa dengan perkahwinan palsu ni.”
“ Kamu dah habis fikir? ” Tanya
ayahnya. “ Furqan yakin dapat lepaskan Aira dengan ikhlas? Ayah takut kamu yang
merana nanti? ”
“ Kalau bersama pun buat dia merana,
lebih baik berpisah.” Rumus Mak cik Normah.
“ Furqan keliru mak, ayah.”
“ Apa punca sebenarnya ni? Macam mana
kamu berdua boleh jadi macam ni? ”
“ Furqan tak tahu ayah. Sebelum kahwin
kami bahagia sangat tetapi seminggu selepas kami bersatu Aira mula jauhkan diri
daripada Furqan. Bila saya tanya kenapa dia tak jawab pun. Satu jawapan pun
Furqan tak pernah terima. Yang penting sejak berkahwin dia sering cari jalan
untuk jauhkan diri daripada saya.”
“ Kamu pernah bersama? ” Tanya Pak cik
Fuad lagi. Menjurus soal yang lebih sensitif.
Furqan mengangguk. “ Tapi cuma
seminggu. Selepas tu, Aira tak benarkan Furqan sentuh dia lagi.”
“ Patutlah tak mengandung. Mak
ingatkan Aira tak subur tapi rupa-rupanya ini yang jadi.”
“ Dia tak suka kamu sentuh dia ke? ”
ayahnya masih lagi berpusar soal itu.
Lagi-lagi Furqan mengangguk. “ Dia
akan mengelak. Furqan tak tahu apa masalahnya, seminggu kami bahagia sangat
lepas tu tiba-tiba Aira berubah hati. Nak cakap berdua pun jarang, apatah lagi
nak pandang muka Furqan, Aira seolah-olah benci pada Furqan sedangkan kami
berkahwin bukan sebab paksaan.”
“ Tiba-tiba boleh jadi benci? ”
“ Ya, ayah.” Furqan mengiyakan.
“ Kamu ada bawak dia jumpa mana-mana
pakar perubatan Islam? ”
“ Eh, abang ni apa kena-mengena pulak
perubatan Islam dengan kisah anak menantu kita? Bukannya ada jin syaitan yang
merosakkan hubungan mereka, ini sebab Aira tak ada perasaan pada Furqan.”
Sangkal Mak cik Normah.
“ Furqan ada bawak Aira ke tempat
perubatan Islam? ” Pak cik Fuad bertanya perihal yang sama.
“ Tak ada, ayah. Furqan tak fikir
masalah ni ada kaitan dengan gangguan jin atau syaitan.”
“ Habis tu, kamu ada buat salah
apa-apa sampai dia boleh bencikan kamu? ”
Dia laju menggeleng. “ Furqan tak
pernah sakitkan hati Aira.”
“ Ayah rasa lebih baik jumpa ustaz
perubatan Islam. Ayah takut rumah tangga kamu yang terkena gangguan jin.”
Cadang ayahnya.
“ Tapi takkanlah..”
“ Pergi jumpa dulu dengan ustaz,
manalah tahu boleh jadi benda yang kita tak jangka sebenarnya ada. Kalau tak
ada pun, Furqan boleh minta air bacaan surah untuk lembutkan hati Aira supaya
kasihkan kamu.” Pak cik Fuad memintas.
“ Ikutlah kata ayah Furqan. Kamu tu
kahwin tak sampai lagi setahun, rugi duit kenduri kahwin yang beribu-ribu habis
tapi tak sampai setahun dah nak berpisah.” Mak cik Normah menyokong suaminya.
Ada benar dalam bicara Pak cik Fuad. Benda
‘halus’ itu kadang-kadang boleh terkena tanpa sedar. Mungkin juga ada
yang dengki pada kebahagiaan Furqan dan Syuairah.
“ Kalau kamu sayang dengan perkahwinan
ni, cuba cari jalan ikhtiar dulu.” Pak cik Fuad menambah. Furqan mengangguk
jua.
*******************************************************************
Part 3 will be the last part..coming soon ^_^
kan betui aku cakap, aira kena buatan orang,,,,,,
ReplyDeletewwannurr
dh terpikir gak dek...benda cam ne tk dinafi kn gak.rambut same hitam but hati kat dlm tk sape leh tau.manusia sanggup buat ape jer asal puas kat hati walau tahu dosa pahala nyer...yg pasti matlamat tercapai!pape pun harap tk berakhir lh kasih syg furqan n aira.
ReplyDeleteBetul tu Insyallah perubatan Islam ada jalannya.... kena percaya pada Qadak dan Qadar .... mana tahu ada yang dengki... manusia ni hati lain-lain...
ReplyDeleteBtul tu, rambut same hitam tp hati yg kt dlm tu hanya Allah yg dpt hitung, sbg mnusia kite pon x boleh nk tebak itu ini, tp kalu dh kne sekali bende 'alah' ni merana stu badan..nauzubillah..
ReplyDeletekadang-kadang disebabkn gurauan, kata2 usikn mampu singgahkn dendam di hati org tu,
sebab itulah lidah ni perlu dijage sesuai dgn ayat Allah dan pesanan nabi kite..
tertanya gak knapa aira mcm mnjauhkan diri dari furqan btul ke buatan org x pn ada msalah lain..
ReplyDeletehiihih... something wrong... tak sabar menunggu part yg terakhir.... :)
ReplyDeletebile bk sambung... xsabar nk tau ending cmne...bestt sgt
ReplyDeleteHai silalah melawat blog saya...saya nak mintak pendapat anda semua tentang cerpen saya..ini kali pertama saya cuba buat cerpen :-)
ReplyDeleteHai silalah melawat blog saya...saya nak mintak pendapat anda semua tentang cerpen saya..ini kali pertama saya cuba buat cerpen :-)
ReplyDelete