Followers

/ Tagboard \

We are really hope that you will get something with this blog. Please respect to each other and keep enjoying with us ^.^
.Images are credit to Google.

Malam bertemu bintang 11 & 12





Sekian lama berdiam diri, Aii nak update bab yang terkini MALAM BERTEMU BINTANG. 

Harap sudi membaca dengan hati yang tulus.




Kuat berdentum daun pintu yang ditolak. Pasti setiausahanya terkejut besar dengan perbuatan tersebut. Irsyad tidak peduli seraya menghempaskan belakang badan ke kerusi. Mujurlah kerusi itu empuk, bolehlah dia mendarat dengan kasar. Kalau tak, mahu terpatah riuk tengkuk hanya kerana hati yang meradang.


            Bukan Irsyad sengaja menunjukkan kemarahan tetapi dia jelas tidak boleh menahan diri. Hatinya berang disemarakkan oleh api cemburu. Buat pertama kali Irsyad berasa tertewas kerana seorang gadis. Apatah lagi dengan kehadiran pendatang asing yang cuba menceroboh sekeping hati yang ingin ditawannya. 


            ‘ Siapa lelaki itu? Apa kaitannya dengan Nuzul? Kenapa mereka berdua begitu mesra?! ’ benaknya ditunjal-tunjal dengan persoalan demi persoalan.


            Irsyad terbayangkan lagi malam yang indah baginya. Walaupun hujan namun manisnya bisa menggugat naluri. Segalanya diatur begitu cantik dan bermakna. Ruang dan masa yang mereka kongsikan bersama amat menyenangkan jiwa lelakinya. Tingkah laku serta pertuturannya juga disusun sebaik mungkin agar Nuzul mampu membaca biasan cinta yang bermain di matanya. Irsyad akui, dia bukanlah seorang lelaki yang mampu berkelakuan sedemikian seperti malam itu tetapi demi Nuzul segalanya menyongsang. Dirinya bukan Alif Irsyad yang dikenali oleh teman-teman sosial hatta teman baiknya; Syed Saiful.


 ‘ Nuzul tak ingat,kah apa yang berlaku malam itu? ’ soal hati yang rawan. Irsyad tidak dapat menyangkal saat bersama si dia jauh lebih terkesan. Pesonanya mengasyikkan. Memikat mata dan mengunci hatinya. Nyata Nuzul berjaya mengatasi segala jenis wanita yang bersilih ganti dalam meniti usia kedewasaannya.


‘ Oh, come on Irsyad! Takkan hanya dengan sikit kebaikan malam itu, kau dah expect dia akan jatuh cinta?! Jangan mimpilah Nuzul akan berlari kepada kau sedang hatinya sendiri tak pasti. Lagi-lagi dengan sikap yang kau tunjukkan, macam roller coaster. Sekejap panas, sekejap suam-suam kuku, and most of the time kau terlalu dingin macam ais ketul.’ Herdik isi hatinya yang paling dalam.


Irsyad meraup wajah demi meleraikan kekusutan diri. Seminggu tidak bersua wajah membuatkan Irsyad hidup dalam dunia khayalannya. Membayangi gadis itu sentiasa hadir dalam dakapannya biarpun mimpi itu pasti. Bukan keinginan Irsyad untuk melarikan diri seminggu lamanya. Cuma setelah malam itu, masalah syarikat tiba-tiba menjelang dalam keadaan dia separuh sihat. Irsyad terpaksa terbang ke Abu Dhabi ekoran masalah kelewatan dalam mendapatkan kelulusan daripada pihak UAE (United Arab Emirates) berkenaan kemasukan kapal Garuda Ocean ketanah air itu bagi mengeksport bahan mentah untuk projek pembinaan jalan raya yang diusahakan oleh Garuda Corporation.     


Ketukan di sebalik pintu menghantar Irsyad ke alam realiti. Arahan masuk diberinya setelah berjeda. Kini terpacul setiausahanya, Hawati dengan langkah teragak-agak untuk masuk. Barangkali gementar mahu menghadapinya yang keberangan sebentar tadi. 


“ Ada apa Hawa? ”


“ Er..maaf menganggu, tuan. Saya cuma nak maklumkan, tepat pukul tiga tuan ada board meeting dengan ahli lembaga pengarah syarikat. Kira-kira lima belas minit lagi.”


Irsyad berfikir sejenak dengan makluman tersebut kemudian mengangguk. “ Laporan tentang projek di Abu Dhabi, awak dah sediakan? ”


“ Semua material untuk mesyuarat petang ini saya dah siapkan termasuklah laporan kewangan syarikat untuk sesi tahun lepas.” Tutur Hawati lancar.


“ Okey, kita ke bilik mesyuarat sekarang.” Irsyad bangkit setelah berkata. Hawati mengangguk dan terus berlalu keluar.  


            Lima minit kemudian Irsyad sudah berada di kerusinya dalam bilik mesyuarat. Sambil menunggu kedatangan ahli-ahli lembaga pengarah, Irsyad meneliti setiap helaian dokumen-dokumen yang bakal dibentangkan. Walaupun jiwanya bermasalah, sedaya upaya dia cuba memberikan komitmen penuh terhadap tugasnya. Tambahan pula, di depan Tan Sri Jefri Lee. Irsyad tidak mahu mewujudkan sekelumit rasa kecewa dalam hati papanya. Sebagai anak lelaki sulung, dia terlalu dititikberatkan sebagai peneraju utama Garuda Corporation. Dia menggalas seluruh kepercayaan papa, pemegang-pemegang saham syarikat serta periuk nasi para pekerjanya. 


            Apabila semua kerusi telah penuh berisi, Irsyad memulakan perbentangan. Terangguk-angguk semua ahli lembaga pengarah mendengar penerangan berpandukan laporan yang dikemukakan.


            “ Irsyad, what about tender yang ditawarkan Laksamana Berhad? Macam mana syarikat boleh terlepas pandang tentang itu? Kalau tak silap, it cost about thirty million ringgit.” Datuk Riduan membangkitkan persoalan lain.


            Irsyad angguk. Tenang air mukanya. “ Syarikat tak mungkin terlepas pandang tapi kita gagal memenangi  tender itu disebabkan  rasuah. I can’t deal with that thing.Tapi jangan risau, tak lama lagi tender itu akan jatuh juga ke tangan kita.”


Irsyad melahirkan rasa kejengkelan. Rasuah bukan caranya. Memang diakui jalan itu nampak singkat dan mudah untuk berjaya tetapi kesannya bakal mengheret seluruh kejayaan ke lembah neraka. Hidup bukan bertuhankan dunia tetapi mencari kebahagiaan akhirat melalui dunia.


            “ By using what method? Can you explain further? ” tanya Datuk Riduan.


            “ Our company takkan deal dengan manusia yang mengharapkan ‘buah tangan’. So, saya akan lakukan siasatan and find the culprit. After that, kita akan ugut Laksamana Berhad supaya jalankan semula pemilihan tender secara adil, itupun kalau Laksamana tak mahu nama company mereka terpampang dalam akhbar disebabkan kes rasuah.”


“ Kenapa tak report kepada pihak berkuasa? ” soal Datuk Fuad pula.


“ I will consider about that,” Irsyad diam sejenak. “ Mungkin selepas tender itu jatuh ke pihak kita.” Tambahnya yang masih berkeyakinan. 


Sebenarnya perancangan asal Irsyad tidak langsung melibatkan pihak berkuasa. Dia tiada keinginan untuk melakukan tugas yang bukan dalam bidangnya. Irsyad cuma seorang ketua syarikat yang menjalankan perniagaan bagi meraih keuntungan melalui cara yang bermoral dan halal. Bukan caranya membuat amal menangkap penjenayah. Itu merupakan tugas pihak lain dan tidak berkaitan dengan tanggungjawabnya. Urusan kerjanya sudah terlalu rumit dan bercabang dan rasanya dia tidak perlu membebankan diri dengan memikirkan soal menangkap pesalah rasuah.


“ Macam mana kamu boleh yakin kita akan dapat tender tu? ” Tan Sri Albert mencelah dengan pertanyaan lain.


“ Apa yang kita tawarkan dalam proposal lebih menguntungkan pihak Laksamana Berhad. Kebodohan Laksamana Berhad akan teserlah kalau mereka tolak proposal daripada pihak kita.”   


Rata-rata ahli lembaga pengarah berpuas hati dengan kata-kata Irsyad. Setengah jam kemudian mesyuarat agung itu selesai. Masing-masing mengemas dokumen untuk keluar dari bilik mesyuarat.


“ Irsyad, papa nak cakap dengan Irsyad sekejap.” Kata Tan Sri Jeffri Lee. Irsyad mengangguk. 


“ Ada apa papa? Anything papa tak puas hati dengan cara kerja Irsyad.” Irsyad bertanya apabila mereka anak beranak tinggal berdua.


“ Yes, I’m.”


“ About what? Irsyad tak pasti apa yang Irsyad missed.”             
  

“ Satu perkara yang Irsyad lupa bawa bersama dalam mesyuarat kita hari ni… fikiran dan jiwa Irsyad. Tumpuan Irsyad tak sepenuhnya ada dalam bilik ni. Papa boleh perasan anak papa lain daripada dua minggu lepas.”


“ Irsyad okeylah papa.” Jawapan tipikal yang selalu diberikan baik kepada papa mahupun mamanya sejak kebelakangan ini.


“ Duit dan perempuan, itu yang banyak mempengaruhi lelaki.” Tan Sri Jeffri Lee diam sebentar. Menunggu jika Irsyad mahu mengaku sesuatu kepadanya. Tetapi mulut Irsyad masih tidak berkutik untuk mencelah.


“ Duit dan kuasa, Irsyad dah milikinya dengan keupayaan Irsyad sendiri. You prove it to me and I’m proud of you. Papa tak rasa itu yang menyebabkan fikiran Irsyad bercelaru. You always full with confident. So, papa jangkakan mungkin sebab perempuan. Itu yang papa tak pasti whether you can deal with your girl or not.”


            “ Irsyad tak ada masalah, papa. Pedulikan apa yang papa tengok dalam diri Irsyad.”


“ Betullah cakap mama.”


 Irsyad menggosok-gosok belakang lehernya. Terasa lelah tiba-tiba. “ Mama cakap apa? ”

“ Anak lelaki papa dah jatuh cinta tapi tak pandai deal dengan perasaan dia sendiri. Mama cakap lagi Irsyad tak pandai handle gadis tu dan berlaku kasar dengan dia.”

“ Nope, papa. Selama ini, Irsyad boleh handle semua perempuan tapi kali ini bukan sebarangan perempuan. She’s so…”


“ Amazing and mesmerizing,” potong Tan Sri Jeffri dalam senyum lebar.  


            “ Terrible.” Irsyad menambah perkataan lain. “ Teruk dia kerjakan perasaan Irsyad.”


            Tan Sri Jeffri Lee ketawa besar. Tidak menyangka Irsyad akhirnya mengaku dan mengalah dengan perasaan yang cuba ditidakkan. “ Yes, my son. You absolutely looked terrible. Papa tak nafikan.”


Irsyad tersandar ke kerusi. Beberapa kali dia menyauk rambut pendeknya. Membuktikan betapa dia mengalami tekanan perasaan yang nyata.


“ Take your time, Irsyad. Fikirkan perkara yang Irsyad rasakan wajar untuk handle dengan perasaan dan gadis itu. Papa harap Irsyad mampu satukan perasaan itu dengan dia. Tapi jangan ambil masa lama sangat untuk mengaku. Kalau Irsyad rasa she is the one, terus terang dengan dia. Masa yang terbuang selalu akan merugikan kita.” Pesan papanya sebelum berlalu.


Irsyad hanya mengangguk kecil. Tengkuknya dibengkok ke belakang. Mukanya mendongak ke siling putih. Merenung dalam sambil menenangkan fikirannya.










BAB 12






Nuzul memusingkan papan tanda yang tergantung di pintu kaca café daripada ‘OPEN’ kepada ‘CLOSE’. Semua kakitangan telah pun bergerak pulang. Yang tinggal cuma dia, Liyana dan Abang Rahman, selaku chef di Rayyan Café. Malam ini giliran dia mengemop lantai. Sedang Abang Rahman mengemas bahagian dapur dan Liyana pula di kaunter minuman.


“ Aku balik dulu, Nuzul.” Pamit Liyana ketika menarik pintu kaca café. Sempat dia menoleh kepada Nuzul yang ralit menyudahkan tugas terakhirnya.


Nuzul luruskan badan. “ Okey, jaga diri dah malam ni.” Katanya sambil tangan kiri melambai-lambai manakala tangan kanan memegang batang mop.


Liyana angguk. “ Kau pun sama, cepat sikit mop nanti lambat balik. Bahaya tau.”


“ Beres! ” Nuzul tayang ibu jari tegak bersama empat jari lain tersorok dalam genggaman.


“ Jumpa esok, Nuzul. Assalammualaikum.” Liyana lekas memboloskan diri sejurus itu. Melangkah dengan laju disebabkan tunangnya sudah pun terpacak di luar Rayyan Café.


“ Waalaikummusalam…” jawab Nuzul di hujung mulut. Dia kembali bongkok melunaskan tugasnya.


“ Nuzul, ada nak suruh abang tolong apa-apa? ” soal Abang Rahman yang baru keluar dari bahagian dapur. Lima minit setelah Liyana pergi.


Nuzul angkat muka dan badan. Berdiri tegak. “ Kerja Nuzul cuma ini saja. Kalau abang dah siap kerja, abang baliklah dulu. Lepas siap mop lantai, Nuzul terus tutup café.”  


“ Tak apa ke abang balik dulu? ” tanya Abang rahman. “ Tapi kalau Nuzul seram tinggal seorang diri, Abang boleh tunggu Nuzul sudahkan kerja.” Tambahnya lagi.


Nuzul tersenyum kecil. “ It’s okay, Abang Rahman. Nuzul dah biasalah. Kesian dekat family abang dah menunggu dekat rumah.”


“ Hrmm, kalau macam tu abang balik dulu. Hati-hati dan jaga diri.” Pesan Abang Rahman sebelum keluar daripada café. Nuzul hanya mengangguk, menerima peringatan itu.


Nuzul kemudian menyambung kerjanya semula. Terbongkok-bongkok menjernihkan permukaan lantai marmar. Sesekali dia mengurut pinggangnya apabila terasa sedikit sengal. Lima minit setelah pemergian Abang Rahman, kedengaran loceng halus bergema. Menandakan seseorang telah menolak masuk pintu café. 


“ Tertinggal barang ke, abang? ” tanya Nuzul tanpa angkat muka. Malas menegakkan tubuh lagi.


Bila tiada sebarang balasan mahupun tindak balas, tangan Nuzul spontan berhenti mengemop. Badannya menegak sedikit demi sedikit. Bunyi derap kaki seperti menghampirinya tetapi tiada teguran. Sekaligus menyebabkan bulu roma Nuzul seakan meremang semacam. Seram dengan tiba-tiba. Nuzul takut untuk menoleh ke belakang di mana makhluk itu berada.


‘ Arghh, kenapalah tadi aku tak kunci pintu selepas Abang Rahman keluar?!’ benak Nuzul mengeluh separuh kesal. 


“ Nuzul…”


Gamam. Nuzul mengecam suara itu. Dia pernah mendengarnya tetapi sukar untuk dia menanggapi pemiliknya. Suara yang serak-serak basah, mengandungi garau seorang lelaki namun lantunannya mengandungi kelembutan. Seperti malam…Nuzul segera mengalihkan pandangan. Debaran mengiringi tatkala itu. Alahai, dia rupanya! 


“ Encik Alif…” bibirnya menyeru perlahan. “ Café dah tutup,” tokok Nuzul dengan jelas.


“ Aku tahu. Depan pintu dah bertanda ‘CLOSE’.” Ujar Irsyad santai.


“ Habis, kenapa encik masuk juga? ” tanya Nuzul mendadak tanpa dapat menahan diri. Berkerut-kerut dahi mulusnya. Seolah tidak menyenangi kehadiran lelaki itu. Namun demikian, dia lantas tersedar diri. Berasa keterlaluan mengajukan persoalan tersebut. Nuzul dapat merasakan dalam beberapa saat lagi kemarahan Irsyad bakal meledak seperti selalunya, terhadapnya.


‘ Suka hati akulah nak datang bila-bila pun, aku boss dan kau tu cuma kuli! ’ suara tengkingan itu direka sendiri oleh minda Nuzul. Konon itulah kata-kata yang bakal dilemparkan oleh lelaki sombong dan angkuh itu.   


“ If you’re not mind, boleh buatkan aku…”


Nuzul menggeleng. “ Dapur dengan kaunter minuman dah tutup. Tak ada apa yang saya boleh serve untuk encik,” pintasnya.


Irsyad mengeluh perlahan. “ Hari ini aku cuma sempat breakfast, sekarang dah pukul sembilan malam.”


Tercengang. Nuzul menggigit bibir bawah. Serba salah dan tidak menentu jadinya. ‘ Siapa suruh dia berlapar? Sengaja menyeksa diri?! Bukan boleh dapat pahala pun! ’ gerutu hatinya.

Apabila melihat Nuzul diam, Irsyad beralah. Tidak sampai hati mahu menyusahkan Nuzul. Mungkin bukan malam ini untuk dia meraih perhatian si gadis. Apatah lagi, dengan perangainya yang menjengkelkan seperti pagi tadi. 


“ Aku tahu kau penat, aku pergi tempat lain.” Lafaz Irsyad dengan berat hati. Berura-ura ingin mengundurkan diri. 


“ Nanti saya tengok apa yang ada kat belakang,” ujar Nuzul mendatar dan mendadak. Hati membentak tidak mahu melayan si jejaka tetapi apakan daya dia hanyalah seorang kuli. Bekerja menurut perintah. Lebih-lebih lelaki sejuk beku di depannya ini. 


Bukan. Ini bukan lelaki sejuk beku seperti pagi tadi. Nuzul merasakan Alif Irsyad di depannya sekarang ialah lelaki yang berpewatakan seperti malam dia ditimpa hujan lebat, seminggu lalu. Nuzul begitu pasti apabila debaran asing sewaktu malam itu kembali menyerang dadanya tatkala ini. Ahh, kenapalah wujud makhluk bersikap pelik macam dia?! Siang membentak marah, tapi malam bertukar charming. 


Nuzul memasukkan batang mop ke dalam baldi. Kemudian berjalan melintasi Irsyad sambil melarikan mata. Tidak selesa dengan tatapan sang lelaki ajnabi.


“ Nuzul…” 


Kaki Nuzul berhenti melangkah dek panggilan Irsyad. “ Hrmm,” sahutnya tanpa menoleh.


“ Caffe mocha.” 


“ Hah? ” Nuzul kurang faham. Namun tetap tidak berpaling kepada lelaki itu.


“ Minuman kegemaran aku, caffe mocha. Aku nak kau ingat sampai bila-bila.”


Berkerut-kerut dahi Nuzul. Caffe mocha? Kenapa tak mintak benda yang mudah sikit? Baru ingat nak hidangkan kopi segera. Senang aku campur dengan air panas saja. Furthermore, perlu ke aku ingat minuman itu kegemarannya? Bukan sebenarnya dia tak suka aku ambil pesanannya, apatah lagi berkeliaran depan mata dia! Benak Nuzul berasak-asak dengan persoalan yang diciptanya sendiri.


Tapi dalam keadaan sekarang siapa pula yang boleh ambil pesanan dia selain kau, Nuzul?! Fikirnya lagi disebalik semua yang berlaku.


“ Okey, ada apa-apa lagi encik nak pesan? Saya memang tengah lapang sekarang ni.” Nuzul bertanya sedikit sinis. Disebabkan kepenatan dia terlanjur mengeluarkan aura geram. Irsyad tahu dia letih tetapi lelaki itu tidak mengambil berat langsung tentang hakikat tersebut. Sengaja menderanya sebagai pekerja bawahan.


“ Kalau kau lapang, apa kata buatkan aku spaghetti bolognaise.


Nuzul lekas mengalihkan posisi tubuh, menghadap manusia dia belakang. “ Saya tak pandai masak benda yang encik mintak tu.” Katanya tanpa kompromi. “ Lagipun sepatutnya sekarang café dah tutup, saya tak boleh suka-suka hati buat servis di luar waktu.”


“ Aku bayar kau lebih untuk malam ini, anggap saja kau buat OT (overtime).”


“ Encik Alif, saya tak kisah…”


“ Nuzul, aku betul-betul lapar. Jangan sampai selera aku bertukar kepada kau.”


Nuzul tersentak. Air liurnya bagaikan bergumpal di kerongkong. Tidak percaya dengan bicara itu. Terasa ingin memeluk tubuh sendiri sekuat-kuatnya akibat meremang. “ Apa yang encik…”


“ Aku akan jadi tak betul bila aku lapar. Lebih baik kau masuk dalam siapkan apa yang patut.” Potong Irsyad dengan tegas. Mematikan bantahan Nuzul yang mula kedengaran keras di telinganya. Dia tahu gadis itu terkejut dengan ucapannya tetapi Irsyad memang tidak mampu menahan diri. Salahnya kerana terlampau mengikut desakan jiwa.


Tanpa menunggu atau berlengah, Nuzul segera menapak ke kaunter minuman. Seram dan cemas isi perutnya. Mendengar kata-kata Irsyad lebih menakutkan daripada menghadap hantu. Nuzul jadi tidak tenang. Berkali-kali dia mengambil nafas panjang agar perasaan yang terganggu kembali damai.


Nuzul menghidupkan suis espresso machine. Kemudian melangkah ke rak sebelah kanan untuk mengambil sebiji cawan. Dalam membancuh minuman itu, otak Nuzul tidak berhenti berfikir. Sedikit musykil dengan tindakan Irsyad. Di tengah bandar yang pesat dan malam yang masih hidup, Irsyad punya banyak pilihan ke tempat-tempat yang mampu menghilangkan kelaparannya. Namun lelaki itu tetap memilih ke Rayyan Café walaupun Irsyad sendiri jelas mengetahui waktu berurus niaga café hanya berlangsung dari pukul lapan pagi sehingga sembilan malam.


 Sedang menunggu minuman kegemaran Irsyad siap, Nuzul bergerak ke dapur. Lampu dapur dihidupkan sebelum menapak ke sebuah peti besar. Ruang untuk membakar roti dan menyimpan roti yang tidak kehabisan. Selalunya Abang Rahman akan membuat beberapa jenis roti untuk jualan esok hari supaya mudah dan cepat untuk disediakan kepada pelanggan. 


Selesai meletakkan krim di atas caffe mocha, Nuzul membawa minuman tersebut dan dua ketul mexican coffee bun @ rotiboy dalam sebuah dulang. 


Terkesima dan terlopong. Nuzul terkebil-kebil kerana terkejut. “ Apa encik buat ni? ” soalnya walaupun mengetahui hakikat depan mata. Dulang yang dibawa segera diletakkan atas meja paling depan. 


Irsyad luruskan badan seraya tersenyum. Nuzul terpaku sesaat dua. Jiwanya seakan jatuh melantun sehingga mengusik tangkai hati. 


“ Dah siap pun.” Pendek balasan Irsyad. Batang mop yang dipegang, dimasukkan ke dalam baldi semula. Irsyad mendekati Nuzul yang terpegun.


 “ Kenapa encik buat kerja saya? ” Nuzul menyoal apabila kesedaran menyapa diri. Dia kelihatan tidak puas hati. Risau sungguh jejaka itu mempunyai agenda yang tidak diketahuinya. 


“ Sebab kau sudi layan aku, sebagai balasan aku tolong sudahkan kerja kau.”


“ Tapi saya tak suruh pun.” Nuzul masih keliru dengan perbuatan Irsyad.


“ Jangan risau, aku takkan tarik bayaran kau bekerja lebih masa malam ini.” Irsyad menarik sengih. 


“ Saya tak harap pun encik bayar gaji lebih. Saya cuma bengang bila encik sudahkan kerja saya.” Bentak Nuzul sejujurnya.


Irsyad kelu seketika. Mencari bicara yang sesuai. “ Kau marah dengan tindakan aku? ”

“ Ye, saya marah encik buat kerja saya. Bila esok encik sedar apa yang berlaku malam ni, nanti encik marahkan saya. Tuduh saya tak buat kerja.” Hujahnya mengenai hakikat yang bermain di benak.


Irsyad terdiam lagi sekali. “ Aku jahat sangat ke, Nuzul? Kau bencikan aku walaupun aku cuba berlagak baik? ”


Gamam. Nuzul mengetap mulut. “ Saya tak bencikan encik. Saya cuma tak selesa bila encik tiba-tiba bertukar perangai. Sikap encik yang berubah-ubah buat saya jadi keliru. Kalau boleh saya tak mahu ada masalah dengan encik.”


Irsyad mengeluh. “ Aku sendiri pun tak faham dengan diri aku sejak kebelakangan ni.”


“ Encik sakit ke? ” Nuzul bertanya dalam nada prihatin. Tersentuh hatinya mendengar keluhan itu. Raut Irsyad nampak jelas susah hati dan sarat dengan seribu satu perasaan duka.


Irsyad menggeleng. “ Tak, aku tak sakit. Tapi mungkin apa yang berada difikiran aku menyebabkan hati aku yang sakit.”


Nuzul jeda cuba memahami maksud itu. “ Encik ada masalah ke? ”


“ Jom, kita makan.” Irsyad sengaja melarikan diri daripada berbincang lebih soal dirinya. Bagi Irsyad apa yang terbuku di hatinya bukanlah sebuah masalah sebaliknya mengandungi sesuatu yang bergetar syahdu dan indah. Tetapi sayangnya dia tidak mampu mengungkapkan rasa yang indah itu menyebabkan Irsyad sakit sendiri. Terseksa menahan hati yang mendesak.


Nuzul pula tidak boleh mendesak. Dia bersikap patah semangat untuk mengetahui rahsia hati si pemuda. Masakan dia mahu memaksa jika tuannya tidak sudi bercerita. 


“ Come Nuzul,” Irsyad sudah menarik sebuah kerusi dan dia berada di belakang kerusi tersebut. Nuzul teragak-agak untuk menghampiri. Kabur dalam pandangannya tatkala melihat perbuatan lelaki itu.


“ I’m waiting for you.” Irsyad berdiri memeluk tubuh. Lengan kekarnya merentang atas dada yang berbidang sasa.


Nuzul bergerak selangkah dua dengan lambat. Bingung dan termangu-mangu dek perilaku sang pemuda. Sampai saja depan Irsyad, Nuzul menarik kerusi untuk duduk.


“ Itu tempat duduk aku. Kau duduk dekat sini.” Arah Irsyad bersahaja. Nuzul makin tidak keruan. 


“ Tak apa, encik duduklah situ. Saya duduk dekat sini.” Nuzul menolak. Irsyad menggeleng keras. Wajahnya kelihatan ketat dan tegas. 


Dengan lemah dan tertunduk, Nuzul menurut. Mula duduk dengan tertib. Irsyad pula menyorong kerusi itu kemudiannya. Persis dalam drama cinta di peti televisyen. Tidak pernah terlintas dalam kepala otak Nuzul untuk melalui pengalaman itu. 


Kalau diamati sepatutnya para wanita akan sukakan sikap gentleman tersebut tetapi corak pemikiran Nuzul tidak sealiran. Dia sebaliknya bertambah berserabut. Keliru dengan perbuatan Irsyad. Jejaka itu tidak sewajarnya berkelakuan demikian terhadapnya kerana dia bukanlah seseorang yang perlu dihargai oleh Irsyad. 


“ Makan ni.” Irsyad menghulurkan seketul rotiboy. 


“ Saya tak lapar.”


“ Kau nampak penat, Nuzul. Aku tak suka. Makan ini supaya energy kau bertambah.” 


Nuzul lambat-lambat mengambilnya. Hujung keningnya hampir bertemu kerana kerutan di dahi. Siapa yang lapar sekarang ni? 


Irsyad makan dengan penuh nikmat walau sekadar seketul roti. Nyata dia senang apabila berdua dengan gadis itu. Tanpa sebarang manusia di sekeliling. Serasa dia bebas untuk menzahirkan perasaan yang kian berputik. Irsyad lega dengan keadaan yang wujud.
 

            “ Lain kali aku tak mahu makan roti. Selalunya aku prefer makanan western untuk malam.”


 “ Dekat dapur tu memang tak ada apa-apa selain roti.” Balas Nuzul ringkas. Timbul rasa jengkel dengan luahan Irsyad. Sepatutnya jejaka itu bersyukur kerana dia masih sudi melayan dan menghilangkan kelaparan Irsyad. 


“ Habis, kau tak boleh adakan apa yang aku nak? ” Irsyad memprovok.


“ Saya tak pandai memasak makanan western. Bukan, saya sebenarnya memang tak pernah cuba memasak pun jenis makanan barat. Selera saya dan keluarga saya tak ke arah itu.” Akuinya dengan kebenaran yang nyata.


“ Jadi kau orang timur yang tulen? Makan sambal belacan setiap masa? ”


Dengan muka berlagak Irsyad bertanya. Nadanya juga sombong. Semakin menjengkelkan hati Nuzul. “ Bukan setiap masa encik, ada waktunya. Bila rasa nak makan buatlah. Encik ingat itu makanan ruji orang timur ke? ” hujah Nuzul menegakkan kenyataan yang dirumus oleh Irsyad.


“ Baguslah kalau bukan setiap masa. Tak elok untuk perut kau.” Ucap Irsyad seolah mengambil berat pula. 


“ Encik tak makan sambal belacan? ” giliran Nuzul menyoal. Rasa ingin tahu yang kuat menyebabkan dia bertanya tanpa bertangguh.


Irsyad laju menggeleng. “ Tak, tekak aku tak boleh terima.” Hakikatnya dia memang tidak gemarkan makanan pedas. Irsyad perasan tabiat makannya berubah sejak pulang daripada luar negara setelah tamat pengajian di UK. 


Manakala Nuzul terasa ingin mencebik tetapi tiada keupayaan melahirkan reaksinya. Sebaliknya Nuzul sekadar bertingkah. “ Barangkali sebab tekak orang kaya kut. Mahal. Kalau saya bagi apa pun boleh, asalkan muat masuk dalam kerongkong.” Luahnya bersahaja. Sengaja berbahasa sinis dengan orang berada di depannya.


“ Kau perli aku Nuzul? ”


Nuzul telan liur. Sedar bicaranya sudah mengusik emosi Irsyad. “ Saya tak berani, encik. Sorry.” 


Irsyad mengangguk puas hati. Pandangannya tetap kepada si gadis. Bagai mahu merakam setiap lekuk wajah Nuzul. Walaupun ketika menghirup minuman mata Irsyad sukar beralih arah. Suka menonton kegelisahan yang Nuzul pamerkan.


“ Er… saya bangun dulu.” Tidak betah berlamaan apabila direnung sepasang mata Irsyad yang redup dan dalam. Menatap penuh mukanya. Sungguh bulu romanya menegak. Malah matanya agak nakal apabila bertaut ke mulut Irsyad. Terdapat sisa-sisa cream putih di atas bibir nipis itu kesan daripada minuman Irsyad.


Irsyad terpinga-pinga. Lantas dia mencegah dengan menarik lengan itu. Menahan Nuzul daripada beredar. “ Kau merajuk ke? Terasa hati dengan aku? ”


Spontan Nuzul menggeleng. “ Saya tak merajuk encik. Apa motif saya nak terasa hati dengan encik? Takkan sebab topik sambal belacan? ” tingkahnya seraya memandang lengan sasa Irsyad yang memegang lengannya. Mujur lengan bajunya panjang. Mampu mengalas daripada kulit mereka bersentuhan. Nuzul berusaha menarik lengannya tetapi pegangan Irsyad kejap dan erat. 


“ Then kenapa kau nak tinggalkan aku? ”


“ Saya nak sambung kerja, dah lambat ni. Encik cepatlah sudahkan makan, nanti saya terlepas kejar bas yang terakhir.” 


“ Jangan cari alasan larikan diri. Kerja kau tadi aku dah siapkan. Duduk dan makan roti ni sampai habis baru kau boleh pergi daripada aku. Itupun kalau kau nak cepat balik. Kalau kau tetap berdegil, aku takkan berganjak keluar dari sini.” Kata Irsyad seperti mengugut.


Nuzul terdiam. Mencari idea lain untuk melepaskan diri. “ Hrmm, baiklah sekejap lagi saya habiskan roti tu. Tapi sebelum itu saya ada sesuatu nak beri kepada encik. Boleh encik lepaskan tangan saya dan tunggu sekejap? ” pintanya sopan.  


Senyum Irsyad terbit. Nuzul perasan pipi kiri pemuda itu membentuk sebuah lesung pipit. Dalam dan cantik. Nuzul menyasarkan mata jauh sedikit daripada melihat senyuman yang menggoda itu. Risaukan debaran aneh yang kerap berkunjung dalam dadanya. Malah sejak kedatangan lelaki itu, Nuzul tidak mampu menafikan getaran asing yang wujud.


Irsyad jadi tidak ketentuan dalam duduknya. Gelisah menanti kemunculan Nuzul. Serasa kesabarannya makin menipis dek tertunggu pemberian daripada gadis yang sering membolak-balikkan rasa di jiwa lelakinya. Irsyad mengeluh lega apabila kelibat Nuzul muncul semula. Namun senyum di bibir sirna kemudiannya. Berganti dengan beberapa kerutan di dahi.


“ Saya nak pulangkan payung encik,” Nuzul menghulurkan payung yang dipegang.


Irsyad tidak menyambut. Rautnya kembali dingin membeku. Geram kerana jangkaannya meleset. Menyangka dia bakal menerima sebuah pemberian istimewa daripada Nuzul tetapi alih-alih payung yang seminggu menghilangkan diri kembali kepadanya. Bukan itu yang Irsyad harapkan. Bukan itu yang dituntutnya. 


“ Aku tak mahu.”


“ Kenapa tak mahu? Ini bukan payung saya tapi encik yang punya. Ingat tak encik pernah pinjamkan payung ini kepada saya malam tu? ”


“ Aku tak pernah lupakan apa yang berlaku malam itu,” tukas Irsyad.


“ Terima kasih pinjamkan saya…”


“ Cut the crap, Nuzul! ” Irsyad menyampuk. “ Kau tak ingat apa yang aku katakan malam tu? Payung itu tak sepatutnya kembali dekat aku. Aku gantikan payung kau yang aku dah jahanamkan malam tu.”


“ Nilai payung ni tak sama dengan payung saya.” Bingkas Nuzul membalas.


“ Okay Nuzul, I got your point.” Irsyad bangun lalu mengeluarkan dompet dari poket belakang seluarnya. “ Berapa lagi tak cukup? Aku bayar. Lepas tu, akunak kau simpan semula payung tu.”


Kepala Nuzul lekas menggeleng. “ Bukan itu maksud saya, encik. Payung saya murah harganya tapi encik punya jauh lebih mahal. Saya tak rasa wajar bila encik berikan payung ini sebagai ganti rugi.”


“ Apa yang sulitnya, Nuzul? Kau tahu tak fikiran aku rumit bila fikirkan tentang kau. Kenapa perlu rumitkan lagi dengan perkara yang tak bernilai macam ni.” Luah Irsyad serta-merta. Dia tidak peduli sebarang kejutan di wajah itu. Yang penting hatinya puas dan lapang. 


Nuzul terkedu. Bicara itu terkandung seribu kejerihan sehingga mengundang seribu geseran ngilu ke jiwa wanitanya. Keluhan Irsyad menggambarkan perasaan kecewa dan patah hati dengan tindakannya tetapi sungguh bukan itu niat Nuzul. Dia hanya ingin membetulkan keadaan agar tiada hutang budi di kemudian hari.


Alih-alih Nuzul menarik payung itu semula kepadanya. Memegang dengan kedua-dua belah tangannya. “ Saya simpan payung ni.” Putusnya perlahan.


Irsyad tetap mengeluarkan beberapa keping not RM50 dari dompetnya. “ Ini bayaran untuk waktu yang kau lapangkan bersama aku.” Katanya jelas. Langkahnya dipanjangkan mahu beredar.


“ Maafkan saya, encik.” Sempat Nuzul memohon kemaafan. Kemurungan Irsyad amat menggusarkan hatinya. Barangkali jejaka itu terasa hati dengannya. ‘ Merajukkah dia? ’

“ Lain kali jangan pertikaikan apa yang aku buat, Nuzul.”


“ Hrmm, saya takkan buat lagi.”


Irsyad menoleh. Mencari wajah gadis itu semula. Melihat Nuzul yang kelihatan serba salah membuatkan dia tersenyum nipis. Serta-merta hati yang kuncup kembali kembang. 


Wan’an, ai ren. Lafaznya laju dan bersahaja kerana pasti Nuzul tidak mampu menangkap kata-katanya. Damai perasaan Irsyad tatkala itu. Terasa mencapai kelegaan yang amat sangat melalui ucapan ringkas itu biarpun dia belum bersedia sebarang kemungkinan yang lain.


Wajah terkulat-kulat Nuzul mencuit geli di hati. Hampir menyebabkan Irsyad melepaskan tawa tetapi dia segera mengambil sikap bertenang. Sesaat dua kemudian Irsyad angkat kaki, berlalu pergi. Suatu waktu kelak Nuzul pasti mendengar lagi ucapan tersebut dan memahami maksud yang ditujukan olehnya. 
 

Selamat malam, sayang…






3 comments:

  1. arggghhhh..sukanyaaa...irsyad dah pandai berlembut sikit..tq kak aii <3

    ReplyDelete
    Replies
    1. you're most welcome dear, tq sudi berkunjung dan jgn lupa untuk singgah lagi ke rumah penulisan akak tau.

      Delete

hai ! terima kasih ^.^