Followers

/ Tagboard \

We are really hope that you will get something with this blog. Please respect to each other and keep enjoying with us ^.^
.Images are credit to Google.

Alahai,suamiku amnesia! 6








Cikgu Ahmad Safwan nak hantar rombongan meminang! Seluruh isi rumah gempar. Hanan pula hampir terjelopok ke lantai. Tanpa isyarat apa-apa, Cikgu Safwan mahu datang merisik sedangkan mereka mana pernah membincangkan urusan hati sebelum ini. Hanan bingung. Rasa terkejut yang dialami bukan lagi ilusi. Sebuah kenyataan yang perlu ditempuh.

“ Cikgu balik nanti bersiap sedia tau, jangan terkejut pulak! ” itulah ayat terakhir Cikgu Safwan sebelum dia pulang bercuti. 

Baru dua minggu lepas Hanan mula mengajar di sekolah tersebut, masakan semudah itu Cikgu Safwan menaruh perasaan padanya. Mustahil! Langsung tak terjangkau dek akal fikiran, Cikgu Safwan boleh terminat padanya yang berstatus cikgu praktikal, tinggal beberapa bulan lagi sesi praktikalnya akan tamat.

Walaupun mengajar di satu sekolah yang sama, mereka jarang bertemu empat mata. Lagi-lagi bilik guru lelaki dan perempuan berada dalam ruangan yang sama. Boleh dihitung dengan jari-jemari berapa kali mereka bertemu secara terserempak selain bermesyuarat di bilik guru. Berbual juga sangat jarang. Macam manalah Cikgu Safwan boleh tersuka dekat aku??

“ Mak macam mana ni? Hanan tak tahu nak bagi jawapan apa dekat dia.” Maka berkumpullah mereka satu keluarga di ruang tamu bagi membincangkan status sebenar keadaan yang bakal menyusul beberapa jam lagi.

“ Tak sangka adik along dah besar, dah sampai seru pun.” Fahmi mengusik. Sebenarnya dah banyak kali seru tapi haru aje!

Hanan menjegilkan mata menghantar isyarat marah. Kejap lagi aku naik angin kang!

“ Hanan suka tak cikgu tu? ” soal Puan Norsal.   

“ Macam mana nak suka, bersembang berdua pun jarang.” Jawabnya monyok.

“ Hah, apa lagi jawab aje saya tak boleh terima cikgu. Sekian, wassalam.” Fikri membalas selamba. Langsung tak ada kompromi. Hilang sifat perikemanusian jika dia mengikut cakap Fikri.  

Hanan menghela nafas panjang. Membuang resah yang bergumpal di dada.  “ Habis tu, rombongan yang tengah on the way tu macam mana? Dari Johor tu, Hanan tak sanggup nak bagi jawapan yang mengecewakan.”

“ Habis tu, Hanan sanggup nak tipu perasaan sendiri? Tak suka tapi sebab kesian terima aje. Esok lusa alang yang merana,” Fadhli membuka mulut. Hanan terdiam. Ada kebenaran dalam bicara angah. Masakan kerana kasihan dia mahu menerima seseorang yang tidak bermakna baginya.

“ Hanan cakap aje mak ayah dah ada calon untuk Hanan. Orang tu satu kampung dengan kita. Lagipun mak memang tak mahu anak perempuan mak kahwin dengan orang jauh, susah nanti nak balik jenguk.” Puan Norsal memberi buah fikirannya. Encik Malik pula diam dalam berfikir.

“ Masalahnya rombongan tu dah nak sampai, nak tak nak kita sekeluarga kena terima juga,” luah Hanan hambar dan gelisah.

“ Hanan nak terima jugak? ” Puan Norsal terkejut. Bulat matanya. Yang lain juga turut melahirkan rasa terkejut.

Hanan menggeleng laju.  “ Bukan, maksud Hanan kita terima aje kedatangan dia orang ke rumah. Apa yang jadi lepas tu, pandai-pandailah Hanan jawab nanti. Mungkin kalau tolak depan-depan dengan cara baik, dia orang tak terasa sangat kesannya daripada Hanan tolak dalam telefon.”

“ Eloklah kalau macam tu. Kita kena berjumpa dulu dengan pihak sana barulah masalah dapat diselesaikan. Kang, kalau tolak macam tu aje boleh jatuh maruah kita sekeluarga. Dia orang dah datang secara sopan jadi kita sambut baik-baik dan kalau nak tolak, tolak baik-baik.” Kata Encik Malik berhemah.

Semua mengangguk sejurus itu.





SELESAI sudah sesi risik-merisik. Rombongan yang tiba meminta diri setelah mendapat jawapan yang bernas dari pihak perempuan. Walaupun terkilan, masing-masing telah berjanji tidak akan bermasam muka di kemudian hari.

            Sejuta kelegaan Hanan pungut selepas keberangkatan rombongan tersebut. Syukur pada Allah yang memudahkan urusannya. Dia terlepas lagi kali ini.

“ Masuk ni dah lima orang yang ditolak, entah siapalah yang alang tunggu sebenarnya, kan? ” luah Fikri yang duduk senang di sofa sementara Hanan mengemas cawan serta piring yang berlambak di atas meja kopi.

“ Alang tunggu lelaki macam kamu, Fik. Yang suka duduk setempat, goyang kaki macam raja sambil tengok alang buat kerja.” Sinis Hanan. Fadhli tergelak besar sebelum berlalu masuk ke dalam kamar. Sengajalah tu nak mengelat, tak mahu tolong mengemas.

Fikri mencemikkan muka. Sindiran itu pedih di telinga. Mahu tak mahu dia bangun, membantu Hanan mengemas meja. Fikri menjeling alongnya yang selamba duduk berlunjur atas sofa sambil menelek Ipad. Inilah yang baru dikatakan goyang kaki! Gaya macam raja, aku dengan alang macam orang suruhan, tempelaknya dalam hati.

            “ Nak minta tolong tu tak payahlah perli-perli, alang saja nak jatuhkan maruah Fik depan along dengan angah,” sungut Fikri dengan muka sedih. Masih tak puas hati lagaknya.

            “ Bila masa alang jatuhkan maruah Fik? Takkan tolong angkat cawan dengan piring ni dah dikira jatuhkan ma…”

            “ Assalammualaikum..” seru satu suara dari luar rumah. Mematikan bicara Hanan.

            “ Waalaikummussalam..” Fahmi gegas bangun dari sofa lalu menjenguk keluar pintu. “ Ohh, kau Abrar! Masuklah,” pelawanya.

            Berdesing telinga Hanan saat nama Abrar menyapa gegendang. Otaknya tiba-tiba jadi sesak dan tumpul. Hanan segera bangun dari melutut. Ditatang cawan dan piring yang belum sempat penuh dalam dulang. 

“ Fik hantar semua ni ke dapur! ” Arahnya. Langkah segera diatur ke dapur. Mahu menyembunyikan diri. Fikri tercengang mendapat mandat tersebut.

“ Ada tetamu ke tadi? ” Abrar menyoal setelah dijemput duduk.

“ Ada rombongan tadi.” Fahmi menjawab ringkas.

“ Rombongan? ” Abrar blur.

            “ Ada orang datang merisik Kak Hanan.” Sampuk Fikri. Piring dan cawan yang disusun diangkat dengan cermat. Mahu dibawa ke dapur.

            Gulpp!! Air liur dikerongkong tiba-tiba rasa kesat dan perit untuk ditelan.

            “ Fik nanti suruh Hanan buat air untuk Abrar,” Fahmi menitipkan pesan. Fikri mengiyakan.

            “ Eh, tak payahlah. Aku datang sekejap aje, nak bagi ini.” Abrar menghulurkan bekas makanan yang dibawa bersamanya.

            “ Apa isinya? ” tersenyum lebar Fahmi dengan pemberian itu.

            “ Pengat pisang, ibu aku bagi.”

“ Wah, terima kasihlah bawa rezeki datang sini,” ucapnya gembira.

“ So, apa keputusannya? ” Tanya Abrar lanjut.

“ Hah? Keputusan apa? SPM ke? ” Fahmi kurang jelas. Abrar tergelak.

“ Apa pulak keputusan SPM, dah tua bangka macam ni takkan ambil SPM lagi.”

Fahmi ketawa lepas. “ Manalah tahu tiba-tiba kau nak tahu keputusan SPM aku yang dulu tu, yang tak sehebat kau punya. Kau tu hilang ingatan sekurang-kurangnya aku boleh bantu yang mana patut, bagi kau ingat balik.”

“ Bukanlah. Tadi kau kata ada orang datang merisik Hanan so, dia terima tak? ”

“ Oh, keputusan tu..dia..eh jap, asal kau berminat nak tahu? Kau ada hati dengan adik aku ke? ” duga Fahmi dengan muka berseri-seri. Abrar tenang walaupun diterjah dengan pertanyaan tersebut.

“ Belum tentu aku jadi adik ipar kau kalau aku ada hati pada Hanan. Sekarang ni aku cuma ada hati nak tahu apa keputusannya.” Tutur Abrar penuh simbolik. Air mukanya tetap cool. Tidak gagap-gagap dalam mengatur kata-kata walaupun hakikatnya setiap degup jantungnya menghantar seribu debaran yang mencemaskan. Abrar bimbangkan jawapan yang bakal dihadapinya kelak.

“ Betul jugak tu, kau dengan Hanan mana pernah sebulu. Mustahil adik aku tu nak terima kau, itupun kalau kau ada hati dengan dia.” Simpul Fahmi daripada kenyataan Abrar.

Mustahil? Detik hatinya. Abrar telan liur lagi. 

            “ Dia tolaklah, masuk ni dah lima orang dia tolak. Entah lelaki manalah yang mampu tambat dia, hati kental semacam.”

            Dalam diam Abrar melepaskan nafas lega. Teramat lapang dadanya kala itu. Alhamdulillah..

            “ Mungkin tak ada yang mampu mengusik hati dia lagi,” Abrar membuat rumusan.

“ Mungkin, tapi Hanan degil sikit orangnya, pasangan yang sesuai dengan dia mestilah yang tahap kesabarannya tinggi dan tegas. Barulah ego Hanan boleh ‘patah’.” Fahmi mengucapkan sesuatu yang mengikut tafsirannya.  

“ Along ni mengutuk Kak Hanan ke? Report nanti baru ternganga,” Fikri mencelah. Dia kemudian mengambil tempat di sofa.

Fahmi mencebik. “ Along cakap yang betul, manalah tahu kalau Abrar nak jadi sebahagian dari keluarga ni, boleh dia praktikkan nasihat along.”

“ Eh, Fik datang melenggang aje ke? Mana air Abrar? ”

“ Eh, lupa pulak. Tadi mak ayah suruh Abang Abrar turun bawah, pergi minum kat dapur aje. Tak payah nak segan-segan. Tak kahwin dengan Kak Hanan pun, anda adalah sebahagian daripada keluarga ini, bukan orang luar pun.”

“ Wah, betapa kau dialu-alukan dalam keluarga aku ni. Untunglah jadi anak angkat mak ayah .aku..” sakat Fahmi. Abrar tergelak-gelak.

“ Jomlah ke bawah,” Fahmi mengajak.

“ Tak apalah, aku ingat nak balik dulu.” Sopan Abrar menolak.

“ Wei, apa ni bro? Tak baik tolak rezeki, aku dah terima rezeki dari kau so, kau pula janganlah tolak rezeki dari rumah aku.” 

Abrar tergaru-garu pelipis.

“ Tak payah fikir lama-lama, jom.” Fahmi menepuk bahu Abrar.

“ Hah, Abrar mari duduk makan sekali.” Encik Malik menjemput. Abrar mengangguk senang.

“ Terima kasih.” Dia kemudian mengambil tempat di meja makan. Duduk bersebelahan Fahmi, berdepan dengan Encik Malik dan Puan Norsal. Fikri tidak turut serta, sibuk mahu bermain Ipad Fahmi.

“ Hanan, buatkan air untuk Abrar.” Puan Norsal mengeluarkan arahan. Hanan mencemikkan muka. Pili air singki ditutup. Ditinggalkan kerja mencuci piring. Beralih pula ke kabinet yang menempatkan cerek air serta cawan-cawan.

“ Makan Abrar, jangan malu-malu.” Puan Norsal menolak pinggan pisang goreng ke depan Abrar. Fahmi pula yang menyusul tangan dalam pinggan. Pisang gorang tersebut disumbat ke dalam mulut. Puan Norsal menjeling marah pada Fahmi. Terlebih laku pula bujang terunanya di depan tetamu. 

“ Dahulukan tetamu along. Jangan ingat nak jaga perut sendiri aje.” Kata Puan Norsal. Fahmi tersenyum selepas itu. Baru perasan tingkahnya yang terlepas laku.

“ Along memang macam tu, mak. Takkan tak faham sifat dia yang gelojoh dari semua orang.” Dalam ralit buat air, sempat Hanan menempelak. 

“ Hanan..” tegur Puan Norsal.

“ Hanan sajalah tu cari gaduh dengan along.” Sela Fahmi. “ Tak puas hati dari pagi tadi, balik dari pasar aje asyik nak marah-marah. Entah dengan siapa dia terserempak sampai along yang duduk dalam kereta pun kena bambu sekali.”

Abrar terkedu. Kata-kata Fahmi seperti mencerut batang lehernya. Dalam diam dia terasa soal dirinya yang dikisahkan.

 “ Hanan marah kat siapa? ” Encik  Malik bertanya.

“ Hanan terjumpa orang tak siuman berebut ayam dengan Hanan.”

Uhuk, uhuk! Abrar terbatuk-batuk. Puan Norsal, Encik Malik dan Fahmi spontan menoleh pada Abrar. Langsung hilang fokus pada bicara Hanan.

“ Kenapa kau? ” Fahmi mengusap belakang Abrar.

“ Cepat bawakan air tu, Hanan.” Puan Norsal cemas. Ya Allah, selamatkanlah Abrar. Janganlah disebabkan pisang goreng tu menjadi penyebab Abrar jatuh sakit. Kang aku nak jawab apa dengan Salmi kalau apa-apa jadi pada anak dia? Puan Norsal doa dalam hati.

“ Silalah minum,” Hanan meletakkan air kopi yang dibancuh. Nak batuk-batuk konon. Kenapa? Encik Abrar terasa ke? Macam tau aje timing untuk batuk yer!

Untuk menghindar dari pisang goreng terpacak di kerongkong, Abrar segera meneguk air kopi yang dibikin oleh Hanan. Doanya moga-moga air kopi pemberian Hanan mampu menjadi penawar untuknya. Seteguk, dua teguk dan kali ketiga..YA ALLAH, pahitnya……..  

“ Macam mana? Dah lega? ” Puan Norsal bertanya. Abrar mengangguk perlahan.

“ Apalah Abrar ni, makan pisang pun boleh tercekik.” Fahmi mengolok. Seumur hidupnya mana pernah dia terjumpa kes orang tercekik pisang. Abrar yang pertama, dan hendaknya janganlah dia pula yang menyusul. Nauzubillah..

            “ Tak apalah, aku balik dulu. Pak cik, mak cik, saya minta diri dulu,” luah Abrar bila keadaannya kembali normal.

“ Eh, tak panas kerusi tu lagi dah nak balik. Ada kerja apa nak balik lekas sangat? ” Encik Malik mahu mencegah. Banyak lagi perkara yang mahu dibualkan bersama anak muda itu. Manalah tahu tengah mereka berdiplomasi dapat membantu Abrar mengingat semula masa lampau.

‘Eloklah balik awal-awal, tak payah bertandang lama-lama. Tahu pun ada orang dalam rumah ni yang tak suka dengan kehadiran ANDA!’ Getus Hanan.  
  
“ Sebenarnya saya datang cuma nak hantarkan pengat pisang yang ibu suruh. Tak bercadang pun nak singgah lama-lama sebab ibu nak ke rumah pak long.”

“ Pengat apa pulak ni? Buat apalah susah-susah hantar pengat ke sini.” Puan Norsal menyoal lanjut. Musykil dengan kenyataan Abrar.

“ Pengat pisang tu ada kat atas mak, along lupa nak bawa turun sekali.” Fahmi menyelit dalam perbualan.

“ Ibu saja buat lebih,” ringkas balasan Abrar. Dia bangkit.

“ Pesan kat ibu kamu terima kasih daun keladi, esok lusa tak payah bagi lagi. Buat susah-susah aje.” Pesan Puan Norsal dalam gurauan versi pantun. 

Abrar mengangguk saja. Malas bercakap lebih. Dia menuju ke singki. Mengambil kesempatan untuk mencuci tangan yang berminyak. Selebihnya Abrar memang menanti peluang untuk dekat dengan gadis yang bertenggek di singki dari tadi.

“ Nak tumpang bilas tangan sekejap.” Ucap Abrar di sebelah Hanan.

Hanan terpegun. Terkejut. Tidak sedar dengan  kehadiran Abrar.

“ Pandai Hanan buat air. Abang tak pasti Hanan nak balas dendam atau pun Hanan terlupa nak bubuh gula but to me, air tu tetap sedap walaupun pahit.” Gumam Abrar berani. Usai mencuci tangan dia beredar meninggalkan Hanan yang terkulat-kulat di singki.

 Hanan kebingungan. Masih lagi pegun seperti patung. Terlupa bubuh gula? Pahit? Air kopi tu ke yang dia maksudkan? Kakinya cepat mendekati meja makan, tanpa lengah Hanan mencapai cawan yang masih berisi air kopi. Dalam kealpaannya mahu mencari kebenaran, Hanan meneguk air tersebut. Seteguk selepas itu terbentang kerutan hebat di dahi Hanan.

“ Betullah pahit..” bisik Hanan.

“ Dahaga sangat ke, Hanan? Awat sampai air Abrar yang kamu teguk? ” Puan Norsal menegur.

Huh? Air Abrar! Hanan terlopong. Ternganga luas mulutnya kerana tercengang amat sangat. Aku terminum air Abrar? Pantas dia menekup mulut. Ahh, bodohnya aku! Kenapa boleh jadi biul sangat?

“ Itulah, lain kali kalau dahaga pun janganlah gopoh sangat. Sekarang dah jadi macam ni, nasib baik Abrar tak nampak. Ni kalau along nampak mesti diusiknya kamu tak sudah! ”

“ Mak..macam mana ni? Hanan tak sengaja..” suara Hanan sarat dengan rasa bersalah. Tiba-tiba dia rasa berdosa sangat-sangat. Bibir sucinya telah bersatu dengan cawan bekas bibir Abrar. Eee, gelinya!



“ Laa, buat apa nak rasa bersalah sangat, bukannya tuannya ada. Abrar dah balik pun. Tak payah nak malu sangat.” Kata Puan Norsal selamba. Apalah yang nak dirisaukan sangat, bukannya ada sesiapa nak marah pun.

Hanan mendiamkan lidah. Bercerita panjang juga tak berguna. Benda dah jadi. Puan Norsal tidak mungkin mengerti resah di hatinya. Hanan memanjangkan semula langkah ke singki. Dipulas kepala  pili air lalu bibirnya dibasahkan. Hanan amat berharap perbuatannya itu mampu menghindari ‘noda’ yang terpalit di bibirnya.







Alahai, suamiku amnesia ! 5









“ Hanan pergilah masuk dalam tu, along tunggu kat luar.” Kata Fahmi setelah memarkir kereta dalam petak parking depan pasar basah. 

Hanan yang berura-ura mahu keluar kereta langsung terbantut. Matanya terjegil besar. Terkejut. 
“ Jangan nak mengelat, along ditugaskan untuk tolong Hanan bukannya tunggu kat dalam kereta. Sekarang cepat keluar! ” tekan Hanan. Terkerdip-kerdip mata Fahmi mendengar arahan si adik.

“ Eh, along tak biasalah nak redah pasar macam ni. Tak selesalah dengan keadaan kat dalam tu, macam-macam bau ada. Buat apa along pakai minyak wangi banyak-banyak kalau setakat nak masuk pasar. Hilang along punya macho tau.”

Penjelasan Fahmi telah membuatkan kening Hanan sampai terangkat. Ewah,ewah, banyaknya songeh dia! Inilah dia orang kampung tak sedar diri.

“ Along, masuk pasar takkan hilangkan macho seorang lelaki, lagilah akan menambahkan asset along sebagai serang lelaki yang sejati. For your information, wanita macam Hanan suka lelaki yang boleh masuk pasar, boleh dibawa tengok ikan sayur, paling bagus kalau dapat kenal pasti sayur dengan ikan yang macam-macam jenis. Dalam dunia ni memasak dan pergi pasar bukan terbatas untuk wanita saja, lelaki pun patut ambil tahu. Itulah baru dinamakan macho. Jangan nak jadi stereotype sangat okey! ”

“ Yeke?? Tapi along sebenarnya tak selesalah, along mana pernah jejakkan kaki kat dalam tu.”
“ Habis tu, along tak sayangkan Hanan? Satu-satunya adik perempuan yang along ada? ” tebak Hanan. Dahi dan kening Fahmi berkedut. 

“ Eh, asal tiba-tiba masuk bab sayang menyayang ni? ”

“ Kalau along sayang Hanan, along takkan sanggup buli Hanan angkat barang yang banyak tu seorang diri. Kalau along sayang, along tak rela tengok Hanan redah pasar tu seorang diri. Kalau along sayang, along akan jaga kebajikan Hanan dan along takkan sanggup tengok Hanan susah. Kalau along..”

“ Hanan ni pandai nak buat along serba salah, kan? ” pintas Fahmi. Dijeling Hanan dengan perasaan tak puas hati. “ Kenapalah mak suruh along buat kerja-kerja macam ni.” Rungutnya.

“ Suka kati alonglah, Hanan tak mahu paksa. Kalau along rasa duduk dalam kereta tu benda yang paling berfaedah, go ahead.” Jemari Hanan membuka pintu kereta. Sengaja menunjuk lagak seolah-olah dia berjauh hati.

“ Yelah, yelah, along ikut.” Putus Fahmi. Terpaksa memaksakan diri gara-gara tertekan dengan nada sedih Hanan.

“ Love you along.” Senyum Hanan lebar dan manis.

“ Hrmm..”
      



 
SILAP besar! Membawa Abdul Fahmi bin Abdul Malik adalah pengalaman yang cukup menduga ketahanan Hanan. Setiap tingkah laku dan omelan Abdul Fahmi sangat memeningkan. Hanan hanya mampu bersabar walaupun sebenarnya tahap kesabarannya tinggal senipis kulit bawang.

             “ Along, janganlah berdiri rapat sangat nanti susah alang nak pilih ikan-ikan ni.” Gumam Hanan sambil jemari menekan-nekan perut ikan kembung di depannya. 

             “ Along takut Hanan hilang, pasar ni besar tu pasal along tak mahu ada jarak antara kita.” Balasnya masih berdiri dekat sebelah Hanan. Sekali tengok dah macam laki bini yang baru kahwin. Asyik nak berkepit aje 25 hours!

             “ Hanan tak selesalah nak pilih ikan, along berdiri terlampau rapat. Nanti baju  Hanan pulak yang berjangkit bau ikan, hanyir tau.” 

             Tegah Hanan di hujung telinga Fahmi. Dia kemudian meminta bakul kecil daripada penjaja untuk mengisi ikan yang dimahukan. Sengihan daripada penjaja tersebut membuatkan Hanan malu tiba-tiba. Tentu ada perkara yang berpusar-pusar di otak penjaja tersebut mengenai dirinya dan Fahmi. 

             “ Itulah lain kali kita pergi supermarket aje, tak payah nak redah pasar yang berbau ni,” sungut Fahmi dengan hidung kembang kempis. Bau ikan hanyir mula menusuk hidung. 
  
             “ Makanan basah dekat supermarket tu kebanyakannya tak segar, nak simpan lama-lama pun tak boleh. Kalau ke pasar macam ni semuanya segar-segar, semua yang Hanan nak cari ada. Tak payah nak ke tempat lain lagi.” Tutur Hanan sambil ralit meneliti ikan-ikan yang dirasakan segar.

             “ Cuba sentuh ikan ni,” suruh Hanan pada alongnya.
             “ Tak mahulah,” Fahmi buat muka geli. Hanan mencemikkan muka. Harap aje anak orang kampung, tapi berlagak macam orang bandar. Orang nak ajar cara kenal pasti ikan segar pun tak mahu!

             “ Isyhh, siapa yang bakal jadi isteri along memang kesian sangat. Along ni tahu makan aje, tak tahu nak membantu apa yang patut. Kalau Hanan jadi perempuan tu, memang Hanan reject awal-awal.” Sinis bicara Hanan dalam nada seloroh.

             “ Amboi…sedap aje mulut tu mengata orang.” Fahmi geram dengan sindiran si adik. Pantas tangannya hinggap ke pipi Hanan. Dicubit pipi comel itu. 

             “ Along..sakitlah, saja nak malukan orang bencilah macam ni! ” gerutu Hanan.

             “ Siapa suruh main-mainkan along, orang nak tolong pun kira dah nasib baik tau.”

             “ Ini bukannya menolong tapi mengacau. Kalau along nak tolong sangat, sekarang pergi beli sayur. Hanan nak pergi beli ayam kampung kat sana,” Hanan menunjukkan arah yang bertentangan dengan mereka.

             “ Eh, apa pulak along pergi sendiri. Orang mana reti nak pilih sayur, tak kira jom pergi sama-sama.” Fahmi enggan. Hanan mengetap bibir. Bengang. Membawa alongnya ke sini langsung tidak membantu sebaliknya bertambah pening dibuatnya.

             Selesai membayar harga ikan, Hanan dan Fahmi bergerak ke tempat jualan sayur-sayuran.
             “ Eh, maknya mana? ” Tanya Mak cik Hasnah, penjaja sayur yang suka beramah mesra dengan pelanggan.

             “ Mak tak datang hari ni, ada kerja nak dibuat kat rumah.” Balasnya berbahasa. Sayur sawi yang diikat seikat dibelek di bahagian daun.

             “ Habis tu, siapa ni? Tunang ke? ” Mak cik Hasnah tersenyum melihat Fahmi yang berdiri di sebelah Hanan. Setahunya anak perempuan yang selalu mengekor Puan Norsal, belum berkahwin. Maka itu dia mengagak lelaki itu adalah tunang Hanan. Amboi..kacak betul tunang dia!

             “ Bukanlah mak cik, ini abang saya. Fahmi namanya,” Hanan membetulkan telahan tersebut.

             “ Oh, yeke? Patutlah ada iras macam mak kamu. ”

             “ Dia ni anak mak, manja..” sela Hanan bercanda. Fahmi menjegilkan mata. Mak cik Hasnah tersenyum.

             Hanan menyerahkan sayur sawi dan sayur kangkung yang dipilih kepada Mak cik Hasnah. Siap dibungkus, Hanan menyerahkan sekeping not lima ringgit. Mereka bergerak lagi setelah mendapat baki.

             “ Eh, Hanan terlupalah nak beli asam keping dengan serai. Boleh tak along pergi kat mak cik tu semula, belikan asam keping satu paket dengan seikat serai untuk Hanan? ” pinta Hanan bersahaja.

             “ Jomlah pergi sama, nanti along tersalah beli macam mana? ” Fahmi berat hati dan berat kaki.
             “ Alah, along sebut aje kat mak cik tu nanti dia bagilah. Sekarang Hanan nak pergi beli ayam kat sana.” Katanya. “ Along nak balik cepat tak? Lepas beli ayam Hanan nak terus balik tau,” sambungnya.

             “ Kalau along sesat macam mana? ”

             “ Tak ada maknanya nak sesat, pasar ni bukannya fun fair. Lepas along beli asam dengan serai, along tunggu aje kat kereta. Hanan terus balik lepas beli ayam.”

             Fahmi mengangguk lemah. “ Yelah.”

             Hanan dan Fahmi bergerak bertentangan jalan. Hanan melalui jalan kiri manakala Fahmi ke kanan. Berhati-hati Hanan melalui jalan kecil yang berlopak dengan air. Skirt hitam yang dipakai disinsing sedikit untuk mengelakkan terkena percikkan air di jalan yang dipijak.

             “ Ke tepi! ” tempik suara dari arah depan.

             Terkesima. Bulat mata Hanan apabila pinggangnya disauk ke tepi. Rapat ke dada seseorang. Ketika itu juga sebuah roda yang berisi buah-buah kelapa melewati sebelahnya. Roda tersebut bergerak laju dari arah depan tanpa kawalan dari sesiapun. Sedarlah Hanan bahawa dia hampir dilanggar dengan roda yang berisi penuh dengan buah kelapa yang boleh tahan beratnya.
   
             “ Maaf, maaf,” orang yang menjerit tadi memohon maaf. Sedar dengan kecuaian yang dilakukan. 

             Pinggangnya dilepaskan. Hanan yang terkejut bertambah terkejut. Baru tersedar bahawa dia telah diselamatkan oleh seseorang, dan Hanan pasti orang itu adalah lelaki. Pegangannya kuat dan haruman yang dipakai adalah jenama minyak wangi lelaki. 

             Hanan takut nak menoleh, nak ucapkan terima kasih juga dia kecut. Dia termangu-mangu sendirian. Segan sangat sebenarnya. Tubuhnya terlalu erat dalam dakapan lelaki berkenaan. Cuba bayangkan kalau penyelamat tu lelaki yang dah tua bangka? Sebaya pulak dengan ayah. Ahh, malunya!! 

             “ Er, terima kasih.” Ucapnya sambil tertunduk.

             “ Next time be careful. Jalan tu pandang ke depan bukan tunduk tenung jalan,” pesan penyelamatnya.

             Dalaman Hanan tersentak. Suara itu kedengaran familiar. Hanan yang tertunduk lantas mendongak. Mulutnya terlopong. Matanya tidak menipu. Pemilik suara itu sememangnya milik lelaki itu, Hanan pasti. Riak terkejut juga terbias pada wajah pemuda itu. Mungkin tidak menyangka orang yang diselamatkannya adalah Hanan.

             Hanan berpaling. Malas berlamaan di situ. Diteruskan niatnya yang mahu membeli ayam. Hanan bergegas meninggalkan ‘penyelamatnya’ itu. Lebih baik dia menyelamatkan diri daripada terperangkap dalam situasi yang melemaskan.

             “ Hanan datang seorang aje ke? ” tegur seseorang dari sisi. Hanan mengalihkan pandangan. Wajah Puan Salmi menyapa pandangan. Senyuman mekar dihulur sebagai tanda kemesraan.

             “ Hanan datang dengan along, dia ada kat luar tunggu Hanan.” Hanan menjawab tenang. Selain sepasang mata Puan Salmi, Hanan perasan ada sepasang mata lagi yang merenungnya.

             “ Beli ayam ni nak masak apa? ” Puan Salmi memanjangkan perbualan.

             “ Kari ayam tapi bukan Hananlah yang masak, mak yang masak nanti. Hanan tukang beli aje,” ujarnya selamba.  

             “ Mak yang masak? Habis tu, Hanan jadi tukang makan aje? Hanan pandai masak tak? ” 

             “ Nak kata pandai tu taklah sangat tapi masih boleh dikatakan boleh memasak. Tak adalah sehebat mak dengan mak cik Salmi,” Hanan berkata lagi. 

             Terangguk-angguk Puan Salmi mendengarnya. Seolah-olah berpuas hati. “ Nanti kalau mak cik datang rumah, mak cik nak rasa air tangan Hanan tau.”

             “ Insya Allah,” jawabnya dalam debaran. Takut pula bila Puan Salmi buat permintaan begitu. Rasa macam masuk pertandingan memasak master chef.

             “ Abang, tolong potong ayam ni siap-siap.” Hanan meminta jasa baik si penjaja ayam.

             “ Baiklah adik manis..” ujar Pakistan itu tersenyum-senyum. Hanan tersengih-sengih. Perasaan geli-geleman naik hingga ke kepala. Mungkin akan pitam jika berlamaan di situ.

             “ Adik manis sudah siap, ini saja ke? ” Tanya si Pakistan.

             “ Ha’ah, yang itu aje.” Penjaja tersebut mengangguk faham. Belian Hanan dibungkusnya.

             Hanan menghulurkan not sepuluh ringgit, dalam masa yang sama ada tangan menghulurkan sekeping not lima puluh ringgit. Perniaga Pakistan itu terpinga-pinga.

             “ It’s okay, abang bayar untuk Hanan.”

             Errkk!! Hanan tergamam. 

             “ Tak apalah, Hanan..simpan aje duit tu. Abrar belanja kamu makan ayam free hari ni.” Bicara Puan Salmi sambil berseloroh.

             “ Eh, tak payah susah-susah, Hanan boleh bayar sendiri.” Hanan mencegah. “ Bang ambil duit ni,” Hanan arahkan penjaja ayam tersebut mengambil duit yang ada padanya. Sinar matanya tegas.  

             “ Yang mana satu ni? Siapa yang mahu bayar? ” Nampaknya tukang penjual ayam sudah blur

             “ Saya! ” Hanan dan Abrar berkata serentak. Kedua-duanya saling memandang.

“ Ini ayam Hanan jadi Hanan yang kena bayar.” Tegasnya. 

Tergeleng-geleng kepala Puan Salmi dalam senyuman. Padanlah kamu berdua suka bergaduh, sama-sama degil!

“ Tak apa abang bayarkan, abang ambil duit saya! ” Abrar mengarah dengan mata yang tajam.

Penjual Pakistan tersebut segera mengambil duit yang Abrar hulurkan. Takut melihat mata Abrar yang bersinar garang. Tubuh Abrar yang berbidang sasa dan tinggi itu juga menggerunkan. Jika mahu dibandingkan tubuh mereka, Abrar ternyata lebih sasa, lebih tegap. Walaupun dia berketurunan Pakistan tetapi hakikatnya tubuhnya hanya berbidang biasa saja tidaklah seperti kebanyakan warga Pakistan yang lain.

Huh, menyampah! Hanan merengus dalam hati. Terasa nak menyinga pada penjaja tersebut tapi Hanan tak sampai hati. Tambahan pula Puan Salmi masih berada disisinya. Membataskan bicaranya. Terpaksa Hanan mengawal perasaan kurang senang dalam hati.

“ Hanan balik dulu yer mak cik, risau mak tertunggu-tunggu.” Hanan meminta diri setelah mendapat seplastik ayam.

 “ Yelah, kirim salam kat mak kamu.” Puan Salmi menitip pesanan. Hanan mengiyakan.
Hanan menonong pergi tanpa ucapan terima kasih. Bukannya dia terlupa tapi sengaja buat-buat lupa. Itu adalah tanda protes yang dilancarkan. Hanan tak peduli apa pun anggapan Puan Salmi yang penting dia mahu Abrar tahu yang dia tidak suka sama sekali dengan perbuatan lelaki itu. Benci!
“ Dia marah Abrar tu..” ujar Puan Salmi. Abrar mengangguk.
“ Abrar tahu..”
“ Kalau suka jangan buat dia marah,” Puan Salmi mengerling anak terunanya yang galak tersenyum.

“ Kalau suka pun belum tentu dia suka Abrar, belum tentu dia jadi milik Abrar.”

“ Kalau Abrar mahu, ibu bincang dengan Mak cik Norsal.”

Abrar menggeleng. “ Let’s time begin everything, Abrar terima semuanya.”