Enjoy reading dan moga terhibur :D
‘ Ohhh, gara-gara tidur
lewat semalam sehingga mencecah ke angka dua pagi akibat berangan-angan, sekarang
ini padahnya!’ Terbangun lambat sehinggakan terlajak subuh ke pukul tujuh tiga
puluh minit pagi. Kelam-kabut aku menyarung baju yang tergantung di dinding
bilik. Nasiblah sudah bergosok dari malam semalam.
Peach
blouse aku sertakan dengan skirt maroon labuh ke buku lali. Tali pinggang
hiasan aku selitkan ke pinggang untuk melengkapkan imej. Semuanya aku lakukan
dengan tahap gopoh dan gelojoh. Cuma apabila masuk masa untuk berhias tentulah
perlu mencuri sedikit masa agar pemerah dan pelembap bibir tidak tercomot
keluar dari garisan bentuk mulut. Bedak juga ku pakai dengan cermat supaya
seimbang ke serata muka. Tidaklah nanti bertepu di suatu kawasan saja. Malu
ditegur orang nanti. Siap semua barulah aku mengenakan tudung.
“ Eh, tak mahu sarapan dulu?! ” tegur ibu yang muncul
dari dapur ketika aku meluru terus ke ruang tamu setelah menuruni anak tangga.
“ Tak sempatlah, ibu.” Balasku yang telah kelewatan. Aku
tidak bertanya pada ibu mengapa tidak mengejutku kerana sememangnya selama ini
aku bangkit dengan usaha sendiri. Sangatlah jarang aku bangun lambat. Hari ini
saja aku terbabas.
“ Nak ibu bekalkan? Hari ini ibu ada masakkan nasi lemak
sambal udang. Ibti sukakan?”
Ahh, ibu sengaja mendugaku di awal pagi ini! “ Boleh juga
ibu.” Sengihku comel. Mana boleh menolak hidangan tersebut. Terlalu nikmat air
tangan ibu di saluran kerongkongku.
Siap memakai kasut tumit dua inci di rak luar sebelah pintu
rumah, aku bergegas membuka pintu kereta lalu menghidupkan enjin. “ Ibu
cepatlah..” seruku apabila kembali semula ke muka pintu.
Sekejap kemudian ibu tersembul seraya menyerahkan bekas
nasi lemak yang diletakkan dalam beg kertas. “ Bawa kereta baik-baik, jangan
kalut sangat.”
“ Hurmm, baik ibu.” Aku terus mengucup tangan ibu sebelum
menyumbatkan badan ke tempat duduk pemandu. Bermulalah pengembaraan aku untuk
hari ini.
AKU terlupa pesanan ibu
supaya tidak kalut. Sikap cemerkap membuatkan aku tidak boleh bertenang lagi. Kesesakan
di jalan raya membuatkan aku makin tertekan. Hampir roboh pintu kereta aku
kerjakan.
Permandangan yang aku lihat pagi ini membuatkan aku
tercengang. ‘ Hari ini, hari lambat satu Malaysia ke? Asal ramai sungguh yang
beratur di depan lif ? Semua bangun lambat macam aku jugak ke? ’ Aku
tertanya-tanya tatkala menapak hampir ke pintu lif. Ohh, sudah semestinya aku
tidak akan meniti anak tangga untuk pagi yang telat ini kerana aku cukup lelah
buat hari ini.
Perkara yang paling aku tidak pernah tersangka dalam
hidup ini, hari ini mencatat sejarah aku berhimpit masuk ke dalam lif. Menyelit
dari tepi. Sesungguhnya tubuhku yang kurus dan langsing berjaya melepasi masuk
ke dalam lif. Sewaktu itu hanya tarikan nafas lega dapat aku lepaskan. Aku
sudah tidak pedulikan orang lain lagi hatta untuk senyum dengan orang di
sebelahku.
Lif dari ground floor naik ke tingkat satu setelah hampir
sepuluh orang memenuhinya. Berhenti kemudiannya. Buntang mataku melihat
beberapa orang diluar sana turut mahu menumpang lif yang sama. Aku risau
sungguh jika perlu bersentuh-sentuhan di dalam lif. Tidak terjangkau dek
fikiran. Aku berharap ada beberapa orang dalam lif keluar di tingkat ini.
Dalam
keadaan yang mungkin berlaku kesesakan itu, aku terkejut bila sesuatu terhidang
di depanku. Sebuah beg bimbit. Aku terdongak memandang gerangan yang menghulur
barangan itu. Untuk tujuan apa?
“
Peluk briefcase ini supaya tubuh kau tak terkena dengan sesiapa.”
Aku
sebaliknya terpanar demi mendengar bicaranya. Suaranya serak basah dan garau.
Lembut tetapi sedikit tegas. Semakin terkesima menatap wajah itu. Bentuk muka
yang tidak pernah kucam sebelum ini. Dan matanya…tampak redup dan kecil. Kelihatan
sayu dan berkaca-kaca dalam kornea itu. Yang pasti meruntun jiwaku untuk terus melihat
ke dalam mata itu.
“ Ambillah,” kata jejaka itu sebelum memakai sunglasses yang
diambil dari saku kot. Mungkin sedar bahawa aku sedang menelek dirinya. Ahh, tiba-tiba
aku segan gila jika benarlah tekaanku! Awas, Ibti…!!! Ibu tak pernah mengajar anak
ibu menakal dengan menyelusuri muka seorang lelaki ajnabi!
Nyata
aku mengambil sekotak briefcase yang diperbuat daripada aluminium tersebut.
Meletakkannya dihadapan tubuhku. Melindungi sesuatu yang aku punyai. Lelaki itu
telah mengalihkan pandangan tatkala aku menerima bantuannya. Aku menjeling
lewat ekor mata lelaki di sisiku. Dia sedang berdiri sandar pada dinding lif
sambil memeluk tubuh. Kot elegan bewarna kelabu yang dipakai menampakkan
ciri-ciri seorang ahli korporat.
Lif
berhenti di tingkat seterusnya. Wujud tiga lagi penumpang mahu menaiki lif.
Maka seorang lelaki di depanku berundur ke belakang sedikit. Terlalu hampir
mengenaiku. Syukurlah ada perisai yang menghalang badanku daripada terkena
sentuhan yang tidak sepatutnya berlaku. Aku sedikit lapang saat ini.
Tiba
sahaja di tingkat tiga, ramai orang berpusu-pusu keluar. Tinggal empat orang sahaja
lagi termasuk diriku. Justeru itu, aku mengambil peluang memulangkan barang
yang bukan milikku. “ Err..terima kasih.” Tundukku tanpa merenung si jejaka.
“
Sebagai balasan, aku nak breakfast kau. Boleh kau bagi?! ”
“
Hah? ” terkejutku sambil panggung kepala. Melihat ke matanya yang terlindung
dek ray ban hitam. Baru kuperasan cara dia berbahasa, agak kasar dengan menggunakan 'aku dan kau'.
“ Disebabkan nasi lemak kau, habis berbau satu lif ini! ” komennya mendadak.
‘What?!
Nasi lemak?? ’ Aku terkebil-kebil sebelum tersedar beg kertas yang kukepit di antara
pelipat siku semasa aku bersungguh memeluk beg bimbitnya. Patutlah dia mampu
mentafsirkan aroma tersebut, beg kertas itu berada dekat dengannya Tak hairanlah, keharuman sambal udang ibu menusuk
sehingga ke hidungnya. Wah, mesti habis hilang bau minyak wangi DKNY Apple
Blossom aku dipengaruhi sambal buatan ibu tercinta!
“
Er..encik..nak nasi lemak..” bicaraku terputus apabila jari telunjuknya naik.
Mengisyaratkan aku supaya tidak berkata.
“
No thanks, aku bergurau.” Katanya seraya bergegas keluar apabila pintu lif
terbuka.
Terkulat-kulat
aku ditinggalkan begitu saja. Pintu lif tertutup semula. Siapa dia? Kenapa aku
langsung tak pernah terserempak dengan air muka macam gitu?!
Ting!
Pintu lif terbuka. Eh, tingkat berapa ni? Aku melihat kepada angka yang
bercahaya di atas pintu lif. Astaghfirullah!!! Ini dah terlajak tingkat! Macam
mana boleh tak sedar??! Aku sampai ke tingkat yang tak berpenghuni! Paling
menakutkan kerana tingkat ini banyak menyimpan cerita misteri yang aku dengar
daripada mulut-mulut rakan sepejabat termasuklah pak guard yang bertugas di
waktu malam!
Nauzubillah…!!
Jari telunjuk pantas menyentuh butang lif agar pintu segera tertutup. Memang
menempah bala. Sudahlah lambat punch card, boleh pulak tersesat ke tingkat
atas. Sia-sia aje aku bertempur masuk ke dalam lif semata nak lekas sampai! Itulah
akibatnya kalau gopoh! Hilang segala tumpuan. Tapi bukankah orang yang tadi tu
penyebab aku kehilangan fokus serta tujuan asal?!
Aik,
sendiri punya salah, kenapa mesti diletakkan atas bahu orang lain? Berdosa
tau?!
DARI tingkat lima yang
kosong, aku berhenti di tingkat empat. Tempat di mana aku bekerja. Telah hampir
lima tahun aku bertapa di sini mencari rezeki sebagai eksekutif pemasaran
syarikat setelah tamat ijazah.
Syarikat
D’Mewah Construction Sdn. Bhd. ialah syarikat pembinaan dan merupakan anak syarikat kepada Syarikat D’Megah Holdings
Sdn. Bhd. yang terulung di Malaysia. Syarikat D’Mewah ini ditubuhkan awal
sepuluh tahun lalu. Masih dalam usaha menapak nama dan kelihatan ‘kecil’ di
mata Malaysia. Dan akhir-akhir ini kemerosotan dalam keuntungan berlaku seiring
pasaran ekonomi yang lemah dan pesaingan yang sengit dalam merebut tender dan
jualan.
“ Oik, lambatnya cik puan hari ini! ” tegur satu suara.
Aku tersentak dari lamunanku. Terbawa-bawa dek kenangan dalam lif.
Bibirku menarik sengih. “ Orang tak sengajalah, Mail.”
Kataku menutup salah yang telah terdedah. Semua yang sedang tertunduk buat
kerja angkat kepala. Ismail yang bertugas di bahagian pengurusan sumber manusia
tergelak-gelak.
“ Wah, pekerja contoh datang lewat! Siapa yang patut
menggantikan dia pula tahun ni? ” Fauziah menjerkah deras. Dia juga seperti
Ismail, bertugas di bahagian yang sama.
“
Isyh, melampaulah tu! Aku baru sekali datang lambat, okey. Sebelum ini mana
pernah pun. Selalu aku yang terpacak depan pintu pejabat menunggu pak guard
bukakan pintu tahu! ” aku menjegilkan mata. Volume suaraku yang ingin
menggerutu geram lekas aku perlahankan. Buat malu saja ramai yang sedar
kelewatanku nanti.
Fauziah
ketawa nyaring. “ Aduhai, masuk lif tekan sendiri! Nyampah aku tau.”
“
Betullah tadi aku masuk lif tekan sendiri! ” aku membalas sengal. Terus meluru
ke department aku di hujung sebelah kanan. Tidak menghiraukan lagi pandangan
pekerja yang lain. Baru buat salah sekali, habis semua orang menyerbu muka pada
aku gara-gara tahun lepas aku mendapat anugerah pekerja contoh.
Sejujurnya
sewaktu menerima anugerah itu, aku sendiri terkejut bagai nak terbalik meja
disebabkan tak terjangkau dek fikiran. Mana pernah aku letakkan target untuk
mendapat anugerah tersebut melainkan di ‘vote’ rakan sekerja dan pihak atasan
yang turut menilai.
Satu
prinsip aku, masuk kerja perlulah tepat, dan untuk menepatinya perlulah hadir
awal supaya tidak terlewat dari jangkaan. Buat kerja juga perlu berdisiplin dan
bersungguh serta memenuhi dateline kerana sumber rezeki itu akan aku
peruntukkan untuk keluarga. Jadi mestilah rezeki yang diperolehi berkat dan
tidak mengandungi syubhah akibat kecuaian dalam bertugas. Semuanya akan menjadi
darah daging kita juga.
Baru
sahaja melabuhkan punggung, ada yang menyapa bahuku. Pantas aku menoleh.
“ Kenapa lambat, Ibti? ” soal Murni, teman
baikku. Dari zaman universiti kami bersama. Satu kos pengajian yang sama, bilik
hostel yang bersebelahan dan sekarang satu tempat kerja.
Murni
juga merupakan executive pemasaran sama sepertiku. Bezanya aku yang merekomen
pada senior marketing executive, Encik Maliki untuk mengambil Murni bekerja dua
tahun lalu disebabkan department aku kekurangan kakitangan. Encik Maliki pula
tidak banyak soal dan hanya meluluskan kerana dia tangkap angau dengan aku
(perkara yang aku tak harap langsung berlaku). Yang aku tak boleh lupa, sehari
selepas Murni masuk kerja, terus diajaknya aku pergi makan malam bersama. Wah,
sudah tentulah aku yang menyimpan seribu akal bersusah-payah meloloskan diri
daripada buaya tersebut!
Sebelum ini, Murni seorang suri rumah sepenuh
masa selepas habis belajar tetapi disebabkan tertekan hidup sebumbung dengan
mertua, dia bertindak bekerja semata-mata mahu mengelak daripada berkrisis
lebih besar. Pendekatan yang lebih baik muncul setelah bersalin anak pertama, Murni
mengusulkan cadangan untuk mencari pendapatan lebih buat keluarga. Faiz, suami
Murni terpaksa membenarkan untuk mengelak ibu dan isterinya terus bermasalah.
Semua cerita ini aku perolehi daripada mulut Murni sendiri.
“
Aku tidur lambat semalam, sebab itu terlajak bangun. Rasanya setengah jam lewat
tak apa kut, masih boleh dimaafkan buat pekerja contoh macam aku.” Aku menayang
muka tak berdosa. Murni menceberkan mulut.
“
Yelah, orang kesayangan Encik Maliki! ”
“
Isyhh, jangan cakap macam gitu nanti habis terlingkup satu department ini! Kalau
orang dengar tentulah parah dibuatnya. Dan seperti kau sedia maklum, aku tak
ada kena-mengena dengan anak orang kaya itu tau.”
Aku
bertegas sambil melihat keliling. Risau sungguh jika ada yang mampu menangkap
kata-kata Murni. Jangan esok ada yang mengata aku syok sendiri dengan majikan.
Padahal Encik Maliki tidak menunjukkan kesungguhan yang nyata dan jelas
terhadapku di khalayak ramai. Aku juga tahu orang seperti dia mampu mendapat seribu
kali lebih cantik daripada wajahku yang suam-suam kuku saja ini.
“
Jual mahallah kau, Ibti. Anak orang kaya dah bersemangat mengejar, kau tolak
mentah-mentah.”
“
Sebab dia anak kepada orang kaya, Puan Murni! ”
“
Yelah, yang kau mahu orang yang tak ada sesiapa dalam dunia ini. Anak yatim
piatu! ”
“
Jadi salahkah saya, Puan Murni? ” aku bertanya dalam senyum dan santai. Lantunan
suaraku seakan mengusik formal.
“
Tak salah, tetapi jarang nak berjumpa jodoh macam itu. By the way, kalaulah
anak yatim piatu itu tak ada memiliki apa-apa, kau sanggup terima? Sanggup
hidup bersusah-payah demi dia. Sedangkan ada jalan untuk kau bahagia dengan
kehidupan lebih senang dan mewah.” Bidas Murni tiba-tiba. Aku punya kening
sedikit menongkat naik sebelum turun melekuk seperti biasa. Memandang muka
comel Murni sekilas.
“
Wang ringgit tak menjamin kebahagiaan, Murni. Dan kalau itu yang termaktub buat
aku, aku terima seadanya biarpun dia papa kedana. Asalkan dia berusaha demi
kebahagiaan bersama. Takkanlah aku nak berkorban diri, untuk memilih seseorang
yang tidak berkemampuan menanggung aku. Penganggur lagilah mintak simpang.”
“
Disebabkan tak mahu ada ibu mertua macam aku, sanggup kau telan semuanya, kan?
” tekan Murni sedia maklum.
“ Itu dah tentulah! ” Aku buang sengih pada
Murni.
“
Eh, sudahlah! Aku ni datang lambat, ada hati nak bersembang lagi.” Celotehku
mencelah perbualan yang bakal meleret.
Murni
tergelak-gelak. “ Weih, sebenarnya aku nak cerita, tadi ada orang asing lalu
dekat sini! ”
“
Hah, maksudnya siapa orang asing tu?! ” Gaya Murni membuka hikayat seperti
lagak berjumpa UFO. Teruja dan terkejut sungguh!
“
Aku tak tahu, baru sekejap kita orang kecoh-kecoh dekat luar sebelum Encik
Maliki jeling suruh buat kerja! Dah tu,
semua ketua department diarah ke bilik bos.” Lapor Murni.
“
Gila kentang! Handsome…!! Tapi yang aneh tabiatnya siap bercermin mata gelap
dalam office terang-benderang. Rupa macam James bond nak menahan silau dari
lampu aje! ” gosip Murni lebih lanjut.
‘
Ohh, orang yang itu…’ aku berbisik sendiri.