Followers

/ Tagboard \

We are really hope that you will get something with this blog. Please respect to each other and keep enjoying with us ^.^
.Images are credit to Google.

Bab 37

37

Rafiq menapak masuk ke dalam bilik apabila azan Maghrib berkumandang. Sakinah menoleh tatkala pintu bilik dibuka. Tatapan mata mereka bertaut sekilas sebelum Rafiq bertindak melarikan pandangannya. Sakinah terkesan dengan tingkah suaminya. Dia tahu Rafiq masih marah. Malah mungkin sedang menanam kebencian padanya. Sungguh Sakinah tidak rela.
            “ Abang..” tegur Sakinah lembut dari meja solek. Dia bangun dari bangku meja hias. Renungannya pada Rafiq tidak berganjak.
            Rafiq mencapai tuala di penyidai. Dengan kemarahan yang masih merajai hati, Rafiq langsung tidak menghiraukan teguran isterinya. Bertambah panas jiwanya melihat Sakinah turut berada dalam bilik itu bersamanya. Apatah lagi mendengar suara isterinya yang lemah-lembut. Penuh kepura-puraan dan kepalsuan.
            Sakinah menghampiri suaminya. Rafiq pantas memberi amaran. Jari telunjuknya diangkat ke muka isterinya. Sakinah termangu. Menunggu kata-kata suaminya. Namun,  sepatah perkatan pun tidak terkeluar dari bibir Rafiq.
 “ Abang, Kinah ada sesuatu nak cakap. Tolong beri Kinah kesempatan.” Rayu Sakinah. Suram wajahnya tatkala itu. Sedih dengan situasi yang menimpanya sekarang.
“ Kau tak nampak ke aku nak pergi sembahyang? ” dingin Rafiq menjawab. Langsung tidak sudi untuk meratah muka Sakinah. Bimbang semakin meluap-luap api kemarahannya nanti.
“ Sekejap saja, bang. Berikan Kinah peluang untuk menerangkan segala kekacauan yang berlaku. Kinah tak mahu kita jadi begini.” Sakinah memohon pengertian sang suami.
“ Kau tak faham bahasa ke? Aku kata aku nak pergi sembahyang! ” Bentak Rafiq keras. Sakinah mengangguk. Mengalah kali ini. Rafiq terus menuju ke kamar mandi.
Sakinah berlalu ke katil. Mendekati Shafiq yang sudah lena apabila disogok susu sebentar lalu. Sakinah bertekad. Walau apa-apa pun yang menghalang, dia perlu menghilangkan kekusutan yang melanda ini. Sakinah berniat untuk menunggu suaminya. Salah faham yang membelenggu rumah tangga mereka perlu dileraikan segera. Jika bertangguh semakin sukar dan payah hubungan mereka di kemudian hari.
Sungguh Sakinah tidak menduga, hanya dengan kehadiran watak yang langsung tidak penting seperti Zulfi telah meragut kepercayaan Rafiq terhadapnya. Kepercayan yang dipupuk dengan penuh kesabaran selama enam bulan ini hancur begitu saja. Rafiq tidak memperdulikan dirinya lagi. Sakinah tidak sanggup melaluinya. Kebenaran harus disingkap juga agar kepercayaan suaminya kembali bertaut semula. Supaya kemesraan yang baru saja dinikmatinya berkunjung kembali. InsyaAllah, segalanya akan pulih seperti sedia kala.
Pintu bilik air terkuak. Rafiq keluar dengan bertuala di pinggang. Sakinah melarikan anak matanya. Tidak selesa dengan permandangan yang hadir di depan matanya. Ditenung kembali muka Shafiq sambil duduk berlunjur kaki di atas katil.
Selesai menyarung kain pelikat dan baju Melayu, Rafiq menunaikan solat. Sakinah setia menanti suaminya. Dari awal sehingga salam diberi.
“ Abang,” panggil Sakinah lalu bingkas turun dari katil. Bergegas menghampiri Rafiq yang mahu keluar bilik.
“ Kau nak apa lagi, hah? ” jerkah suaminya perlahan. Sakinah tertunduk cemas. Takut menghadapi angin Rafiq yang bergetar amarah.
“ Kinah mahu selesaikan masalah kita sekarang. Izinkan Kinah untuk menerangkan keadaan yang sebenar supaya prasangka abang akan hilang.”
Rafiq mendengus kuat. Semakin meradang dituduh begitu. “ Jadi kau nak kata aku salahlah ni dan kau pulak betul? Kau nak cakap yang aku ni aku kuat berprasangka? Macam itu maksud kau? ” sinis Rafiq berbahasa.
Pantas Sakinah menggeleng. “ Bukan. Bukan itu maksud Kinah sebenarnya. Cuma kali ini abang tersalah faham dengan situasi sebenar yang berlaku. Sebab itu, Kinah mahu betulkan sangkaan abang. Kinah tak rela kita bergaduh begini hanya kerana kewujudan Zulfi yang langsung tak ada kaitan dalam hidup kita berdua.”
“ Siapa kata budak tu tak ada kaitan? Disebabkan dia, aku dapat mengetahui segalanya tentang kau dengan lebih jelas. Dapat mengenali diri kau dengan lebih mendalam. Nasib baik ada budak tu datang dan tolong mencelikkan mata aku yang semakin buta ini.” Rafiq menunding jari ke matanya.
Please abang, bukan itu penjelasannya. Biar Kinah terangkan semuanya.” Mutiara jernih mengalir hiba di pipi. Pedih telinganya menadah kata-kata yang dihambur suaminya.
“ Kau nak terangkan apa lagi? Semuanya dah terang dan nyata. Kau dah tersalah langkah. Aku takkan berikan lagi kesempatan untuk kau memperbodohkan aku. Walau apa pun kata-kata yang lahir dari mulut kau, aku takkan mempercayainya lagi. Cukuplah setakat ini. Full stop! ” keras ucapannya. Rafiq mengorak langkah. Mahu menjauhkan diri dari suasana yang semakin melemaskan dan menjengkelkan hatinya.
Sakinah bertindak menyambar lengan suaminya. Menghalang Rafiq dari meninggalkannya. Rafiq merentap kasar tangannya. Sakinah menangis lagi.
By the way, tolong sampaikan rasa terima kasih aku yang tak terhingga buat kekasih gelap kau tu! Kalau tak ada dia, semua ini takkan tersingkap. Mujur dia telah mendedahkan siapa diri kau yang sebenarnya.” Rafiq keluar sejurus selepas berkata.
 Sakinah memejamkan mata. Mengusir kepedihan yang menusuk kalbu. Bibirnya diketap. Mengawal esak tangis yang semakin membuak-buak. Laju diatur langkah ke meja solek. Kembali duduk di situ. Mukanya yang merah dipandang pilu melalui biasan cermin. Sakinah membenamkan wajahnya ke meja. Dilepaskan segala lelah dan sendu yang menghimpit jiwa.
 Wajahnya diangkat tiba-tiba. Pantas air matanya diseka lalu ditarik laci meja. Sakinah mengeluarkan sebuku test pad dan perkakas menulis. Hanya ini jalan terakhir yang dia punyai. Rafiq tidak sudi mendengarkan kata-katanya biarpun dipujuk. Oleh itu, dia perlu menggunakan pendekatan yang lain.
Sungguhpun Rafiq berdegil, Sakinah akan mencuba sedaya upaya. Keterangan sebenar harus dibentangkan jua. Biarlah apa pun penerimaan Rafiq kelak, Sakinah tidak peduli. Yang paling utama dia telah pun berusaha mencari jalan untuk meleraikan prasangka suaminya. Terpulang pada Rafiq untuk menentukan segalanya.  
Maka itu, Sakinah mencoretkan sesuatu di atas kertas. Melahirkan apa yang terbuku di hatinya dalam bentuk penulisan. Meluahkan segala yang ingin diluahkan pada Rafiq. Salah faham yang patut dirungkai agar semuanya kembali aman seperti sedia kala. Rafiq perlu membacanya. Sakinah akan merayu untuk itu. Sekurang-kurangnya dia telah mencuba untuk memulihkan keadaan yang berantakan.
Selesai. Sakinah mengerling jam di dinding. Pukul lapan empat puluh lima. Sakinah menyimpan semula peralatan menulisnya ke dalam laci. Test pad yang digunakan dikoyak cermat lalu dilipat cantik. Sakinah menuju semula ke katil. Menunggu suaminya masuk semula sebentar lagi untuk mengerjakan solat Isyak. Kebiasaan yang telah dikenal pasti sejak mereka berumah tangga.
Pada waktu itulah akan diserahkan surat yang dikarangnya itu pada suaminya. Sakinah tidak peduli jika Rafiq mahu membuang surat itu ataupun mengoyakkannya. Yang penting dia telah berusaha. Terpulang pada Rafiq untuk bertindak selepas memperoleh surat pemberiannya ini.
Tepat jangkaannya. Rafiq masuk ke dalam kamar. Sakinah bersandar di kepala katil sambil membaca novel. Kehadiran Rafiq kali ini tidak diendahkan. Biarlah Rafiq selesai dahulu menunaikan kewajipan kepada Allah. Selepas itu, barulah Sakinah akan memainkan peranannya.  
Rafiq berjalan melintasi katil menuju ke bilik air. Ekor matanya mencuri pandang isterinya yang kelihatan tenang. Hanya kesugullan yang Rafiq dapat lihat dari riak muka itu. Tertanya-tanya ke mana menghilangnya emosi isterinya yang menggila tadi. Rafiq penasaran dalam diam.
Selepas membentang sejadah ke arah kiblat, Rafiq memulai solatnya dengan takbir. Sesekali Sakinah menjeling suaminya mengerjakan solat dari sebalik novel yang dibaca.
Jauh di sudut hati Sakinah berasa sungguh lapang. Syukur diberikan seorang suami yang tidak mensia-siakan tanggungjawab pada Maha Pencipta. Sakinah akui Rafiq seorang yang bertanggungjawab penuh dalam keluarga. Seorang anak yang baik pada mertuanya dan seorang bapa yang sempurna untuk Shafiq. Cuma sebagai seorang suami, Sakinah belum pasti.   
Usai Rafiq dengan urusan ibadah, Sakinah menutup novel lalu duduk di birai katil. Menunggu Rafiq berwirid dan  berdoa. Sakinah mendekati ketika Rafiq menadah tangan berdoa. Dia bersimpuh di sebelah Rafiq.
Rafiq mengaminkan doanya. Sakinah juga. Rafiq berura-ura untuk bangkit. Tetapi Sakinah mencegah dengan menarik tangan suaminya. Dia tunduk mencium tangan itu.
Terpegun Rafiq dalam posisinya. Tidak berdaya menghalang tindakan isterinya. Rafiq seolah-olah tergamam dalam tingkah Sakinah. Lebih mengejutkan apabila tapak tangannya dititip sesuatu. Rafiq terpinga-pinga. Sakinah mengangkat wajah menentang wajah suaminya.    
“ Kinah takkan memaksa abang untuk membaca surat ini. Boleh jadi abang akan membuang surat ini atau mengoyakkannya. Tetapi cuma ini caranya yang Kinah mampu lakukan untuk merungkaikan salah faham yang berlaku. Walau apa-apa pun tindakan abang selepas membaca surat ini Kinah terima dengan reda. Abang berhak membuat keputusan. Kinah hanya perlu pasrah.” Lembut suara Sakinah menampan cuping telinga.
Sejurus itu, Sakinah beredar pergi. Membiarkan Rafiq tinggal sendirian.

6 comments:

  1. best cerita nya...
    sbnrnya bab akhir tu berapa??

    ReplyDelete
  2. huhu ..pjg plk cite ni ..bc separuh je ...hehe

    sakinah ..

    ReplyDelete
  3. lepas ni boleh la buat buku...ebook ke

    cer try promote dkat penulisan2u.com ...mesti lagi dapat sambutan

    ReplyDelete
  4. cepat la wei..pnat da tunggu..hr2 aku bkk blog ko ni..x sabar nk tau ape jd kt kinah...

    ReplyDelete

hai ! terima kasih ^.^