35
“ Fiq, sihat? ” Encik Yusof bertanya setelah menantunya tunduk mencium tangannya sebagai tanda hormat.
“ Alhamdulillah, ayah.” Rafiq menjawab santun. Sakinah masih berada di sisinya.Suasana kenduri kahwin yang meriah tidak dihiraukan oleh mereka.
“ Abang Rafiq tipu, ayah. Tadi bukannya sihat sangat. Jenuh Kinah picit kepala tu. Sekarang ni baru sihat sikit.” Sakinah mengenakan suaminya. Rafiq mati kutu. Berani betul Sakinah membuat laporan tentang dirinya. Depan bapak mertua pulak tu!
“ Kamu tu kuat sangat bekerja. Lain kali kalau dah rasa tak sihat terus berehat. Jangan biarkan aje sakit tu nanti melarat. Umur kamu tu muda lagi takkan dah nak tempah macam-macam penyakit. Sementara dok kat kampung rehat puas-puas.” Ujar Encik Yusof sambil menepuk-nepuk bahu menantunya sebelum berlalu dari situ.
Rafiq tersengih mendengar nasihat mentuanya. Selepas Encik Yusof berlalu barulah Rafiq memandang tajam pada isterinya. Sakinah buat muka tak bersalah. Malah air muka isterinya nampak gembira dan harmoni. Langsung tidak terpalit rasa bersalah.
“ Pandai Kinah mengadu pada ayah. Siap tuduh aku penipu.” Rafiq berkata perlahan di telinga Sakinah. Gayanya seperti berbisik.
“ Erm, Kinah cakap apa tadi? Sorrylah, Kinah tak sedar. Mulut Kinah ni lebih laju dari otak Kinah tau. Kata-kata tu macam dah ada kat hujung bibir ni, tu pasal bila keluar aje asyik terbabas.” Omel Sakinah dengan sengihan.
Rafiq mengetap bibir. Tingkah Sakinah yang selamba itu mengundang rasa geram pula. “ Sebab itulah bila Kinah terlepas cakap aje aku rasa macam nak gigit-gigit aje bibir tu. Geram sangat. Terlebih sangat manisnya sampai semut pun tak lalu nak gigit.” Gumam suaminya. Sakinah menelan air liur yang tersekat. Bibir bawahnya digigit. Gerun mendengar bicara Rafiq itu.
“ Lain kali fikir dulu sebelum berkata-kata. Kalau tak, siaplah. Memang aku gigit-gigit bibir tu sampai bengkak. Sampai bibir tu masuk hospital.” Rafiq menambah kata-katanya yang berupa amaran.
Sakinah terasa lucu pula kali ini. Amaran Rafiq memang kedengaran menakutkan tapi bila ayat hospital itu menyapa telinganya, Sakinah melepaskan tawanya. Betul-betul menggelikan hati.
Tangan Rafiq menggenggam lebih erat tangan isterinya yang sedari tadi dipegangnya sejak tiba di halaman rumah pengantin. Timbul rasa tidak puas hati bila kata-katanya diketawakan sang isteri. Tercabar egonya. “ Kenapa kau gelak? ”
“ Tak ada apa-apa. Abang tu yang buat lawak. Sebab itulah Kinah gelak.” Rafiq pening kepala melayan cakap Sakinah.
“ Okeylah, bang. Kinah nak masuk dalam dulu. Nak tengok pengantin bergambar.” Sakinah meminta diri. Pegangan Rafiq ditangan cuba dileraikan. Namun, Rafiq semakin menguatkan genggaman itu. Sakinah memandang dengan kerutan di dahi.
Rafiq menggeleng perlahan. “ Tak boleh. Aku tak benarkan. Kinah kena temankan aku. Siapa yang ajak aku ke sini jadi dia yang kena temankan aku sampai habis majlis ni.” Tukas Rafiq.
Sakinah mengancingkan gigi. Geram mendengar perintah suaminya. Dia terikat dalam pelawaannya sendiri. Kalau aku tau jadi macam ni, jangan harap aku nak ajak dia. Bukan setakat ajak-ajak ayam, ajak-ajak kerbau pun aku takkan ajak langsung! Getus ruang hatinya.
Sakinah terpaksa senyum untuk memaniskan wajah. Air mukanya yang keruh perlu dielakkan. Risau pula dengan tanggapan orang sekeliling nanti.“ Okeylah. Tapi abang kenalah ikut Kinah. Kita naik atas tengok pengantin, boleh? ”
“ Yang Kinah nak tengok sangat pengantin buat apa? Kinah kan dah kahwin. Takkan nak berangan naik pelamin lagi? Tak puas lagi naik pelamin masa kita kahwin dulu? ” Tutur Rafiq separuh marah.
“ Abang ni kenapa? Inikan majlis kawan Kinah, mestilah Kinah nak tengok dia naik pelamin. Cubalah abang bayangkan kalau kawan baik abang, Rudi naik pelamin, Kinah pasti abang pun takkan lepaskan peluang ni.” Tutur Sakinah.
“ Itupun kalau hati dia tergerak nak kahwin.” Rafiq berkata lagi.
“ Mestilah dia kena kahwin. Abang kena doakan dia supaya cepat-cepat kahwin macam abang.” Tambah Sakinah. Senyumannya mekar dibibir.
“ Itupun bukannya aku nak sangat. Aku terpaksa kahwin.” Tukas Rafiq.
Air muka Sakinah berubah. Senyuman manisnya perlahan-lahan pudar. Jiwanya terusik. Seperti ditusuk sembilu. Pedih.
Rafiq mengancingkan gigi. Kesal. Dia baru tersedar ketelanjuran. Rafiq tahu Sakinah sedang berkecil hati padanya. “ Aku mintak maaf.” Ucapnya. Rafiq gelisah melihat riak kesedihan di wajah itu. Dia tidak betah begitu.
“ Abang berhak mengatakan apa yang terbuku di hati. Kinah tak ada halangan tentang itu.” Tutur Sakinah lirih. Memang perit untuk bersikap tenang. Walhal hatinya terluka.
Rafiq terdiam. Kelu lidahnya untuk berkata-kata. Ingin sekali dipujuk tetapi Rafiq tidak tahu bagaimana caranya. Jujur dia mengakui, kesayuan di wajah itu menyakitkan hatinya. Rafiq geram pada dirinya yang sering menduga hati isterinya. Gadis itu terlalu baik untuk disakiti dan terus dipersiakan lagi.
“ Kinah jangan marah. Aku mintak maaf, okey? Kinah nak tengok pengantin, kan? Mari,” Lembut suara Rafiq berbisik. Ditarik tangan Sakinah menuju ke pintu rumah.
Sakinah tergamam namun tetap membuntuti suaminya. Dalam hati tersenyum suka kerana Rafiq cuba memujuknya. Sakinah senang dengan sikap Rafiq. Jejaka itu sudah pandai menjaga perasaannya. Moga-moga berkekalan, amin..
SHAKIRAH diberikan upah setelah menyerahkan Shafiq kepada Sakinah. Itupun Rafiq yang menghulurkan sedikit duit pada adik iparnya tanpa mengetahui perjanjian antara Sakinah dan Shakirah.
Sakinah gembira dengan sifat suaminya yang tidak lokek bab duit. Tapi jauh di sudut hati dia tetap bimbang jika keluarganya dianggap mengambil kesempatan di atas kesenangan Rafiq. Sakinah tidak mahu semua andaian suaminya menjadi kebenaran. Cukuplah dengan apa yang dilaluinya. Janganlah keluarganya terlibat.
“ Kita nak ke mana ni? Abang tak nak balik? ” Sakinah menyoal setelah keluar dari perkarangan rumah pengantin.
Sakinah seronok melihat Wan Asiah berposing sakan dengan Abang Fauzan sebentar tadi. Jelas riak bahagia di wajah masing-masing. Tidak seperti di hari bahagianya. Jauh sekali merasa diiktiraf sebagai pengantin bahagia. Namun semuanya telah tersurat. Sakinah reda dengan ketentuan-NYA.
“ Kita ke pantai, Kinah mahu? ” Tanya suaminya.
Rafiq mengambil Shafiq dari dalam dakapan isterinya. Ingin bermanja dengan anak itu sambil meringankan beban Sakinah mengendong Shafiq yang semakin berat.
Sakinah mengangguk dengan senyuman biarpun senyuman itu agak tawar. Fikiran dan hatinya sedikit runsing. Ada rasa sebak yang bertamu. Mungkin kerana terlalu teringatkan senyuman bahagia yang terpalit di wajah Wan Asiah. Sakinah akui dia berasa cemburu. Begitu mudah Wan Asiah mengecapi kebahagiaan sedangkan dia masih tergapai-gapai mencari erti kebahagiaan.
“ Aku tahu Kinah sedih tengok dia orang,” terjah Rafiq dengan persoalan.
“ Siapa? Apa maksud abang? ” Sakinah berpura-pura.
“ Jangan berdalih. Aku tahu Kinah sedih tengok pasangan pengantin tadi nampak betul-betul bahagia. Kalau boleh Kinah mahu kita juga begitu. Bahagia macam mereka. Aku faham dari senyuman Kinah yang tampak hambar tu.” Simpul suaminya. Sakinah terdiam kerana rupa-rupanya Rafiq dapat menangkap perasaan yang cuba diselindungnya.
“ Boleh ke kita jadi macam mereka ? ” Bibir Sakinah bertanya tanpa sedar. Terlepas di hujung bibirnya. Perlahan saja bunyinya. Soalan itu lebih ditujukan pada dirinya.
Rafiq senyap. Tidak tahu jawapan apa yang wajar dikemukakan pada Sakinah. Jika dia memberi harapan takut tidak kesampaian. Oleh itu, Rafiq lebih suka mengambil sikap tunggu dan lihat. Dia mahu semuanya berlaku secara kerelaan hatinya tanpa paksaan. Jika mereka ditakdirkan bersama Rafiq tidak akan pernah menolak ketentuan itu. Dalam diam dia juga menyenangi kehadiran gadis itu sebagai pendamping hidupnya.
“ Jangan fikirkan lagi tentang itu. Aku tak mahu fikiran Kinah berfikir tentang suatu yang di luar jangkauan kita. Biarkan saja masa menentukan semuanya.” Tenang Rafiq berbicara. Mahu memujuk perasaan gadis manis itu.
Sakinah mengangguk perlahan. Bicara suaminya itu benar. Biar masa yang menentukan. Selagi jodoh mereka ada selagi itulah peluang untuk bahagia akan ada. Sakinah percaya bahagia itu ada untuknya. Insya Allah..
saya suke story ni n akan tetap tunggu hapdet yang seterusnya...
ReplyDelete