Followers

/ Tagboard \

We are really hope that you will get something with this blog. Please respect to each other and keep enjoying with us ^.^
.Images are credit to Google.

Alahai, suamiku amnesia! Short scene Chapter 23




Dear readers aii yang tercinta, jangan rindu-rindu sangat dengan Abrar dan Hanan. Simpan sikit untuk waktu ia diterbitkan tau, hehe.. nanti aii tak senang duduk kalau semua mintak n3. Tak lama lagi aii nak exam after that kita up teaser lagi yer, insyaAllah kalau panjang umur :D








Tautan tangan mereka terlepas. Tiada ciuman menyapa dahinya lagi setelah selesai solat berjemaah. Kali terakhir bibir itu melekap di dahinya sewaktu solat subuh. Hanan amat serba salah. Mahu menegur tetapi dia kekok. Tali telekung dibuka di bahagian belakang kepala. Bebola mata pula tidak lari daripada melihat gerak langkah suaminya yang telah membaringkan tubuh di katil. Kelihatan kepenatan. Tetapi Hanan arif bukan itu punca sebenar. Sebaliknya dia yang telah ‘mengerjakan’ hati suaminya sehingga lelah lelaki itu.

Abrar merajuk? Dia terasa hati! Aku ke yang perlu memujuk? Atau biarkan dia sejuk sendiri. Hanan bingung sendiri.

Terlepas keluhan kecil. Sejurus itu, Hanan melipat sejadah yang digunakannya bersama sejadah suaminya. Dia kemudian berlalu ke penyidai. Meletakkan sejadah dan telekung di situ. Rambutnya disikat rapi sebelum diketamkan dengan pengepit rambut di depan meja rias. Dari meja solek figura Abrar dicuri pandang. Masih tidak berkutik tubuh itu. Kelihatan begitu menjeruk rasa. Melancarkan mogok terhadapnya. 

Dengan semangat baru yang meresap selepas solat, Hanan mendekati. Dia bergerak ke sisi katil, merenung Abrar yang meletakkan kepala ke ambal sambil merentangkan tangan ke dahi. Mata pun dipejam rapat. Hanan memberanikan diri meletakkan punggung di sebelah tubuh Abrar. Dekat ke bantal yang menggalas kepala suaminya.

“ Awak..jom kita keluar makan malam,” panggilnya lembut. Dia yakin Abrar belum melelapkan mata. Aturan nafas suaminya tidak menyerupai orang yang lena dalam tidur.

Namun Abrar memilih untuk tidak menjawab. Hanan mendidik kesabaran dalam jiwa.

“ Dari tengah hari tadi awak tak makan, tak lapar ke? ” soalnya lagi. Intonasi masih sama. Mendayu-dayu dan merdu di pelupuk telinga.

Sekali lagi kata-kata Hanan tidak mendapat sambutan. Kaku dan sepi situasi antara mereka.

“ Kalau awak marah tentang kejadian tengah hari tadi, maafkan saya. Saya yang tersilap sebab langsung tak sensitif soal hati awak.” Hanan semakin menggagahkan diri. Tangannya hinggap ke bahu Abrar. Mengelus-elus agar suaminya tidak melanjutkan rajuk. Biar Abrar tertawan dengan sentuhannya dan tidak berterusan mengeraskan hati. 

“ Saya tahu awak sakit hati, tapi jangan seksa diri dengan mogok lapar. Kalau ibu tahu, tentu saya kena marah sebab tak pandai jaga hati dan perut anak dia. Awak suka kalau isteri awak kena marah? ” sambung Hanan memprovok reaksi Abrar.

Abrar bergerak memberi respon jua. Hanan terkejut. Ribanya berisi. Suaminya mendaratkan kepala ke pahanya. Mata jejaka itu masih tertutup rapat. Namun demikian tangan Abrar menggagau mencari tangannya. Hanan penasaran sebelum jemari runcingnya dibawa ke kepala suaminya. Dia terkulat-kulat tanpa tindakan. Keliru dengan kehendak Abrar sebenarnya.

Tangan kekar itu hinggap semula ke tangan Hanan yang pegun. Abrar memegang tangan isterinya lalu digerakkan di atas kepalanya. Spontan tercuit senyuman di bibir Hanan. Dia pada mulanya agak terpinga-pinga kini mengerti dengan keinginan Abrar. Manja. Mahu dipujuk tetapi perlu menurut dulu cara yang dimahukan.

Demi memujuk sekeping hati, dengan penuh teliti Hanan membelai. Jemarinya berlari-lari di celahan rambut hitam suaminya. Mengusap dengan mesra tanpa paksaan. Hanan senang tatkala itu. Perbuatan yang dirasakan paling baik yang pernah dilakukannya semenjak menjalinkan ikatan dengan pemuda itu. Tanpa sedar Hanan ralit merenung sepasang bebola mata yang tertutup rapat. Ingin diusik tetapi lekas hatinya menegah.

Kemudian dia melarikan renungan ke hidung mancung Abrar. Puncak hidung itu kelihatan comel melekuk. Wajah Abrar bersih cuma di bahagian kening suaminya bergaris sedikit parut kecil. Sekilas itu Hanan teringatkan sesuatu. Pandangannya diheret semula ke bahagian mata suaminya. Parut kecil itu ditatapnya. Tidak terlalu kelihatan kesan itu kerana ia tersorok dibalik bulu kening suaminya yang agak lebat. Serta-merta Hanan terasa bersalah.

Apa reaksi Abrar kalau dia tahu aku penyebab parut ini? Detik hatinya. Minda Hanan pantas berlayar ke peristiwa yang membuatkan hatinya puas. Zaman remaja yang dirasakan sangat menggila sewaktu hadirnya Abrar. Lelaki itu berjaya mencorakkan dirinya menjadi seorang yang terlalu agresif serta menyeramkan. Bertindak mengikut emosi tanpa berfikir panjang. Padahnya Abrar menanggung kesakitan.

“ Kau nak apa lagi? ” tempik Hanan di pertengahan jalan untuk ke sekolah. Dengan beraninya Abrar telah membuat ‘road block’ di depan laluan basikalnya. Hanan bengang sangat. Peristiwa lemas tempoh hari terbayang semula. Bertambah menyusup perasaan marah dan sakit hati.

Abrar mencampakkan basikalnya. Dia menghampiri. Dalam pada itu, anak matanya menikam ke raga basikal Hanan.

“ Aku dah kata jangan sauk ikan untuk Helmi, kenapa kau degil? ” Abrar menuding jari pada ikan laga yang berisi dalam balang kecil di raga basikal Hanan.

“ Tolong jangan sibuk boleh tak?! Aku tak nak tengok muka kau langsung. Tolong jangan kacau hari aku.” Lawan Hanan turut sama naik angin.

“ Hanan, kau bawa maruah seorang perempuan, tak malu ke terhegeh-hegeh dengan seorang lelaki. Jangan hilangkan ciri-ciri seorang perempuan. Kalau terdesak sangat nak berlaki, beritahu mak ayah kau suruh dia orang kahwinkan kau.” Abrar berkata tegas. Menyindir pedas.

            “ Dah habis cakap? Sekarang kau ke tepi, aku nak ke sekolah.” Hanan tidak memperdulikan bicara Abrar. Tidak berkudis langsung kata-kata itu di jiwanya. Yang penting saat ini dia perlu melenyapkan diri daripada memandang Abrar yang cukup jelik di mata hatinya.

“ Kau jangan buat aku marah, Hanan.” Abrar mengembalikan aura hangat antara mereka. Dia tidak mampu bersabar lagi. Kedegilan Hanan mencabar sifat lelakinya. Mendera hatinya.

“ Kenapa? Kau nak lemaskan aku macam hari tu? ” jerkah Hanan membalas.

“ Aku tak ada masa nak lemaskan kau. Itu perkara yang langsung tak matang. Lagi baik aku pakai cara yang buat aku terus berjaya.” Selepas berkata, Abrar terus mengambil balang jernih yang berisi ikan Hanan.

“ Abrar, jangan buat hal boleh tak? Bagi balik ikan aku tu.” Hanan mencegah. Cuak mengenangkan perbuatan Abrar yang tidak terduga. Hanan risaukan ikan yang baru dibelinya kelmarin daripada tauke ikan hiasan di pasar malam.

Abrar tergelak besar. Dia terus berlari ke parit yang terletak berdekatan dengan kawasan sawah. Penutup balang yang ditebuk-tebuk lubang pengudaraan oleh Hanan dibuka oleh Abrar. Tanpa menghiraukan jeritan Hanan, dia melepaskan ikan tersebut ke parit dengan jayanya. 

“ Abrar! ” jerit Hanan kuat. Abrar berpaling. Ibu jari dinaikkan. Menunjukkan isyarat bagus.

Hanan mendengus maha hebat. Berang sesungguh hati. Tingkat darjah kepanasan Hanan mendadak naik. Angin serta ribut taufan melanda satu badan. Hanan tercari-cari sesuatu untuk membalas. Apabila terpandang saja batu-bata yang kecil di hujung kaki, dia lantas tunduk mengutip. Cukup tiga butir, Hanan mengayuh basikalnya sambil menggenggam erat batu ditangan. 

Sampai di depan Abrar, sebiji batu di baling pada Abrar. Terkena di bahu kiri lelaki itu.

“ Hanan!” Abrar menyinga. Terperanjat.

Hanan tidak peduli. Dua biji batu dibaling serentak kali ini. Salah satunya tepat mengenai wajah Abrar. Puas hatinya. Dia terus melarikan diri bersama basikalnya. “ Padan muka! ” kutuknya. Terdengar suara Abrar mengerang di belakang tetapi Hanan tidak sekalipun menoleh. Hatinya cukup keras saat itu.